AMPANG, 28 MAC: Klinik Selcare bersedia menawarkan khidmat suntikan vaksin Covid-19 kepada orang ramai sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan untuk berbuat demikian.
Pengurusnya Mohd Noor Md Nasir berkata pihaknya berbesar hati melaksanakan perkhidmatan itu bagi membantu kerajaan mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Seandainya dasar mempersetujui untuk memberi peluang kepada klinik swasta melakukan perkara ini, bermakna kita lebih suka dan bersedia. Usaha ini penting dalam mencapai imuniti kelompok bagi pemvaksinan penyakit bawaan virus Covid-19.
“Kita akan fokus pemberian vaksin kepada kumpulan pada fasa kedua dan ketiga,” katanya ketika ditemui pada program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Kampung Pandan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata dua kaedah akan diguna pakai jika fasiliti kesihatan itu dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin kepada masyarakat.
“Ia sama ada pihak swasta dibenarkan untuk membuat perolehan (vaksin) dari kerajaan atau mendapatkan bekalan terus dari pembekal.
“Buat masa ini, KKM hanya benarkan klinik swasta jalankan perkhidmatan vaksin sahaja melalui bekalan yang disediakan,” katanya lagi.
Malaysia berada dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan pada 24 Februari dengan sasaran kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan bermula akhir Februari lalu hingga April depan.
Fasa 2 imunisasi yang membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac dijadual bermula April hingga Ogos depan bagi kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.
Fasa 3 pula bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing.