Categories
EKONOMI

Bursa Malaysia diniaga antara 1,730 dan 1,750 minggu depan

KUALA LUMPUR 9 APRIL: Bursa Malaysia dijangka diniaga tidak banyak berubah antara 1,730 dan 1,750 minggu depan berikutan kekurangan pemangkin.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities, Pong Teng Siew berkata, keadaan itu mungkin berlaku sehingga akhir bulan ini kerana April adalah bulan transisi bagi akhir suku pertama tahun ini.

“Pada April, tidak ada keputusan korporat. Sebahagian syarikat tersenarai mungkin mengumumkan keputusan mereka pada Mei,” katanya dengan menambah serangan AS ke atas Syria tidak banyak mengganggu pasaran.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank berkata, FBM KLCI dan saham wajaran tinggi dijangka mengukuh, tetapi pemangkin yang banyak dijangka menjadikan pasaran panas pada suku kedua.

“Tumpuan mungkin kepada saham berharga murah dengan pemangkin seperti penstrukturan semula, aliran kerja pembinaan dan penarafan semula hartanah,” katanya dalam satu nota baru-baru ini.

Bursa tempatan diniaga keseluruhannya lebih rendah pada minggu baru berakhir berikutan ketiadaan berita yang menggerakkan pasaran, jangkaan keputusan mesyuarat antara Presiden AS, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping akhir minggu ini serta serangan peluru berpandu AS ke atas Syria.

Pasaran itu juga menunggu data senarai gaji bukan ladang AS untuk Mac pada Jumaat.

Pada asas minggu ke minggu, FBM KLCI menambah 1.63 mata kepada 1,741.72 daripada 1,740.09.

Indeks Emas FBM Emas naik 51.67 mata kepada 12,413.36, Indeks FBMT 100 menokok 33.87 mata kepada 12,040.56 dan Indeks Syariah Emas FBM menambah 71.59 mata kepada 12,882.93.

FBM 70 melonjak 126.28 mata kepada 14,676.75 dan FBM Ace melambung 366.46 mata kepada 6,193.94.

Pada asas sektor, Indeks Kewangan meningkat 44.37 mata kepada 15,704.04 dan Indeks Perusahaan naik 4.02 mata kepada 3,258.44, tetapi Indeks Perladangan turun 38.74 mata kepada 8,163.78.

Jumlah dagangan mingguan melebar kepada 20.73 bilion unit bernilai RM15.29 bilion berbanding 16.78 bilion unit bernilai RM12.78 bilion minggu lalu.

Volum Pasaran Utama menambah kepada 14.20 bilion saham bernilai RM14.18 bilion berbanding 12.01 bilion saham bernilai RM12.04 bilion minggu lalu.

Jumlah dagangan waran naik sedikit kepada 1.09 bilion unit bernilai RM143.59 juta berbanding 1.04 bilion unit bernilai RM141.24 juta.

Pasaran ACE menokok kepada 5.39 bilion saham bernilai RM959.57 juta berbanding 3.67 bilion saham bernilai RM590.18 juta sebelum ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pagi ini, dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada ,1,740.700 naik 1.14 mata berbanding penutup semalam.

Pada jam 9.12 pagi, kaunter untung mengatasi rugi 232 berbanding 95, manakala 1,436 kaunter diniagakan tidak berubah. Sebanyak 371.623 juta lot saham bernilai RM109.434 juta bertukar tangan pagi ini.

Indeks lain menyaksikan FBMT100 naik 16.3 mata kepada 12,045.78, FBMSCAP menokok 69.03 kepada 17,600.10 dan FBMEMAS menambah 20.01 kepada 12,423.75.

Sumber: BH Online

Categories
EKONOMI

Bursa Malaysia dijangka naik minggu depan

KUALA LUMPUR 1 APR: Bursa Malaysia dijangka naik minggu depan, didorong oleh dana asing yang akan kembali ke negara ini dan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika dengan penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI diunjur bergerak ke paras 1,800 mata.

Naib presiden dan ketua penyelidikan runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjur menyaksikan kenaikan kukuh setelah pasaran dunia yang teguh termasuk AS dan Eropah.

“Kami yakin Bursa Malaysia akan mengekalkan momentum kukuh yang dilihat pada suku pertama.

“Ia juga akan dipacu oleh tawaran awam permulaan (IPO) baharu akan datang, termasuk Ecoworld International Bhd yang akan disenaraikan pada 3 April, memandangkan permodalan pasarannya yang besar,” katanya lapor BERNAMA.

Selain itu, kata beliau, terdapat juga berita mengenai SME Corporation Malaysia yang bekerjasama dengan Bursa Malaysia, untuk mengenal pasti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi untuk disenaraikan di Pasaran PKS pada separuh ke-2 tahun ini.

Nazri Khan berkata Majlis Perniagaan AS-ASEAN yang mewakili korporat Amerika, telah menyatakan keyakinan mereka terhadap pelaburan masa depan di Malaysia, terutamanya dengan agenda ekonomi digital Malaysia.

“Mereka yakin ia akan meningkatkan ekonomi Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, di peringkat antarabangsa, Nazri Khan berkata Britain yang telah memulakan proses keluar dari Kesatuan Eropah secara rasmi, berkemungkinan dapat mengetepikan segala ketidaktentuan.

Dari segi teknikal, beliau berkata paras halangan bagi FBM KLCI ialah antara 1,780 dan 1,820, manakala sokongan pada paras 1,730 dan 1,700.

=EZY=

Categories
EKONOMI

Bursa Malaysia diramal bergerak antara 1,700 dan 1,720 mata

KUALA LUMPUR 5 MAC: Bursa Malaysia dijangka tidak banyak berubah dan mendatar minggu depan dengan penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak antara 1,700 dan 1,720.

Naib Presiden/Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment, Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata pasaran juga diunjur didagangkan berhati-hati minggu depan setelah dagangan lengang sejak dua minggu lepas.

“Tumpuan pasaran kini pada mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS pada 14 dan 15 Mac, setelah terdapat kemungkinan kadar faedah AS akan dinaikkan pada Mac,” katanya lapor BERNAMA.

Nazri berkata, petunjuk teknikal juga menunjukkan momentum lemah yang akan menyebabkan pasaran tidak banyak berubah.

Bagaimanapun, beliau berkata pasaran akan diimbangi oleh berita baik mengenai kerjasama ekonomi yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi serta data makro yang memberangsangkan dengan petunjuk ekonomi utama menunjukkan peningkatan sebanyak 0.9 peratus.

Bagi minggu yang baru berakhir, bursa tempatan didagangkan mendatar dalam dagangan berhati-hati setelah pelabur menunggu ucapan sulung Presiden AS Donald Trump sebelum sesi bersama Kongres pada Rabu.

Pasaran tempatan naik pada Khamis setelah pelabur menerima ucapan Trump secara positif dan mengambil petunjuk daripada Wall Street yang menyaksikan dagangan pada paras tertinggi.

Bagaimanapun, Bursa Malaysia kembali rendah pada Jumaat dan mengakhiri minggu dengan lebih rendah setelah terdapat kegiatan pengambilan untung. Bagi asas perbandingan minggu ke minggu, FBM KLCI naik 10.03 mata kepada 1,708.38 daripada 1,698.35 pada Jumaat lepas.

Indeks FBM Emas menokok 82.08 mata kepada 12,057.59, Indeks FBMT 100 menambah 83.76 mata kepada 11,736.31 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 108.51 mata kepada 12,498.77.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan melonjak 160.86 mata kepada 15,288.56, dan Indeks Perladangan menambah 24.16 mata kepada 8,094.51, manakala Indeks Perusahaan susut 48.83 mata kepada 3,236.45.

Jumlah dagangan mingguan bertambah kepada 14.89 bilion unit bernilai RM13.07 bilion berbanding 13.88 bilion unit bernilai RM 12.59 bilion.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan meningkat kepada 10.76 bilion saham bernilai RM12.42 bilion berbanding 10.12 bilion saham bernilai RM11.92 bilion.

Bagi waran pula, jumlah dagangan naik kepada 1.19 bilion unit bernilai RM162.86 juta daripada 1.06 bilion unit bernilai RM147.99 juta.

Sementara itu, pasaran ACE naik kepada 2.91 bilion saham bernilai RM481.58 juta daripada 2.35 bilion saham bernilai RM511.03 juta.

=EZY=

Categories
EKONOMI

Bursa Malaysia dijangka diniaga mendatar minggu depan

KUALA LUMPUR 26 FEB: Bursa Malaysia dijangka diniagakan mendatar minggu depan, dengan indeks petunjuk pasaran bergerak antara paras 1,700 dan 1,710, kata peniaga.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata pasaran menyaksikan tempoh pelabur menjual pegangan susulan peningkatan baru-baru ini, dan ia dijangka mendatar.

“Ia dijangka tidak bergerak lebih jauh, tetapi selepas aktiviti pengambilan untung, ia mungkin menjadi dagangan lebih lengang, dan menyaksikan dagangan dalam jajaran kecil pada paras antara 1,700 dan 1,710,” katanya lapor BERNAMA.

Memandangkan sentimen pasaran kurang memberangsangkan sejak dua hari lepas, Pong menjangka aliran penurunan akan berterusan hingga pada minggu berikutnya.

“Memandangkan sentimen pasaran masih terlalu lemah, ia dijangka terus susut hingga minggu depan, dan pulih sedikit pada akhir minggu ini,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran tempatan menyaksikan dagangan dalam jajaran kecil, disokong oleh data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih baik daripada jangkaan dan terjejas oleh penurunan dalam saham wajaran tinggi yang didahului oleh kaunter perdagangan dan perkhidmatan.

KLCI mula kehilangan momentum kenaikannya sejak Khamis susulan aktiviti pengambilan untung, dan sejajar dengan aliran penurunan di pasaran serantau.

Pada asas mingguan, FBM KLCI susut 9.33 mata kepada 1,698.35 daripada 1,707.68 pada Jumaat lepas.

Indeks FBM Emas jatuh 45.66 mata kepada 11,975.51, Indeks FBMT 100 berkurangan 46.8 mata kepada 11,652.55 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 134.6 mata kepada 12,390.26.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan melonjak 60.7 mata kepada 15,127.70 dan Indeks Perusahaan naik 7.37 mata kepada 3,285.28, bagaimanapun Indeks Perladangan jatuh 76.07 mata kepada 8,070.35.

Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 13.88 bilion unit bernilai RM12.59 bilion daripada 11.34 bilion unit bernilai RM12.19 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 10.12 bilion saham bernilai RM11.92 bilion berbanding 8.22 bilion saham bernilai RM11.62 bilion.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.06 bilion unit bernilai RM147.99 juta daripada 872.14 juta unit bernilai RM113.42 juta.

Pasaran ACE menokok kepada 2.35 bilion saham bernilai RM511.03 juta daripada 2.16 bilion saham bernilai RM450.25 juta.

=EZY=

Categories
EKONOMI

Dagangan Bursa dijangka diniaga kukuh

KUALA LUMPUR 18 FEB: Bursa Malaysia dijangka diniagakan kukuh minggu depan, dirangsang oleh peningkatan keyakinan pelabur susulan data keluaran dalam negara kasar (KDNK) lebih baik daripada dijangkakan yang dikeluarkan pada Khamis.

Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka kekal positif dan mencecah paras 1,730.

“FBM KLCI telah melepasi paras halangan psikologi 1,700 mata sejak Isnin. Bersama-sama dengan data ekonomi yang lebih baik itu, ia menunjukkan keyakinan dalam kalangan pelabur telah bertambah baik dan ini akan meningkatkan momentum belian,” katanya lapor BERNAMA.

Bank Negara Malaysia mengumumkan KDNK Malaysia tumbuh sebanyak 4.5 peratus pada suku keempat 2016 (S-416), disokong oleh pengembangan berterusan dalam perbelanjaan sektor swasta yang membawa kepada pertumbuhan tahun penuh 4.2 peratus.

Bagaimanapun, Nazri berkata pasaran saham tempatan juga akan dipengaruhi oleh prestasi ringgit dan harga komoditi, seperti minyak sawit mentah dan minyak mentah.

“Sekiranya harga komoditi semakin pulih minggu depan, ia sudah pastinya menyediakan sokongan kepada bursa tempatan,” katanya, sambil menambah ringgit mula stabil pada 4.45 berbanding dolar AS ketika ini.

Selain itu, beliau berkata, keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) bagi kadar faedahnya juga akan memberi kesan kepada indeks petunjuk pasaran itu.
“Bagaimanapun, menilai daripada kenyataan oleh Pengerusi Fed Janet Yellen semasa keterangannya di hadapan Kongres baru-baru ini, tidak ada petanda tergesa-gesa untuk menaikkan kadar faedah,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, pasaran tempatan menyaksikan dagangan jajaran kecil, disokong oleh dagangan dalam kaunter wajaran tinggi yang diterajui saham tenaga, perdagangan dan perkhidmatan dan perindustrian, serta data KDNK yang lebih baik daripada dijangkakan.

Bagi asas minggu ke minggu, FBM KLCI naik 8.74 mata kepada 1,707.68 daripada 1,698.94 pada Jumaat minggu lepas. Indeks FBM Emas melonjak 57.74 mata kepada 12,021.17, Indeks FBMT 100 meningkat 55.78 mata kepada 11,699.35 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 34.46 mata kepada 12,524.86.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 76.28 mata kepada 15,067.0 dan Indeks Perusahaan naik 40.44 mata kepada 3,277.91. Bagaimanapun, Indeks Perladangan turun 68.87 mata kepada 8,146.42.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 11.34 bilion unit bernilai RM 12.19 bilion daripada 9.74 bilion unit bernilai RM9.27 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 8.22 bilion saham bernilai RM11.62 bilion daripada 6.99 bilion saham bernilai RM6.76 bilion.

Jumlah dagangan waran naik kepada 872.14 juta unit bernilai RM113.42 juta daripada 867.57 juta unit bernilai RM120.69 juta.

Pasaran ACE menambah kepada 2.16 bilion saham bernilai RM450.25 juta daripada 1.84 bilion saham bernilai RM377.56 juta.

SUMBER: BERNAMA

=EZY=

Categories
EKONOMI

Bursa Malaysia: Dagangan meningkat kemudian susut

KUALA LUMPUR 24 JAN: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pagi ini tetapi susut kemudiannya susulan pengumuman Presiden Donald Trump menarik diri daripada Kerjasama Trans-Pasifik (TPP) yang boleh mencetuskan sentimen lebih lemah dalam pasaran Asia, termasuk Malaysia, kata pedagang.

Pada 9.11 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.64 mata kepada 1.670.67, selepas dibuka 3.7 mata lebih tinggi pada 1,674.37. Indeks itu ditutup pada 1,671.31 semalam, lapor BERNAMA.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 105 berbanding 81 dengan 150 kaunter tidak berubah, 1,398 tidak didagangkan dan 35 yang lain digantung.

Sejumlah 90.44 juta saham bertukar tangan bernilai RM39.31 juta.

AS memainkan peranan utama dalam TPP dan sekiranya negara itu menutup pintu kepada perdagangan, ia akan memberi kesan negatif kepada pembangunan ekonomi global.

Sebanyak 12 negara bersempadan Lautan Pasifik memeterai TPP pada Februari 2016, mewakili 40 peratus pengeluaran ekonomi dunia.

Pakatan itu menyasar mengukuhkan pertalian ekonomi dalam kalangan negara anggota dan memupuk perdagangan dan melonjakkan pertumbuhan.

Negara ahli ialah Jepun, Malaysia, Vietnam, Singapura, Brunei, Australia, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile dan Peru.

Indeks FBM EMAS susut 0.99 mata kepada 11,698.58 dan FBM EMAS Syariah menokok 5.37 mata kepada 12,199.15.

Bagaimanapun, FBMT100 susut 0.63 mata kepada 11,403.69.

FBM 70 mengukuh 13.59 mata kepada 13,351.52, tetapi FBM ACE susut 0.52 mata kepada 4,932.86.

Dalam kalangan kaunter utama, Maybank dan Petronas Chemicals menokok dua sen setiap satu masing-masing kepada RM8.30 dan RM7.15, sementara Public Bank susut 12 sen kepada RM20.04 dan Sime Darby jatuh dua sen kepada RM8.68.

Tenaga mendatar pada RM13.90.

Nestle jatuh 40 sen kepada RM74.60, SP Setia susut 13 sen kepada RM3.14, Public Bank dan Hap Seng susut 12 sen setiap satu masing-masing kepada RM20.04 dan RM8.75.

=EZY=

Categories
EKONOMI

Bursa Malaysia bergerak 1,600 mata minggu depan

KUALA LUMPUR 25 DIS: Bursa Malaysia dijangka rendah minggu depan dengan indeks penanda aras bergerak pada paras 1,600 mata setelah kurang pemangkin mendahului cuti akhir tahun yang panjang.

Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika dan kejatuhan harga minyak mungkin menjejaskan pasaran tempatan.

“Setelah kurang petunjuk tempatan, pelabur berkemungkinan tidak memasuki pasaran disebabkan terdapat prospek kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.

“Bagaimanapun, meskipun terdapat cabaran dari luar, saya yakin Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia yang diunjurkan pada 4.2 peratus tahun ini boleh dicapai dan dijangka kekal stabil, dengan inisiatif Bank Negara Malaysia yang fleksibel dan menyesuaikan keadaan dalam mengurus kadar faedah dan ringgit,” katanya lapor BERNAMA.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Mercury Securities Sdn Bhd, Edmund Tham, berkata kebanyakan pedagang dan pelabur telah berada dalam suasana bercuti, oleh itu, pasaran dijangka menyaksikan dagangan yang berkurangan.

“Kita berharap ringgit akan meningkat berbanding dolar AS minggu depan memandangkan kelemahan berterusan akan mempengaruhi sentimen dalam pasaran saham,” kata Tham.

Bagi asas perbandingan minggu ke minggu, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 20.64 mata kepada 1,617.15 daripada 1,637.79 pada Jumaat lepas, Indeks FBM Emas merosot 136.20 mata kepada 11,316.30, Indeks FBMT 100 berkurangan 143.14 mata kepada 11,037.21 manakala Indeks FBM Emas Syariah turun 101.87 mata kepada 11,891.57.

FBM Ace meningkat 7.91 mata kepada 4,758.62, dan FBM 70 menyusut 176.00 mata kepada 12,918.16.

Mengikut sektor pula, Indeks Kewangan turun 195.69 mata kepada 14,160.85, Indeks Perusahaan berkurangan 21.4 mata kepada 3,062.75 manakala Indeks Perladangan susut 75.20 mata kepada 7,666.84.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 5.80 bilion unit bernilai RM6.62 bilion daripada 5.29 bilion unit bernilai RM6.67 bilion yang dicatatkan pada Jumaat lepas.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan melonjak kepada 4.04 bilion saham bernilai RM6.32 bilion daripada 3.41 bilion saham bernilai RM6.39 bilion minggu lepas.

Bagi waran, jumlah dagangan susut kepada 849.92 juta unit bernilai RM168.80 juta daripada 1.1 bilion unit bernilai RM211.57 juta minggu lepas.

Pasaran ACE pula menyaksikan penurunan kepada 906.67 juta saham bernilai RM134.91 juta daripada 967.72 juta saham bernilai RM102.69 juta minggu lepas.

=EZY=

Categories
EKONOMI

Bursa Malaysia dijangka rendah minggu depan ekoran ringgit susut

KUALA LUMPUR 20 NOV: Bursa Malaysia dijangka diniagakan rendah minggu depan, susulan penyusutan ringgit berikutan spekulasi yang kuat mengenai kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Disember.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata minggu depan akan menjadi sukar untuk bursa tempatan, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, antara faktor yang akan memberi tekanan kepada Bursa Malaysia adalah penyusutan ringgit yang jatuh kepada paras terendah dalam tempoh 10 bulan pada Jumaat pada 4.40 berbanding dolar AS, dan harga komoditi yang rendah.

“Selain itu, kenyataan Pengerusi Fed Janet Yellen mengukuhkan kemungkinan kenaikan kadar faedah secepat bulan depan.

“Ini menjadikan bon dalam nilai dolar AS lebih menarik berbanding bon dalam nilai ringgit,” katanya.

Bagaimanapun, Nazri Khan menegaskan semua ini hanya spekulasi wang.

“Aliran masuk sebenar dana asing adalah pada tahun depan susulan kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke Beijing awal bulan ini yang menyaksikan nilai perjanjian perniagaan sebanyak RM143.64 bilion dimeterai antara Malaysia dan China.

“Kami percaya langkah ini akan menstabilkan ringgit dalam masa terdekat,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.37 mata kepada 1,623.80 daripada 1,634.17 pada Jumaat lepas.

Bagi perbandingan mingguan, Indeks FBM Emas merosot 45.04 mata kepada 11,459.21, Indeks FBMT 100 jatuh 44.55 mata kepada 11,170.41 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 10.69 mata kepada 12,093.22.

FBM Ace naik 40.58 mata kepada 5,005.17 dan FBM 70 menokok 43.85 mata kepada 13,394.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan jatuh 166.11 mata kepada 14,117.02, Indeks Perusahaan susut 45.31 mata kepada 3,064.17 dan Indeks Perladangan menokok 8.46 mata kepada 7,768.48.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 7.33 bilion unit, bernilai RM8.76 bilion daripada 8.86 bilion unit, bernilai RM10.73 bilion, dicatatkan pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 5.04 bilion unit, bernilai RM8.34 bilion daripada 5.82 bilion unit, bernilai RM10.18 bilion dicatatkan pada minggu lepas.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.29 bilion saham, bernilai RM242.51 juta daripada 1.70 bilion saham, bernilai RM372.54 juta sebelum ini.

Pasaran ACE susut kepada 985.74 juta saham, bernilai RM159.06 juta daripada 1.32 bilion saham, bernilai RM177.08 juta pada minggu lepas.

EZY

Categories
NASIONAL

Najib Gadai Amanah Ayahanda Guna Felda

KOMENTAR: Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia akan tetap dilaksanakan pada Jun ini.

Walaupun sebelum ini, banyak bantahan penyenaraian FGVH itu dibuat termasuk lebih 1,000 warga Felda berarak ke Pejabat Perdana Menteri bagi membantah tindakan itu.

Lebih 10,000 tandatangan peneroka dari negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Terengganu dan Sabah juga dikumpulkan sebagai tanda bantahan mereka.

Bagaimanapun, bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, usaha penyenaraian itu akan tetap dilaksanakan. Najib mendakwa ia adalah satu langkah supaya Felda terus kukuh dan kuat mendepani cabaran dunia nyata perniagaan global.

Tindakan Najib menggunakan kuasa veto berhubung isu felda tanpa mendengar keluh kesah para peneroka membuktikan kerajaan pimpinan beliau sekadar retorik disebalik wawasan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Manakala Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan pula memberi alasan penyenaraian yang seharusnya dijadualkan pada Mei ini terpaksa ditunda berikutan wujud masalah dan ‘gangguan’ termasuk perintah injuksi mahkamah.

Ahmad menyifatkan gangguan terhadap proses penyenaraian FGVH itu adalah bermotifkan politik yang sengaja dicetus pembangkang.

“Ia telah dipolitikkan kerana parti pembangkang khuatir jika kerajaan berjaya membawa berita gembira kepada peneroka, maka ia berita buruk buat mereka,” katanya.
Gadai hak Peneroka

Sebelum ini, Najib berkata, rancangan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia tidak melibatkan tanah hak milik peneroka Felda sama sekali.

Malah katanya penyenaraian itu hanya melibatkan tanah kerajaan negeri.

“Penyenaraian hanya melibatkan tanah-tanah kerajaan negeri yang diberi hak memajukan kepada kerajaan persekutuan sebagaimana peruntukan dalam Akta GSA 1960 yang selama ini diurus oleh Felda Plantations,” katanya Najib.

Tetapi adakah benar kenyataan itu? Bagaimana pula dengan nasib generasi kedua dan ketiga peneroka seterusnya jika ianya tetap dilaksanakan?

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemajuan Dan Kebajikan Rakyat Selangor (Prorakyat), Mohd Naquib Carmeil Roseli berkata penyenaraian itu akan menyebabkan Felda mengalami defisit pendapatan sebanyak RM1.5 bilion yang akan merugikan generasi kedua Felda untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, situasi ini menyebabkan Felda hanya akan memperolehi pendapatan tahunan melalui pajakan tanah sebanyak RM251 juta dan hasil jualan sehingga RM508 juta.

?Apabila Felda menjadi agensi yang rugi maka seluruh rakyat Malaysia akan terpaksa menanggung akibatnya,? katanya.

Naquib menjelaskan hasrat Felda untuk memajak 350 ribu hektar tanahnya selama 99 tahun kepada FGVH bercanggah dengan Akta Kemajuan Tanah 1956 kerana FGVH tiada hak ke atas tanah peneroka itu.

Sementara itu, Naib Presiden Warga Felda Prihatin, Mohd Kamil Yasin berkata, penyenaraian FGVH ini akan merugikan generasi kedua Felda sepertimana yang berlaku dalam penjualan tanah di Felda Sendayan yang nasib mereka kini semakin terhimpit.

Beliau turut mempersoal kerana saham yang diberi itu nanti tidak boleh ditunaikan.

?Kalau hendak dikatakan orang Felda ini mempunyai saham yang tinggi ia sudah banyak kali diperkatakan, kita mahu perkara ini dengan telus,? katanya.

 

Rancangan Jahat Umno-BN

Banyak pihak melihat usaha kerajaan pusat cuba menyenaraikan kepentingan warga Felda di pasaran terbuka sebagai usaha jahat untuk memindahkan wang rakyat kepada Umno-BN.

Penyenaraian itu juga dilihat sebagai usaha ‘membuncitkan perut’ para kroni dan akhirnya akan menguntungkan “golongan kapitalis elit”.

Budaya kronisme, rasuah, salah guna kuasa dan menipu rakyat sekali lagi akan di ulangi oleh pemimpin-pemimpin Umno. Kali ini mereka memperjudikan masa depan dan nasib para peneroka Felda.

Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, sebalum inimenegaskan FGVH tetap akan dilaksanakan di Bursa Malaysia walaupun tanpa penglibatan langsung Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Analisis untung rugi terhadap keputusan menyenaraikan FGVH yang dibuat oleh bekas Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakop mendapati Felda akan kehilangan pendapatan sebanyak RM1.950 billion setahun.

Dr Rosli juga berkata Felda sekarang mempunyai pendapatan purata dari 2007 ke 2010 yang berjumlah RM2.458 billion setahun.

“Felda hanya akan memperoleh pendapatan RM508 juta setahun jika FGVH disenarai. Ini bermakna Felda akan hilang RM1.950 billion setahun, kata Presiden (Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan) ANAK, Mazlan Aliman.

Menurut Mazlan, FGVH yang pernah diberi peranaan membuat pelaburan luar negara bagi pihak felda telah mengalami kerugian hampir RM500 juta.

Persoalannya mengapakan syarikat yang pernah mengalami kerugian yang sebegitu besar diberi tanggungjawab untuk menggadai hak lebih 110,000 warga peneroka seluruh negara?
FGVH membelakangkan KPF

Pegangan saham 51 peratus oleh KPF berbanding FGVH hanya 49 peratus meletakkan bidang penguasaan untuk membuat sebarang keputusan berpihak kepada KPF. Namun berlaku sebaliknya

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata proses penyenaraian FGVH yang cuba dilakukan akan membelakangkan dan mengorbankan kepentingan peneroka dan kakitangan Felda.

“Keputusan Umno-BN itu mengenepikan terus pandangan dan penyertaan KPF,” katanya.

Katanya, Keuntungan sebenar di dalam kumpulan Felda datang dari Felda Holdings Berhad, bukannya FGVB.

Berdasarkan perolehan pada penghujung 2009, FHB memperoleh RM14.9 bilion dengan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM760 juta. Manakala FGVB memperoleh RM3.2 bilion dengan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM360 juta.

Malah, bagi tahun-tahun berakhir 31 Disember 2008 dan 31 Disember 2009, keuntungan sebelum cukai FHB melangkaui RM800 juta, iaitu RM804 juta (2009) dan RM819 (2008).

“Rancangan jahat Umno-BN adalah untuk memindahkan syarikat-syarikat dan aktiviti perladangan yang menguntungkan di dalam Felda Holdings Berhad dari KPF (yang dimiliki peneroka dan kakitangan) kepada FGVB (yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan).

“Melalui cara ini, suara peneroka dan kakitangan Felda dalam keseluruhan aktiviti perniagaan dan operasi Felda akan berkurangan, terutamanya apabila kerajaan menjemput pelabur-pelabur lain untuk turut serta membeli saham di dalam FGVB,” jelasnya.

Tambahnya, anggaran menunjukkan pegangan peneroka dan kakitangan Felda di dalam aktiviti syarikat dan perniagaan Felda Holdings Berhad yang menguntungkan itu akan berkurangan dari 51% sekarang (turut menjadi pemegang saham majoriti) kepada sekitar 42.7% selepas disenaraikan (bertukar menjadi pemegang saham minoriti).

Walau bagaimana pun, keberanian peneroka-peneroka yang menggunakan hak mereka untuk menyekat penyerahan saham KPF di dalam Felda Holdings Berhad kepada FGVB membuatkan Tan Sri Isa Samad dalam kenyataannya mengatakan kerajaan akan menubuhkan sebuah syarikat khas (SPV) yang mengenepikan KPF bagi tujuan penyenaraian.

 

Persoalan yang timbul jika kerajaan tubuhkan SPV

Banyak persoalan yang timbul antaranya penubuhan SPV tersebut membelakangkan KPF dan menunjukkan sikap Umno-BN yang tidak menghormati suara peneroka dan kakitangan Felda.

Kewujudan SPV itu dijangka akan digunakan untuk secara perlahan-lahan mengambil alih fungsi yang dimainkan oleh KPF.

Sebarang tindakan untuk menggunakan SPV tersebut bagi menyuntik aset Felda Holdings Berhad (FHB) adalah bertentangan dengan undang-undang dan mengkhianati peneroka dan kakitangan Felda.

Selain itu, jika penyenaraian FGVB diteruskan tanpa melibatkan suntikan aset dari FHB akibat tindakan mahkamah peneroka, nilai penyenaraian adalah jauh lebih rendah iaitu sekitar RM3 billion sahaja, bukannya RM21 billion seperti yang diwar-warkan kerajaan.

Keuntungan dari penyenaraiaan dan dividen yang bakal diperolehi peneroka pada masa akan datang adalah jauh lebih rendah dari yang disebut-sebut oleh kerajaan sekarang.
Peneroka dipaksa serah dokumen

Keraguan peneroka timbul, apabila “orang kuat” Najib, Tan Sri Isa Samad dilantik sebagai Pengerusi Felda melalui “pintu belakang” sangat bersungguh-sungguh memastikan penyenaraian itu berlaku.

Sebagaimana kita tahu perpecahan dalam Felda sangat merbahaya selepas perlantikan itu.

Setiap kali perhimpunan bulanan Felda juga, Isa akan memberi amaran kepada kakitangan agar tidak memberikan sebarang maklumat kepada pihak luar berkaitan usaha penyenaraian FGVH.

Menurut Pengerusi Anak, Mazlan Aliman, keraguan itu juga timbul apabila peneroka diberi ‘surat pekeliling durian runtuh’ yang diedarkan Felda kepada peneroka bermula Mac lalu.

Surat pekeliling tersebut meminta peneroka menyerahkan semua dokumen seperti salinan kad pengenalan, geran ladang dan rumah, status senarai hitam bank dan pewaris bagi mendapat ‘durian runtuh’ berupa wang tunai setelah penyenaraian FGVH.

Ekoran itu, beliau menerima banyak aduan dariapda peneroka yang bimbang semua dokumen itu dimanipulasi untuk tujuan tertentu.

Lebih menimbulkan keraguan ujar Mazlan, perkara itu tidak diketahui Lembaga Pengarah Felda.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, ada peneroka dijanjikan ‘durian runtuh’ sejumlah RM10,000, RM20,000 dan RM30,000.

Mazlan juga berpendapat, ini mungkin juga satu helah di mana akhirnya pihak tertentu akan menggunakan semua dokumen tersebut untuk mereka akhirnya menjustifikasikan peneroka Felda secara majoriti setuju dan menyokong penyenaraian FGVH.

“Seperti yang saya tegaskan, janji durian runtuh satu pembohongan sebab mesyuarat agung dibatalkan, jadi KPF tiada kaitan dengan penyenaraian,” katanya.
Nasib Peneroka

Presiden Warga Felda Prihatin, Muhamad Kamel Yassin menolak penyenaraian tersebut kerana tidak mahu melihat kesukaran hidup warga Felda seperti apa yang berlaku selepas penjualan tanah Felda Sendayan dan Felda LBJ.

?Saya mengambil iktibar apa yang berlaku di Sendayan, lihat peneroka yang diambil tanahnya, keadaan mereka lebih teruk apabila ada yang terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk meneruskan kehidupan,? katanya.

Jadi apakah kewajaran tindakan Isa Samad yang berkeras mahu mengadaikan felda bagi tujuan keuntungan berlipat ganda? Apakah pemimpin umno yang pernah terpalit isu rasuah dalam pemilihan parti umno itu memikirkan kepentingan peneroka atau berfikir tentang poket sendiri?.

Mengapa begitu kuat tekanan supaya tindakan ini dihentikan sehingga 11 badan bukan kerajaan (NGO) seluruh Malaysia secara rasmi mengumumkan penubuhan Gerakan Selamatkan Felda (GSF).

Jelasnya, tanpa analisis yang mendalam sudah tentu peneroka akan mudah terjebak dalam skim cepat kaya ala ‘Pak Man Telo’ berskala besar yang sekarang dijaja ke seluruh tanah rancangan Felda oleh pihak tertentu yang diketui oleh Isa Samad dengan restu Perdana Menteri sendiri.

Sedangkan penyenaraian itu yang akan melibatkan pajakan 360,067 hektar kepada FGVH sebagai penggadaian kedaulatan negara.

Menurut Setiausaha Agung Paksi, Hasni Abas berkata aset yang digadai itu bukan aset biasa.

“Kalau bagi tanah pada orang luar, hilanglah kedaulatan sesebuah negara,” tegasnya.

Beliau juga menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sebagai ‘Tanggang yang menderhaka kepada bapanya’.

Ini kerana katanya, tindakan Najib seringkali bercanggah dengan tindakan bapanya, Tun Abdul Razak.

“Tun Abdul Razak nak bagi tanah kepada orang Melayu tapi Najib nak masukkan pelabur asing. Dulu kes PPSMI, Najib yang benarkan kolej swasta mengajar dalam bahasa Inggeris sedangkan bapanya tak benarkan begitu,” katanya yang pernah menjadi setiausaha Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Tujuan penyamun-penyamun kerajaan itu mengintai saham KPF untuk disenaraikan ke BSKL
sebenarnya ialah ‘mengidamkan’ saham KPF yang merupakan koperasi yang mempunyai perolehan tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak RM13 bilion.

Sehingga Najib sanggup mengkhianati perjuangan bapanya dulu.

“Saya memegang amanah Allahyarham ayahanda (Perdana Menteri Kedua, Tun Razak Hussain)….

Manakala Kumpulan CIMB bank yang di pengerusikan adik beliau Nazir Razak di beri hak untuk mengurus segala bentuk dokumentasi perbankkan sepanjang transaksi penyenaraian tersebut. Dijangkakan ratusan juta ringgit akan diperoleh oleh CIMB hasil dari urusan tersebut.

Mungkin itulah juga amanah yang Najib sedang laksanakan dari amanah ayahandanya tersebut untuk saudara kandungnya.