Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 23,000 polis, keluarga dijangkiti Covid-19

MARANG, 5 DIS: Seramai 23,766 pegawai dan anggota polis serta ahli keluarga mereka telah dijangkiti Covid-19, sejak pandemik tersebut melanda negara tahun lalu sehingga hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata daripada jumlah tersebut seramai 1,794 orang merupakan pegawai kanan polis; 10,577 orang pegawai rendah polis; 1,137 orang pegawai awam; manakala 10,258 orang adalah ahli keluarga.

“Bagi jumlah kematian pula, sebanyak 39 kes kematian direkodkan dalam kalangan pegawai dan anggota polis. Ia terdiri daripada empat pegawai kanan dan 35 pegawai rendah. Pegawai awam yang meninggal dunia akibat Covid-19 pula adalah seramai tiga orang dan anggota keluarga polis pula seramai 118 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan Pasukan Toyota Hilux GS Cargo Kepada Kontinjen Terengganu di Pangkalan PSP Unit 6, di Wakaf Tapai di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Mazlan menyerahkan 26 pacuan empat roda jenis Toyota Hilux GS Cargo bagi kegunaan ibu pejabat polis daerah (IPD) di seluruh negeri yang bakal membantu penugasan pegawai dan anggota di negeri ini termasuk operasi pada musim banjir.

Katanya penyerahan pada hari ini merupakan sebahagian daripada 400 Toyota Hilux GS Cargo yang diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), melibatkan peruntukan sebanyak RM62 juta.

Sementara itu, Mazlan berkata sebanyak 32 pasukan di Terengganu melibatkan 65 pegawai dan 190 anggota serta pegawai awam bersiap siaga menghadapi bencana banjir pada musim tengkujuh ini.

“Kami telah bersiap sedia dari segi keanggotaan, kursus dan kefahaman tentang tindakan yang perlu diambil sekiranya banjir berlaku. Kami juga telah menyiapkan aset-aset yang diperlukan terutama bot-bot yang banyak,” katanya.

Pada majlis tersebut Mazlan turut mengumumkan pembinaan 10 unit kuarters bagi pegawai dan anggota polis di Pulau Redang yang memperuntukkan kos sebanyak RM13 juta.

Katanya proses dokumentasi dan tender bagi pembinaan kuarters di bawah Rancangan Malaysia ke-12 itu akan bermula tahun hadapan.

“Sekarang hanya terdapat lapan unit kuarters di Pulau Redang tetapi pegawai dan anggota di sana adalah seramai 28 orang. Kebanyakan mereka tinggal di tanah besar dan terpaksa ulang-alik menaiki bot untuk bertugas. Jadi amat membahayakan keselamatan mereka terutama musim tengkujuh ini,” katanya.

— BERNAMA 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 kanak-kanak naik, ibu bapa diminta kawal pergerakan anak

SHAH ALAM, 2 JUN: Ibu bapa dinasihatkan melindungi anak daripada terdedah kepada jangkitan Covid-19 berikutan penularan jangkitan wabak semakin membimbangkan dalam kalangan bayi kurang setahun dan kanak-kanak bawah lima tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebagai penjaga ibu bapa perlu mengambil berat isu keselamatan dan kesihatan golongan kanak-kanak memandangkan sistem pertahanan tubuh mereka belum matang.

“Oleh itu, mereka cenderung dijangkiti virus SARS-CoV-2. Kumpulan ini juga belum termasuk dalam golongan usia yang layak menerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Justeru, ibu bapa dan ahli masyarakat sekitar harus melindungi mereka dengan mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin untuk memastikan persekitaran lebih selamat,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 82,341 kes Covid-19 membabitkan kanak-kanak direkodkan dalam tempoh 29 Januari tahun lalu sehingga 31 Mei lepas.

Kumpulan individu berusia 13 hingga 17 tahun mencatat jumlah paling banyak iaitu 27,402 kes diikuti kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dengan 26,851 orang, sebulan hingga empat tahun (19,851) dan lima hingga enam tahun (8,237).

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menasihatkan ibu bapa mengamalkan empat langkah berikut bagi mengelakkan penularan wabak di kalangan kanak-kanak:

1. Pantau pergerakan anak-anak agar kekal berada di rumah, jangan keluar berjumpa kawan atau mengunjungi jiran

2. Ibu bapa sebagai wakil keluarga perlu keluar membeli barangan dan tidak benarkan anak remaja mengunjungi tempat sesak serta berisiko tinggi

3. Pastikan anak memakai pelitup muka dan mengamalkan kebersihan kendiri apabila terpaksa keluar rumah untuk urusan tidak boleh dielakkan seperti ke hospital atau klinik

4. Ibu bapa mempunyai bayi dan kanak-kanak berusia bawah lima tahun perlu kekal berada di rumah dan jangan bawa anak ke tempat berisiko seperti pasar raya dan pasar awam

Categories
AGENDA NASIONAL

Bulan Sabit Merah kembang talian bantu masalah emosi ke KL, Selangor

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) bakal memperkenalkan talian bantuan sokongan psikososial, bagi individu yang menghadapi masalah emosi berikutan Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur.

Pengerusi BSMM Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkata, talian RedCrescent4u pada mulanya diperkenalkan di Sabah ketika pandemik Covid-19 meningkat di sana.

“Melihat kepada kejayaan program berkenaan, BSMM akan menjalankan program ini di ibu pejabat di Kuala Lumpur dan di Selangor,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara BSMM dan Pfizer Malaysia di sini hari ini.

Puteri Intan Safinaz berkata melalui talian berkenaan, sukarelawan BSMM akan memberikan bantuan kaunseling dan sokongan psikososial kepada pemanggil, dan sekiranya ia merupakan masalah yang serius mereka akan dirujuk kepada pakar.

Majlis berkenaan disaksikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Puteri Intan Safinaz berkata, MoU antara BSMM dan Pfizer itu akan meyediakan rakyat Malaysia terutamanya golongan B40 dengan perkhidmatan kesihatan.

“Akan ada sokongan psikososial dalam situasi pandemik Covid-19, saringan kesihatan dan program kesedaran, yang menyasarkan komuniti B40 di Malaysia yang melibatkan tiga medium iaitu, talian RedCrescent4u, gerakan sukarelawan ke kawasan pedalaman Malaysia menerusi program ‘Care -A-Van & MyVac’ dan Webinar Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu juga melihatkan komitmen Pfizer dalam memastikan kejayaan berterusan program itu, dengan menggerakkan sukarelawan bersama sukarelawan BSMM untuk program kesihatan dan kesedaran, penerangan mengenai Covid-19 dan program vaksinasi kebangsaan.

Sementara itu Dr Adham dalam ucapannya berkata, sehingga Disember, KKM telah menerima sejumlah 44,061 panggilan menerusi talian sokongan psikososial mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan.

Beliau berkata, 71.6 peratus daripada panggilan-panggilan itu memerlukan sokongan emosi dan psikososial.

“Antara isu yang dihadapi termasuklah kehilangan pekerjaaan dan pendapatan, masalah kewangan, keluarga, konflik interpersonal, stigma jangkitan dan mengadaptasi normal baharu dan juga pasca PKP,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Indonesia kembali catat korban Covid-19 harian lebih 400

JAKARTA, 4 APRIL: Indonesia kembali mencatatkan jumlah kematian harian akibat Covid-19 melepasi angka 400, selepas merekodkan 437 lagi kematian dalam tempoh 24 jam.

Menurut data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, jumlah kematian keseluruhan akibat pandemik itu kini meningkat kepada 41,669 orang.

Provinsi Banten mencatatkan jumlah kematian tertinggi bagi tempoh 24 jam iaitu 338 kematian, diikuti 28 kematian di Jawa Tengah, dan selebihnya di provinsi lain.

Jumlah kematian tertinggi setakat ini adalah pada 28 Jan lepas iaitu, sebanyak 476 orang.

Jumlah kes positif di Indonesia kini meningkat kepada 1,534,255 orang, dengan 1,375,877 daripadanya telah sembuh.

Indonesia memulakan program pemvaksinan sejak 13 Januari dan sehingga kini 8.6 juta orang menerima vaksin pertama, manakala lebih 4 juta menerima vaksin kedua.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Johor catat kadar kebolehjangkitan tertinggi – KKM

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Johor mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) harian tertinggi di negara ini iaitu pada 1.18 setakat semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan menerusi akaun Twitter beliau, Kuala Lumpur merekodkan Rt kedua tertinggi pada 1.12, diikuti Labuan (1.11), Terengganu dan Selangor masing-masing mencatatkan 1.10 manakala Sarawak (1.03) dan Pahang (1.01).

Negeri-negeri lain mencatatkan bacaan di bawah satu iaitu Perak 0.99, Melaka (0.96), Kedah dan Pulau Pinang (0.93), Putrajaya (0.90), Negeri Sembilan dan Sabah (0.89), Perlis (0.82) dan Kelantan (0.84).

Rt untuk seluruh negara pula ialah 1.09, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Jangkitan lebih cepat disebabkan jenis mutasi D614G, tingkat waspada

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jangkitan lebih cepat dalam kontak rapat yang terdedah kepada kes positif Covid-19 di Sabah dan Kedah mungkin disebabkan virus itu daripada jenis mutasi D614G.

Beliau berkata walaupun 70 hingga 80 peratus pesakit Covid-19 di Sabah berada pada tahap satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan) serta nilai “Cycle Threshold” (CT) mereka dalam ujian ‘reverse transcription polymerase chain reaction’ (RT-PCR) adalah rendah, sebenarnya ia bermakna kadar kebolehjangkitannya yang tinggi.

“Sebab itu kita asingkan pesakit di beberapa pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah selama 14 hari kerana kebolehjangkitan akan berkurangan selepas 10 hari,” katanya dalam sidang media mengenai COVID-19 secara maya menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, semalam.

Dalam tulisan di Facebooknya malam tadi, Dr Noor Hisham menjelaskan lagi sekiranya nilai kitaran ambang atau ‘Cycle Threshold (CT) value’ dalam ujian pesakit positif Covid-19 adalah rendah, bermakna kadar kebolehjangkitan wabak adalah tinggi.

Beliau berkata jika nilai CT didapati rendah ia turut menunjukkan bahawa pengesanan kes dan ujian di RT-PCR dibuat di peringkat awal jangkitan, kesan virus dalam badan tinggi dan jangkitan wabak adalah pada peringkat awal.

“Ia juga ada kemungkinan disebabkan kesan mutasi protein ‘spike’ atas permukaan virus yang meningkatkan kebolehjangkitan dengan ‘kesan virus’ yang tinggi,” katanya.

Nilai CT merujuk kepada bilangan kitaran yang diperlukan untuk penumpuan ‘fluorescent’ (cahaya pada sel virus) yang memberikan isyarat untuk melintasi paras nilai ambang dan dikesan sebagai positif.

Dr Noor Hisham berkata kebiasaannya dalam ujian RT-PCR mempunyai lebih kurang 40 kitaran untuk mendapatkan bacaan positif.

Beliau menjelaskan perkara yang sebaliknya berlaku jika pengesanan nilai CT adalah tinggi, bermakna jangkitan wabak berada di peringkat akhir dengan kadar kebolehjangkitan di paras rendah.

“Ini bermaksud, pengesanan kes dan ujian RT-PCR dijalankan di peringkat lewat dan ada kemungkinan jangkitan kes dalam peringkat pemulihan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar guna katil rawat pesakit Covid-19 di Sabah 71 peratus

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Sebanyak 71 peratus kadar penggunaan katil direkodkan di sembilan hospital yang merawat pesakit Covid-19 membabitkan 723 pesakit di Sabah setakat 13 Oktober.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata di 19 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) pula menempatkan sebanyak 4,161 katil dengan kadar penggunaan 23 peratus.

“Setakat ini, kadar penggunaan 1,018 katil di sembilan hospital Covid-19 di Sabah adalah 71 peratus. Kadar penggunaan bagi katil ICU (Unit Rawatan Rapi) adalah 110, iaitu bersamaan 57 peratus.

“Jadi bagi mengurangkan beban di hospital, kes-kes Covid-19 kategori satu dan dua iaitu yang tiada gejala atau gejala ringan, kami akan tempatkan mereka di 19 PKRC manakala kes tahap tiga, empat dan lima akan ditempatkan di sembilan hospital di Sabah.

“Kami akan memantau dengan lebih mendalam lagi dan teliti untuk melihat perkembangan kes. Sekarang ini, kami melihat kepada keperluan ventilator. Kami ada 180 ventilator di Sabah dengan penggunaan hanya 30 peratus,” katanya dalam sidang media secara maya mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Memperincikan jumlah katil di sembilan hospital di Sabah, Dr Noor Hisham berkata bagi Hospital Queen Elizabeth, sebanyak 324 daripada 684 katil dikhaskan untuk pesakit Covid-19 dengan bilangan pesakit terkini ialah 237 atau 73 peratus.

Bagi Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah di Likas, jumlah katil untuk pesakit Covid-19 ialah 110 melibatkan 105 pesakit setakat ini iaitu pengisian sebanyak 95 peratus.

“Untuk Hospital Tawau, jumlah katil adalah 413, dan jumlah katil untuk pesakit Covid-19 ialah 214. Bilangan pesakit Covid-19 sekarang ini 178 dengan pengisian ialah 83 peratus.

“Hospital Duchess of Kent, Sandakan mempunyai 389 katil dan jumlah katil yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 ialah 164, dan bilangan pesakit setakat ini ialah 87, iaitu pengisian 54 peratus,” katanya.

Selain itu, Hospital Lahad Datu memperuntukkan 131 daripada 226 katil untuk pesakit Covid-19 dengan pengisian 92 pesakit (70 peratus) setakat ini, manakala Hospital Keningau dengan 18 pesakit (51 peratus) pengisian katil untuk pesakit Covid-19.

Bagi Hospital Kota Marudu dan Hospital Semporna masing-masing mencatatkan kadar pengisian katil sebanyak 25 peratus selain Hospital Kudat yang hanya mempunyai satu pesakit daripada dua katil yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Singapura catat 75 kes baharu Covid-19, 14 kes import

SINGAPURA, 9 SEPT: Singapura dalam pengesahan awal memaklumkan tambahan 75 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan 14 kes import.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dalam data ringkas yang dikeluarkan di sini hari ini, semua kes import itu diserahkan Notis Duduk Di Rumah sebaik tiba di republik itu.

Kementerian itu berkata terdapat satu kes komuniti manakala 60 kes lain membabitkan penghuni asrama.

Dengan perkembangan baharu itu, jumlah keseluruhan kes di republik ini mencecah 57,166 kes.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, republik itu mengklasifikasikan 940 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,230 kes komuniti dan 53, 921 melibatkan penghuni asrama.

Seramai 56,461 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan 48 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dan tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sementara itu, 555 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau sihat secara klinikal tetapi diuji positif bagi Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di republik ini.

Singapura mengenal pasti satu lagi kluster baharu semalam iaitu S11 Dormitory@Punggol di Seletar North Link.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

PKS digesa pertingkat guna digital, ubah cara niaga

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu meneruskan usaha transformasi digital mereka pasca Perintah Kawalan Pergerakan, kata Pengarah Urusan Genaxis Group Nuraslina Zainal Abidin.

Beliau berkata dengan penyambungan semula aktiviti perniagaan seperti keadaan biasa, PKS mungkin kurang berminat untuk melaksanakan transformasi digital mereka.

Nuraslina, yang juga merupakan ketua pegawai eksekutif IA Consulting Sdn Bhd berkata PKS perlu melihat pendigitalan sebagai langkah kritikal untuk memantapkan perniagaan dan ketahanan operasi serta meningkatkan produktiviti mereka semasa tempoh sukar dan tidak pernah berlaku seperti ini.

“Ada kemungkinan PKS tidak memahami sepenuhnya kepentingan transformasi digital, dan langkah kecil pertama yang mereka perlu ambil untuk melaksanakan transformasi digital.

“Untuk melaksanakan pendigitalan perniagaan mereka, PKS perlu terlebih dahulu memahami keutamaan perniagaan yang memerlukan pendigitalan, sama ada membantu mengurangkan kos operasi, mendapatkan pelanggan sasaran baharu, melancarkan produk atau perkhidmatan baharu atau mengoptimumkan sumber,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Genaxis dan iAC adalah anak syarikat Dagang NeXchange Bhd.

Nuraslina berkata syarikat-syarikat perlu menumpukan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan mereka di platform digital bagi mengambil kesempatan daripada norma baharu dengan pelanggan beralih kepada platform mudah alih atau internet untuk membuat pembelian.

PKS sudah pastinya mendapat manfaat meraih lebih ramai pelanggan dan mengurangkan kos operasi dengan beralih kepada platform digital untuk menawarkan produk atau menyediakan perkhidmatan, katanya.

-BERNAMA