Categories
AGENDA GLOBAL

Kru kapal dari Malaysia antara enam kes import Covid-19 di Singapura

SINGAPURA, 25 FEB: Seorang lelaki warga Malaysia berusia 51 tahun merupakan antara enam kes import baharu Covid-19 dilaporkan di Singapura pada Rabu, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Kementerian itu memaklumkan lelaki berkenaan adalah seorang kru kapal yang tiba dari Malaysia dan diuji semasa berada di atas kapal.

Pemegang pas lawatan jangka pendek itu tidak menunjukkan gejala, menurut kementerian itu dalam data penuh yang dikeluarkan di sini lewat malam tadi.

Kes import lain ialah dari India, Indonesia, Jepun dan Sri Lanka.

Mereka merupakan antara tujuh kes baharu dicatatkan di Singapura pada Rabu manakala satu lagi kes adalah penularan tempatan, menjadikan jumlah jangkitan di negara ini kepada 59,890 kes.

Setakat ini, kementerian mengklasifikasikan 3,056 daripada kes dilaporkan sebagai import, 2,323 adalah kes komuniti dan 54,511 kes melibatkan penghuni asrama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Dua rakyat Malaysia antara kes import baharu di Singapura

SINGAPURA, 7 FEB: Dua rakyat Malaysia adalah antara 26 kes import baharu Covid-19 yang dilaporkan di Singapura pada Sabtu, demikian menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Menurut data penuh yang dikeluarkan kementerian itu di sini lewat malam tadi, kes tersebut masing-masing membabitkan seorang lelaki berusia 38 tahun dan wanita berusia 35 tahun, adalah pemegang permit kerja yang tiba dari Malaysia.

Setakat tengah hari Sabtu, tiada kes baharu jangkitan tempatan dilaporkan di sini dan semua kes adalah diimport, sekali gus menjadikan keseluruhan kes 59,675.

Daripada 26 kes baharu yang diimport itu, 25 adalah tanpa gejala manakala satu-satunya kes bergejala membabitkan wanita rakyat Malaysia.

Kes import lain adalah dari Bangladesh, Gabon, India, Indonesia, Jerman, Myanmar, Filipina, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Seorang lelaki rakyat Singapura berusia 39 tahun yang pulang dari Malaysia juga merupakan antara kes import tanpa gejala di sini.

Setakat ini, terdapat tiga kluster di Singapura.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Lelaki Malaysia antara 54 kes import di Singapura

SINGAPURA, 31 JAN: Seorang lelaki Malaysia berusia 21 tahun merupakan antara 54 kes import asimptomatik yang dilaporkan di Singapura pada Sabtu, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Kementerian itu menerusi data penuh yang dikeluarkan lewat malam tadi memaklumkan pemegang permit kerja itu baru tiba dari Malaysia.

Setakat tengah hari Sabtu, Singapura mencatatatkan 55 kes import baharu iaitu 54 adalah asimptomatik manakala satu kes bergejala.

Kes import lain ialah dari Bangladesh, Bahrain, Perancis, India, Indonesia, Myanmar, Rusia, Romania, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat.

Seorang lelaki Singapura berusia 51 tahun yang kembali dari Malaysia juga merupakan antara kes import asimptomatik atau tidak menunjukkan gejala.

Terdapat tiga jangkitan penularan tempatan Covid-19 pada Sabtu, semuanya asimptomatik menjadikan jumlah kes kepada 59,507 di republik itu.

Satu daripada kes berkenaan melibatkan lelaki Singapura berusia 72 tahun iaitu kakitangan Certis Cisco yang bekerja sebagai pegawai pemeriksaan penerbangan di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi.

Keputusan ujian Covid-19 lelaki itu kembali positif pada 29 Jan manakala ujian serologinya negatif, menunjukkan bahawa ia mungkin jangkitan baharu.

Lelaki berkenaan menerima dos pertama vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech pada 25 Jan di pusat vaksinasi di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi.

“Memandangkan vaksin itu tidak mengandungi virus hidup, tidak mungkin dia dijangkiti akibat vaksinasi. Ada kemungkinan bagi seseorang dijangkiti sebelum atau sesudah vaksinasi kerana biasanya ia memerlukan beberapa minggu untuk individu itu membina imuniti selepas menyelesaikan vaksinasi,” menurut kenyataan itu.

Dua kluster di Singapura tamat pada Sabtu, menjadikan jumlah empat kluster pada masa ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Pemuda Malaysia antara 23 kes import di Singapura

SINGAPURA, 30 JAN: Seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 27 tahun adalah antara 23 kes import baharu Covid-19 tidak bergejala yang dilaporkan di Singapura pada Jumaat, demikian menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Menurut data penuh kementerian yang dikeluarkan di sini lewat malam tadi, lelaki pemegang permit kerja itu tiba dari Malaysia.

Setakat tengah hari semalam, Singapura mencatatkan sebanyak 24 kes baharu yang diimport dengan 23 kes tidak bergejala manakala satu kes mengalami gejala.

Kes lain yang diimport adalah dari India, Indonesia, Myanmar, Sepanyol, Filipina, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Ukraine.

Republik itu melaporkan tiada jangkitan Covid-19 tempatan pada Jumaat sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 59,449.

Kementerian juga memaklumkan bahawa telah selesai menjalankan operasi saringan khas terhadap pekerja yang bertugas dari 31 Dis 2020 di Jewel Changi Airport dan kedai serta tempat makan awam di Terminal 3, Lapangan Terbang Changi.

Ia adalah langkah pencegahan setelah penjujukan genom keseluruhan dan analisis filogenetik yang dikendalikan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan mendedahkan bahawa tiga kes Covid-19 yang dilaporkan sebelum ini telah diuji positif bagi varian B117 dan mungkin mempunyai kaitan.

“Keseluruhannya sebanyak 409 kakitangan diuji dan semua hasilnya negatif jangkitan Covid-19,” menurutnya.

Dilaporkan terdapat sebanyak 25 kes varian B117 telah dikesan di Singapura pada 26 Jan lepas, antaranya melibatkan lima kes komuniti dan 20 kes import dari Eropah.

Varian B117 yang ditemukan di United Kingdom dikatakan lebih berbahaya berbanding strain Coronavirus sedia ada.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kanak-kanak rakyat Malaysia antara 42 kes import di Singapura

SINGAPURA, 11 JAN: Dua rakyat Malaysia termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun yang tiba dari Austria merupakan antara 42 kes import Covid-19 yang dilaporkan di Singapura semalam.

Dilabelkan sebagai Kes 59,155, pemegang pas tanggungan itu yang tidak bergejala didapati ujian serologikalnya positif, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu menerusi data penuh yang dikeluarkan di sini malam tadi.

Kes kedua pula melibatkan wanita Malaysia berusia 35 tahun yang merupakan pemegang permit kerja.

Dilabelkan sebagai kes 59,145, kementerian itu memaklumkan wanita itu yang tidak bergejala tiba dari Malaysia.

Sementara itu, dua warga Singapura yang kembali dari Malaysia juga didapati positif Covid-19.

Setakat tengah hari Ahad, republik itu melaporkan sejumlah 42 kes baharu, kesemuanya import menjadikan jumlah keseluruhan kepada 58,907 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, kementerian memberitahu 40 tidak menunjukkan gejala dan dikesan daripada pengawasan dan saringan aktif, manakala dua kes lagi bergejala.

Kesemua mereka dikenakan notis duduk di rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Rakyat Malaysia antara tujuh kes import Covid-19 di Singapura

SINGAPURA, 8 NOV: Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan seorang rakyat Malaysia berusia 36 tahun, merupakan antara tujuh kes import Covid-19 yang telah diumumkan pada Sabtu.

Diletakkan sebagai kes 58,239, beliau merupakan seorang pemegang pas kerja yang tiba dari Malaysia.

Beliau merupakan antara lima yang tidak begejala dan telah dikesan daripada saringan dan pemerhatian kementerian itu, manakala dua lagi merupakan mereka yang bergejala.

Kementerian itu dalam data penuh yang dikeluarkan lewat Sabtu menyatakan kesemua kes import itu telah diletakkan di bawah Notis Duduk di Rumah sebaik tiba di Singapura

Singapura melaporkan tujuh kes baru semalam dengan kesemuanya kes import menjadikan jumlah keseluruhan kepada 58,054.

Sehingga kini Singapura telah mengklasifikasikan 1,238 sebagai kes import, 2,270 kes komuniti dan 54,501 kes pekerja tinggal di asrama pekerja

Kluster Westlite Toh Guan Dormitory di Toh Guan Road East, telah ditutup pada Sabtu, selepas tiada lagi kes baru selepas tempoh inkubasi 28 hari.

Kesemuanya, 57,968 telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah didiscaj daripada hospital atau pusat penjagaan komuniti.

Terdapat 34 kes yang disahkan masih berada di hospital namun tiada berada di unit rawatan rapi.

Sementara 24 yang bergejala ringan atau secara klinikalnya sihat, tetapi masih diuji positif Covid-19, telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Sehingga kini 28 orang maut akibat komplikasi Covid-19 di republik itu, dengan dua yang pertama dilaporkan pada 21 Mac.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Singapura catat 42 kes baharu, jumlah dijangkiti kini 57,357

SINGAPURA, 12 SEPT: Singapura melaporkan 42 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan kepada 57,357.

“Berdasarkan siasatan kami setakat ini, terdapat empat kes dalam komuniti iaitu satu Penduduk Tetap Singapura dan tiga pemegang Pas Kerja,” menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam data ringkas yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kementerian itu memaklumkan bahawa terdapat juga 10 kes import, yang semuanya telah dikenakan Notis Duduk Di Rumah sebaik sahaja tiba di Singapura.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan pada lewat semalam, MOH mengklasifikasikan 973 kes yang dilaporkan sebagai diimport, 2,233 sebagai kes komuniti dan 54,109 melibatkan penghuni asrama.

Menurut MOH, kes import dikeluarkan daripada jumlah keseluruhan kes semalam kerana kes tersebut telah menunjukkan rekod perubatan yang menyatakan dia sebelumnya telah sembuh daripada jangkitan Covid-19.

Sebanyak 56,607 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan 49 kes disahkan masih berada di hospital tetapi tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sementara itu, 632 pesakit yang mengalami gejala ringan atau sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif untuk Covid-19, telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di republik itu.

Kluster baharu dikenal pasti semalam di SCM Tuas Lodge, 80 Tuas South Boulevard.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Singapura catat 75 kes baharu Covid-19, 14 kes import

SINGAPURA, 9 SEPT: Singapura dalam pengesahan awal memaklumkan tambahan 75 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan 14 kes import.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dalam data ringkas yang dikeluarkan di sini hari ini, semua kes import itu diserahkan Notis Duduk Di Rumah sebaik tiba di republik itu.

Kementerian itu berkata terdapat satu kes komuniti manakala 60 kes lain membabitkan penghuni asrama.

Dengan perkembangan baharu itu, jumlah keseluruhan kes di republik ini mencecah 57,166 kes.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, republik itu mengklasifikasikan 940 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,230 kes komuniti dan 53, 921 melibatkan penghuni asrama.

Seramai 56,461 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan 48 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dan tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sementara itu, 555 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau sihat secara klinikal tetapi diuji positif bagi Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di republik ini.

Singapura mengenal pasti satu lagi kluster baharu semalam iaitu S11 Dormitory@Punggol di Seletar North Link.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Singapura catat 188 kes baharu, 12 import, satu dalam komuniti

SINGAPURA, 10 OGOS: Singapura melaporkan sejumlah 188 kes baharu jangkitan Covid-19 bagi tempoh 24 jam lepas, dengan 12 daripadanyua adalah kes import dan satu kes dalam komuniti.

Tiada kluster baharus dikesan semalam, dan angka terbaharu itu mejadikan jumlah keseluruhan jangkitan dalam negara republik itu kini 55,292.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura di sini hari ini, semua kes import melibatkan mereka yang dikenakan arahan Notis Tinggal di Rumah, sebaik tiba di Singapura dan kes dalam komuniti didapati melibatkan seorang rakyat Singapura.

Majoriti kes melibatkan pemegang permit kerja, dan mereka kini menjalani kuarantin.

Dalam data penuh yang dikeluarkan hujung Ahad, kementerian itu berkata ujian ke atas semua asrama telah dilaksanakan pada 5 Ogos, dengan sebahagian ujian masih sedang diproses.

Kementerian itu berkata ketika ini kira-kira 23,500 pekerja masih menjalani tempoh pengasingan di kemudahan kuarantin.

“Kumpulan pekerja ini akan diuji apabila tempoh pengasingan mereka tamat, dan kita jangka jumlah kes kekal tidak berubah dalam beberapa hari akan datang, sebelum jumlahnya kemudian mulai berkurangan,” menurutnya.

Sehingga tengah hari semalam, Singapura mengklasifikasikan 748 daripada kes-kes yang dilaporkan adalah kes import, manakala 2,192 adalah kes dalam komuniti, dan 52,164 sebagai kes melibatkan penghuni asrama.

Sejumlah 48,915 pesakit atau kira-kira 89 peratus, telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan jagaan komuniti di sini.

Sementara itu 135 kes yang disahkan masih berada di hospital, namun tiada yang dirawat di unit rawatan rapi.

Sejumlah 6,027 kes simpton ringan, atau sihat secara klinikal namun masih diuji positif Covid-19, telah diasingkan dan dijaga di kemudahan komuniti.

Sehingga kini 27 orang telah meninggal dunia akibat pelbagai komplikasi yang berkaitan dengan jangkitan Covid-19 di Singapura.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Singapura selaras sekatan sempadan tiga kawasan

SINGAPURA, 18 JULAI: Singapura sedang membuat pelarasan sekatan sempadannya bersesuaian dengan situasi Covid-19 di negara lain dan risiko kes jangkitan import, menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian mengenai Covid-19 republik itu.

Pelawat yang tiba di Singapura selepas 11.59 malam Ahad ini dan mempunyai sejarah perjalanan termasuk transit di Victoria, Australia, Jepun dan Hong Kong perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di tempat kemudahan yang disediakan dan bukan di kediaman mereka.

Pengerusi bersama pasukan petugas itu, Lawrence Wong berkata mereka perlu mengambil ujian Covid-19 sebelum mengakhiri SHN.

Katanya, semua pelawat yang meninggalkan Singapura dari 27 Mac lalu walaupun terdapat nasihat perjalanan, dan pelancong yang bukan warga Singapura atau penduduk tetap diwajibkan membayar kos penginapan di kemudahan SHN yang ditetapkan itu.

“Ini adalah perubahan yang sedang kami laksanakan. Saya fikir ia bukanlah sesuatu yang baharu kerana kerajaan telah berulang kali menekankan langkah sekatan sempadan Singapura tidak statik,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Negara.

“Kami terus mengkaji semula dan mengemas kininya berdasarkan penilaian kami mengenai keadaan penularan virus di pelbagai negara di seluruh dunia,” kata Wong pada sidang media secara maya, semalam.

Beliau berkata ia adalah tindakan yang dilaksanakan bagi memastikan dapat mengawal jangkitan dan penularan wabak itu dalam masyarakat.

“Kita mungkin akan melakukan langkah yang lebih ketat selepas menilai keadaan semasa,” katanya.

Menurutnya pendirian kerajaan itu mungkin tidak berubah dalam tempoh terdekat susulan peningkatan kes di luar negara.

Di peringkat global, kini terdapat lebih daripada 13 juta kes Covid-19 yang dilaporkan dengan lebih daripada 500,000 kematian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

96 peratus kes baharu Covid-19 di Singapura libatkan kluster asrama

SINGAPURA, 21 APRIL: Kira-kira 96 peratus daripada kes baharu jangkitan Covid-19 di Singapura semalam melibatkan pemegang permit kerja yang tinggal di lebih 25 asrama kluster di sini.

Peningkatan terbesar kes harian semalam yang menjangkau sehingga 1,426 kes positif, menjadikan jumlah keseluruhan di negara ini kini berjumlah 8,041.

Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan berkata peningkatan ketara itu berpunca daripada penghuni asrama, disebabkan ujian yang ditingkatkan di kawasan berkenaan.

“Sebilangan besar kes ini melibatkan penyakit ‘ringan’ dan dipantau di fasiliti isolasi komuniti atau wad umum hospital. Tidak ada antara mereka yang ditempatkan di unit rawatan rapi,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini lewat malam tadi.

Setakat Isnin, tiada kes import dilaporkan, hanya 25 kes dalam komuniti dan 32 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tinggal di luar asrama.

Setakat ini Singapura telah mewartakan 18 daripada lebih 25 asrama berkenaan sebagai kawasan isolasi, dengan asrama yang paling terkesan menempatkan penghuni dari Bangladesh, India, China dan Myanmar.

Kluster terbesar di Singapura ialah S11 Dormitory @ Punggol, Seletar North Link, dengan kes yang disahkan berjumlah 1,977.

Dengan angka terbaharu, Singapura yang mengesahkan kes pertama jangkitan Covid-19 di negara pulau itu pada 23 Januari lepas, kini merekodkan jumlah tertinggi kes dalam kalangan negara-negara anggota Asean.

Sehingga kini Singapura mengklasifikasikan 6,075 kes sebagai melibatkan penghuni asrama, 339 melibatkan pemegan permit kerja yang tidak tinggal di asrama, 1,031 kes komuniti, dan 569 kes import.

Sehingga pukul 12 tengah hari semalam 801 telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu, dan dibenarkan keluar daripada wad hospital atau fasiliti isolasi komuniti, 23 masih dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, dan 11 telah meninggal dunia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Singapura rekod 106 kes baharu Covid-19, 377 sembuh

SINGAPURA, 8 APRIL: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan 106 kes jangkitan baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,481 kes di republik itu.

Kes itu antaranya, 39 berkaitan dengan kluster asrama pekerja asing dan 23 kes dikaitkan dengan kluster bukan asrama, menurut kementerian itu dalam kenyataan semalam.

Dua asrama yang diwartakan sebagai kawasan pengasingan, S11 Dormitory @ Punggol di Seletar North Link mempunyai 98 kes yang disahkan manakala sebanyak 34 kes di Westlite Toh Guan di Toh Guan Road East.

MOH memaklumkan tiga kes dilaporkan daripada sektor penjagaan kesihatan awam membabitkan dua jururawat masing-masing di Hospital Besar Singapura (SGH) dan Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH), manakala satu kes lagi adalah pembantu kesihatan di Poliklinik Hougang.

Mengenai perkembangan terkini keadaan kes-kes yang disahkan, MOH menyatakan 33 kes jangkitan Covid-19 sudah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan komuniti, menjadikan keseluruhan 377 kes sudah sembuh.

Daripada 627 kes disahkan yang masih berada di hospital, kebanyakannya stabil atau bertambah baik manakala 29 kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi.

MOH memaklumkan 471 kes yang secara klinikal baik tetapi masih positif ujian Covid-19 masih diasingkan dan dijaga di Concord International Hospital, Mount Elizabeth Hospital, Gleneagles Hospital, Mount Alvernia Hospital dan kemudahan pengasingan komuniti di D’Resort NTUC.

Enam orang telah meninggal dunia berikutan komplikasi akibat jangkitan Covid-19.

Setakat 12 tengah hari semalam, MOH telah mengenal pasti 17,819 kontak rapat yang telah dikuarantin.

– BERNAMA