Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Tiga kluster masih aktif

SHAH ALAM, 17 MEI: Tiga kluster Covid-19 dikesan masih aktif di Malaysia setakat hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia membabitkan Kampung Sungai Lui, Pasar Chow Kit dan Pudu.

“Kluster pertama melibatkan Kampung Sungai Lui iaitu ada pertambahan tiga kes menjadikan kes keseluruhan 187, manakala kluster Pasar Chow Kit bertambah dua kes menjadikan 81 keseluruhan.

“Selain itu, terdapat pertambahan satu kes bagi kluster Pudu dan menjadikan jumlah 33 kes,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata seramai 26,425 individu bukan warganegara sudah menjalani saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 1,307 didapati positif.

“458 bukan warganegara masih dalam rawatan dan tiga orang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk empat kematian,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua kawasan di Selayang, Chow Kit belum diisytihar PKP Diperketatkan

SHAH ALAM, 5 MEI: Kerajaan belum mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kawasan di Selayang dan Chow Kit, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata ketiga-tiga kawasan itu hanya diketatkan dari segi pentadbiran bagi mengawal aktiviti serta pergerakan penduduk dan orang ramai.

“Selagi saya belum umum, (maka) tak ada PKPD, ada sesetengah kawasan itu kita perketatkan secara pentadbiran, mungkin kita letak kawat berduri, tetapi belum isytihar (PKPD) dan buat saringan (Covid-19) kepada penduduk,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas laporan awal hari ini yang menyebut Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti di Selayang, serta kawasan sekitar Jalan Raja Bot di Chow Kit telah dikenakan PKPD.

Sejak awal pagi tadi, tular di media sosial apabila warga maya memuat naik gambar anggota tentera melaksanakan kawalan di sekitar Chow Kit, selain memasang kawat berduri di Taman Wilayah.