Categories
NASIONAL

Laporan penuh pencemaran LRA Sungai Semenyih dijangka siap minggu depan

NILAI, 2 JULAI: Laporan penuh berhubung siasatan insiden pencemaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, dijangka siap sepenuhnya minggu depan, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Anthony Santiago.

Beliau berkata laporan itu kemudian akan diserahkan kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar untuk tindakan lanjut.

“Siasatan sudah dimulakan dan hari ini kita panggil pihak bertanggungjawab yang dipercayai menyebabkan pencemaran untuk dapatkan keterangan dan saya percaya Kerajaan Selangor juga turut menjalankan proses sama.

“Laporan penuh dijangka siap minggu hadapan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada persidangan ‘Federalisme di Malaysia: Mentakrif Semula Hubungan Persekutuan-Negeri di Malaysia’ di sini, hari ini.

Beliau berkata apa yang penting adalah memastikan pihak bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.

“Apa yang utama, mereka yang terbabit mesti diheret ke mahkamah kalau dikesan ada melakukan kesalahan sebab ini (pencemaran) turut berlaku di tempat lain.

“Kalau kerajaan tidak respon dengan serius dan efisien maka ia memberikan satu gambaran pada orang lain bahawa mereka boleh buat apa-apa sahaja kerana kononnya tiada respon daripada kerajaan,” katanya.

Ahad lalu, Dr Xavier mengarahkan SPAN menyiasat insiden pencemaran LRA Sungai Semenyih bagi mengetahui punca sebenar kejadian selain mengesan pihak bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan.

Pada Rabu lalu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan LRA Sungai Semenyih diarah henti tugas susulan pencemaran bau dipercayai dari sebuah kilang memproses sawit yang telah diarah tutup untuk siasatan.

Insiden pencemaran bau itu menyebabkan 512 kawasan melibatkan 377,141 pelanggan berdaftar di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terkesan dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah secara berperingkat.

LRA Sungai Semenyih beroperasi semula pada 6 pagi, Khamis lalu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Charles Anthony Santiago – Fokus Calon PRU 13


 

Sinopsis

Charles Anthony Santiago – P110 Klang

Charles merupakan penyandang parlimen Klang dari DAP setelah memenangi PRU 12 dengan majoriti 17,701 pada 2008. Beliau merupakan seorang tokoh ekonomi dan pernah bertugas dengan kesatuan eropah selain menjadi perunding kepada beberapa firma antarabangsa.

P110 mempunyai bilangan pengundi berdaftar 97,252 yang turut di serta tiga kawasan Dun iaitu Pelabuhan Klang, Pandamaran dan Kota Alam Shah.

Klang mempunyai taburan penduduk melayu (33.45%), Cina (47.07%), india (18.85%) dan lain-lain (0.9%).

Beliau akan ditentang satu lawan satu dengan calon BN, Datuk Teh Kim Poo.