Categories
SELANGOR

Tony Pua : Amaran Kepada PM Jangan Hukum Rakyat Dengan GST

tony-pua

SHAH ALAM 5 OGOS : Setiausaha Publisisti DAP, Tony Pua berkata Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya menghukum rakyat dengan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan(GST) sedangkan gejala rasuah, pembaziran dan ketirisan dibiarkan.

Sedangkan kerajaan sendiri yang menyebabkan Malaysia mengalami bajet defisit selama15 tahun dengan hutang yang melambung tinggi.

Dalam masa yang sama 85 peratus daripada rakyat negara ini tidak memperolehi pendapatan yang layak bagi membolehkan mereka membayar cukai.

Sehubungan itu, DAP memberi amaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar tidak menggunakan kedudukan negatif Malaysia dalam analisis ‘Fitch Ratings’ sebagai alasan melaksanakan GST.

“Langkah itu mungkin sesuai bagi tempoh jangka masa pendek seperti ‘panadol’ buat Malaysia namun ia pasti gagal mengubati ‘kanser’ dalam kewangan Malaysia.

“GST hanya bertindak menunda krisis dengan meningkatkan hasil kerajaan, namun jika kerajaan terus membazir dengan amalan kronisme dan rasuah, tiada jumlah cukai yang dapat menampung perbelanjaan negara,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Mengambil contoh negara Greece, beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, negara Eropah itu tetap gagal mengatasi masalah kebankrapan sekalipun dengan mengambil langkah memperkenalkan GST pada kadar 23 peratus.

“Lebih banyak cukai dikutip, lebih banyak ketirisan akan berlaku.

“Sebaliknya, kerajaan perlu mengambil pendekatan yang lebih berkesan seperti mengurangkan pergantungan pembiayaan liabiliti luar jangka, mengamalkan tender terbuka serta meningkatkan ketelusan di semua peringkat proses belanjawan kerajaan untuk memerangi rasuah,” tambahnya lagi.

Categories
SELANGOR

Model GST Singapura Tak Relevan Untuk Malaysia, Hanya Bantu Orang Kaya

wong-chen-pc

PETALING JAYA, 21 MEI: Menjadikan pengutipan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) di Singapura sebagai model tidak bersesuaian berikutan pendapatan perkapita rakyat negara ini jauh lebih rendah berbanding Singapura.

Mengenakan GST sebanyak tujuh peratus seperti yang dibayangkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala baru-baru ini juga membimbangkan kerana bercanggah daripada kadar empat peratus seperti yang dicadangkan Kementerian Kewangan sebelum ini.

“Menjanjikan penurunan cukai korporat dan cukai pendapatan untuk off-set GST hanya membantu orang kaya.

“Dalam erti kata lain, plan GST BN adalah regresif dan pada dasarnya akan melihat majoriti rakyat membayar lebih cukai daripada minoriti kaya,” kata Pengerusi Biro Perdagangan dan Pelaburan PKR,  Wong Chen dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Merchant Square semalam.

Menurut Wong Chen, Idris juga gagal memaklumkan keadaan sebenar Singapura ketika melaksanakan GST pada 1994 tidak terus mengenakan tujuh peratus, sebaliknya hanya mengenakan tiga peratus, dinaikan kepada empat peratus pada 2003 dan hanya 13 tahun kemudian pada 2007 barulah mencapai tujuh peratus.

Menurut Wong Chen yang juga merupakan Ahli Parlimen Kelana Jaya itu, kerajaan sepatutnya menumpukan usaha membaiki kelemahan asas cukai yang lemah, pembaziran perbelanjaan dan rasuah sekaligus mampu mengurangkan defisit negara.

Menurut beliau kelemahan asas cukai berpunca daripada fakta bahawa pendapatan majoriti rakyat Malaysia adalah masih rendah sekaligus berada di bawah paras had pembayar cukai.

Pada April tahun lalu, kerajaan menangguhkan lagi bacaan Rang Undang-Undang GST buat kali ketiga selepas pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat sejak tahun 2009.

Langkah penangguhan tersebut diambil dipercayai disebabkan kebimbangan BN akan ditolak dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU-13) baru-baru ini.

Bagaimanapun BN selepas mencapai kemenangan dengan majoriti merosot berbanding PRU-12 sebelumnya, dijangka tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan GST selepas diluluskan dengan sokongan wakil rakyat BN di Dewan Rakyat nanti.