Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa siasat campur tangan politik dalam institusi polis

SHAH ALAM, 2 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa siasatan menyeluruh campur tangan politik dalam institusi kepolisan negara.

Presiden KEADILAN itu berkata pendedahan Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini amat mendukacitakan dan mencemar nama baik polis.

“Sebagai sebuah badan utama negara dalam mengangkat kedaulatan undang-undang, polis seharusnya bersifat bebas daripada campur tangan politik.

“Apa yang berlaku secara tidak langsung membuktikan pemerintah tiada keabsahan ini menggunakan pelbagai cara dan helah untuk berpaut pada kuasa,” katanya menerusi kenyataan.

Ketua pembangkang itu berkata tindakan yang didakwa Ketua Polis Negara juga boleh menimbulkan kesangsian terhadap kredibiliti agensi penguat kuasa itu.

“Saya menggesa siasatan menyeluruh dan lengkap dilakukan bagi menyiasat pendedahan ini dan pemerintah mesti menjawab segala dakwaan sesegera mungkin,” kata ahli parlimen Port Dickson.

Sebelum ini, Abdul Hamid dalam sidang media mendakwa berlaku campur tangan politik dalam urusan pentadbiran polis dan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pemimpin politik yang menjadikan lompat parti sebagai budaya.