Categories
AGENDA NASIONAL

Kos rawat pesakit akibat merokok lebih tinggi daripada hasil cukai rokok

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kerajaan terpaksa membelanjakan sekitar RM16 bilion setahun bagi merawat pesakit yang menderita pelbagai penyakit akibat tabiat merokok, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata jumlah perbelanjaan itu jauh lebih tinggi berbanding kadar kutipan cukai rokok yang diperoleh kerajaan iaitu dianggarkan kira-kira RM4 bilion setahun.

Katanya jumlah perbelanjaan berkenaan merupakan anggaran kos rawatan yang diperoleh daripada hospital dan klinik kerajaan serta swasta ke atas pesakit yang menghidap pelbagai jenis penyakit ekoran tabiat tidak sihat itu.

“Bagi setiap RM1 yang diperoleh daripada hasil cukai rokok, kerajaan terpaksa berbelanja sebanyak RM4 pula untuk merawat pesakit yang menghidap pelbagai penyakit berpunca daripada merokok.

“Seperti yang kita tahu, merokok merupakan antara punca kepada beberapa penyakit antaranya kanser, masalah jantung, dan masalah paru-paru,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi dialog Jaringan Pintar Program Promosi Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di sini hari ini.

Turut hadir pada sesi berkenaan adalah Pengarah Bahagian Pendidikan KKM, Suraiya Syed Mohamed.

Mengulas mengenai program berhenti merokok yang dijalankan oleh KKM, Dr Lee berkata bagi tempoh 2012 hingga 2018, seramai 73,836 perokok telah menyertai program berkenaan dan 23 peratus atau 16,930 individu berjaya berhenti merokok.

“Terdapat 46 hospital kerajaan dan 731 klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara menyediakan perkhidmatan berhenti merokok dan kementerian berharap agar perkhidmatan ini dapat dihebahkan kepada orang ramai,” katanya.

Terdahulu, Dr Lee dalam ucapannya berkata masalah merokok merupakan antara agenda nasional yang penting untuk disebar luaskan kepada masyarakat berikutan terdapat golongan perokok tegar yang sukar diyakinkan untuk berhenti daripada tabiat itu.

“Disebabkan itu, pihak kementerian telah mewartakan 23 kawasan sebagai tempat larangan merokok dan paling terkini adalah usaha menetapkan jarak tiga meter daripada premis-premis makanan sebagai koordinat larangan merokok.

“Pewartaan kawasan larangan merokok terutama di tempat makan adalah sebahagian usaha menyelamatkan individu bukan perokok daripada terus terdedah kepada asap rokok kerana pengunjung kedai makan dan restoran terdiri daripada masyarakat pelbagai peringkat usia dan jantina,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada kompromi larangan merokok di restoran

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan peraturan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan kerana mengutamakan kepentingan awam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan pendirian kementerian itu berikutan bantahan daripada pengusaha restoran dan kedai makan yang tidak berpuas hati dengan peraturan tersebut yang akan berkuatkuasa Januari depan.

Larangan itu termasuk bar dan kelab jika ia dilesenkan sebagai tempat makan berhawa dingin.

“Sementara saya sangat memahami apa yang mereka nyatakan tetapi jelasnya pendirian kami adalah pendirian yang mendahulukan dan mengangkat kepentingan awam dan orang ramai dan kita tidak bersedia untuk berkompromi atas perkara ini.

“Ini adalah kepentingan yang kita perjuangkan dan kepada perokok mereka perlu cari tempat lain untuk merokok. Tempat makan ialah untuk semua orang menikmati makanan mereka dan bukan dimabukkan dengan asap rokok atau menjadi perokok sekunder pasif,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Pada Isnin, tiga persatuan mewakili lebih 20,000 pemilik kedai makanan mengadakan persidangan berita untuk menyatakan mereka rasa tidak puas hati mereka dengan langkah Kementerian Kesihatan menguatkuasa larangan merokok di kedai-kedai makan berkuatkuasa Jan 1, 2019.

Dzulkefly berkata adalah menjadi tanggungjawab kementerian berkenaan untuk memastikan tempat awam adalah selamat untuk semua termasuk kanak-kanak.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian itu bersedia untuk mempertimbangkan penggunaan daun ketum sebagai kaedah alternatif untuk tujuan perubatan termasuk merawat ketagihan dadah bagi menggantikan metadon namun perkara itu memerlukan penelitian dan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru.

“Perkara ini bukan kita boleh buat secara spontan dan mendadak. Ia perlu penelitian dan dicermati dengan segala bukti serta dapatan ujian klinikal yang mesti melalui satu metodologi saintifik dan berdasarkan bukti daripada sudut kos dan hasil yang lebih munasabah atau pun yang mahu kita capai,” jelas beliau.

Semalam, bekas Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata kerajaan perlu mempertimbangkan penghasilan daum ketum di negara ini dan penggunaannya sebagai ubat alternatif kepada metadon bagi merawat mereka dengan ketagihan opioid seperti heroin.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Naik harga rokok punca hasil cukai merosot?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 FEB: Langkah Kerajaan menaikkan cukai eksais rokok sehingga 110 peratus dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini adalah faktor meningkatnya aktiviti penyeludupan dan rasuah di jabatan bertanggungjawab.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, keadaan itu akhirnya menyebabkan pendapatan kerajaan menerusi cukai rokok turut merosot dengan teruk seperti yang berlaku di Greece.

“Bila cukai rokok tinggi, harga rokok juga jadi mahal. Bila harga rokok mahal, wujud permintaan tinggi untuk seludup dan mendorong penyeludup membawa masuknya kerana jualan rokok seludup meningkat.

dr-rosli-ex-bank-negara“Akhirnya akan berlaku seperti Greece, negara itu naikkan cukai rokok tujuannya nak tambah pendapatan tetapi yang berlaku adalah sebaliknya, jualan rokok bercukai merosot dan kutipan cukai juga merosot tetapi kegiatan menyeludup pula tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

“Faktor penguatkuasaan undang-undang di Malaysia yang lemah dan rasuah berleluasa sama seperti Greece iaitu jika kegiatan rasuah tinggi, memang sukar untuk membendung kegiatan menyeludup hingga tak mustahil ada penyeludup dapat perlindungan pihak penguatkuasa sendiri atau mereka menyalurkan maklumat kepada penyeludup,” kata Dr Rosli ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Katanya, ia terbukti apabila syarikat pengeluar rokok utama British American Tobacco (BAT) mengambil keputusan menutup kilangnya di Petaling Jaya tahun lalu ekoran jualan produknya mengalami kemerosotan teruk.

Katanya, BAT turut mendakwa 40 peratus pasaran rokok di Malaysia pada masa itu dikuasai penjualan rokok seludup dan dipercayai akan semakin meningkat.

Sebelum ini, langkah Kerajaan Greece menaikkan cukai rokok akhirnya menyumbang kepada masalah penyeludupan yang serius hingga menyebabkan negara itu kehilangan pendapatan daripada cukai rokok.

Dianggarkan antara 2008 dan 2013, pengambilan rokok seludup di Greece meningkat 400 peratus selepas Greece menaikkan cukai rokok bagi tujuan menambah pendapatan cukai menerusi cukai rokok.

-NFN-