Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Dapat sambutan baik, CEPat rekod nilai transaksi RM1.38 juta

SHAH ALAM, 4 JULAI: Aplikasi tanpa tunai ‘Citizen E-Payment Platform’ atau CEPat merekodkan nilai transaksi lebih RM1.38 juta selepas hampir dua tahun penggunaannya.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata jumlah yang direkodkan sehingga Mei lalu melibatkan urusan pembayaran lebih 34,000 pengguna di lapan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Penggunaan aplikasi ini mendapat sambutan kerana sememangnya transaksi dalam talian menjadi pilihan masa kini. Pengguna tidak perlu hadir ke mana-mana PBT dan ini memudahkan urusan mereka.

“Kerajaan Selangor akan memperbanyak lagi perkhidmatan digital ini selain terus mempromosikan CEPat ke seluruh negeri supaya ia dapat digunakan sepenuhnya menjelang 2022,” katanya ketika dihubungi.

Orang ramai diwajibkan mempunyai aplikasi CEPat mulai 16 Januari lalu untuk menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor.

Aplikasi yang diperkenal pada Ogos 2019 turut menawarkan kemudahan bayaran cukai taksiran, kompaun, parkir, bayaran bil utiliti dan tambah nilai kad prabayar.

CEPat boleh dimuat turun di Google Playstore dan AppStore.

Categories
AGENSI SELANGOR

Langsai bil utiliti, tambah nilai kad prabayar guna CEPaT 2.0

SHAH ALAM, 2 DIS: Pengguna boleh memuat turun aplikasi tanpa tunai ‘Citizen E-Payment Platform’ (CEPaT) versi 2.0 yang menyediakan pelbagai pekhidmatan mulai bulan ini.

Pengarah urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata versi baharu meliputi permohonan lesen, bayaran bil utiliti serta tambah nilai kad prabayar.

Dr Fahmi Ngah menjelaskan perkhidmatan tersebut turut dilengkapi ‘Scan to Ride’ untuk memudahkan warga asing membuat bayaran ketika menaiki Bas Smart Selangor.

“Usaha menambah baik aplikasi seiring sasaran memastikan perkhidmatan berbayar Kerajaan Negeri dibuat dalam platform ini menjelang 2022,” katanya memaklumkan aplikasi itu digunakan lapan pihak berkuasa tempatan (PBT).

CEpat yang diperkenal pada 21 Ogos 2019 menggunakan teknologi awanan berasaskan ‘cloud’ bagi memastikan ia selamat diakses pengguna.

Aplikasi yang boleh dimuat turun melalui Google Playstore dan App Store bermula 1 Oktober 2019 turut menawarkan kemudahan bayaran cukai taksiran, kompaun, dan parkir.

Categories
AGENSI SELANGOR

Aplikasi CEPat rekod nilai transaksi RM420,000

BANGI, 2 OKT: Aplikasi tanpa tunai ‘Citizen E-Payment Platform’ atau CEPat merekodkan nilai transaksi berjumlah RM420,000 dalam tempoh setahun penggunaannya.

Kaedah dibangunkan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) itu digunakan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang.

Pengarah Urusan SSDU Dr Mohamad Fahmi Ngah menyifatkan pencapaian tersebut bukti masyarakat semakin menerima penggunaan aplikasi moden.

“SSDU sedang menambah baik perkhidmatan yang boleh digunakan CEPat sebelum diperluaskan kepada semua pihak berkuasa tempatan di Selangor pada Disember tahun ini.

“Langkah tersebut seiring sasaran memastikan perkhidmatan berbayar Kerajaan Negeri dibuat dalam platform ini menjelang 2022,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Kempen MyDebit Bersama Smart Selangor di sini hari ini.

Aplikasi CEPat yang dilancarkan pada 1 Ogos 2019 menggunakan teknologi awanan berasaskan ‘cloud’ untuk semua perkhidmatan berbayar kerajaan di pelbagai peringkat meliputi khidmat permohonan lesen, kompaun dan cukai taksiran.

CEPat boleh dimuat turun menerusi Playstore bagi pengguna Android dan AppStore bagi IOS.