Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ keluar 577 notis advokasi kerusi keselamatan kanak-kanak

PUTRAJAYA, 30 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan mengeluarkan 577 notis advokasi kepada pemandu kenderaan persendirian yang membawa kanak-kanak tanpa kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) sejak peraturan itu diwajibkan pada 1 Januari lalu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata walaupun tiada saman dikeluarkan sehingga Jun ini, namun notis advokasi itu dikeluarkan bagi menasihati pemandu untuk menggunakan CRS ketika membawa penumpang kanak-kanak.

“Ini hanya notis advokasi, bukan saman. Kalau ada saman tolong tunjukkan. Kita sudah jangka tidak mudah untuk mendapat kerjasama atau pematuhan sepenuhnya dalam nak memperkenalkan satu peraturan baru,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Loke yang sebelum itu menyaksikan Majlis Memeterai Perjanjian bagi Pajakan dan Pembangunan Hotel Grand Majestic antara Perbadanan Aset Keretapi dengan Majujaya Hebat Sdn Bhd, berkata pendekatan ‘soft landing’ diambil bagi memberi masa lebih panjang kepada ibu bapa dan pengguna untuk memahami keperluan CRS.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 23 Oktober lalu mengumumkan CRS wajib digunakan dalam kereta persendirian bermula 1 Januari 2020.

Kanak-kanak yang mempunyai ketinggian 135 sentimeter ke bawah diwajibkan menggunakan CRS mengikut tahap ketinggian dan berat berdasarkan Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu R44 dan R129.

Langkah itu susulan statistik yang membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari tahun 2007 hingga 2017.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan jika tiada kerusi keselamatan kanak-kanak mulai Jun

SHAH ALAM, 23 JAN: Pengkuatkuasaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) akan dilaksanakan sepenuhnya Jun ini, kata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata pengguna jalan raya yang membawa kanak-kanak perlu menggunakan CRS bermula 1 Januari lalu, lapor Harian Metro.

“Pada peringkat awal, JPJ tidak membuat penguatkuasaan secara langsung sebaliknya lebih kepada pencegahan dan memberi khidmat nasihat.

“Hal ini akan berterusan sehingga Jun dan selepas itu barulah kita akan lihat apa tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil,” katanya yang menambah sebanyak 525 notis peringatan dikeluarkan kepada kenderaan yang membawa kanak-kanak tanpa CRS untuk dimasukkan dalam pengkalan data.

Bermula 1 Januari lalu, kerajaan mewajibkan penggunaan CRS di dalam kenderaan bagi menyelamatkan kanak-kanak daripada kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Langkah baharu itu susulan statistik membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak bawah 10 tahun dari 2007 hingga 2017.

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu kerusi keselamatan kanak-kanak, ambil pendekatan nasihat

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Tindakan penguatkuasaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam setiap kereta persendirian pada 1 Januari depan mengambil pendekatan pendidikan dan nasihat, bukan tindakan keras terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan itu.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran kepada keluarga yang mempunyai bilangan ramai anak kecil sehingga tiada ruang mencukupi bagi memasang kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan mereka.

“Kita sedar keluarga yang ada ramai anak dan tempat duduk tidak boleh memuatkan empat atau lima kerusi dalam kereta. Jadi keluarga besar akan diberi pengecualian jika dalam sebuah kenderaan itu tidak membolehkan CRS dipasang dalam bilangan mengikut jumlah anak.

“Kelonggaran diberikan dalam pelaksanaan ini,” katanya dalam sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kamarudin berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PAKATAN-Rasah) yang mahu kerajaan mempertimbangkan penguatkuasaan CSR kepada keluarga mempunyai ramai anak serta kenderaan yang kecil.

Menjawab soalan asal Kee Chin berhubung justifikasi kerajaan mewajibkan semua kanak-kanak yang ketinggiannya bawah 135 sentimeter (cm) supaya menggunakan CRS, Kamarudin berkata ia direka khas untuk memberi pelindungan kepada kanak-kanak.

Katanya ini kerana mereka mempunyai tubuh badan yang masih di peringkat tumbesaran dengan struktur tulang yang masih belum matang.

Penggunaan CRS akan membolehkan tubuh badan kanak-kanak menahan daya hentaman daripada impak kemalangan dengan lebih sempurna berbanding sekiranya hanya menggunakan tali pinggang keledar sahaja, katanya.

“Had ketinggian 135cm dinyatakan dalam peraturan CRS kerana bagi kanak-kanak yang melebihi ketinggian ini mereka mempunyai saiz tubuh badan yang lebih sesuai untuk menggunakan tali pinggang keledar biasa yang sedia ada dalam keadaan selamat.

“Ini kerana tali pinggang keledar tiga point dalam kenderaan adalah direka untuk penumpang dewasa dengan ketinggian 135 cm ke atas,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

CRS: Tiada saman enam bulan pertama penguatkuasaan

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Tiada sebarang saman akan dikeluarkan kepada ibu bapa yang gagal menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaannya yang bermula tahun hadapan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kementeriannya mengambil pendekatan mendidik dahulu sebelum langkah penguatkuasaan diambil sepenuhnya.

“Saya faham mentaliti rakyat Malaysia…kalau kita cakap tak wajib, memang takkan ada ramai yang buat (laksana). Kajian Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati hanya 30 peratus sahaja pemilik kenderaan yang pasang kerusi keselamatan kanak-kanak.

“Apa yang penting kita beri kesedaran dan nasihat…kalau belum pasang (CRS), jangan saman dahulu, beri amaran dan peringatan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Oktober lalu mengumumkan kerajaan akan menguatkuasakan penggunaan CRS di dalam kenderaan berkuat kuasa 1 Januari tahun hadapan dalam usaha mengurangkan kes kecederaan serius atau kematian kanak-kanak sekiranya berlaku kemalangan.

Loke berkata pihaknya juga mendapat kelulusan untuk mengenakan sifar peratus duti import CRS selain pengurangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada 10 peratus kepada lima peratus daripada Kementerian Kewangan (MOF).

“Kementerian berharap dapat menetapkan kadar sifar SST, namun ia memerlukan kelulusan daripada pihak MOF,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak terutama pengeluar kenderaan serta badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta untuk membantu usaha kerajaan dalam mewajibkan penggunaan CRS.

Katanya, terdapat juga pihak swasta yang telah memberikan subsidi pembelian CRS kepada golongan kurang berkemampuan.

-BERNAMA