Categories
SELANGOR

Selangor tak naik cukai pintu

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 9 DIS: Kerajaan Selangor tidak menetapkan sebarang keputusan untuk menaikkan kadar cukai pintu seperti didakwa sesetengah pihak.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata kenaikan cukai mungkin berlaku ekoran pengubahsuaian yang dilakukan pemilik rumah.

“Kerajaan Selangor tiada niat menaikkan kadar cukai pintu.

yb ean -web 3“Cukai yang dinaikkan mungkin kerana pemilik rumah mengubah suai bangunan hingga berlaku penukaran nilai sewaan dan menjejaskan kadar cukai pintu,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Sinar Harian semalam melaporkan penduduk di Taman Padu Permai, Sungai Besar mendakwa mereka dikenakan cukai taksiran 12 peratus di premis kediaman.

Penduduk mendakwa, kadar itu tidak memenuhi manifesto Kerajaan Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu yang ingin menurunkan cukai 20 peratus.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menegaskan tiada kenaikan cukai pintu, tanah dan perniagaan di Selangor tahun ini.

Jaminan itu diberikan Mohamed Azmin di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada April lalu ketika menjawab soalan Datuk Johan Abdul Aziz (BN-Semenyih).

-NFN-

Categories
NASIONAL

Cukai naik 300 peratus, 20,000 surat bantahan dihantar ke DBKL

Oleh : Siraj

KUALA LUMPUR 16 DIS : Lebih 20,000 surat bantahan daripada pelbagai kawasan di Kuala Lumpur berjaya dikumpulkan dan diberikan kepada DBKL sebagai bantahan terhadap kenaikan cukai taksiran sehingga 300 peratus.

bantah2013Kira-kira 1,000 penduduk yang tinggal di ibu negara Kuala Lumpur berhimpun di dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi menyatakan bantahan terhadap kenaikan mendadak itu.

Himpunan turut disertai Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Dr Tan Kee Kwong, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

IMG_0078Nurul Izzah ketika ditemui selepas himpunan berkenaan menyatakan DBKL perlu menyemak semula kadar cukai taksiran yang bakal dikenakan itu kerana kenaikan berkenaan menekan rakyat berpendapatan rendah yang tinggal di Kuala Lumpur.

“Lebih 20,000 surat bantahan termasuk dari Parlimen Lembah Pantai iaitu lebih 3,000, Parlimen Batu lebih 5,000 dan selebihnya dari kawasan lain dihantar ke pihak DBKL bagi menyatakan bantahan ke atas kenaikan cukai ini,” katanya.

bantah2013 1Katanya, Belanjawan DBKL juga perlu dibentangkan di Parlimen bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan kerana selama ini masyarakat khususnya di Kuala Lumpur tidak mengetahui peruntukkan yang digunakan oleh DBKL sepanjang tahun.

Bagaimanapun, surat bantahan berkenaan hanya dapat diserahkan di kaunter di tingkat bawah DBKL, dengan tidak mengendahkan laungan tuntutan orang ramai yang mahukan Datuk Bandar Kuala Lumpur turun mengambil surat bantahan itu.

Sementara itu, Tian Chua berkata, DBKL perlu memandang serius bantahan rakyat demi mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku.

IMG_9934“Rakyat berhimpun bagi menyatakan bantahan kerana kenaikan cukai ini ternyata membebankan rakyat, untuk mengelakkan rakyat lebih berasa marah, DBKL perlu melakukan sesuatu terhadal bantahan ini,” katanya.

Orang ramai mula bersurai pada pukul 11.45 pagi sejurus semua borang bantahan diberikan kepada pihak DBKL.

EZY

Categories
SELANGOR

Teng: Selangor tiada rancangan naikkan cukai pintu

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 29 NOV : Kerajaan Negeri tidak mempunyai perancangan untuk menaikkan kadar cukai pintu di negeri itu dalam masa terdekat.

teng chang kim  pc dun 1 jul 01Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, berkata kenaikan cukai taksiran itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia akan menekan rakyat berikutan
bebanan kos sara hidup yang tinggi.

Bagaimanapun katanya, kadar cukai pintu akan tetap dinaikkan jika keadaan memaksa, namun berjanji ia akan dibuat secara berperingkat dan tidak terlampau tinggi.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada alasan menaikkan cukai pintu tetapi dari segi pengiraannya bagi saya tidak wajar sekali.

“Di Selangor, kita kena ambil kira kenaikan kos untuk pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi kita tidak boleh mengharapkan cukai pintu tidak naik, tetapi buat masa ini belum ada perancangan.

“Bila sampai tahap perlu, kita terpaksa menaikkan kadar itu mungkin setahun atau lima tahun dari sekarang, saya tidak boleh jangka kadarnya,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Katanya lagi, kerajaan negeri belum menerima sebarang permintaan atau cadangan daripada mana-mana PBT untuk menaikkan kadar cukai setakat ini.

“Kita akan lihat situasi mereka, kalau tiada permintaan kami tidak akan kaji,” katanya.

Dalam pada itu, Teng turut menafikan Pakatan Rakyat (PR) Selangor pernah berjanji untuk menurunkan cukai taksiran dalam janji manifesto 2008 seperti yang didakwa pimpinan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata perkara itu sering dijadikan alat oleh BN untuk menyerang pimpinan PR sejak dulu lagi.

“Kita juga prihatin terhadap golongan berpendapatan rendah maka kita beri diskaun kepada pemilik pangsapuri kos rendah dan golongan yang tidak berkemampuan,” katanya.

-EZY

Categories
SELANGOR

Pangsapuri Kos Rendah Nikmati Cukai Pintu 25 Peratus

SHAH ALAM 9 JULAI : Kerajaan Negeri akan memberi pengurangan cukai pintu sebanyak 25 peratus kepada penghuni rumah pangsapuri kos rendah di seluruh Selangor yang akan dilancarkan selewat-lewatnya Ogos nanti.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu sidang media sejurus selesai Hari Zon Bersih Bulan Julai peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini.

“Langkah pertama, kita akan meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Selangor untuk mengenalpasti mana-mana kawasan pangsapuri kos rendah, seterusnya memberikan semua maklumat itu kepada Kerajaan Negeri.

“Walaubagaimanapun, kita cuma akan memberi tawaran ini kepada penghuni yang menghuni rumah tersebut sahaja, jika disewakan, peluang ini tidak ada,” jelas beliau.

Menurutnya, sumber kewangan bagi memberi pengurangan cukai tersebut datangnya daripada penjimatan yang Kerajaan Negeri perolehi kesan daripada pengurusan penyelenggaraan sampah sendiri tanpa menggunakan khidmat Alam Flora.

“Hasil penjimatan, kita memperolehi kira-kira RM 100 juta di seluruh Selangor, manakala untuk Shah Alam sahaja kita berjaya jimat RM 30 juta.

“Hasil inilah yang dapat kita salurkan semula kepada rakyat dengan pengurangan cukai pintu kepada penghuni pangsapuri kos rendah seluruh negeri,” tambahnya lagi.