Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pasaran modal Malaysia meningkat kepada RM3.4 trilion pada 2020

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Pasaran modal domestik Malaysia terus meningkat tujuh peratus kepada RM3.4 trilion pada 2020 berbanding RM3.2 trilion pada 2019, di sebalik persekitaran yang mencabar.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerusi Laporan Tahunan 2020 yang dikeluarkan pada Khamis berkata aset di bawah pengurusan (AUM) industri pengurusan dana berkembang sebanyak RM82.3 bilion kepada RM905.5 bilion pada Disember 2020.

“Segmen unit amanah kekal sebagai sumber dana terbesar bagi AUM dengan nilai aset bersih (NAV) yang lebih tinggi berjumlah RM519.5 bilion pada Disember 2020, berbanding RM482.1 bilion pada Disember 2019,” kata SC.

Laporan itu berkata pasaran modal Malaysia terus memainkan peranan penting dalam membiayai ekonomi domestik dan menggerakkan tabungan walaupun berhadapan dengan krisis yang belum pernah terjadi pada 2020.

Paras kecairan domestik yang tinggi, disamping langkah proaktif dilaksanakan pihak berkuasa telah bantu mengekalkan suasana pasaran yang teratur dan mengurangkan gangguan kepada keseluruhan aktiviti pasaran modal, katanya.

Industri pengurusan dana mencatatkan pengeluaran bersih bulanan tertinggi pada 2020 ketika kemuncak krisis kesihatan pada bulan Mac, bagaimanapun ia menunjukkan daya tahan di sepanjang tempoh tekanan pasaran kerana kekukuhan rangka kerja pengurusan risiko kecairan pengantara pasaran modal.

Selain itu, SC berkata para profesional pengurusan pelaburan mendepani ketidaktentuan pasaran melalui strategi pengurusan yang berkesan, ia termasuk memulihkan keyakinan pelabur.

“Menjelang Julai 2020, industri pengurusan dana melonjak kembali dan mencatatkan AUM sebanyak RM844.1 bilion, melebihi paras tertinggi RM823.2 bilion pada penghujung Disember 2019,” kata SC.

Sementara itu, laporan itu berkata saluran pengumpulan dana alternatif terus menarik minat, khususnya dalam dalam Pendanaan Awam Ekuiti (ECF) dan pembiayaan perangkai padan (P2P) dengan jumlah dana dikumpulkan meningkat kepada RM631.0 juta pada 2020.

“Walaupun kegiatan pengumpulan dana perlahan sepanjang Mac-Mei 2020, ia pulih semula setelah aktiviti ekonomi disambung berikutan keperluan berterusan terhadap pembiayaan,” kata SC.

Namun, pasaran modal menyaksikan aktiviti pengumpulan dana dalam pasaran bon korporat dan ekuiti yang lebih rendah berjumlah RM114.6 bilion sepanjang tahun.

Bagi segmen pasaran bon korporat, SC berkata jumlah penerbitan baharu adalah sebanyak RM104.6 bilion, sementara jumlah dana yang dikumpulkan dalam pasaran ekuiti meningkat kepada RM10.0 bilion di mana RM2.0 bilion dari jumlah tersebut dikumpulkan melalui 19 tawaran awam awal (IPO) dan RM8.0 bilion melalui pengumpulan dana sekunder.

Pada tahun lepas, dua syarikat disenaraikan di Pasaran Utama, 10 syarikat disenaraikan di Pasaran ACE, dan selebihnya di Pasaran LEAP.

Menurut SC, kesan terhadap pasaran domestik adalah ketara, terutamanya pada Mac 2020 disebabkan oleh kemerosotan teruk prospek pertumbuhan dan pengelakan risiko global, manakala pasaran ekuiti dan bon tempatan mengalami penurunan mendadak.

Pada 19 Mac tahun lepas, FMBKLCI jatuh sebanyak -24.3 peratus daripada paras tinggi prapandemik pada bulan Januari 2020 kepada 1,219.72 mata, paras terendah sejak September 2009.

Sementara itu, laporan itu berkata hasil bon melonjak naik dengan kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MSG) 10-tahun meningkat sebanyak 80.4 mata asas kepada 3.57 peratus pada 24 Mac, 2020 daripada paras rendah pada 4 Mac, 2020.

“Aliran dana portfolio juga terjejas teruk dengan aliran keluar bagi ekuiti dengan bon berjumlah -RM34.1 bilion pada Februari hingga Mei 2020 dalam persekitaran penjualan yang rancak,” kata SC.

Bagaimanapun, SC berkata pasaran modal domestik terus mempamerkan daya tahan yang didukung oleh dasar-dasar sokongan di mana pemulihan meluas dalam harga aset domestik telah disaksikan bermula dari Mei 2020, sejajar dengan pasaran global apabila sentimen terus bertambah baik.

Aliran masuk portfolio turut pulih, sebahagian besarnya didorong oleh pasaran bon dengan aliran masuk bukan pemastautin mencapai jumlah RM24.4 bilion dari Jun hingga Disember 2020, katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi, jejaki prestasi Wall Street

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Bursa Malaysia dibuka tinggi tetapi merosot kemudiannya, menjejaki prestasi Wall Street yang berhati-hati menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS yang akan berakhir pada Rabu.

Pada 9.08 pagi, petunjuk pasaran FBM KLCI susut 2.0 mata kepada 1,623.96 daripada 1,623.96 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks dibuka tinggi 1.65 mata kepada 1,625.61.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 290 berbanding 217, manakala 356 kaunter tidak berubah, 1,374 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.46 bilion saham bernilai RM256.47 bilion.

Malacca Securities berkata pasaran saham AS merosot daripada paras tertinggi baru-baru ini berikutan Dow (-0.4 peratus) mengakhiri kenaikan selama tujuh hari berturut-turut susulan data jualan runcit yang rendah (-3.0 peratus bulan ke bulan) dan pengeluaran pembuatan (-4.1 peratus bulan ke bulan) pada Februari 2021.

Nasdaq naik 0.9 peratus, didorong oleh saham teknologi.

Di peringkat tempatan, ia yakin kes harian Covid-19 yang rendah dicatatkan pada Selasa akan terus memacu sentimen pasaran dalam persekitaran positif, bagaimanapun aliran meningkat dijangka dikekang oleh sentimen bercampur-campur Wall Street semalaman.

“Dari segi komoditi, minyak mentah Brent telah menyaksikan kemerosotan berikutan kebimbangan baharu mengenai permintaan disebabkan gelombang baharu kes pandemik di Eropah, manakala minyak sawit mentah merosot berikutan jangkaan pasaran mengenai pengeluaran yang meningkat.

“Walaupun beberapa sektor seperti penerbangan dan permainan menyaksikan sedikit penurunan, kami yakin aktiviti belian saham pada harga rendah akan berlaku tidak lama lagi, berdasarkan kes harian Covid-19 yang susut,” katanya, sambil menambah peniaga dijangka melihat sektor pengguna, pembinaan dan hartanah.

Selain itu, sektor teknologi dijangka mencatatkan peningkatan semula, menjejaki kenaikan semalaman di Nasdaq.

Saham wajaran tinggi, Axiata kekal rendah, susut tujuh sen kepada RM3.78, manakala Public Bank dan Maybank, masing-masing merosot dua sen kepada RM4.29 dan RM8.43.

Sime Darby berkurangan lima sen kepada RM2.43 selepas meningkat pada Selasa.

Dalam pada itu, Press Metal naik enam sen kepada RM10.06 dan Nestle meningkat 90 sen kepada RM136.60.

Dalam kalangan saham cergas, Pegasus tidak berubah pada tiga sen, manakala Borneo Oil, Compugates dan Dynaciate, masing-masing menambah setengah sen kepada empat sen, 3.5 sen dan 15.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 4.53 mata kepada 11,897.14, FBMT 100 susut 8.79 mata kepada 11,575.46 dan FBM Emas Shariah naik 1.70 mata kepada 13,181.67.

FBM 70 meningkat 9.35 mata kepada 15,669.90 dan FBM ACE susut 85.50 mata kepada 10,661.55.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 18.95 mata kepada 15,584.02, Indeks Perladangan naik 14.33 mata kepada 7,244.60 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.48 mata kepada 192.47.

– BERNAMA

 

TAG:

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia catat aliran meningkat, dipacu pemulihan ekonomi

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Bursa Malaysia meneruskan aliran meningkat pada awal dagangan Selasa, didorong oleh harapan bahawa pelaksanaan program vaksin Covid-19 akan menggalakkan lagi pemulihan ekonomi tidak lama lagi.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran, meningkat 3.33 mata kepada 1,624.25 daripada 1,620.92 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka 2.88 mata lebih tinggi kepada 1,623.80.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 317 berbanding 195 manakala 345 kaunter tidak berubah, 1,358 kaunter tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 560.06 juta unit bernilai RM275.18 juta.

Menurut Malacca Securities pihaknya yakin indeks utama akan meningkat lebih tinggi dalam keadaan unjuran ekonomi lebih cerah susulan ketibaan kumpulan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac yang lain di samping harga minyak sawit mentah dan minyak mentah lebih kukuh.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata Malaysia menerima 100,000 dos vaksin Sinovac dan 83,070 dos Pfizer-BioNTech pada Isnin.

Pfizer akan menghantar masing-masing 124,020 dos dan 125,190 dos lagi pada 22 Mac dan 29 Mac.

Beliau berkata 100,000 dos vaksin Sinovac juga akan tiba pada 22 Mac.

Malacca Securities yakin pelabur akan terus memberi tumpuan kepada saham dipacu pemulihan ekonomi susulan ketibaan beberapa kumpulan vaksin bulan ini.

“Sementara itu, saham teknologi dijangka mengalami peningkatan semula secara sederhana, menjejaki prestasi kenaikan Nasdaq dalam tempoh semalaman.

“Selain itu, proksi perladangan seperti segmen peralatan proses dan baja mungkin memperoleh daya tarikan memandangkan harga minyak sawit mentah yang lebih kukuh,” menurutnya dalam nota penyelidikan pada Selasa.

Wall Street mengalami kenaikan semula daripada penurunan harian terendah selepas Dow (+0.5 peratus) mencatatkan peningkatan tujuh hari berturut-turut dipacu oleh keyakinan semakin bertambah terhadap pemulihan ekonomi dan kemajuan pelaksanaan vaksin.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) akan memulakan mesyuarat dua hari pada Selasa, dengan bank pusat itu dijangka menyemak unjuran ekonominya susulan bantuan rangsangan fiskal US$1.9 trilion.

Di peringkat tempatan, saham berwajaran tinggi, TNB naik 10 sen kepada RM10.76, sementara CIMB dan PetChem masing-masing menokok setengah sen kepada RM4.58 dan RM8.30.

RHB menambah lapan sen kepada RM5.55 dan Top Glove naik dua sen kepada RM5.20.

Bagaimanapun, Hong Leng Bank merosot 42 sen kepada RM18.80 dan Nestle susut 90 sen kepada RM136.20.

Teladan Setia, yang baru disenaraikan pada Selasa, mendahului kaunter aktif apabila meningkat 10.5 sen kepada 58.5 sen dengan lebih 78 juta saham diniagakan.

Widad naik empat sen kepada 72 sen, Komarkcorp menokok 3.5 sen kepada 38 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 21.66 mata kepada 11,906.47, FBMT 100 meningkat 20.66 mata pada 11,581.96 dan FBM Emas Syariah menambah 26.89 mata kepada 13,156.52.

FBM 70 menokok 16.01 mata kepada 15,640.54 dan FBM ACE melonjak 90.08 mata kepada 10,716.22.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 3.11 mata kepada 15,642.87, Indeks Perladangan meningkat 26.64 mata kepada 7,182.53 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.61 mata kepada 193.05.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah susulan ambilan untung

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis berikutan aktiviti pengambilan untung selepas mencatatkan prestasi kukuh semalam dan dalam keadaan prestasi semalaman Wall Street yang lemah.

Pada 9.06 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 9.02 mata atau 0.57 peratus kepada 1,579.43 daripada 1,588.45 sewaktu ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk utama itu dibuka tinggi 0.44 mata kepada 1,588.89.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 325 berbanding 189, manakala 304 kaunter tidak berubah, 1,335 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 433.95 juta unit bernilai RM240.11 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata pasaran menantikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia yang kedua hari ini untuk mengukur pergerakan pasaran.

Bagaimanapun, menurutnya, ahli ekonomi menjangkakan pendirian yang tidak berubah ke atas kadar dasar semalaman pada 1.75 peratus di tengah-tengah jangkaan kepada pemulihan ekonomi.

“Kami yakin saham berharga rendah akan kekal meningkat sekiranya sentimen pasaran positif yang berterusan. Sementara itu, harga minyak mentah Brent dilihat mengalami kenaikan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Berikutan kes harian Covid-19 yang kekal berjumlah di bawah 2,000 untuk hari ketiga berturut-turut, syarikat itu percaya peniaga akan menumpukan kepada sektor berkaitan pemulihan seperti penerbangan, produk pengguna dan permainan.

“Selain itu, peniaga mungkin mencari kaunter minyak dan gas dan perladangan susulan kenaikan harga komoditi,” katanya.

Seorang lagi peniaga berkata saham serantau bersedia untuk mengalami turun naik dalam ekuiti dan bon selepas peningkatan bon Perbendaharaan AS serta menjelang sidang parlimen tahunan China pada Jumaat.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura turun 0.8 peratus kepada 2,997.89 dan Indeks Nikkei 225 Jepun susut 1.49 peratus kepada 29,117.6.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank naik dua sen kepada RM4.24, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM7.74 dan RM5.50, manakala Maybank susut empat sen kepada RM8.10, TNB jatuh lapan sen kepada RM10.38, CIMB turun tiga sen kepada RM4.26 dan Top Glove berkurangan 16 sen kepada RM4.93.

Dalam kalangan saham aktif, Nexgram naik setengah sen kepada lima sen, Minetech menambah 1.5 sen kepada 21.5 sen, Dataprep meningkat 13 sen kepada RM1.97, manakala Dagang Nexchange tidak berubah pada 61.5 sen, Sealink susut satu sen kepada 19.5 sen dan MY E.G berkurangan sembilan sen kepada RM2.15.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 58.58 mata kepada 11,612.86, Indeks FBMT 100 turun 57.90 mata kepada 11,307.95, Indeks FBM Emas Syariah rendah 87.15 mata kepada 12,953.1, FBM ACE jatuh 97.47 mata kepada 10,518.32 dan FBM 70 susut 53.52 mata kepada 15,445.83.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 1.03 mata kepada 185.9, Indeks Perladangan jatuh 11.06 mata kepada 7,151.03, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 15.68 mata kepada 15,017.16.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia diniaga tinggi awal dagangan

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Bursa Malaysia meningkat pada awal dagangan Rabu, didorong oleh pemulihan momentum belian.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 8.14 mata atau 0.52 peratus kepada 1,578.01 daripada 1,569.87 pada Selasa.

Indeks petunjuk utama itu naik 7.03 mata kepada 1,576.9 sewaktu urus niaga dibuka.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 288 berbanding 215 manakala 302 kaunter lain tidak berubah, 1,348 tidak diniagakan dan 9 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 566.29 juta unit bernilai RM243.72 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan bursa tempatan akan menyaksikan dagangan yang cenderung meningkat susulan perubahan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang diumumkan pada Selasa.

“Selain itu, jumlah kes harian Covid-19 telah merosot ke paras terendah setakat tahun ini. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa sentimen negatif semalaman di Wall Street juga boleh mengekang potensi peningkatan di peringkat tempatan,” katanya dalam nota penyelidikan pada Rabu.

Malacca Securities juga menyifatkan laporan media mengenai pelonggaran sekatan perjalanan akan terus menarik pembeli terhadap saham-saham yang pulih manakala peniaga mungkin menumpukan sektor seperti pengguna, peruncitan serta pembinaan.

“Selain itu, prestasi saham-saham teknologi pula dijangka akan didorong oleh keputusan membabitkan UWC Bhd,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank menokok enam sen kepada RM8.14, Public Bank naik empat sen kepada RM4.26, TNB meraih 10 sen kepada RM10.46, CIMB menambah satu sen kepada RM4.29, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM7.53 dan RM5.50 manakala Axiata susut lima sen kepada RM3.43 dan MISC jatuh tiga sen kepada RM6.73.

Bagi saham aktif, UWC melonjak 17 sen kepada RM6.70, Parkson menokok 5.5 sen kepada 24.5 sen, Kanger International naik satu sen kepada 11.5 sen, Mestron meningkat dua sen kepada 29 sen, TFP Solutions meraih 1.5 sen kepada 22 sen, Aimflex sebaliknya berkurangan 1.5 sen kepada 30 sen, Grand-Flo merosot 7.5 sen kepada 50.5 sen dan AMMB Holdings turun 35 sen kepada RM2.81 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 32.47 mata kepada 11,608.99, Indeks FBMT 100 meningkat 32.29 mata kepada 11,307.01, Indeks FBM Emas Syariah naik 31.33 mata pada 12,921.88, FBM ACE menokok 35.19 mata kepada 10,606.55 dan FBM 70 susut 55.64 mata kepada 15,480.2.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.35 mata kepada 184.39 manakala Indeks Perladangan menokok 20.77 mata kepada 7,160.05 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 34.62 mata kepada 15,067.45.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa dibuka tinggi sebelum susut dirangsang jualan aktif

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Bursa Malaysia dibuka kukuh seketika pada pagi urus niaga Isnin sebelum menyusut selepas indeks utama terjejas oleh aktiviti jualan membabitkan kaunter perbankan berwajaran tinggi, didahului oleh Maybank dan Public Bank.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.04 mata atau 0.13 peratus kepada 1,582.89 daripada 1,584.93 ketika ditutup pada petang Jumaat minggu lepas.

Indeks utama dibuka 2.58 mata lebih tinggi pada 1,587.51.

Pergerakan harga pasaran bagaimanapun positif dengan sentimen pasaran secara keseluruhannya dirangsang oleh ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 pada Ahad.

Di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 404 berbalas 219 manakala 323 kaunter tidak berubah, 1,250 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 807.75 juta unit bernilai RM308.36 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd percaya pelancaran vaksin kebangsaan pada Rabu yang lebih awal daripada dijadualkan, diikuti dengan penurunan jumlah kes Covid-19 membantu meningkatkan sentimen pasaran.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun empat sen kepada RM7.99, Public Bank menyusut dua sen kepada RM4.11, Petronas Chemicals jatuh lapan sen kepada RM7.41, Top Glove lebih rendah 16 sen kepada RM5.89 sementara Tenaga meningkat lima sen kepada RM9.93.

Saham paling cergas pula, waran Dagang Nexchange naik empat sen kepada 34.5 sen, EA Holdings dan Velesto, masing-masing menokok setengah sen kepada lima sen dan 17.5 sen, Nexgram satu sen lebih kukuh kepada lima sen dan OCK Group menambah 4.5 sen kepada 56 sen.

Saham yang mencatatkan keuntungan tertinggi ialah MPI, naik 36 sen kepada RM38.76 sementara MI Technovation saham paling rugi, merosot 34 sen kepada RM4.64.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 4.06 mata kepada 11,645.67, Indeks FBMT 100 memperoleh keuntungan kecil sebanyak 0.22 mata kepada 11,320.56 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 6.53 mata kepada 13,125.62.

FBM 70 meningkat 57.17 mata kepada 15,416.52 dan FBM ACE mengembang 61.34 mata kepada 11,309.96.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 47.68 mata kepada 14,825.10, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.24 mata kepada 182.03 sementara Indeks Perladangan mengukuh 8.76 mata kepada 7.197.81.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia diunjur urus niaga tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Urus niaga di Bursa Malaysia dijangka bergerak tinggi minggu depan, dirangsang oleh program vaksinasi Malaysia yang akan bermula pada Jumaat depan dengan vaksin pertama dijadual tiba pada 21 Februari 2021.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata jangkaan itu akan kekal sedemikian sekiranya program vaksinasi ini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Menurut beliau, para pelabur begitu cenderung ke arah kehendak risiko yang kuat terhadap ekuiti tempatan dan oleh yang demikian, aktiviti urus niaga dijangka bergerak tinggi minggu depan.

“Dengan itu, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kemungkinan mampu melantun kembali untuk mencecah 1,600 mata sementara ringgit pula boleh terus mengukuh berbanding dolar AS kepada paras RM4.02-RM4.03 bagi seunit dolar AS minggu depan,” katanya kepada Bernama semalam.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (NIP) yang dilancarkan pada Selasa akan menyaksikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai pengambilan suntikan vaksin pada 26 Feb bersama-sama petugas barisan hadapan yang lain.

Program ini dijadualkan berlanjutan sehingga Februari tahun depan.

Sementara itu, urus niaga di Bursa Malaysia dibuka separuh hari pada Khamis dan ditutup sepenuhnya pada Jumaat sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Berdasarkan kepada perbandingan mingguan, indeks penanda aras FBM KLCI menyusut 14.49 mata kepada 1,584.93 daripada 1,599.42 minggu lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 20.21 mata kepada 11,641.61 dan Indeks FBMT 100 susut 59.7 mata kepada 11,320.34.

FBM 70 naik 87.7 mata kepada 15,359.35 dan Indeks FBM ACE melonjak 365.39 mata kepada 11,248.62 tetapi Indeks FBM Emas Syariah menyusut 1.16 mata kepada 13,119.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 165.69 mata kepada 14,872.78 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.7 mata kepada 182.27 dan Indeks Perladangan naik 43.36 mata kepada 7,189.05.

Indeks Tenaga meningkat 85.15 mata kepada 946.95, Indeks Teknologi naik 2.24 mata kepada 89.91 tetapi Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 20.57 mata kepada 3,451.54.

Jumlah dagangan mengukuh kepada 61.61 bilion unit bernilai RM28.79 bilion daripada 3.21 bilion unit bernilai RM2.04 bilion yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat 40.97 bilion units bernilai RM23.49 bilion berbanding 2.23 bilion unit bernilai RM1.65 bilion minggu lepas.

Jumlah dagagan waran menambah 1.66 bilion unit bernilai RM248.97 juta daripada 184.12 juta unit bernilai RM30.39 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di pasaran ACE mengukuh 18.96 bilion unit bernilai RM5.04 bilion saham daripada 787.86 juta unit bernilai RM359.04 juta.

– BERNAMA

Categories
AGENDA

Bursa Malaysia susut selepas dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada awal dagangan Selasa namun susut selepas itu sekali gus mencatatkan prestasi berbeza berbanding aliran global dengan saham-saham meningkat bagi hari ke-11 berturut-turut dan mencecah paras tinggi baharu, didorong keyakinan terhadap program suntikan vaksin Covid-19 dan bantuan fiskal baharu oleh Washington.

Pada 9.08 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.72 mata kepada 1,607.35 daripada 1,608.07 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka 3.97 mata lebih tinggi kepada 1,612.04.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 324 berbanding 207 manakala 347 kaunter tidak berubah, 1,283 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 702.81 juta unit bernilai RM308.11 juta.

Menerusi nota penyelidikan, Public Investment Bank menjelaskan susulan semakin ramai yang diberikan suntikan vaksin di seluruh pasaran utama seperti Amerika Syarikat (AS) selain Presiden AS Joe Biden juga ingin menambah rangsangan sebanyak AS$1.9 trilion ke dalam ekonomi, maka yang disebut sebagai pemulihan dagangan telah semakin baik dalam beberapa hari kebelakangan ini.

“Mengambil petunjuk daripada sesi dagangan Asia yang kukuh walaupun lengang kerana masih dalam suasana cuti perayaan, indeks utama Eropah mencatatkan peningkatan pada awal dagangan, dengan FTSE 100 Britain meningkat 2.2 peratus.

“Berikutan pasaran China dan Hong Kong masih ditutup sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Nikkei Jepun menerajui kenaikan itu dengan meningkat 1.9 peratus untuk mencecah semula pada paras 30,000 mata buat kali pertama dalam tempoh lebih tiga dekad,” menurutnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM8.15, Public Bank menambah dua sen kepada RM4.23, Top Glove menokok satu sen kepada RM6.18, sementara PChem turun dua sen kepada RM7.54 dan Tenaga susut 19 sen kepada RM9.99.

Bagi saham aktif, ARB Bhd meningkat 3.5 sen kepada 37 sen, DGB Asia dan Dagang Nexchange masing-masing naik 1.5 sen kepada 11 sen dan 55 sen sementara Techna-X turun satu sen kepada 16.5 sen dan Luster Industries kurang setengah sen kepada 23.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 8.6 mata kepada 11,745.47, Indeks FBMT 100 meningkat 5.0 mata kepada 11,446.11 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 0.68 mata kepada 13,210.89.

FBM 70 melonjak 45.76 mata kepada 15,397.61 dan FBM ACE susut 3.4 mata kepada 11,227.84.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 19.89 mata kepada 15,135.85, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.31 mata kepada 182.12 sementara Indeks Perladangan turun 1.06 mata kepada 7,194.84.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi, cecah paras 1,600 mata

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada awal dagangan pagi Isnin, mencecah paras 1,600 setelah saham Wall Street melonjak pada Jumaat lepas dengan Indeks Komposit S&P 500 dan Nasdaq mencatatkan rekod ketika penutupan urus niaga.

Pada jam 9.12 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 12.14 mata kepada 1,611.56 daripada 1,599.42 ketika ditutup Khamis lepas.

Pada pembukaan, indeks dibuka 7.58 mata lebih tinggi pada 1,607.00.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 453 berbalas 174 manakala 366 kaunter tidak berubah, 1,168 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 771.39 juta unit bernilai RM370.47 juta.

Jumaat lepas, indeks S&P 500 mengukuh 0.47 peratus, Dow Jones meningkat 0.09 peratus dan Nasdaq lebih tinggi sebanyak 0.5 peratus.

Dalam satu kenyataan hari ini, Public Investment Bank berkata para pelabur mempertimbangkan prospek akan peningkatan rangsangan fiskal serta kemungkinan kadar inflasi yang lebih tinggi.

“Setiausaha Perbendaharaan AS Janet Yellen pada Jumaat memberitahu para menteri kewangan dan gabenor bank pusat dari negara-negara Kumpulan Tujuh agar menyokong sepenuhnya pelan fiskal bagi meningkatkan pemulihan ekonomi yang berkekalan,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM8.02, PChem meningkat 11 sen kepada RM7.61, TM lebih tinggi 16 sen kepada RM6.76, Tenaga meningkat 10 sen kepada RM10.16 dan Axiata mengukuh lima sen kepada RM3.48.

Saham paling cergas, Dagang Nexchange naik 2.5 sen kepada 45.5 sen, Techna-X meningkat 1.5 sen kepada 15 sen, Luster Industries dan Velesto masing-masing menambah setengah sen kepada 23 sen dan 14 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 84.75 mata kepada 11,746.57, Indeks FBMT 100 mengembang 79.93 mata kepada 11,459.97 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 103.69 mata pada 13,223.94.

FBM 70 lebih tinggi 82.46 mata kepada 15,354.11 dan FBM ACE meningkat 13.00 mata kepada 10,896.23.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 74.37 mata kepada 15,112.84, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.4 mata kepada 181.97 dan Indeks Perladangan mengembang 43.64 mata kepada 7,189.33.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia diramal didagang jajaran kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan jajaran kecil antara 1,580 dan 1,610 mata minggu depan, berikutan tanpa pasaran China yang ditutup sempena sambutan Tahun Baharu Cina, kata Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran menyaksikan dagangan jajaran kecil berikutan peserta pasaran mengurangkan aktiviti dagangan menjelang hujung minggu yang panjang.

Bursa Malaysia diniagakan separuh hari pada Khamis — menjelang Tahun Baharu Cina — dan ditutup pada Jumaat sempena sambutan perayaan tersebut.

FBM KLCI meningkat 20.79 mata kepada 1,599.42 semasa ditutup pada Khamis daripada 1,578.63 pada Jumaat lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas naik 159.5 mata kepada 11,661.82 dan Indeks FBMT 100 meningkat 150.48 mata kepada 11,380.04.

FBM 70 melonjak 211.83 mata kepada 15,271.65 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 57.89 mata kepada 13,120.25 dan Indeks FBM ACE menambah 22.0 mata kepada 10,883.23.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 458.57 mata kepada 15,038.47, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 4.02 mata kepada 180.57 dan Indeks Perladangan menambah 4.98 mata kepada 7,145.69.

Indeks Tenaga naik 22.48 mata kepada 861.8 dan Indeks Teknologi meningkat 1.75 mata kepada 87.67 manakala Indeks Penjagaan Kesihatan susut 85.39 mata kepada 3,472.11.

Pada minggu yang pendek, jumlah dagangan merosot kepada 22.27 bilion unit bernilai RM14.87 bilion daripada 26.16 bilion unit bernilai RM17.66 bilion dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 114.67 bilion saham bernilai RM11.88 bilion daripada 4.94 bilion saham bernilai RM13.54 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.22 bilion unit bernilai RM206.98 juta daripada 1.74 bilion unit bernilai RM307.50 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 6.38 bilion saham bernilai RM2.78 bilion saham daripada 9.47 bilion saham bernilai RM3.80 bilion.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya beroperasi semula pada 15 Februari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah, sentimen berhati-hati

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Sentimen berhati-hati di pasaran terutama menjelang pengumuman Bank Negara Malaysia mengenai prestasi ekonomi negara untuk suku keempat 2020 hari ini menyaksikan Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pagi ini.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 1.30 mata kepada 1,595.55 daripada 1,596.85 ketika ditutup petang Rabu.

Indeks utama memulakan urus niaga 5.34 mata lebih tinggi pada 1,602.19.

Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 224 berbalas 194 manakala 237 kaunter tidak berubah, 1,493 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 204.39 juta unit bernilai RM91.94 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam catatannya menyatakan peserta pasaran mungkin mengurangkan aktiviti urus niaga masing-masing sebelum cuti hujung minggu yang panjang bermula.

“Oleh itu, FBM KLCI mungkin berada dalam mod julat yang kecil sepanjang sesi hari ini,” tambahnya.

Firma broker itu turut menjangkakan sektor tenaga akan terus fokus di celah-celah pengukuhan minyak mentah Brent yang diniagakan melepasi paras AS$60 setong.

“Juga, sektor bertema pemulihan seperti sektor perbankan, penerbangan dan permainan mungkin masih berada dalam perhatian pelabur sekurang-kurangnya untuk minggu ini,” tambahnya.

Sementara itu, Bursa Malaysia telah mengumumkan urus niaga separuh hari pada Khamis dan ditutup pada Jumaat sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Bursa Malaysia turut berkata urus niaga pada 11 Februari akan dibuka pada sesi pagi sahaja dan tiada urus niaga pada sesi petang.

Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya akan kembali beroperasi pada 15 Februari.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun dua sen kepada RM8.01, PBBank naik dua sen kepada RM4.24, PChem susut 10 sen kepada RM7.46 dan Tenaga meningkat lima sen pada RM9.80.

Antara kaunter paling cergas pula, SAPNRG dan DNex masing-masing meningkat setengah sen kepada 13 sen dan 34.5 sen sementara Kanger, AAX, Yongtai dan IStone semuanya tidak berubah, masing-masing pada 10.5 sen, dua sen, tujuh sen, 23 sen dan 24 sen.

Saham paling untung, BAT menambah 46 sen kepada RM13.62, MPI naik 42 sen kepada RM36.70, Carlsbg meningkat 28 sen kepada RM22.62 dan KAB lebih tinggi 24 sen pada 1.26.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 0.88 mata kepada 11,617.66, Indeks FBMT 100 jatuh 2.95 mata kepada 11,342.27 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih rendah 2.75 mata kepada 13,050.21.

FBM ACE jatuh 22.61 mata kepada 10,725.34 tetapi FBM 70 meningkat 20.35 mata kepada 15,181.50.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 1.72 mata kepada 15,023.53 tetapi Indeks Perladangan turun 22.69 mata kepada 7,161.50 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun satu mata kepada 179.33,

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia melantun untuk dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Bursa Malaysia kembali pulih untuk dibuka tinggi pagi Isnin, mengambil petunjuk daripada prestasi di pasaran Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, kebanyakan peniaga masih mengambil sikap berhati-hati terutama menjelang sambutan Tahun Baru Cina pada akhir minggu ini.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 0.47 mata kepada 1,579.10 daripada 1,578.63 ketika ditutup pada petang Jumaat lepas.

Indeks utama dibuka 1.81 mata lebih tinggi pada 1,580.44.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 351 berbalas 181 sementara 328 kaunter tidak berubah, 1,280 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah sebanyak 520.23 juta unit bernilai RM211.57 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI memperlihatkan prestasi rendah berbanding bursa serantau yang lain pada Jumaat.

Ini susulan kerugian di kaunter berwajaran tinggi sarung tangan dan perladangan selepas meningkat rancak baru-baru ini dengan tekanan penjualan dalam kalangan institusi tempatan dan asing terus menjejaskan bursa tempatan walaupun terdapat minat membeli oleh pelabur runcit tempatan.

“Untuk urus niaga pagi ini, kaunter berharga murah mungkin menyaksikan beberapa peningkatan menjelang pelancaran vaksin,” katanya dalam satu nota.

Untuk fokus sektor pula, firma itu berkata sokongan belian dijangka muncul di kaunter perladangan dirangsang oleh harga minyak sawit mentah yang tinggi.

“Selain itu, saham berkaitan teknologi, perabot dan pengguna akan meneruskan trend menaik sepanjang tempoh musim pelaporan keputusan kewangan,” tambahnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM7.87, Public Bank turun dua sen kepada RM4.10, Petronas Chemicals meningkat tujuh sen kepada RM7.42 dan Tenaga menambah empat sen pada RM9.74.

Kaunter paling cergas, AT Systemization, Dagang Nexchange dan Thrive Property masing-masing mengukuh 1.5 sen kepada 18 sen, 29.5 sen dan 27 sen, sementara MTouche turun setengah sen kepada lima sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 25.52 mata kepada 11,527.85, Indeks FBMT 100 menambah 13.61 mata kepada 11,243.17 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi 29.59 mata kepada 13,091.95.

FBM 70 meningkat 58.14 mata kepada 15,117.96 dan FBM ACE melonjak 60.01 mata kepada 10,921.24.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 23.44 mata kepada 14,623.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.03 mata kepada 175.74 dan Indeks Perladangan lebih tinggi 7.01 mata kepada 7,214.78.

– BERNAMA