Categories
NASIONAL

KKM nafi virus cacar monyet berlaku di Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan berlaku kejadian cacar monyet di Johor dan Kuala Lumpur seperti yang tular di laman sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini tiada kes dikesan atau dilaporkan di Malaysia sementara kes di Singapura adalah yang pertama dilaporkan di Asia.

“Melalui laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes cacar monyet terkini yang dilaporkan adalah di Singapura pada 9 Mei lalu, di mana ianya hanya melibatkan seorang warganegara Nigeria yang datang ke Singapura pada 28 April bagi menghadiri bengkel. .

“Langkah pencegahan dan kawalan ketat telah dan sedang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Singapura bagi mengurangkan risiko penularan penyakit tersebut, termasuk kuarantin ke atas 23 orang yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes bagi pemantauan status kesihatan mereka.

“Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Singapura menjadi kontak kepada kes cacar monyet itu,” katanya dalam kenyataan.

Virus cacar monyet ditularkan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti.

Ia boleh disebarkan melalui titisan pernafasan selain hubungan langsung dengan cecair badan orang yang dijangkiti atau dengan objek tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian.

Tempoh inkubasi biasanya antara enam hingga 21 hari dan pesakit akan mengalami gejala selama dua hingga empat minggu.

“Tanda dan gejala jangkitan adalah demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti bahagian tubuh lain.

“Tiada rawatan atau vaksin khusus untuk jangkitan cacar monyet dan kemungkinan transmisi jangkitan dari manusia ke manusia adalah terhad,” katanya.

 

Kredit Foto: Kementerian Kesihatan

Categories
GLOBAL

Cacar monyet: Indonesia keluar nasihat perjalanan

JAKARTA, 13 MEI: Indonesia menasihatkan rakyatnya di Singapura supaya bertenang dan memantau rapi perkembangan situasi berkaitan menerusi media serta laman sesawang Kementerian Kesihatan negara itu selepas pengesahan satu kes cacar monyet di Singapura, lapor agensi berita China Xinhua.

Pada 9 Mei, Kementerian Kesihatan Singapura melaporkan kes pertama cacar monyet di negara itu.

Seorang rakyat Nigeria yang dipercayai memakan daging seekor haiwan liar telah dijangkiti virus cacar monyet, menurut Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan pada Isnin.

“Bagi rakyat yang telah atau akan ke negara-negara timur tengah dan Afrika Barat, kami menggesa mereka untuk mengelak sentuhan langsung dengan kulit atau bangkai haiwan yang telah dijangkiti, dan jangan makan daging haiwan liar seperti monyet, buaya, ular dan lain-lain,” kata kementerian itu.

Rakyat Nigeria berusia 38 tahun itu, yang tiba di Singapura pada 28 April, disahkan positif dijangkiti virus cacar monyet pada 8 Mei.

Penyakit cacar monyet disebabkan oleh virus yang ditularkan kepada manusia daripada haiwan. Penyakit ini akan menyebabkan demam, sakit otot, sakit belakang, ruam kulit dan bengkak nodus limfatik.

Dalam sesetengah kes, virus itu boleh mencetuskan komplikasi serius seperti pneumonia, sepsis, keradangan otak dan kehilangan penglihatan.

-BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Jangkitan cacar monyet babit warga asing dikesan di Singapura

SINGAPURA, 10 MEI: Singapura semalam mengesahkan satu kes jangkitan cacar monyet membabitkan warga asing di republik itu.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pesakit itu ialah warga Nigeria berusia 38 tahun yang tiba di Singapura pada 28 April 2019, dan diuji positif cacar monyet pada 8 Mei.

Beliau kini ditempatkan di wad pengasingan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), dan keadaannya stabil, kata kementerian menerusi laman sesawangnya.

MOH berkata pesakit melaporkan bahawa sebelum tiba di Singapura, beliau telah menghadiri majlis perkahwinan di Nigeria dan mungkin telah memakan daging hidupan liar yang mungkin menjadi punca jangkitan virus cacar monyet.

Kementerian berkata pesakit tinggal di sebuah hotel di 21 Lorong 8 Geylang dari 28 April dan telah menghadiri satu bengkel di 3 Church Street pada 29 dan 30 April.

Berdasarkan siasatan MOH dan pengesanan setakat ini, 23 orang telah dikenal pasti sebagai mereka yang telah berhubung rapat dengan pesakit.

Mereka termasuk 18 peserta dan pelatih yang menghadiri bengkel yang sama, seorang kakitangan di tempat bengkel dan empat kakitangan hotel yang mempunyai hubungan rapat dengan pesakit, kata kementerian.

MOH berkata mereka yang berhubung rapat dengan pesakit telah dinilai oleh NCID dan diberikan vaksinasi, yang boleh mencegah atau mengurangkan keterukan gejala penyakit itu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka akan dikuarantin dan dipantau selama 21 hari dari tarikh terdedah kepada pesakit, kata Kementerian.

-BERNAMA