Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa siasat campur tangan politik dalam institusi polis

SHAH ALAM, 2 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa siasatan menyeluruh campur tangan politik dalam institusi kepolisan negara.

Presiden KEADILAN itu berkata pendedahan Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini amat mendukacitakan dan mencemar nama baik polis.

“Sebagai sebuah badan utama negara dalam mengangkat kedaulatan undang-undang, polis seharusnya bersifat bebas daripada campur tangan politik.

“Apa yang berlaku secara tidak langsung membuktikan pemerintah tiada keabsahan ini menggunakan pelbagai cara dan helah untuk berpaut pada kuasa,” katanya menerusi kenyataan.

Ketua pembangkang itu berkata tindakan yang didakwa Ketua Polis Negara juga boleh menimbulkan kesangsian terhadap kredibiliti agensi penguat kuasa itu.

“Saya menggesa siasatan menyeluruh dan lengkap dilakukan bagi menyiasat pendedahan ini dan pemerintah mesti menjawab segala dakwaan sesegera mungkin,” kata ahli parlimen Port Dickson.

Sebelum ini, Abdul Hamid dalam sidang media mendakwa berlaku campur tangan politik dalam urusan pentadbiran polis dan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pemimpin politik yang menjadikan lompat parti sebagai budaya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua tahun terajui polis, Abdul Hamid tamat kontrak perkhidmatan 4 Mei

KUALA LUMPUR, 2 MEI: “Saya tak berhasrat untuk kekal lebih lama dalam jawatan ini…setiap yang bermula itu pasti akan berakhir,” kata Tan Sri Abdul Hamid Bador yang akan menyerahkan jawatan Ketua Polis Negara kepada timbalan beliau Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani pada Isnin.

Dua tahun menerajui pasukan Sang Saka Biru, dan sepanjang tempoh itu ada sesuatu yang beliau terkilan kerana tidak dapat dilaksanakan iaitu melawat Sabah dan Sarawak bagi menyelesaikan masalah-masalah pasukan di dua negeri itu.

“Tiada apa yang hendak saya sesali tapi hasrat saya adalah untuk ke sana (Sabah dan Sarawak) kerana di sana begitu banyak isu yang tidak dapat diselesaikan antaranya kes perjudian dan persempadanan negara.

“Saya tidak dapat pergi ke Sabah dan Sarawak sebab Covid-19 ini, banyak isu di Sarawak tapi saya mohon maaflah sebab sekiranya saya pergi (perlu) dengan kuarantin dan macam-macam…,” katanya.

Beliau berkata sesuatu yang drastik perlu dilakukan di Sarawak dan berharap pucuk pimpinan polis selepas ini dapat memberi perhatian terhadap isu integriti, penyeludupan, perjudian dalam talian dan maksiat yang dikatakan banyak berlaku di sana.

Memegang jawatan tertinggi pasukan keselamatan negara pada 4 Mei 2019, Abdul Hamid akan menamatkan kontrak perkhidmatan beliau pada 3 Mei 2021.

Sebagai Ketua Polis Negara ke-12, Abdul Hamid dilihat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya untuk membersihkan maruah pasukan itu dengan memerangi habis-habisan rasuah dalam pasukan polis.

Tidak kira anggota, pegawai, pegawai kanan mahupun pegawai kanan tinggi dalam pasukan pasti tidak akan terlepas daripada diambil tindakan baik secara dalaman atau dihadapkan ke muka pengadilan jika didapati terbabit dalam rasuah, salah laku dan bersekongkol dengan pesalah jenayah.

“Pedih rasa dalam hati saya apabila melihat seorang demi seorang anak buah saya dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Abdul Hamid juga dikenali sebagai Ketua Polis Negara yang lantang bersuara menegur warga polis dengan mendedahkan kes-kes anggota dan pegawai yang terlibat masalah integriti, salah guna kuasa dan salah laku serta lain-lain kes jenayah lagi.

Kelantangan dalam mendedahkan pelbagai kartel dalam pasukan bagaimanapun mendapat kritikan dan kecaman daripada pelbagai pihak termasuk warga polis sendiri dan ahli politik yang kurang senang dengan tindakannya dan menyifatkannya sebagai membuka pekung di dada.

Antara kejayaan besar polis di bawah kepimpinan Abdul Hamid ialah mematahkan cubaan penyeludupan dan pengedaran dadah di Pulau Pinang dengan nilai rampasan terbesar RM2.4 bilion, menggempur sindiket Macau Scam dan judi dalam talian yang turut membongkar penglibatan anggota dan pegawai polis sendiri.

Berikutan itu, seramai 31 warga polis yang dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian itu diambil tindakan, antaranya akan dibuang kerja, penurunan pangkat atau memindahkan mereka ke jawatan tidak sensitif dan lain-lain lagi yang difikirkan adil dan setimpal oleh Suruhanjaya Pasukan Polis.

Apa pun bak kata Abdul Hamid, setiap yang bermula pasti akan berakhir dan mulai Selasa 4 Mei ini, tugas, amanah serta tanggungjawab itu akan digalas oleh Acryl Sani sebagai Ketua Polis Negara ke-13 untuk terus meningkatkan integriti dan maruah pasukan Sang Saka Biru.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Maklumat operasi buru Nicky bocor – KPN

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan berlaku kebocoran maklumat semasa Ops Pelican 3.0 bagi memburu ketua sindikiet pengubahan wang haram terbesar di negara ini, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dan ahli kumpulan itu.

Beliau berkata mereka yang membocorkan maklumat berkenaan adalah daripada kalangan pegawai dan anggota polis sendiri.

“Hasil soal-siasat yang dibuat, berlaku kebocoran maklumat dan akibat kebocoran itu Nicky Liow berjaya memindahkan sejumlah besar wang yang dibawa keluar dari premis.

“Hal itu, dilihat apabila saksi terlibat dan saksi berkenaan yakin itu adalah wang tunai sebagaimana yang dipaparkan di media sosialnya dengan wang yang ditaburkan di atas lantai,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini semalam.

Selain itu, Abdul Hamid berkata siasatan juga mendapati seorang bekas timbalan pendakwa raya bergelar Datuk dipercayai menjadi antara individu yang membocorkan maklumat berhubung operasi itu.

“Bekas timbalan pendakwa raya terbabit menjadi perantara yang menghubungkan dia dengan pegawai-pegawai polis dan penguatkuasa lain berdasarkan kedudukan jawatannya itu yang pernah menjadi pegawai. Dialah (bekas timbalan pendakwa raya) yang menggerak dan memudahkan pergerakan Nicky Liow sehingga terlepas,” katanya.

Abdul Hamid berkata Nicky Liow yang kini dalam buruan polis, mempunyai 12 rekod jenayah antaranya dadah dan jenayah kekerasan termasuk kes memukul anggota Rela pada 27 Oktober 2017.

Polis ingin menyeru sekali lagi kepada orang awam jika mempunyai maklumat berkaitan suspek utama itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat ASP V Prakash di talian 012 5209767 atau mana-mana balai polis berhampiran, katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata seramai 34 pegawai dan anggota agensi penguatkuasa disyaki mempunyai hubungan dengan sindiket jenayah terancang itu, dengan majoritinya adalah pegawai dan anggota polis.

Sementara itu Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Nicky Liow melarikan diri seminggu awal sebelum polis menyerbu kondominiumnya di Setia Walk di sini.

“Nicky Liow (dikatakan) sempat melarikan lapan beg dipercayai (membawa wang tunai) jutaan ringgit berikutan maklumat yang dibocorkan oleh pegawai polis manakala hasil siasatan dalam akaun bank peribadinya sahaja mempunyai RM40 juta,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Padah ingkar SOP, lebih 300 individu didenda RM10,000

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Sebanyak 330 notis kompaun RM10,000 telah dikeluarkan kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara setakat ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

“Ya, 330 individu untuk notis kompaun pesalah SOP PKP,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Semalam, Abdul Hamid berkata nilai kompaun kerana melanggar SOP PKP dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000 dan langkah itu berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 11 Mac.

Abdul Hamid berkata keputusan menaikkan nilai kompaun itu bukanlah untuk menghukum orang ramai secara berlebihan atau membolehkan kerajaan mengutip wang daripada orang ramai sebaliknya untuk individu yang mengulangi kesalahan SOP PKP sama.

Antara kesalahan SOP PKP adalah seperti tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal atau premis tidak menyediakan alat pengukur suhu.

Sementara itu, seorang individu dikenakan kompaun RM10,000 selepas melakukan kesalahan tidak mendaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera ketika berada di sebuah kedai makan di Bukit Jalil, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata pemeriksaan mendapati individu terbabit juga tidak mendaftar diri dalam buku daftar disediakan pekedai sehingga tindakan kompaun dikenakan mengikut peruntukan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

“Kompaun itu dikeluarkan semasa pasukan pematuhan SOP PKP membuat pemeriksaan di lokasi berkenaan pada 6.55 petang.

“Ingin ditegaskan (dakwaan) kononnya individu dikompaun itu telah mendaftar diri melalui mana-mana saluran, aplikasi atau mendaftar diri di dalam buku daftar yang disediakan oleh pekedai adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial seorang individu dikenakan kompaun susulan tidak mendaftar diri menerusi aplikasi MySejahtera dalam tempoh pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai terkandas di kampung, bercuti dibenar pulang – KPN

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Orang ramai yang terkandas di kampung halaman atau bercuti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa tengah malam ini dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing dalam minggu ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata polis amat memahami terdapat ramai ahli keluarga terkandas di luar kawasan yang mungkin berada di negeri lain sama ada bercuti, melawat atau berkunjung ke rumah saudara-mara dan mereka berkemungkinan terperangkap esok.

“Arahan telah dikeluarkan di peringkat bawahan (anggota polis) supaya menggunakan budi bicara setinggi-tingginya untuk membenarkan mereka yang terperangkap pulang ke rumah masing-masing.

“Saya sudah berikan peringatan dan nasihat supaya orang awam diberikan laluan termasuk juga dengan kenderaan awam mungkin sehingga Jumaat ini,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini.

Abdul Hamid berkata beliau telah berbincang dengan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaabob yang turut membangkitkan isu ini serta menyarankan agar polis memberikan laluan kepada mereka yang terperangkap untuk pulang ke rumah masing-masing.

Selain itu, beliau berkata mereka yang tidak berpuas hati dengan kompaun RM1,000 akibat pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) yang dikenakan ke atas orang awam diminta merujuk perkara itu kepada pihak Bukit Aman yang bertugas 24 jam.

“… ketidakpuasan hati kerana dikompaun boleh dirujuk balik kepada pihak polis untuk disalurkan apa yang tidak puas hati supaya polis dapat ambil tindakan selanjutnya untuk mencari kebenaran.

“Dalam hal kompaun ini, polis ada menerima syor-syor atau ‘proposal’ untuk menaikkan nilai kompaun sedia ada (RM1,000) tetapi saya serahkan perkara itu kepada kerajaan untuk menentukannya dalam mengetatkan SOP,” katanya.

Abdul Hamid berkata ini kerana terdapat pihak yang berulang kali melanggar SOP seperti premis hiburan yang dikenakan tindakan itu seolah-olah kompaun terbabit begitu murah.

“Contohnya, ada (pemilik) premis hiburan yang membayar kompaun RM1,000 dengan muka senyum sahaja sedangkan keuntungan yang dia kaut begitu banyak sekali sehingga puluhan ribu ringgit, jadi apalah sangat dengan RM1,000 pada dia.

“Maka apabila denda kompaun ini dinaikkan, berkemungkinan ia akan menjadi penghalang kepada mereka untuk berbuat demikian,” katanya.

Mengulas mengenai pengamal media yang perlu merentas negeri ketika PKP kerana tugasan, beliau berkata mereka hanya perlu mendapatkan surat pelepasan majikan dan menunjukkan kad media kepada polis yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR).

“Sekiranya petugas media ada kad media dan surat pelepasan majikan adalah lagi baik untuk ditunjukkan kepada anggota polis yang bertugas di SJR bagi membolehkan mereka membuat keputusan dengan cepat dan memberikan laluan kepada petugas media, ” katanya.

Penguatkuasaan semula PKP yang melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari hingga 26 Jan ini telah diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Cuti pegawai, anggota polis di seluruh negara dibeku

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Cuti semua pegawai dan anggota polis di seluruh negara dibekukan serta-merta berikutan peningkatan kes Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berkuat kuasa tengah malam ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata arahan itu dikeluarkan untuk menjamin kekuatan maksimum polis bagi menguatkuasakan PKP dan memantau tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Hanya pegawai dan anggota polis yang mempunyai hal-hal kecemasan diberi kelonggaran untuk bercuti dan kita amat bersimpati dengan keluarga polis yang meninggal dunia kerana Covid-19… diharapkan dengan pembekuan cuti mereka ini, polis akan dapat menyediakan barisan petugas yang komited memastikan pematuhan SOP ini dipatuhi orang ramai.

“Saya telah mendengar taklimat (berhubung peningkatan kes Covid-19) daripada Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dan hasil taklimat itu, polis melihat keputusan pelaksanaan PKP ini amat wajar sekali,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini.

Beliau berkata sekiranya PKP tidak dilaksanakan, keadaan akan menjadi lebih menakutkan jika tindakan drastik tidak diambil serta-merta.

“Majlis Keselamatan Negara telah mengambil keputusan yang amat tepat dengan melaksanakan PKP bermula tengah malam ini,” katanya.

Ditanya mengenai sekatan jalan raya (SJR) berikutan pelaksanaan PKP, Abdul Hamid berkata pihak Ketua Polis Daerah, Ketua Polis Negeri dan Pesuruhjaya Polis sedang mengatur lokasi yang bersesuaian di negeri masing-masing.

“Saya menjangkakan SJR yang akan diadakan pada tengah malam ini mencecah lebih 300 dan mungkin berganda bergantung kepada situasi semasa.

“SJR ini tidak termasuk dengan 56 SJR sedia ada yang telah ditetapkan di bawah Op Benteng. Faktor paling utama, SJR ini akan dilaksanakan di setiap jalan keluar plaza tol di lebuh raya dan jalan-jalan persekutuan yang menghubungkan dua buah negeri di mana terdapat PKP serta PKP Bersyarat,” katanya.

Beliau berkata polis menganggarkan sebanyak 48,000 anggota polis bertugas sepanjang tempoh PKP manakala 12,000 lagi bersiap-sedia untuk dikerahkan apabila diperlukan.

“Kepada individu yang bekerja dalam perkhidmatan penting negara, mereka tidak perlu khuatir untuk merentas negeri ketika SJR kerana mereka hanya perlu menunjukkan surat majikan kepada polis dan saya percaya anak buah saya (anggota polis) menggunakan budi bicara mereka.

“Sekiranya ditahan di SJR, mereka boleh menjelaskan situasi mereka dan saya telah mengingatkan pegawai dan anggota polis agar berhemah menggunakan budi bahasa,” katanya.

Ditanya sama ada pengisytiharan Proklamasi Darurat hari ini mengubah kuasa polis, Abdul Hamid berkata langkah itu tidak mengubah atau menimbulkan perbezaan terhadap kuasa pasukan keselamataan tersebut.

“Polis tidak meminta apa-apa lebih daripada sudut kuasa walaupun Proklamasi Darurat disytiharkan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Pegawai, anggota polis terlibat rasuah, lindungi penjenayah akan dibuang kerja

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Pegawai dan anggota polis dikesan melindungi penjenayah atau menerima rasuah tidak lagi dikenakan tindakan tatatertib tetapi sebaliknya akan dibuang kerja, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan anggota yang melakukan perbuatan itu sehingga mangsa kes jenayah tidak mendapat pembelaaan seadilnya.

“Saya akui perkara sedemikian memang wujud dalam pasukan polis apabila sesetengah pegawai dan anggota menerima habuan daripada pihak tertentu bagi menggelakkan mereka didakwa atas kesalahan yang dilakukan.

“Terdapat pegawai dan anggota polis yang mana perkhidmatan mereka tidak sampai 10 tahun sudah buat kerja-kerja kotor,” katanya kepada Bernama dalam wawancara khas di Bukit Aman, baru-baru ini.

Abdul Hamid menegaskan bahawa beliau hendak membuang stigma negatif sedemikian dalam kalangan pegawai dan anggotanya agar mereka tidak dipandang serong oleh masyarakat.

“Saya sebagai IGP (Ketua Polis Negara) sendiri menunjukkan contoh tidak suka diberi layanan mewah. Semasa saya melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) saya diberikan layanan sedemikian.

“Saya tidak minta sebarang habuan daripada pegawai bawahan saya apabila saya turun ke IPK atau IPD, niat saya adalah untuk kerja saya dipermudahkan dan berjumpa dengan mereka. Paling penting sekali adalah saya hendak mendengar taklimat daripada mereka bukan seperti sambutan di hotel makan secara besar-besaran dan seumpamanya yang membazir,” katanya.

Abdul Hamid berkata tujuan beliau berjumpa dengan pegawai adalah untuk menyampaikan mesej dan dasar-dasar polis.

Katanya, beliau berharap pasukan polis akan menjalankan tugas dengan cepat dan mudah dan elemen yang penting sekali adalah perkhidmatan efektif diberikan kepada masyarakat.

Abdul Hamid berkata usahanya untuk memerangi rasuah tidak ada penghujungnya kerana masih lagi wujud kes baharu.

“Bagaimanapun, saya tidak akan berputus asa dan akan terus-menerus perangi rasuah supaya generasi baharu menyertai polis tidak terpengaruh dan mendidik mentaliti mereka supaya jangan terima rasuah,” katanya.

Beliau juga menegaskan kepada pegawai dan anggota polis agar membuang budaya melepak di pusat-pusat hiburan selepas operasi serbuan kerana ia tidak manis dipandang masyarakat.

“Apabila pegawai dan anggota polis melepak di pusat hiburan habis semua cerita seperti teknik dan taktik (dedah operasi sulit polis) kepada umum.

“Saya hendak pegawai dan anggota saya ini berdisiplin kerana mereka ini merupakan simbol undang-undang dan saya minta kepada mereka agar kembalikan maruah diri sebagai anggota polis,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suspek sunting video hina lagu Indonesia Raya disyaki warga Indonesia

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Suspek utama yang menyunting lirik lagu kebangsaan Indonesia seperti tular di media sosial dan bertujuan menghina negara itu disyaki dilakukan warga republik berkenaan dan video tersebut bukan dibuat di Malaysia, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata maklumat itu diperoleh hasil soal siasat terhadap seorang buruh warga Indonesia berusia lingkungan 40-an di Sabah yang juga merupakan salah seorang suspek kes itu.

“Suspek itu ditahan di Sabah, pada Isnin lepas dan polis menemui petunjuk baharu dalam penyiasatan kes berkenaan.

“Ya, polis dapat petunjuk baharu bahawa pelakunya dikatakan berasal dari negara seberang (Indonesia) dan kami sedang menyoal siasat untuk mendapatkan maklumat lanjut pengakuannya siapa yang sunting video itu,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman.

Abdul Hamid berkata maklumat itu telah dikongsikan kepada pihak Polisi Republik Indonesia (POLRI) kerana kedua-dua pihak berkuasa negara mengambil serius tentang perbuatan berkenaan dan suspek utama akan diketahui dalam masa terdekat.

“Dalam kes terbaharu ini, ada manusia durjana yang tidak bertanggungjaawab dan bermotif jahat telah memperlekehkan lagu kebangsaan Indonesia Raya.

“Parodi ini menimbulkan kemarahan rakyat Indonesia dan saya memberi jaminan bahawa satu tindakan drastik telah diambil oleh Jabatan Siasatan Jenayah iaitu menubuhkan satu pasukan khusus telah diterbangkan ke Sabah pada semalam untuk menjejaki pelaku-pelaku ini,” katanya.

Abdul Hamid menegaskan sebarang perbuatan atau tindakan yang mengaibkan kehormatan sesebuah negara itu merupakan kesalahan yang amat berat.

“Insya-Allah apabila tertangkapnya suspek, kita akan adili dan mendakwanya di mahkamah untuk menerima hukuman setimpalnya.

“Saya memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak meneruskan aktiviti terkutuk ini dan (perbuatan) yang menimbulkan perasaan sakit hati dalam kalangan rakyat negara jiran kita hentikan,” katanya.

Terdahulu, satu video dimuat naik dua minggu lepas oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komentar di laman YouTube My Asean, memaparkan lirik lagu kebangsaan Indonesia, Indonesia Raya, disunting bagi tujuan menghina Indonesia.

Video di ruang komen di YouTube berkenaan dipadamkan namun video itu sempat dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain dan ditularkan di platform media sosial lain di Indonesia yang menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes Covid-19 meningkat, polis giat pantau SOP tempat awam

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan jumlah pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) di tempat awam dipatuhi berikutan peningkatan kes wabak Covid-19.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata PDRM mendapati masih ada masyarakat yang leka dan kurang mengambil berat mengenai aspek pematuhan SOP bagi membendung penularan wabak itu.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil ke atas individu-individu yang didapati mengingkari peraturan berkenaan.

“Mengambil kira statistik kes baharu positif Covid-19 yang tinggi, PDRM mengingatkan seluruh masyarakat agar sentiasa mengamalkan disiplin kendiri dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sempena cuti hujung tahun dan musim perayaan, ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman, berkunjung ke tempat-tempat peranginan serta mengadakan majlis keramaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hamid berkata tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti sedemikian akan mewujudkan situasi orang ramai akan berkumpul dalam bilangan yang ramai.

Beliau mengingatkan masyarakat agar mengamalkan pembudayaan norma baharu dalam komuniti serta mengelakkan ‘3S’ (sesak, sempit dan sembang dekat) dalam aktiviti harian bagi membendung penularan wabak ini.

“Bersama-sama kita berganding bahu untuk memutuskan rantaian dan melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19, di Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis terima tiga laporan individu dakwa diugut pegawai SPRM

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Polis menerima tiga laporan berhubung seorang ahli perniagaan yang mendakwa menerima ugutan daripada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan kes Macau Scam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata kes itu sedang dalam siasatan, dan ada beberapa perkara yang perlu dipastikan kerana berdasarkan siasatan awal, banyak persoalan perlu dirungkai terlebih dahulu berhubung ketiga-tiga laporan polis itu.

“Isnin atau Selasa minggu depan, kita (akan) tahu hala tujunya (perkembangan kes ini),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata pada mulanya polis melihat ada unsur-unsur berkaitan pemerasan dan fitnah berkaitan kes itu, dan beliau telah mengarahkan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk mengkaji isu itu dengan lebih mendalam.

“Kita tidak mahu membuang masa kerana laporan dibuat yang mendakwa berlakunya beberapa perbuatan salah laku ini (didapati) lebih kepada perbalahan antara dua orang yang pernah menjalankan perniagaan,” katanya.

Pada Rabu, SPRM membuat laporan polis berhubung tohmahan seorang ahli perniagaan terhadap pegawai agensi itu, kononnya beliau diugut pegawai SPRM berkaitan siasatan kes Macau Scam, baru-baru ini.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Abdul Hamid berkata polis telah menahan seorang lelaki yang mengugut akan membunuh Ketua Polis Negara baru-baru ini.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata individu itu telah pun dibebaskan, selepas perbuatan itu didapati lebih kepada tindakan untuk melepaskan geram.

Pada 1 Disember lepas, polis dilaporkan memburu seorang lelaki yang membuat ugutan akan menembak mati Abdul Hamid, dengan mendakwa dirinya ketua komander kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ada unsur rasuah dalam isu penyeludupan sempadan negara – KPN

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Polis mengesahkan terdapat unsur-unsur rasuah berhubung penyeludupan di sempadan negara baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) melakukan siasatan terperinci berhubung perkara itu.

Beliau berkata JIPS telah diarahkan untuk menyiasat beberapa dakwaan dan menimbang beberapa bukti diterima, yang mengatakan berlakunya penyelewengan dalam kalangan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan negara.

“Masalah ini telah lama berlarutan sejak tahun lepas, Majlis Keselamatan Negara ada mendedahkan video penglibatan beberapa pegawai dan anggota PGA yang didapati bersekongkol dan tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas perbuatan penyeludup yang didapati melakukan kegiatan itu di depan mata mereka.

“Saya sudah bagi amaran daripada dulu lagi, agar menghentikannya dan hasil gesaan-gesaan yang saya buat, beberapa individu telah tampil yang sanggup dan berani menyalurkan maklumat kepada saya mengenai amalan-amalan yang tidak baik ini (penyeludupan melibatkan PGA). Kami akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian sijil penghargaan kepada anggota-anggota polis di Bukit Aman, di sini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata 10 jabatan di bawah polis antaranya Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Cawangan Khas diarah untuk mengembleng tenaga bagi menangani isu rasuah dan penyelewengan kuasa dalam kalangan para pegawai dan anggotanya.

“Saya telah mengarahkan satu tindakan holistik dilakukan melibatkan 10 jabatan dalam polis termasuk Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik.

“Semua 10 (jabatan) ini bersatu tenaga untuk menggempur (mana-mana pegawai atau anggota) untuk dikenakan tindakan. Saya akan pastikan mereka yang hidup mewah dengan mengumpulkan harta-harta menerusi jalan yang salah ini akan dirampas balik dan kembalikan kepada negara,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa perbuatan terkutuk menerima rasuah ini mencemarkan imej polis dan merosakkan negara.

“Terdapat ramai pegawai polis didapati telah dirasuah (oleh sindiket yang melakukan penyeludupan) dan ramai juga diantara mereka yang telah dikenakan tindakan tatatertib. Pada waktu yang sama juga, mereka (penyeludup) mencuri hasil-hasil yang sepatutnya masuk ke dalam kewangan negara dan menerusi penyeludupan ini juga mereka berjaya lari dari sistem pencukaian,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan seorang anggota PGA ditahan kerana dipercayai cuba menyeludup masuk tiga migran melalui sempadan Kalimantan-Sarawak, di Tebakang, pada Rabu.

Anggota yang ditahan itu bertugas di pos kawalan Ops Benteng di Tebedu, Sarawak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tidak kompromi anggota langgar peraturan, terlibat rasuah

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan sesekali berkompromi dalam apa jua isu berhubung kait dengan rasuah atau pelanggaran undang-undang melibatkan warga pasukan keselamatan itu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata ketika ini, PDRM berdepan dengan persepsi negatif di mata masyarakat akibat tangkapan demi tangkapan yang dilakukan terhadap anggota polis atas kesalahan jenayah rasuah.

“Disebabkan segelintir pasukan yang tidak bermaruah dan mementingkan diri maka keseluruhan warga PDRM dicaci serta dituduh oleh masyarakat, ia ibaratkan ‘harapkan pagar, pagar makan padi’.

“Tindakan penamatan perkhidmatan akan diambil ke atas mereka terlibat dalam rasuah serta salah laku serius yang berulang,” katanya ketika merasmikan majlis Pelancaran Buku Pelan AntiRasuah PDRM di Bukit Aman, disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM hari ini.

Abdul Hamid berkata pembangunan Pelan Antirasuah PDRM yang menetapkan enam bidang keutamaan, adalah bukti komitmen pasukan keselamatan itu dalam menghapuskan gejala rasuah dan mengamalkan ketelusan.

“Perkara yang diberikan tumpuan adalah tadbir urus organisasi dan sumber manusia; risikan dan keselamatan; risikan dan penguatkuasaan undang-undang; siasatan dan pendakwaan; ketenteraman awam, serta pengurusan kewangan dan perolehan PDRM,” katanya.

Abdul Hamid yakin pelan anti rasuah itu dapat membentuk satu hala tuju ke arah menetapkan PDRM atas landasan yang betul dan menjadi panduan untuk seluruh warga polis untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan negara.

Katanya beliau berharap usaha itu dapat memulihkan imej polis dan mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti pihak polis sebagai agensi penguatkuasa utama negara.

Semalam, Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Zamri Yahya dilapor berkata Pelan Tindakan AntiRasuah PDRM adalah sebagai usaha menangani gejala rasuah dalam kalangan warga pasukan keselamatan itu dengan lebih tegas.

Pelan berkenaan akan menjadi rangka tindakan kepada pasukan itu dalam memerangi gejala rasuah bagi tempoh empat tahun sehingga 2024.

-BERNAMA