Categories
AGENDA NASIONAL

Food Bank Siswa manfaat lebih 6,000 pelajar

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Program Food Bank Siswa yang dilaksanakan di 21 universiti awam kini memberi manfaat kepada 6,870 pelajar, sejak ia dilancarkan 15 Februari lepas.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, program itu dapat membantu golongan mahasiswa terutama daripada keluarga golongan B40, supaya mereka dapat memberi tumpuan lebih baik terhadap pembelajaran.

“Program ini merupakan kerjasama antara penyumbang dan pihak universiti dengan menyediakan dua konsep iaitu ‘food pantry’ dan ‘central kitchen’ untuk meringankan kos sara hidup pelajar,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Chong berkata demikian bagi menjawab soalan Muslimin Yahaya (PAKATAN-Sungai Besar) yang ingin tahu kejayaan program tersebut dan jumlah siswa yang telah dibantu.

Menjelas lanjut, Chong berkata, ‘food panty’ adalah penyimpanan barang makanan kering di sebuah bilik yang bersesuaian dan diuruskan oleh persatuan pelajar yang ditugaskan.

Pelajar yang layak menerima bantuan program tersebut boleh mengambil makanan yang akan diagihkan mengikut jadual yang ditetapkan.

‘Central kitchen’ adalah sumbangan makanan yang boleh dimasak yang akan disediakan dan diberikan kepada pelajar yang layak.

– BERNAMA

Jadi negeri pengeluar minyak tapi paling rasai kesan kenaikan

minyak sabah sarawakSHAH ALAM, 5 SEPTEMBER: Sekalipun Sabah dan Sarawak antara negeri pengeluar minyak di negara ini, penduduk mereka sebaliknya paling teruk menerima kesan kenaikan harga bahan api itu.

Sebagai satu daripada tiga negeri pengeluar, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chien Jen, berkata penduduk Sarawak dan Sabah patut menikmati kelebihan dalam hal berkaitan minyak.

“Harga minyak naik, kita untung lebih besar. Kalau kita ikut trend – apabila harga minyak lebih tinggi, keuntungan Petronas lebih tinggi.

“Walaupun minyak naik, kita kaut lebih keuntungan. Sarawak dan Sabah lebih-lebih lagi memandangkan kita antara satu daripada tiga negeri yang keluarkan minyak.

“Sepatutnya orang Sarawak dan Sabah menikmati lebih kelebihan hasil pengeluaran minyak sebaliknya jadi lebih susah,” katanya kepada TV Selangor.

Sebaliknya, beliau berkata, kesan kenaikan harga minyak amat dirasai penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak berikutan kos pengangkutan dan barangan, naik.

Ia berikutan, katanya keluasan kedua-dua negeri itu menyebabkan kos penghantaran keluar masuk barang bertambah.

“Sebelum kenaikan harga minyak, kos pengangkutan jauh lebih tinggi dari Semenanjung.

“Banyak (harga) barangan keperluan harian lebih tinggi. Untuk penduduk di pedalaman lebih tinggi. Kesan (kenaikan) teruk sekali dirasai orang kampung dan pedalaman,” katanya.

– FZL