Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan aktif dua hari sebabkan jumlah kes Covid-19 tinggi di Sarawak

KUCHING, 1 OGOS: Jumlah kes positif Covid-19 yang tinggi di Sarawak dilaporkan pada 28 Julai disebabkan aktiviti saringan secara aktif selama dua hari berturut-turut oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching di kluster-kluster di bahagian itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Chin Zin Hing berkata hasil aktiviti pada 26 dan 27 Julai itu, ramai orang awam dalam kalangan mereka yang dikenal pasti telah diambil swab untuk ujian dan terdapat sebilangan daripada mereka telah dikesan positif Covid-19.

“JKNS juga telah sedia maklum tentang aduan terdapatnya individu yang telah dirujuk dan dimasukkan ke hospital serta dikaitkan dengan kes positif Covid-19 tetapi tidak diambil kira sebagai kes sepertimana yang dilaporkan kepada JPBN (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri) oleh JKNS,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong Wui Wui di media sosial semalam yang mempersoalkan jumlah kes Covid-19 yang tinggi pada 28 Julai, selain dakwaan ada kenalannya yang positif penyakit itu tidak dimasukkan dalam statistik jabatan berkenaan.

Menurut Dr Chin, mereka disyaki positif penyakit itu tidak akan dikira tetapi akan melalui proses ujian saringan ulangan terlebih dahulu bagi mendapatkan keputusan sebenar status mereka dan diasingkan daripada pesakit-pesakit lain di hospital terlebih dahulu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bukan warganegara diperintah jalani kuarantin sebaik tiba di Sarawak

KUCHING, 29 JULAI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan semua bukan warganegara Malaysia yang ingin memasuki Sarawak dari luar negara, tidak perlu menjalani ujian RT-PCR sebelum berlepas dari negara asal, namun perlu dikuarantin sebaik tiba.

Timbalan Ketua Menteri, merangkap pengerusi jawatankuasa itu Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sebaik tiba di Sarawak, mereka akan dikuarantin selama 14 hari dan diambil ujian RT-PCR pada hari kedua dan hari ke-10, dengan kos kuarantin dan ujian ditanggung sendiri.

Beliau berkata untuk pekerja industri minyak dan gas; bagi warganegara Malaysia dari Semenanjung (Malaysia), Labuan, Sabah dan warganegara asing; mereka akan berada di pusat kuarantin selama 14 hari, dan ujian RT-PCR akan diambil pada hari kedua dan ke-10.

“Sekiranya negatif, mereka akan dibenarkan untuk ke pelantar,” katanya pada sidang media harian JPBN di Bangunan Lama Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Sarawak merekodkan 25 kes positif Covid-19 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri ini sebanyak 675 kes.

Satu kluster baharu yang dikenali sebagai kluster Pasar Satok telah diisytiharkan oleh Kementerian Kesihatan, dengan jumlah keseluruhan kluster Covid-19 yang masih aktif di Sarawak adalah 10.

Uggah seterusnya mengumumkan Daerah Kuching kini bertukar status dari zon Kuning kepada zon Merah selepas 16 kes tempatan baharu dilaporkan di Kuching, menjadikan kini jumlah keseluruhannya sejak 14 hari lepas menjangkau 53 kes.

“Daerah Samarahan, Serian, Bau dan Lundu pula bertukar status daripada zon Hijau kepada zon Kuning. Daerah yang masih berstatus hijau kini berjumlah 35 daerah,” katanya.

Semalam JPBN Sarawak mengumumkan dalam tempoh 1 hingga 14 Ogos, operasi peniagaan di Zon Satu (zon Kuning/Merah COVID-19) iaitu Kuching, Samarahan dan Serian dihadkan dari pukul 6 pagi sehingga 10 malam.

“Ia memang amat menyedihkan kerana kita terpaksa mengenakan langkah ini sekali lagi. Kita faham bahawa banyak perniagaan akan terjejas teruk dengan langkah ini, namun ia perlu dilakukan bagi membolehkan kita mengawal penularan jangkitan ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Sarawak mungkin laksana sekatan perjalanan

KUCHING, 25 JULAI: Sarawak mungkin mengenakan sekatan perjalanan terhadap pelancong atau masyarakat luar yang ingin memasuki negeri itu jika situasi penularan tempatan Covid-19 terus meningkat.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata walaupun ia akan menjejaskan industri pelancongan, langkah itu perlu memandangkan ia satu-satunya kaedah untuk memutuskan rantaian penularan pandemik tersebut.

“Tanpa sebarang amaran, terdapat peningkatan yang mendadak (kes Covid-19) dan ini bukan jangkitan dari luar sebaliknya jangkitan tempatan dan menunjukkan bagaimana bahayanya kalau kita tidak menjaga pergerakan kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Beccari Discovery Trail di Bukit Matang di sini.

Beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sentiasa memantau situasi semasa penularan Covid-19 di negeri itu khususnya di Bahagian Kuching dan Samarahan yang menunjukkan peningkatan ketara sejak seminggu lepas.

Sebelum peningkatan itu, Abdul Karim berkata kadar kemasukan pelancong ke Sarawak sudah mula menunjukkan kenaikan dengan purata kadar penghunian hotel di antara 50 dan 60 peratus dicatatkan sejak bulan Jun sehingga kini.

“Kita menjangkakan pada bulan September nanti kadar ketibaan pelancong ke negeri ini akan kembali seperti biasa,” katanya.

Menyentuh Beccari Discovery Trail yang dilancarkan hari ini, Abdul Karim berkata kawasan itu berpotensi dibangunkan sebagai antara tarikan pelancongan baharu di Sarawak.

“Tempat ini agak dekat iaitu kira-kira 17 kilometer dari bandar Kuching serta mempunyai nilai sejarah yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata seorang ahli botani terkenal Odoardo Beccari pernah menjalankan penyelidikan berkaitan flora dan fauna di kawasan itu ketika era pemerintahan Raja Putih kedua iaitu Rajah Charles Brooke.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis ambil pendekatan lebih agresif kekang penularan Covid-19 di Sarawak

KUCHING, 24 JULAI: Pendekatan lebih agresif akan diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya penularan gelombang kedua Covid-19 di Sarawak mencatatkan peningkatan yang membimbangkan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata pihak polis tidak akan berkompromi dengan tindakan segelintir individu yang sengaja mengabaikan aspek keselamatan dan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan wabak berkenaan.

“Bukan sahaja kompaun, kita akan melaksanakan tangkapan sebab kita masih ada undang-undang yang membolehkan kita menangkap dan sebagainya mereka ini yang sengaja tidak mempedulikan serta mengabaikan semua aspek SOP yang telahpun digariskan,” katanya.

Tindakan sedemikian terpaksa dilakukan bagi memastikan segala usaha yang telah dilaksanakan kerajaan dalam menangani wabak Covid-19 tidak sia-sia, kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan Sijil Penghargaan Ketua Polis Negara kepada 60 pegawai dan anggota Batalion Ke-11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak di sini hari ini.

Menurut Mazlan, statistik kompaun yang dikenakan terhadap orang awam yang melanggar SOP juga menunjukkan peningkatan ekoran pemantauan agresif dan berterusan oleh pasukan petugas pemantau itu.

“(Usaha memastikan pematuhan SOP) ini merupakan satu perkara yang harus kita lipat gandakan supaya masyarakat khususnya di sini tidak ambil mudah situasi semasa penularan wabak Covid-19,” katanya.

Mengenai cadangan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuching, beliau berkata perkara itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak manakala pihak polis akan membantu memantau dan mengenakan kawalan lebih ketat berhubung perlaksanaan SOP oleh semua pihak yang terlibat.

Menyentuh majlis yang dihadirinya itu, beliau berkata penghargaan itu diberikan kepada anggota dan pegawai terbabit kerana berjaya menolak tawaran rasuah sekali gus mengekalkan integriti pasukan Polis Diraja Malaysia.

“Jumlah rasuah yang berjaya ditolak anggota dan pegawai ini adalah lebih kurang RM163,000 iaitu sepanjang 2009 sehingga 2020 dan ini jelas satu nilai yang besar,” katanya.

– BERNAMA