Categories
AGENDA NASIONAL

Pakaian penuh lumpur akibat banjir, penduduk bawa 20 beg ke dobi

SHAH ALAM, 20 DIS: Seorang penduduk Kampung Melayu Subang di sini membawa 20 beg yang memuatkan pakaian kotor termasuk sebahagiannya berlumpur akibat banjir ke kedai dobi.

Mohd Yazid Zainal,33

Pemandu peribadi sebuah syarikat swasta Mohd Yazid Zainal, 33, juga terpaksa ke pusat bandar berikutan kebanyakan premis berdekatan yang menyediakan perkhidmatan itu penuh dengan individu senasib.

“Bukan takat perabot, kelengkapan rumah dan kereta yang rosak tetapi pakaian kami sekeluarga habis dipenuhi lumpur. Jadi, terpaksa cuci dobi layan diri walaupun agak jauh,” katanya kepada Selangorkini.

Suri rumah Nur Izni Zainal Abidin, 27, pula membawa empat beg memuatkan pakaian ahli keluarganya ke kedai perkhidmatan dobi di TTDI Jaya di sini.

“Masih ada lagi di rumah tapi selesaikan satu persatu sebab ada yang berlumpur dan kena bilas dulu,” katanya kepada Selangorkini.

Ibu kepada seorang anak itu juga terpaksa meminjam kereta kakaknya berikutan kenderaannya ditenggelami air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MKN: Bengkel kenderaan, dobi mula beroperasi hari ini

SHAH ALAM, 17 JULAI: Bengkel kenderaan, kedai barangan logam dan dobi termasuk layan diri dibenarkan beroperasi seluruh Selangor bermula hari ini susulan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di 34 mukim semalam.

Berdasarkan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengikut Pelan Pemulihan Negara tatacara operasi piawai (SOP) Fasa 1, premis hanya boleh dibuka dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Dalam tempoh sama juga MKN membenarkan operasi kedai barangan bayi, cermin mata, farmasi, pasar raya dan klinik haiwan.

Sementara pengusaha kedai makan, restoran dan penjaja tepi jalan dibenar memulakan perniagaan dari jam 6 pagi hingga 10 malam berbanding sebelum ini dari 8 pagi hingga 8 malam.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penamatan PKPD di 34 mukim di negeri ini yang dikuat kuasa selama dua minggu bermula 3 Julai lalu.

Antara SOP lain dibenarkan:

  • Dua orang isi rumah dibenar dalam satu kereta tidak lebih 10 kilometer untuk beli makanan, keperluan asas
  • Tiga orang dalam satu kereta bagi mendapatkan rawatan, vaksinasi, kecemasan.
  • 20 peratus kakitangan awam dibenar bekerja di pejabat manakala 60 peratus untuk kakitangan swasta.
  • Aktiviti sukan dan rekreasi dibenarkan namun hanya senaman dan joging dari jam 7 pagi hingga 8 malam.
  • Stesen minyak dibuka dari 6 pagi hingga 8 malam manakala stesen di lebuh raya beroperasi 24 jam.

Categories
PBT SELANGOR

Kilang barang dobi beroperasi tanpa lesen, langgar SOP dikompaun

SHAH ALAM, 11 JULAI: Sebuah kilang pembekal barangan dobi di Taman Perindustrian Subang diberi dua notis tawaran kompaun kerana beroperasi tanpa lesen serta tiada permit pejabat urusan.

Tindakan mengikut Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPSJ 2007 dibuat semasa operasi bersepadu dijalankan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 7 Julai.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ berkata polis turut mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada pemilik premis kerana tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara.

“Di bawah bidang kuasa polis, kompaun pelanggaran dikeluarkan atas kesalahan premis beroperasi tanpa surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti),” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan semalam.

Beliau mengingatkan orang ramai serta pengusaha kilang terus mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan SOP kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Pemantauan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan SOP ditetapkan dalam usaha pencegahan serta pengawalan pandemik,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi dobi layan diri, kedai cermin mata tidak patuh SOP berdepan tindakan

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Pengusaha kedai cermin mata dan dobi layan diri yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dikenakan amaran, kompaun serta penutupan premis perniagaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sekiranya pematuhan SOP gagal mencapai tahap memuaskan, kementerian akan mengambil tindakan drastik termasuklah mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup kembali operasi industri tersebut sewaktu tempoh PKP.

“Adalah menjadi harapan KPDNHEP agar semua pihak terutamanya pemain industri dan pengguna mengambil peluang sepenuhnya pembukaan aktiviti ekonomi di bawah Sektor Perdagangan dan Pengedaran dengan mematuhi kesemua SOP PKP yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan mengambil keputusan membenarkan semula operasi kedai dobi layan diri dan kedai cermin mata kerana mengambil kira keperluan rakyat yang memerlukan perkhidmatan ini.

Nanta berkata kerjasama semua pihak penting dalam mengimbangi keperluan antara kelangsungan ekonomi negara dan mengawal jangkitan Covid-19.

Untuk pertanyaan lanjut pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian utama 03-8882 5881/ 5905 atau melalui e-mel kepada [email protected].

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dobi layan diri, kedai cermin mata dibenar operasi – KPDNHEP

PUTRAJAYA, 16 JAN: Kerajaan meneliti semula dan bersetuju bahawa terdapat keperluan bagi kedai cermin mata dan dobi layan diri, dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk beroperasi.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kebenaran beroperasi itu adalah bagi mengambil kira keperluan rakyat yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.

“Kebenaran ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang akan ditetapkan dalam tatacara operasi piawai (SOP) PKP, yang akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga, mengingatkan kepada pemain industri dalam sektor perdagangan dan pengedaran supaya memastikan pematuhan SOP PKP dilaksanakan sepenuhnya, di premis masing-masing.

“Kegagalan untuk memastikan SOP PKP dipatuhi boleh diambil tindakan seperti amaran, kompaun serta penutupan premis perniagaan,” katanya.

Beliau menambah sekiranya pematuhan tersebut masih gagal mencapai tahap memuaskan, KPDNHEP akan mengambil tindakan drastik termasuk mencadangkan kepada MajlisKeselamatan Negara (MKN) untuk menutup terus operasi industri tersebut sewaktu pelaksanaan tempoh PKP.

Nanta berkata adalah menjadi harapan KPDNHEP bahawa semua pihak terutamanya pemain industri dan pengguna, mengambil peluang sepenuhnya pembukaan aktiviti ekonomi di bawah Sektor Perdagangan dan Pengedaran, dengan mematuhi kesemua SOP PKP yang sedang berkuat kuasa.

Katanya tindakan serta kerjasama semua pihak akan dapat mengimbangi keperluan di antara kelangsungan ekonomi negara, serta mengawal jangkitan Covid-19.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP), di talian hotline 03-88825881/ 5905 atau melalui emel kepada [email protected].

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

EXCO sedia pertimbang lesen dobi layan diri

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kerajaan Negeri bersedia meneliti cadangan supaya pemilik dobi layan diri mendapatkan lesen daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) sebelum diberi lesen premis peniagaan bagi membolehkan operasi dijalankan.

Bagaimanapun, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, pihaknya memerlukan maklumat lanjut daripada suruhanjaya terbabit sebelum boleh dilaksanakan.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri masih belum dimaklumkan secara rasmi berhubung perkara itu.

“Kita merasakan cadangan ini bagus memandangkan faktor keselamatan orang awam sentiasa diambil kira, dan oleh itu kami bersedia menerima makluman rasmi jika ia sudah digubal bagi membolehkan kita membuat pelaksanaan yang sesuai,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan ST yang menggesa Pihak Berkuasa Tempatan memastikan pengusaha dobi khususnya francais layan diri untuk mendapat kelulusan dan lesen ST, sebelum diberi lesen premis peniagaan.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Fauzi Hasan berkata, ia bertujuan menjamin keselamatan dan mengelakkan kejadian letupan gas di premis berkenaan yang boleh menyebabkan kecederaan hingga meragut nyawa.

Sehingga kini, sebanyak 538 Kelulusan Untuk Memasang (ATI); 341 Kelulusan Untuk Mengendali (ATO); dan 324 lesen persendirian untuk kedai dobi dikeluarkan suruhanjaya itu dari Januari tahun lalu sehingga Mac 2019.

Namun, dianggarkan lebih 2,000 lagi kedai dobi yang sedang beroperasi belum mendapat kelulusan ST.

Ahmad Fauzi berkata, ST turut membangunkan garis panduan khas yang baharu untuk rujukan pengusaha premis dobi merangkumi keperluan perundangan dan teknikal bagi memastikan keselamatan sistem perpaipan gas terjamin.

Katanya, antara aspek yang ditekankan dalam garis panduan itu adalah kepentingan pemasangan sistem silinder gas yang mampu menahan gas daripada memasuki premis jika berlaku kebocoran.

Garis panduan itu didaftarkan selaras Seksyen 37C, Akta Bekalan Gas 1993 supaya ia dapat dikuatkuasakan.

Kegagalan mematuhi garis panduan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 dan jika berterusan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari selama pelanggaran itu diteruskan selepas sabitan seperti yang termaktub di bawah seksyen 31, Akta Bekalan Gas 1993, katanya.

 

Categories
NASIONAL

PBT perlu pastikan dobi ada kelulusan ST

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta memastikan pengusaha dobi khususnya francais layan diri untuk mendapat kelulusan dan lesen Suruhanjaya Tenaga (ST), sebelum diberi lesen premis peniagaan.

Pengerusi ST, Datuk Ahmad Fauzi Hasan berkata, ia bertujuan menjamin keselamatan dan mengelak kejadian letupan gas di premis berkenaan yang boleh menyebabkan kecederaan hingga meragut nyawa.

“Salah satu kelemahan yang kami dapati apabila menyiasat kejadian kemalangan di premis dobi ialah kebanyakan pengusaha tidak mengambil serius bahawa pengoperasian dobi menggunakan sistem perpaipan gas memerlukan beberapa kelulusan.

“Sebelum beroperasi, ada tiga kelulusan diperlukan iaitu Kelulusan Untuk Memasang (ATI), Kelulusan Untuk Mengendali (ATO) dan Lesen Gas yang dikeluarkan ST,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan Sistem Gas Berpaip, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 538 ATI; 341 ATO; dan 324 lesen persendirian untuk kedai dobi dikeluarkan suruhanjaya itu dari Januari tahun lalu sehingga Mac 2019.

“Kami anggarkan lebih 2,000 lagi kedai dobi yang sedang beroperasi belum mendapat kelulusan daripada ST,” katanya.

Beliau berkata, reka bentuk pemasangan sistem perpaipan gas perlu direka dan diluluskan berdasarkan Malaysian Standard 830 dan Malaysian Standard 930, manakala pemberian dan pembaharuan lesen gas dipantau dengan meneliti laporan penyelenggaraan yang dilakukan terhadap sistem perpaipan.

Ahmad Fauzi berkata, ST turut membangunkan garis panduan khas yang baharu untuk rujukan pengusaha premis dobi merangkumi keperluan perundangan dan teknikal bagi memastikan keselamatan sistem perpaipan gas terjamin.

Katanya, antara aspek yang ditekankan dalam garis panduan itu ialah kepentingan pemasangan sistem silinder gas yang mampu menahan gas daripada memasuki premis jika berlaku kebocoran.

“Dinding bangunan itu yang mengasingkan tempat penstoran dengan dobi mestilah direka bentuk dengan spesifikasi fireproof (kalis api) selama empat jam,” katanya.

Garis panduan itu didaftarkan selaras Seksyen 37C, Akta Bekalan Gas 1993 supaya ia dapat dikuatkuasakan.

Kegagalan mematuhi garis panduan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 dan jika berterusan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari selama pelanggaran itu diteruskan selepas sabitan seperti yang termaktub di bawah seksyen 31, Akta Bekalan Gas 1993, katanya. -BERNAMA