Categories
AGENDA SUKANKINI

Tewaskan Sabah, semangat pemain Red Giants wajar dipuji

SHAH ALAM, 6 SEPT: Pemain Selangor wajar dipuji kerana berjaya bangkit menewaskan Sabah 1-2 dalam aksi CIMB Liga Super, Jumaat lalu.

Jurulatihnya B Sathianathan berkata selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, beliau menggesa pemain menggandakan serangan bagi mencari gol.

“Saya puji semangat pemain untuk bangkit setelah ketinggalan, kita kuasai permainan tetapi kurang bernasib baik kerana tiga percubaan terkena tiang.

“Saya pesan kepada pemain untuk terus bermain seperti babak pertama dengan banyak menggunakan bahagian sayap,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan kemenangan itu menunjukkan pemain memberi tumpuan 100 peratus kepada pasukan dan berharap terus mengutip mata penuh dalam perlawanan akan datang.

Dalam aksi di Stadium Likas, dua jaringan Ifedayo Olesugun dalam tempoh lapan minit membolehkan Red Giants bangkit mengutip tiga mata penuh selepas ketinggalan menerusi jaringan Rodoljub Paunovic pada minit ke-65.

Kemenangan itu membolehkan Selangor naik ke tangga keenam dengan sembilan mata selepas enam perlawanan.

Categories
AGENDA SELANGOR SUKANKINI

Red Giants tidak boleh cicir mata – Sathianathan

SHAH ALAM, 2 SEPT: Selangor tidak boleh keciciran mata dalam baki perlawanan CIMB Liga Super jika mahu memperoleh keputusan terbaik musim ini.

Jurulatih Red Giants, B Sathianathan berkata pemain sedar perkara berkenaan selepas sekadar mengutip satu mata ketika menentang Petaling Jaya FC minggu lalu.

“Setakat ini semua dalam keadaan baik dan kita akan berjuang habis-habisan. Pemain sedar yang kita tidak boleh cicir mata lagi selepas ini,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas mengenai status masa depannya bersama pasukan itu, beliau menyerahkannya kepada pihak pengurusan.

Sathianathan juga yakin dengan kebolehan pemain untuk memberikan aksi terbaik dan kekal fokus dengan tugasnya sehingga hujung musim.

Selangor akan bertandang ke Stadium Likas esok bertemu Sabah dalam aksi CIMB Liga Super.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sathianathan beri yang terbaik, tidak fikir status musim depan

SHAH ALAM, 30 OGOS: Status masa depan pengendali skuad Selangor, B. Sathianathan pada musim depan bergantung kepada prestasi pemain dalam mempamerkan hasil terbaik dalam saingan Liga Super buat masa ini.

Pengendali skuad The Red Giants itu berkata beliau kini masih menjalankan tugasnya sebagai jurulatih dan terserah kepada pihak pengurusan untuk menentukan nasibnya selepas perlawanan musim ini menutup tirainya.

“Bagi saya, saya adalah jurulatih pasukan, saya tidak peduli dengan masa depan saya. Selagi apa yang semua pemain tahu, saya akan memberikan seratus peratus kepada pasukan. Itu yang saya ambil tahu.

“Mereka (pihak pengurusan) boleh memutuskan apa sahaja yang mereka mahukan. Saya tidak mengambil cuti walaupun sehari…saya bekerja. Saya melakukan semuanya dan pemain juga melakukannya. Saya telah memberikan seratus peratus, jadi saya tidak peduli, mereka (pihak pengurusan) boleh buat apa yang mereka mahu,” katanya.

Beliau mengulas mengenai masa depan beliau bersama Selangor bagi musim hadapan dalam sidang media perlawanan Liga Super antara Selangor menentang Petaling Jaya City FC (PJ City FC) yang berkesudahan seri tanpa jaringan di Stadium Universiti Teknologi Mara, semalam.

Selangor gagal memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri walaupun pelbagai percubaan menarik dilakukan bagi membolosi gawang yang dikawal ketat penjaga gol Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.

Jelasnya, bagi perlawanan itu pasukannya mempunyai peluang untuk menghasilkan gol namun peluang tersebut tidak dimanfaatkan bahagian jentera serangan skuad kendaliannya.

Dalam pada itu, Sathianathan turut menegur tindakan pengadil dalam melakukan pengadilan, yang baginya dianggap tidak adil terutama ketika waktu tambahan.

“Anda hanya memberi masa tambahan empat minit dan pada masa yang sama, ada pemain yang jatuh dalam permainan. Saya tidak faham dengan situasi itu. Itu tidak termasuk pertukaran pemain dan lain-lain.

“Ada dalam situasi ini memberi kelebihan (untuk pasukan tertentu). Sekiranya pengadil adalah sangat tegas, tidak ada pemain yang akan ambil kesempatan. Ia membunuh permainan. Oleh itu, saya berharap pengadil mempunyai keberanian dalam mengatur masa perlawanan dengan betul. Saya hanya membantu untuk meningkatkan bola sepak dan saya tidak bercakap buruk tentang mereka,” katanya.

Selangor akan menentang Sabah dalam perlawanan seterusnya pada Jumaat ini dalam misi memburu kemenangan pertama mereka selepas Liga Super ditangguhkan ekoran pandemik COVID-19 yang melanda negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Red Giants harus baiki kelemahan sebelum liga bersambung

SHAH ALAM, 6 OGOS: B Sathianathan berpuas hati dengan persembahan anak buahnya ketika menewaskan Pulau Pinang 4-1 dalam perlawanan persahabatan di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) semalam.

Bagaimanapun beberapa kelemahan perlu diatasi segera menjelang aksi CIMB Liga Super yang akan disambung bermula 26 Ogos ini.

“Saya gembira dengan persembahan pemain yang memberi komitmen tinggi. Walaupun menang 4-1 saya rasa kita boleh perbaiki beberapa perkara selepas ini,” kata jurulatih Red Giants ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau mengakui pemain masih sukar mendapatkan rentak sebenar terutama dari segi hantaran dan larian dengan bola apabila beraksi buat pertama kali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Red Giants akan beraksi dalam satu lagi perlawanan persahabatan menentang UiTM FC Sabtu ini sebagai persediaan menjelang pertemuan dengan PJ City 27 Ogos hadapan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sesi latihan lancar, Selangor atur aksi persahabatan

SHAH ALAM, 28 JULAI: Persiapan Selangor untuk mengharungi baki perlawanan Liga Malaysia musim ini berjalan lancar selepas beberapa tonggak utama kembali menyertai kem latihan.

Ketua jurulatihnya berkata pasukan kini merancang mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan bagi memantapkan kembali corak permainan selepas semua aktiviti bola sepak dihentikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

“Sesi latihan kita semuanya berjalan seperti dirancang cuma tunggu keputusan untuk adakan perlawanan persahabatan dalam masa terdekat,” kata B Sathianathan ketika dihubungi Selangorkini.

Beliau berkata hanya pemain import Ifedayo Olusegun tidak berlatih bersama Red Giants kerana belum mendapat pelepasan meninggalkan Nigeria sementara pemain Singapura Safuwan Baharudin selesai menjalani kuarantin wajib baru-baru ini.

Selangor bersama semua pasukan lain kembali berlatih selepas mendapat kebenaran Liga Bolasepak Malysia (MFL) bermula 16 Jun lalu.

Aksi CIMB Liga Super akan bersambung 26 Ogos serentak dengan Liga Premier manakala saingan TM Piala Malaysia bermula 17 dan 18 Oktober.

Categories
AGENDA NASIONAL

Patuh SOP, jangan jejas periuk nasi kami – Sathianathan

SHAH ALAM, 27 JULAI: Semua pihak terutamanya yang terlibat secara langsung dalam industri bola sepak, diminta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan, supaya tidak menjejaskan ‘periuk nasi’ mereka yang terlibat dalam industri sukan nombor satu negara itu.

Ketua jurulatih Selangor, B Sathianathan berharap, pelbagai pihak tidak mengambil mudah mengenai SOP bagi mengelak kes wabak Covid-19 meningkat, sehingga memaksa penangguhan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadual bersambung semula pada 26 Ogos ini.

“Janganlah yang memakai ‘pink strap’ (gelang perintah pengawasan) pun boleh pergi minum kopi dan kedai makan. Saya berharap kerajaan terus bertegas. Bagi pemain Selangor, saya sentiasa mengingatkan mereka patuhi SOP dan larang mereka lawat kawasan yang mempunyai ramai orang.

“Ini periuk nasi kita, kita kena jaga. Jangan sampai pemain kena (Covid-19), liga ditangguhkan. Kita kena jaga industri bola sepak kita,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi latihan skuad Selangor di padang Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Berikutan itu, Sathianathan hanya memberi cuti dua hari sempena sambutan Aidiladha pada Jumaat ini, kepada pemain skuad Gergasi Merah beraya dengan keluarga, sekali gus mengurangkan risiko dengan mengelak pemain melawati tempat tumpuan ramai.

Sebelum ini, semua pemain, staf kejurulatihan dan pengurusan pasukan Kuching FA, diarahkan menjalani kuarantin di rumah selepas seorang pemain pasukan itu, yang bertugas di sebuah hospital disahkan positif virus itu dan diklasifikasikan dari Kluster Hospital Sentosa.

Sementara itu, Sathianathan mengesahkan Selangor bakal mengharungi enam perlawanan persahabatan sebagai aksi pemanas badan bermula 2 Ogos, sebelum Liga Super disambung semula.

“Kita akan beraksi menentang pasukan yang bukan beraksi di Liga Super seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang (dari Liga Premier), serta pasukan yang kita dah lawan dalam perlawanan liga musim ini seperti Terengganu.

“Perlawanan persahabatan ini akan berlangsung di tempat sendiri dan lawan,” kata pengendali skuad kebangsaan berusia 62 tahun itu.

Beliau menjelaskan semua pemain skuad Merah Kuning cergas untuk beraksi, kecuali penyerang import dari Sepanyol Rufino Segovia, yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan sejak tahun lepas, dan hanya diturunkan sebagai pemain gantian dalam empat aksi musim ini, sebelum liga ditangguh sejak 16 Mac lepas.

Selangor kini berada di kedudukan kelima Liga Super 2020, selepas mengumpul lima mata daripada empat perlawanan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Lega latihan bersentuhan dibenar, Selangor susun corak permainan

SHAH ALAM, 12 JULAI: Selangor menyambut baik kebenaran untuk berlatih secara bersentuhan kerana ia memberi lebih ruang untuk menyusun corak permainan bagi mengharungi Liga Super yang akan disambung semula selepas ini.

B Sathianathan berkata paling penting semua pasukan kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) untuk memastikan keselamatan dan kesihatan dalam mencegah penularan Covid-19.

“Syukur kepada semua pihak yang memberi kelulusan untuk mulakan latihan secara bersentuhan. Kita dapat berlatih secara normal dengan syarat yang sama untuk bersiapan latihan.

“Kita juga akan meneruskan sesi latihan sehari sekali seperti ditetapkan sebelum ini,” kata ketua jurulatih Merah Kuning kepada SelangorKini.

Beliau berkata Red Giants akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bagi meningkatkan persefahaman antara pemain selepas berehat panjang dan berlatih bersendirian.

Selangor sebelum ini kembali menjalani latihan sejak 15 Jun lalu selepas semua pemain disahkan negatif Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Sathianathan: Terus disiplin, Luqman Hakim boleh jadi inspirasi belia

SHAH ALAM, 6 JULAI: Peluang menyertai kelab divisyen 1 Belgium KV Kortrijk perlu dimanfaatkan sepenuhnya Luqman Hakim Shamsudin dengan mempamerkan disiplin tinggi dan bekerja keras.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia B Sathianathan yang gembira dengan perkembangan ini percaya penyerang muda negara berusia 18 tahun itu mampu menjadi inspirasi kepada belia lain.

“Terus bekerja keras dan berdisiplin, biar (sampai) jadi idola kepada generasi muda untuk mengikut langkah bermain di Eropah,” kata ketua jurulatih Selangor ketika dihubungi Selangorkini.

Kelmarin, Persatuan Bolasepak Selangor mengesahkan perpindahan Luqman Hakim selepas mencapai persetujuan bersama KV Kortrijk dan langkah itu mampu memperkukuhkan karier profesionalnya ke peringkat seterusnya.

Bekas pemain remaja Red Giants dinobatkan sebagai salah satu bakat terbesar negara oleh Goal Malaysia dalam senarai NxGn 2020.

Beliau juga menjadi penjaring terbanyak AFC U-16 walaupun hanya bermain dua perlawanan dan pada masa sama menjadi tonggak penting membantu skuad remaja negara pada Kejuaraan Remaja AFF U-19, tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Twitter turut mengucapkan tahniah dan selamat berjaya kepada Luqman Hakim.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Beri peluang pemain Selangor 2 bukti kemampuan

SHAH ALAM, 25 JUN: Barisan pemain muda Selangor 2 termasuk penyerang sensasi skuad Bawah 18 Tahun (B-18) kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin berpeluang diserapkan ke dalam pasukan utama Selangor musim ini.

Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan tidak menafikan perkara itu yang juga menjadi harapan sebahagian penyokong skuad Gergasi Merah untuk melihat lebih ramai pemain muda terutama Luqman Hakim diberikan tempoh permainan dalam skuad utama.

Sathianathan berkata beliau mengamalkan sifat keterbukaan dalam memberi peluang kepada pemain muda membuktikan kemampuan di peringkat tertinggi, namun seseorang pemain itu harus ‘membeli’ kepercayaannya terlebih dahulu.

“Saya sudah pernah peluang kepada Indra (Indra Putra Mahayuddin), Shukor (Muhammad Shukor Adan) dan Hairuddin (Hairuddin Omar) dan ramai lagi pemain muda. Saya tidak kisah tetapi atas nama saja saya tidak boleh bagi.

“Pada saya, persembahan enam hingga lapan bulan lepas yang baik ditampilkan itu sejarah. Saya ingin lihat persembahan sekarang. Jadi saya tunggu laporan Michael (Michael Feichtenbeiner) ketua jurulatih Selangor 2. Berdasarkan laporan dan pemerhatian, saya sudah pilih lima pemain,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Jurulatih berusia 62 tahun itu berkata kapten skuad B-18 negara, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi antara salah seorang daripada lima pemain muda Selangor 2 yang berada dalam radarnya.

Peluang Luqman Hakim yang dilaporkan sedang mempertimbangkan tawaran menyertai pasukan Liga Profesional Belgium, KV Kortrijk, selain dilaporkan dirisik beberapa kelab Eropah, untuk diserapkan ke dalam skuad utama Selangor tampak cerah jika beliau cemerlang dalam kempen Liga Premier bersama Selangor 2.

Menurut Sathianathan, pemain muda perlu mencabar diri untuk membuktikan kemampuan merebut posisi yang kebiasaannya diisi pemain import jika mengintai peluang menembusi barisan pemain utama.

“Jadi ramai ada peluang, tetapi kena tunjuk. Jangan atas nama saja, pemain kena tunjuk aksi dalam padang untuk saya serap bersama Selangor. Tidak kira sesiapa pun, kalau Selangor 2 ada pemain tua pun saya boleh ambil kalau dia beraksi dengan baik.

“Istilah pemain muda kalau dia sekarang berumur 18 atau 19 dia bukan muda lagi, tetapi apa yang buat saya masukkan seseorang berbakat tinggi itu dalam pasukan…adakah dia lebih baik daripada pemain import yang kita ada di posisi itu. Kedua, adakah dia menyinar bersama Selangor 2?,” jelasnya.

Selangor kini berada di kedudukan kelima, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas bergelut di permulaan musim dengan sekadar mencatat satu kemenangan dan dua seri dalam empat aksi pertama Liga Super.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Red Giants kembali berlatih selepas saringan Covid-19

SHAH ALAM, 13 JUN: Pasukan Selangor akan kembali menjalani latihan bermula 16 Jun ini selepas selesai menjalani ujian saringan Covid-19, kata ketua jurulatihnya.

B Sathianathan berkata pemain akan dibahagikan kepada kumpulan kecil bermula dengan sesi latihan kecergasan dan teknik individu selama dua minggu.

“Saringan Covid-19 kita akan lakukan pada 15 Jun ini. Pemain akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan jumlah maksimum lapan orang bersama empat jurulatih,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya kini sedang menguruskan kepulangan dua pemain Red Giants iaitu Ifedayo Olusegun yang berada di Nigeria dan Safuwan Baharudin di Singapura untuk kembali bersama pasukan.

Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia berharap aksi musim ini dapat disambung semula seperti dirancang Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas semua pasukan dilarang mengadakan latihan, perlawanan persahabatan dan mengurangkan pergerakan sejak 17 Mac lalu.

Categories
SELANGOR

Selangor beri ‘kerja rumah’ tingkat kecergasan pemain

SHAH ALAM, 24 MAC: Selangor memantau sesi latihan menerusi video yang perlu dihantar pemain setiap hari susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, kata jurulatihnya.

B Sathianathan berkata ‘kerja rumah’ itu perlu disiapkan bagi memastikan semua pemain mengekalkan kecergasan walaupun tanpa sesi latihan luar seperti sebelum ini.

“Mereka (pemain) kena isi borang latihan setiap hari. Pemain diberitahu mereka akan diuji dengan ujian yo yo dan juga kawalan berat badan.

“Ujian yo yo adalah cara kita menguji ketahanan pemain,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pemain turut dibekalkan dengan program pemulihan sebagai persediaan menghadapi latihan apabila kembali melapor diri nanti.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan pada 17 Mac lalu melarang semua pasukan mengadakan latihan, perlawanan persahabatan dan mengurangkan pergerakan sehingga perintah berakhir 31 Mac ini.

Red Giants kini mengumpul lima mata selepas empat perlawanan dan mereka tewas 2-0 kepada Kedah sebelum saingan liga dihentikan buat sementara waktu.

Categories
SELANGOR

Sathia setia tunggu Rufino pulih

SHAH ALAM, 3 FEB: Selangor tetap berharap pemain importnya, Rufino Segovia kembali pulih daripada kecederaan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini selepas proses pemulihannya menunjukkan perkembangan positif.

Jurulatihnya, B Sathianathan berkata proses pemulihan pemain Sepanyol masih dipantau rapi dan sudah mula menjalani latihan secara individu walaupun belum beraksi termasuk dalam perlawanan persahabatan, lapor Berita Harian.

“Secara individu dia nampak tiada masalah cuma dia belum berlatih sepenuhnya bersama skuad dan belum diuji apabila berdepan lawan.

“Kalau Februari atau Mac dia main satu perlawanan pun saya sudah puas hati. Tapi apa yang saya risau jika kecederaannya berulang,” kata Sathianathan.

Penjaring terbanyak Liga Super 2018 pernah berehat panjang akibat kecederaan musim lalu dan nasib sama terus menimpanya musim ini.

Sathianathan turut mengakui belum ada perancangan mahu mengekalkan atau menukar Rufino dengan pemain import lain namun akan meneliti perkembangannya menerusi perlawanan persahabatan yang akan diadakan.