Categories
AGENDA NASIONAL

Anggota PGA cedera terkena tembakan di Bukit Kayu Hitam

ALOR SETAR, 25 NOV: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera ringan selepas terkena tembakan ketika sedang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, petang tadi.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata kejadian berlaku pada kira-kira jam 6.15 petang semasa anggota PGA itu sedang menjalankan rondaan bersama seorang anggota lain di kawasan berkenaan.

“Anggota berkenaan yang memakai baju kalis peluru ketika itu tiba-tiba berasa pedih di bahagian perut. Dia kemudian memeriksa bahagian perutnya dan mendapati terdapat kesan bulatan.

“Beliau (mangsa) kemudian melihat ada kelibat manusia di kawasan itu. Kita syak dia ditembak menggunakan senapang angin yang dipercayai datang dari arah negara jiran,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata anggota berkenaan yang berusia 26 tahun membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam, dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

“Kita akan siasat dan kenakan tindakan tegas terhadap individu yang melepaskan tembakan ke arah anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

Kejadian itu adalah yang kedua membabitkan serangan ke atas anggota PGA selepas insiden melibatkan dua anggota pasukan itu berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut, manakala Sarjan Norihan Tari, 39, parah, terkena tembaka

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Plaza Tol Bukit Kayu Hitam beroperasi di lokasi baharu mulai esok

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 31 OKT: Plaza Tol Bukit Kayu Hitam di KM0.65 Lebuhraya Utara-Selatan akan berpindah dan beroperasi di lokasi baharu di KM1.0 mulai jam 6 pagi, esok.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan berkata, pembukaan plaza tol itu juga serentak dengan pembukaan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam yang baharu esok.

Katanya pemindahan itu sebahagian daripada projek pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin & Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang baharu.

“Namun demikian, selepas beroperasi di lokasi baharu esok, kutipan tol di Plaza Bukit Kayu Hitam berkuatkuasa sehingga 31 Disember sahaja berikutan pengumuman pemansuhan tol seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018.

“Selain itu, bermula esok, tempoh operasi plaza tol ini akan dilanjutkan di antara jam 6 pagi hingga 2 pagi setiap hari berbanding 6 pagi hingga 12 tengah malam ketika ini bagi urusan perjalanan orang ramai di sempadan,” katanya.

Sebelum ini pengguna media sosial mempersoalkan kewajaran pemindahan Plaza Tol Bukit Kayu Hitam itu berikutan Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan kutipan tol di lokasi itu semasa Bajet 2018.

=EZY=