Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Batang Kali tawar bantuan kaca mata buat murid susah

SHAH ALAM, 17 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali menawarkan bantuan cermin mata percuma mulai tahun depan kepada murid yang mempunyai masalah penglihatan.

Pegawai penyelarasnya berkata insentif tersebut menyasarkan antara 50 hingga 100 individu kurang berkemampuan terutama murid tadika yang beralih ke sekolah rendah.

Saifuddin Shafi Muhammad menjelaskan program itu menggunakan sebahagian daripada dana RM300,000 yang diperuntuk dalam Belanjawan Selangor 2022.

“Ia bukan program luar biasa tetapi kita merasakan insentif sebegini perlu diperhebatkan berikutan ada murid tidak mampu mendapatkan kemudahan ini sekali gus menjejaskan pembelajaran mereka.

“Jadi, kita akan cari beberapa pengusaha kaca mata tempatan yang sudi bekerjasama untuk menjayakan program bantuan ini,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Saifuddin berkata pihaknya akan mengerah sukarelawan, kakitangan pusat khidmat masyarakat (PKM), penghulu dan ketua kampung bagi mengenal pasti murid yang layak menerima manfaat itu.

“Keadaan geografi di Batang Kali amat besar, jadi agak sukar untuk mereka yang memerlukan tampil ke PKM, justeru pihak berkaitan akan diarah mencari golongan tersebut,” katanya.

Pada 26 November, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 memaklumkan peruntukan wakil rakyat pembangkang naik kepada RM400,000 berbanding RM150,000 ketika ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana wakil rakyat bebas yang menyokong negeri pula ditingkatkan sehingga RM500,000 manakala baki peruntukan diselaras oleh penyelaras lantikan Kerajaan Negeri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dobi layan diri, kedai cermin mata dibenar operasi – KPDNHEP

PUTRAJAYA, 16 JAN: Kerajaan meneliti semula dan bersetuju bahawa terdapat keperluan bagi kedai cermin mata dan dobi layan diri, dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk beroperasi.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kebenaran beroperasi itu adalah bagi mengambil kira keperluan rakyat yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.

“Kebenaran ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang akan ditetapkan dalam tatacara operasi piawai (SOP) PKP, yang akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga, mengingatkan kepada pemain industri dalam sektor perdagangan dan pengedaran supaya memastikan pematuhan SOP PKP dilaksanakan sepenuhnya, di premis masing-masing.

“Kegagalan untuk memastikan SOP PKP dipatuhi boleh diambil tindakan seperti amaran, kompaun serta penutupan premis perniagaan,” katanya.

Beliau menambah sekiranya pematuhan tersebut masih gagal mencapai tahap memuaskan, KPDNHEP akan mengambil tindakan drastik termasuk mencadangkan kepada MajlisKeselamatan Negara (MKN) untuk menutup terus operasi industri tersebut sewaktu pelaksanaan tempoh PKP.

Nanta berkata adalah menjadi harapan KPDNHEP bahawa semua pihak terutamanya pemain industri dan pengguna, mengambil peluang sepenuhnya pembukaan aktiviti ekonomi di bawah Sektor Perdagangan dan Pengedaran, dengan mematuhi kesemua SOP PKP yang sedang berkuat kuasa.

Katanya tindakan serta kerjasama semua pihak akan dapat mengimbangi keperluan di antara kelangsungan ekonomi negara, serta mengawal jangkitan Covid-19.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP), di talian hotline 03-88825881/ 5905 atau melalui emel kepada [email protected].

– BERNAMA