Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: Rakyat Malaysia di Singapura bantu hantar kertas undi pos

SINGAPURA, 8 MAC: Ketika rakyat Johor mengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 pada Sabtu ini, pengundi yang bekerja dan menetap di seberang tambak turut mengundi melalui undi pos.

Justeru, sukarelawan dalam kalangan rakyat Malaysia di bawah naungan 1thirdmedia, berganding bahu mengumpul kertas undi pos tersebut di sekitar republik ini dan dihantar ke Johor.

Kira-kira 5,000 kertas undi pos dikumpul setakat ini.

“Dua penghantaran telah dibuat pada 6 dan 8 Mac. Penghantaran ketiga iaitu yang terakhir akan dibuat pada 10 Mac ini,” menurut sukarelawan Farrah Diyana Mohamad Ali kepada Bernama.

Menurut Diyana, 34, lima pusat pengumpulan ditetapkan meliputi kawasan tengah, timur, barat, utara dan selatan pulau Singapura sebelum ia disatukan untuk dihantar ke Johor.

“Ia bagi memudahkan mereka yang terikat dengan waktu kerja untuk menghantar sampul kertas undi ke perkhidmatan pos di sini. Sekurang-kurangnya ia dapat menjimatkan masa dan kos,” kata Diyana.

Untuk tiga hari pertama sejak 1 Mac Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan sudah mengeluarkan sebanyak 36,729 kertas undi pos kepada yang layak untuk mengundi secara pos pada PRN Johor.

Dari jumlah itu, sebanyak 7,814 undi pos dikeluarkan bagi kategori Borang 1B iaitu warga Malaysia yang berada di luar negara.

Semua kertas undi pos perlu dikembalikan kepada pegawai pengurus Dewan Undangan Negeri berkaitan sebelum 5 petang pada hari mengundi iaitu Sabtu (12 Mac).

Sementara itu, Hafeez A Jaz, 36, yang sanggup mengambil tanggungjawab untuk menghantar kertas undi tersebut pada 10 Mac nanti merasa bangga dapat melakukan tugas itu demi negara.

“Saya tidak rasa ia sesuatu yang membebankan. Malah ini merupakan amanah bagi menentukan hala tuju negeri Johor untuk lima tahun akan datang,” kata bapa dua anak ini.

Beliau akan menggunakan laluan perjalanan lengkap vaksin (VTL) darat pada Khamis ini dan dijangka tiba di Larkin Sentral pada 1.30 petang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

50 produk makanan halal Malaysia boleh didapati di Singapura

SINGAPURA, 6 DIS: Lima puluh produk makanan halal baharu buatan Malaysia tersedia di pasar raya di sini menerusi Program ‘Halal Route to Market’ (HalMap), inisiatif Maybank Islamic untuk meluaskan rangkaian perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

Maybank Islamic melancarkan Program HalMap dengan objektif untuk membolehkan PKS yang berpangkalan di Malaysia mengembangkan perniagaan halal mereka ke luar negara.

“Pelanggan kami melihat kepada kami untuk keperluan perbankan patuh shariah mereka, oleh itu Program HalMap telah membangunkan ekosistem yang membentuk pembiayaan dan pembangunan perniagaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Singapura, Dr John Lee dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata program itu dapat dilakukan kerana keupayaan Maybank dalam memberi perkhidmatan kepada koridor perdagangan Singapura-Malaysia dan pengetahuannya mengenai rantaian bekalan halal.

“Kami berada dalam kedudukan yang baik untuk membantu meningkatkan perniagaan PKS Malaysia dan pada masa yang sama membawa lebih banyak pilihan produk halal berkualiti kepada pengguna Singapura.

“Selain itu, kami merancang untuk memudahkan platform yang sesuai untuk pelanggan PKS Singapura yang terlibat dalam perniagaan halal untuk dipasarkan ke negara lain seperti dalam penjagaan kesihatan halal dan teknologi kewangan (fintech) untuk sektor halal,” katanya.

Di bawah Program HalMap, Maybank akan menyediakan pelanggan PKS dengan platform pengedaran, khidmat nasihat dan latihan untuk memasarkan produk mereka dalam segmen pasaran barangan pengguna (FMCG) yang bergerak pantas.

Program iti dimulakan dengan pemilihan 10 PKS Malaysia untuk menceburi pasaran makanan halal di Singapura.

50 produk baharu untuk dipasarkan itu boleh didapati di Eccellente by HAO Mart yang terletak di pusat beli-belah Kinex.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat Malaysia antara 25 kes baharu Covid-19 di Singapura

SINGAPURA, 24 MEI: Seorang lelaki Malaysia berusia 46 tahun penghuni asrama di Harvest @ Woodlands antara 25 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Singapura pada Ahad, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) republik itu.

Dirujuk sebagai Kes 63622, pekerja pembinaan di H&W Communications Pte Ltd berkenaan tidak menunjukkan gejala.

“Beliau menjalani saringan Rostered Routine Testing (RRT) pada 22 Mei dan disahkan positif pada hari yang sama dan segera diasingkan,” kata kementerian malam tadi.

Kes terakhir dilaporkan di asrama itu ialah pada 1 Mei.

Tiga lagi kes baharu yang dilaporkan pada Ahad juga melibatkan warga Malaysia. Satu kes import dan dua lagi dikaitkan dengan dua kluster terbuka iaitu JEM/Westgate dan penghantar makanan McDonald.

Warga Malaysia yang dikaitkan dengan kluster JEM/Westgate didapati positif varian B.1.617 menerusi saringan awal dan sedang menunggu ujian pengesahan selanjutnya.

Dirujuk sebagai Kes 63597, wanita berusia 39 tahun itu bekerja sebagai tukang cuci di Eng Leng Contractors Pte Ltd di pusat beli-belah Westgate, menurut kementerian.

Setakat Ahad, republik ini mencatatkan 61,824 kes Covid-19 dengan 2,743 penularan tempatan, 4,562 kes import, dan 54,519 babitkan penghuni asrama.

Singapura mempunyai 32 kluster terbuka setakat ini dengan yang terbesar melibatkan kluster Terminal 3 Lapangan Terbang Changi dengan 108 kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat lagi rakyat Malaysia dijangkiti virus di Singapura

SINGAPURA, 15 MEI: Sebanyak 52 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Singapura pada Jumaat turut membabitkan empat rakyat Malaysia, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut KKM semua kes itu berkaitan dengan kluster Kes 62873, seorang pekerja pencuci di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, berusia 88 tahun, disahkan dijangkiti virus itu pada 5 Mei.

Satu daripada rakyat Malaysia yang mempunyai kaitan dengan kluster itu menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 10 Mei, kata kementerian lewat malam tadi.

“Dia tidak bergejala dan dikesan ketika menjalani ujian saringan pada 12 Mei semasa kuarantin. Pada 13 Mei hasil ujiannya sekali lagi positif. Keputusan ujian serologinya masih belum keluar,” kata KKM.

Kluster kes 62873 ialah yang terbesar di antara 12 kluster dengan 59 kes setakat ini.

Tengah hari semalam, Singapura melaporkan 24 kes tempatan dan 28 import.

Singapura yang mencatatkan keseluruhan kes sebanyak 61,505 akan memperketat langkah-langkah pengurusan keselamatan dalam masyarakat mulai 16 Mei.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Singapura kembali ke fasa dua pembukaan, perketat sempadan

SINGAPURA, 5 MEI: Singapura akan kembali ke fasa dua pembukaan semula kegiatan ekonomi dan sosial bermula 8 hingga 30 Mei.

Singapura kini berada di fasa tiga dari 28 Disember 2020.

Di bawah fasa dua, republik ini akan memperketat syarat kemasukan di sempadan mulai 7 Mei, jam 2359 untuk semua pelancong yang baru tiba dari negara atau wilayah berisiko tinggi.

Perkara itu diumumkan Pasukan Pelbagai Kementerian (MTF) Covid-19 pada sidang media maya di sini semalam.

Pengerusi bersama MTF Lawrence Wong berkata beberapa negara terus mengalami lonjakan semula kes dan kemunculan varian baharu virus juga telah dikesan di Singapura.

Wong berkata jumlah kes tempatan dan komuniti juga terus meningkat, menandakan penularan kes boleh meningkat jika tidak dibendung.

“Kami akan mengambil langkah tegas untuk membendung jangkitan Covid-19 di Singapura,” kata Wong yang juga Menteri Pendidikan.

Selain memperketat syarat kemasukan di sempadan, republik itujuga akan mengurangkan kebenaran masuk kepada warga asing dan penduduk tidak tetap.

MTF juga akan melanjutkan sejarah perjalanan sehingga 21 hari berbanding 14 hari, tetapi tidak termasuk untuk Gelembung Perjalanan Udara dan Laluan Hijau Timbal Balik.

Semakan semula tempoh Notis Duduk di Rumah (SHN) hingga 21 hari berbanding 14 hari juga akan dibuat.

Bagaimanapun, Australia, Brunei Darussalam, China, New Zealand, Taiwan, Hong Kong, dan Macau dikecualikan daripada semakan tersebut.

Mulai 8 Mei, langkah-langkah tambahan akan dikenakan untuk mengurangkan interaksi dalam kalangan masyarakat. Perkumpulan sosial hanya lima orang dibenarkan berbanding lapan sebelum ini.

Sementara itu, majikan mesti memastikan tidak lebih 50 peratus pekerja yang boleh bekerja dari rumah kembali ke tempat kerja.

Buat masa ini, sehingga 75 peratus pekerja yang bekerja dari rumah dibenarkan kembali ke tempat kerja.

Sehingga tengah hari ini, Singapura melaporkan lima kes baharu Covid-19 membabitkan jangkitan tempatan.

Selain itu, terdapat 12 kes import, melibatkan mereka di bawah kategori SHN sebaik tiba di Singapura.

Secara keseluruhan, terdapat 17 kes baharu di Singapura hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 61,252.

Terdapat 10 kluster setakat ini dengan kes tertinggi berkaitan Kluster 62541, seorang jururawat di Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Singapura catat kematian ke-31

SINGAPURA, 2 MEI: Singapura melaporkan satu lagi kematian akibat komplikasi daripada jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah kematian kumulatif di republik ini kepada 31.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan di sini semalam, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata korban terbaharu itu melibatkan seorang wanita warga Singapura berusia 88 tahun yang meninggal dunia di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit.

Dilabelkan sebagai Kes 62573, kementerian itu berkata wanita warga emas itu dimasukkan ke wad Hospital Tan Tock Seng Hospital (TTSH) dari 14 April dan disahkan positif jangkitan Covid-19 pada 28 April.

“Pesakit mempunyai sejarah penyakit kanser, hipertensi, kegagalan jantung, strok dan ‘hyperlipidaemia’,” kata kementerian itu.

Mangsa merupakan antara 16 kes positif yang mempunyai kaitan dengan Kluster Kes 62541, seorang jururawat yang disahkan positif Covid-19 pada 27 April.

Korban terakhir Covid-19 dilaporkan pada 13 Mac lepas.

Sementara itu, seorang wanita warga Malaysia berusia 22 tahun merupakan antara tujuh kes baharu menerusi jangkitan tempatan yang dilaporkan semalam.

Dilabelkan sebagai Kes 62686, beliau bekerja sebagai ahli terapi spa di Spa 9, Holland Drive mengalami hidung berair pada 28 April dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta dan didapati positif Covid-19.

“Keputusan saringannya yang positif diterima keesokan hari. Keputusan ujian serologi didapati negatif, menunjukkan ini kemungkinan satu jangkitan baharu,” kata kementerian itu.

Setakat 12 tengah hari, 34 kes baharu dilaporkan di Singapura, dengan 25 daripadanya kes import dan dua kes daripada asrama menjadikan jumlah kes keseluruhan 61,179.

Setakat ini, terdapat sembilan kluster kes Covid-19 di republik ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Lelaki Malaysia antara sembilan kes komuniti di Singapura

SINGAPURA, 1 MEI: Seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 41 tahun antara sembilan kes jangkitan tempatan Covid-19 dilaporkan di sini pada Jumaat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu.

Menerusi data penuh yang dikeluarkan malam tadi, MOH memaklumkan lelaki itu merupakan kontak kepada Kes 62638, seorang wanita pemastautin tetap Singapura, bertugas sebagai pekerja pembersihan yang ditempatkan di sebuah kemudahan rawatan komuniti di Tuas South.

Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada Kluster Kes 62553 yang melibatkan seorang wanita warga Vietnam berusia 39 tahun yang juga pekerja pembersihan di kemudahan rawatan komuniti yang sama, menurut MOH.

Kementerian itu memberitahu rakyat Malaysia itu mengalami demam dan batuk pada 28 April dan mendapatkan rawatan perubatan di klinik Pakar Am sebelum diuji positif Covid-19.

Oleh kerana lelaki terbabit dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada Kes 62553, kementerian menjelaskan lelaki itu telah dihubungi dan dikuarantin.

“Dia dilaporkan mengalami gejala dan dibawa menaiki ambulans ke Hospital Khoo Teck Puat. Keputusan ujian kembali positif dijangkiti Covid-19 pada 29 April. Ujian serologinya adalah negatif,” menurut MOH.

Lelaki berkenaan bekerja sebagai pembantu jualan di New Odense(s) Confectionery & Bakery.

Mengenai kluster Kes 62541 yang dikaitkan dengan seorang jururawat di Hospital Tan Tock Seng (TTSH), kementerian menjelaskan empat lagi kes yang disahkan dilaporkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 13.

Setakat 12 tengah hari Jumaat, 24 kes baharu direkodkan di Singapura termasuk 15 kes import, menjadikan jumlah kepada 61,145 kes.

Terdapat sembilan kluster Covid-19 di republik itu setakat ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Jururawat antara 23 kes baharu Covid-19 di Singapura

SINGAPURA, 29 APRIL: Kementerian Kesihatan Singapura melaporkan 23 kes baharu Covid-19 pada Rabu, melibatkan seorang jururawat di Tan Tock Seng Hospital (TTSH).

Menerusi data penuh yang dikeluarkan lewat malam tadi, kementerian itu memaklumkan berikutan pengesanan kes tersebut, TTSH telah menutup wad yang terjejas dan melakukan ujian ke atas pesakit dan kakitangan yang berada di wad.

“Setakat ini, kami mengesan empat lagi kes yang telah diuji positif awal untuk jangkitan Covid-19. Ia termasuk seorang doktor dan tiga pesakit yang dirawat di wad yang sama,” menurut kementerian itu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, MOH berkata semua petugas yang merawat pesakit yang dijangkiti serta pelawat, pesakit dan kakitangan yang bekerja di wad itu akan dikuarantin.

Jururawat berusia 46 tahun itu merupakan warganegara Filipina, menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 26 Januari dan dos kedua pada 18 Februari.

Daripada 23 kes baharu tersebut, tiga berada dalam komuniti, 20 lagi kes import manakala tiada kes di asrama pekerja asing, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di sini kepada 61,086.

Setakat ini, kementerian telah mengklasifikasikan 2,353 daripada kes yang dilaporkan sebagai komuniti, kes import (4,217) dan 54,516 melibatkan penghuni asrama.

Secara keseluruhan 60,718 telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital atau kemudahan rawatan komuniti.

Terdapat 112 kes yang disahkan pada masa ini masih berada di hospital dengan seorang dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Sebanyak 226 orang yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal sihat tetapi diuji positif Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan rawatan komuniti.

Setakat ini, 30 orang telah meninggal dunia di republik ini berikutan komplikasi akibat jangkitan Covid-19.

Singapura mempunyai enam kluster Covid-19 pada masa ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Singapura negara luar pertama terima pasaran Perodua Aruz

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) melancarkan Aruz secara rasminya di Singapura, pasaran luar negara pertamanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Perodua berkata Aruz berharga S$92,999 (kira-kira RM286,409), termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan sijil hak memiliki kenderaan (COE).

Pengeluar kereta itu berkata Aruz akan dijual oleh pengedar tunggal Perodua yang sah di Singapura, Perocom Auto Pte Ltd di Ubi, Singapura.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata kehadiran Aruz di Singapura merupakan kenderaan tujuh tempat duduk pertama yang ditawarkan oleh Perodua di negara tersebut.

“Dengan jualan hampir 58,000 unit di Malaysia sejak pelancarannya pada 2019, Perodua Aruz merupakan kenderaan utiliti sukan paling laris di Malaysia pada 2019 dan 2020.

“Kami berharap dapat berkongsi ruang yang luas, tahap keselamatan yang tinggi, serba boleh, praktikal dan cekap bahan api dengan jiran selatan kita,” katanya.

Selain Singapura, Perodua turut mengeksport ke Brunei, Sri Lanka, Mauritius, Seychelles, Fiji dan Indonesia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP tidak tergesa-gesa sambung eksport telur ke Singapura

KUCHING, 3 APRIL: Kerajaan tidak mahu tergesa-gesa untuk kembali mengeksport telur ayam ke Singapura sebelum memastikan produk itu betul-betul selamat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Katanya, perkara pertama yang perlu dipastikan sebelum mengeksport ialah tiada lagi bakteria Salmonella Enteritidis (SE) dikesan pada produk tersebut.

“Kami akan berhubung dengan pihak Singapura (untuk tindakan selanjutnya) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV),” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Malaysia Prihatin hari ini.

Dilaporkan baru-baru ini, Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan beberapa pengimport untuk menarik balik telur dari Linggi Agriculture di Malaysia (CEM 014) selepas mengesan adanya SE dalam produk terbabit.

Terbaru, JPV dalam kenyataan semalam memaklumkan tiada bakteria SE dikesan di ladang ayam penelur CEM 014 Linggi Agriculture Farm, selepas ujian dijalankan ke atas sampel calitan kloaka, calitan najis, sampel telur, makanan dan air minuman yang diambil dari ladang ayam penelur tersebut.

Pencemaran SE boleh berlaku di peringkat ladang disebabkan amalan penternakan kurang baik, aspek biosekuriti dan kebersihan ladang atau di sepanjang rantaian pemasaran disebabkan pengendalian telur kurang bersih.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Pemandu lori kargo Malaysia dapat suntikan vaksin di Singapura

SINGAPURA, 20 MAC: Beberapa pemandu lori kargo Malaysia dan pengiring masing-masing mula menerima suntikan vaksin Covid-19 di Singapura hari ini.

“Saya dan seorang rakan adalah antara lebih 20 pemandu lori kargo yang tiba di kemudahan vaksinasi Sungei Kadut pagi ini untuk menerima suntikan dos pertama kami,” kata Mohd Osman Yazed ketika dihubungi Bernama.

Mohd Osman, 33, berkata beliau telah menerima panggilan dan teks Perkhidmatan Pesanan Ringkas (SMS) minggu lepas dari pihak berkuasa Singapura yang berkaitan untuk menetapkan janji temu hari ini untuk menerima dos pertama vaksin Pfizer BioNTech.

Beliau kemudian segera memaklumkan majikannya mengenai perkara itu dan persediaan telah dilakukan untuk membolehkan dia dan rakannya memasuki negara itu pada tarikh ditetapkan.

“Saya tiba di kemudahan vaksinasi di sini pada kira-kira 10 pagi dari pusat pemeriksaan darat Woodlands. Proses itu telah berjalan dengan lancar. Sejurus menerima suntikan itu, saya telah diminta berehat selama kira-kira 30 minit untuk pemerhatian.

“I rasa sedikit lenguh di kawasan suntikan. Itu sahaja. Yang lain baik-baik sahaja,” katanya sambil menambah bahawa janji temu bagi suntikan dos kedua ialah pada 10 April depan.

Berasal dari Baling, Kedah, Mohd Osman berkata beliau telah dimaklumkan bahawa terdapat sebuah lagi kemudahan yang diwujudkan di Joo Koon di sini untuk pemandu lori kargo yang memasuki Singapura dari pusat pemeriksaan darat Tuas.

Sementara itu, rakannya Mohammad Huzaimi Zainal Abidin, 23, berkata beliau sanggup menerima suntikan itu kerana perlu memasuki republik tersebut hampir dua kali sehari untuk menghantar barang.

“Ia demi kebaikan kesihatan saya juga,” kata Mohammad Huzaimi, pemandu lori kontena 40 kaki yang berasal dari Kota Tinggi, Johor.

Ditanya jumlah pemandu lori kargo yang berada di kemudahan vaksinasi itu pagi ini, Mohammad Huzaimi berkata beliau tidak pasti namun mereka dilihat datang ke kemudahan tersebut semasa dia ingin meninggalkan tempat berkenaan.

Menerusi aplikasi Kumpulan WhatsApp ‘Lori Precast,’ beberapa pemandu lori dilihat berkongsi notifikasi SMS yang mereka terima daripada pihak berkuasa menyatakan bahawa mereka telah terpilih bagi program vaksinasi itu.

Ada yang janji temu mereka ditetapkan minggu depan.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) pada 8 Mac menyatakan bahawa vaksinasi COVID-19 akan ditawarkan kemudian pada bulan ini kepada pemandu lori kargo dan pengiringnya yang memasuki Singapura dari Malaysia secara tetap.

Langkah itu bertujuan meminimumkan risiko jangkitan daripada pekerja yang terlibat dalam pembekalan barangan asas ke Singapura, menurut kementerian tersebut.

Pada 18 Mac lepas, Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu menyatakan bahawa pemandu lori kargo Malaysia dan pengiring masing-masing yang telah menerima kedua-dua suntikan dos akan diberikan sijil imunisasi.

Menurut kementerian itu, mereka akan dikecualikan daripada ujian semasa ketibaan (OAT) harian selama 14 hari daripada tarikh pengambilan dos kedua.

Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Adham Baba pula berkata terdapat antara 3,000 hingga 4,000 petugas penghantaran yang memasuki Singapura secara harian.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat beri kerjasama penuh siasat penemuan bakteria Salmonella

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Lay Hong Bhd memberi kerjasama sepenuhnya dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) di Malaysia dan merancang untuk memperkukuhkan amalan kawalan dan pemantauan ladang berikutan penemuan Salmonella Enteritidis (SE) dalam telur yang dieksport daripada salah satu ladangnya di Jeram, Selangor.

“Keutamaan kami adalah keselamatan pelanggan kami. Kami kini bekerjasama erat dengan DVS bagi menyiasat dan memantau ladang yang didakwa terlibat dengan penemuan SE itu,” kata Pengarah Eksekutifnya, Datuk Yap Chor How.

Kumpulan telah bersetuju dengan DVS untuk menggantung operasi di ladang Jeram 1, pengeluaran dari ladang itu kebanyakannya dieksport ke Singapura.

“Operasi di ladang Jeram 1 ketika ini dihentikan daripada pasaran domestik dan eksport sementara menunggu siasatan oleh DVS selesai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Lay Hong memberi jaminan bahawa tiada telur yang akan dijual dari ladang Jeram 1 dan kumpulan itu hanya akan menyambung semula bekalan telur dari ladang tersebut selepas siasatan mengenainya selesai.

Buat masa ini, semua ladang lain di Jeram (ladang Jeram 2 hingg 6) telah diuji negatif untuk Salmonella dan ladang itu dibahagikan kepada ladang satelit yang lebih kecil dan terpisah antara satu sama lain secara fizikal walaupun berada di Jeram.

“Setiap ladang satelit ini memiliki peralatan penggredan imtuk menangani pencemaran antara ladang-ladang itu. Semua langkah pencegahan ini telah dijalankan selama bertahun-tahun untuk memastikan bekalan telur kami tidak terjejas sekiranya satu daripada ladang berkenaan tercemar.

“Langkah tersebut membolehkan kami terus membekalkan telur kami dari ladang lain kepada pelanggan kami,” kata Yap.

Beliau berkata Lay Hong akan memantapkan proses pertanian syarikat dan yakin dapat mengatasi insiden tersebut dengan kawalan dan pemantauan yang lebih teliti pada masa depan.

Semalam, empat pengimport di Singapura telah diarahkan untuk menarik balik dari pasaran telur yang dihasilkan di Lay Hong Bhd Layer Farm di Jeram, Malaysia berikutan penemuan SE dalam produk itu yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan sekiranya dimakan secara mentah atau kurang masak.

– BERNAMA