Categories
AGENDA NASIONAL

Lima laluan di ibu negara kekal ditutup setakat 1 tengah hari

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Lima laluan di sekitar pusat bandar masih ditutup dan dilencongkan setakat 1 tengah hari ini akibat banjir yang melanda ibu negara sejak semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata laluan berkenaan melibatkan Jalan Tuanku Sultan Abdul Halim, Jalan Rahmat, Jalan Sentul Manis, Jalan Pahang Barat dan Terowong Smart.

Menurutnya, proses pembersihan jalan sedang giat dijalankan dan pengguna dinasihat menggunakan Jalan Tun Razak untuk ke pusat bandar.

“Polis ingin menasihatkan pengguna jalan raya agar mengelak daripada menggunakan atau melalui jalan yang terlibat dengan lencongan dan penutupan serta patuhi arahan anggota bertugas bagi memastikan keadaan lalu lintas sentiasa lancar dan terkawal.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat, boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S.Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan hujan berterusan sejak dua hari lepas menyebabkan sebahagian besar laluan utama di sekitar pusat bandar dinaiki air bermula lewat malam tadi.

Antara kawasan yang ditenggelami air akibat limpahan Sungai Gombak adalah Dataran Merdeka dan sebahagian besar hadapan bangunan Sultan Abdul Samad dan Jalan Raja di sini.

-BERNAMA

 

Categories
SELANGOR SENI

Pelawak tanah air gegar teater komedi seram di Shah Alam

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 10 FEB: Hampir 10 pelawak terkenal negara akan menggegarkan Teater Shah Alam sempena teater komedi seram anti dadah ‘Dari Cherok Tok Kun ke Gombak’, pada 22 dan 23 Mac depan.

Pengarah Persembahan, Hasrol Hisham berkata, mereka antaranya Ropie, Bell Ngasri, Wan Raja, Mamak Puteh, Ali Puteh, Kumpulan Kiut, Abu Mamu, Abang Gee dan Lanun.

“Persembahan teater kali ini bukan sekadar hiburan semata-mata, namun semua barisan artis ini akan membawa isu kesedaran terhadap masyarakat tentang bahayanya dadah.

“Mesej anti dadah kali ini akan disampaikan melalui pementasan teater yang akan disulami dengan gelak ketawa penonton yang hadir kelak,” katanya kepada SelangorKini.

Hasrol yang juga produser dan juga Pengurus Produksi Persatuan Teater Resdongs berkata, pada masa sama, teater yang bermula pada jam 8.30 malam itu juga membawa Juara Gegar Vaganza 2016, Azharina Azhar.

“Azharina juga bakal menyampaikan sebuah lagu pada malam pementasan teater berkenaan.

“Semoga pementasan teater ini dapat menyampaikan mesej kepada masyarakat di luar sana terutama belia tentang bahayanya najis dadah, sesungguhnya sang juara tidak perlukan dadah,” katanya.

Teater berkenaan turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor, PEMADAM Pulau Pinang dan Atlas One Events Sdn Bhd.

Orang ramai boleh menghubungi talian 0107616844, 0125618434 dan 0122500101 untuk pembelian tiket, ataupun terus ke laman web: www.atlasoneevents.com.