Categories
AGENDA SUKANKINI

Tewaskan Sabah, semangat pemain Red Giants wajar dipuji

SHAH ALAM, 6 SEPT: Pemain Selangor wajar dipuji kerana berjaya bangkit menewaskan Sabah 1-2 dalam aksi CIMB Liga Super, Jumaat lalu.

Jurulatihnya B Sathianathan berkata selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, beliau menggesa pemain menggandakan serangan bagi mencari gol.

“Saya puji semangat pemain untuk bangkit setelah ketinggalan, kita kuasai permainan tetapi kurang bernasib baik kerana tiga percubaan terkena tiang.

“Saya pesan kepada pemain untuk terus bermain seperti babak pertama dengan banyak menggunakan bahagian sayap,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan kemenangan itu menunjukkan pemain memberi tumpuan 100 peratus kepada pasukan dan berharap terus mengutip mata penuh dalam perlawanan akan datang.

Dalam aksi di Stadium Likas, dua jaringan Ifedayo Olesugun dalam tempoh lapan minit membolehkan Red Giants bangkit mengutip tiga mata penuh selepas ketinggalan menerusi jaringan Rodoljub Paunovic pada minit ke-65.

Kemenangan itu membolehkan Selangor naik ke tangga keenam dengan sembilan mata selepas enam perlawanan.

Categories
AGENDA SELANGOR SUKANKINI

Red Giants tidak boleh cicir mata – Sathianathan

SHAH ALAM, 2 SEPT: Selangor tidak boleh keciciran mata dalam baki perlawanan CIMB Liga Super jika mahu memperoleh keputusan terbaik musim ini.

Jurulatih Red Giants, B Sathianathan berkata pemain sedar perkara berkenaan selepas sekadar mengutip satu mata ketika menentang Petaling Jaya FC minggu lalu.

“Setakat ini semua dalam keadaan baik dan kita akan berjuang habis-habisan. Pemain sedar yang kita tidak boleh cicir mata lagi selepas ini,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas mengenai status masa depannya bersama pasukan itu, beliau menyerahkannya kepada pihak pengurusan.

Sathianathan juga yakin dengan kebolehan pemain untuk memberikan aksi terbaik dan kekal fokus dengan tugasnya sehingga hujung musim.

Selangor akan bertandang ke Stadium Likas esok bertemu Sabah dalam aksi CIMB Liga Super.