Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Tahun Baharu Cina: Lampu bentuk haiwan hiasi Dataran Banting

SHAH ALAM, 20 JAN: Sempena sambutan Tahun Baru Cina bulan hadapan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menghias Dataran Banting dengan lampu replika pelbagai jenis haiwan.

Yang Dipertua Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata hiasan terbabit disumbang pihak FGS Dong Zen, Jenjarom menerusi tanggungjawan sosial korporat (CSR) mereka kepada masyarakat.

“Sebanyak 18 lampu hiasan replika haiwan dipasang di situ antaranya berbentuk harimau, naga, lembu dan ayam.

“Lampu itu mengeluarkan cahaya mulai enam petang hingga 12 tengah malam. Hiasan ini dipasang sejak 13 Januari lalu hingga 21 Februari depan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu beliau mengajak orang ramai beriadah di situ sambil menikmati keindahan lampu hiasan terbabit.

Categories
PBT SELANGOR

Dataran Banting bakal dibuka semula Februari

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 23 JAN: Dataran Banting yang berwajah baru bakal dibuka kepada penduduk setempat, mulai awal Februari ini selepas kerja menaik taraf selesai sepenuhnya.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohammad Zain A Hamid berkata, kerja menaik taraf kawasan itu sudah di peringkat akhir, iaitu memperhalusi dan mencantikkan.

“Segala kerja naik taraf bakal berakhir hujung bulan ini, seterusnya penduduk boleh beriadah serta bakal merasai wajah baru dataran itu tidak lama lagi.

“Walaubagaimanapun, saya berharap orang awam yang berkunjung ke Dataran Banting boleh menjaga kebersihan kawasan itu sebaiknya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas mempegerusikan Majlis Mesyuarat Penuh MDKL Bil. 1 2018, di sini, hari ini.

Terdahulu, Dataran Banting dinaik taraf dengan kos anggaran RM400,000 untuk digunakan masyarakat setempat bagi aktiviti beriadah.

Mohammad Zain berkata, Dataran Banting yang dinaik taraf itu dilengkapi pelbagai elemen dan kemudahan, antaranya pembinaan pentas berbumbung, laluan trek joging dan pembinaan perparitan sepanjang 45 meter.

“MDKL sentiasa fokus mewujudkan pelbagai perancangan pembangunan bersempena tahun baru ini supaya berjaya mencapai taraf majlis perbandaran satu hari nanti,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Fasa keempat naik taraf Dataran Banting bermula

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 NOV: Cadangan pembangunan Dataran Banting oleh Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) kini memasuki fasa keempat bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Yang Dipertuanya, Mohammad Zain A Hamid berkata, kerja naik taraf kemudahan dianggarkan bernilai RM400,000 itu bakal memberi wajah baru kepada Dataran Banting, yang satu ketika dahulu digunakan masyarakat untuk beriadah.

Katanya, pembangunan itu dilengkapi pelbagai elemen dan kemudahan dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

“Pembangunan pesat daerah Kuala Langat menjadi fokus utama kita menyediakan pelbagai kemudahan mengikut keperluan penduduk setempat, selain dilihat mampu menarik lebih ramai pengunjung menerusi penganjuran pelbagai acara.

“Antaranya pembinaan pentas berbumbung 300 meter persegi, termasuk laluan trek joging dan pembinaan perparitan sepanjang 45 meter,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.

Mohammad Zain berkata, MDKL berusaha mewujudkan pelbagai perancangan pembangunan bagi memastikan daerah itu berjaya mencapai taraf majlis perbandaran, satu hari nanti.

Pada masa sama, beliau turut berharap penduduk menggunakan kemudahan sebaik mungkin apabila siap kelak, selain mengingatkan mereka tidak memasuki kawasan pembinaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Dataran Banting lalui fasa ketiga naik taraf, mudahkan pengunjung beriadah

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 12 OGOS: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) kini giat menjalankan kerja naik taraf Dataran Banting melalui fasa ketiga dengan pelbagai komponen membabitkan keluasan 4,020 meter persegi selepas dua fasa terdahulu siap dibina sepenuhnya

Yang Dipertua MDKL , Mohd Azhar Mohamed Ali, berkata projek kedua itu membabitkan pembinaan skateplaza dan bowl juga ‘elevated platform’ dengan tangga serta dinding graffiti.

Katanya, MDKL memberi kelainan dan kemudahan kepada pengunjung Dataran Banting dengan membina wall climbing (tembok mendaki tiruan), walkway (laluan siarkaki), lampu spotlight, natural boulder (batu semulajadi), softscape, galvanised iron box-up lettering, bangku taman, wakaf, tong sampah, papan tanda dan logo MDKL menerusi fasa ketiga itu.

“Keperluan penduduk setempat beriadah adalah menjadi matlamat MDKL selaras dengan kepesatan pembangunan daerah ini.

IMG-20160726-WA0040“Kerja naik taraf ini selaras dengan slogan Kerajaan Negeri, ‘Dari Rakyat Untuk Rakyat’ dan ia juga sudah semestinya dapat memberikan keseronokan kepada pengunjung yang datang bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Azhar berkata, MDKL sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dengan pelbagai cadangan dan perancangan bagi memajukan lagi daerah itu supaya pembayar cukai menikmati kehidupan yang lestari.

“Jika kita lihat dalam dua projek yang terdahulu, Dataran Banting yang dijenamakan semula ini dapat mencuri perhatian pengguna jalan raya apabila dataran tersebut sentiasa dikunjungi pengunjung tidak kira pagi, petang atau malam dengan pelbagai aktiviti riadah dan juga program.

“Sebagai contoh, kita dapat lihat setiap Jumaat malam Sabtu, ramai golongan dewasa dan muda beriadah bersama keluarga dengan menikmati permainan ‘hot wheels’ atau lebih dikenali dengan nama kereta tiga inci selain permainan kasut roda atau skate board,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Azhar berharap penduduk di daerah itu dapat menggunakan segala kemudahan yang ada dengan sebaik mungkin kerana banyak peruntukan atau wang rakyat yang dibelanjakan bagi dinikmati semua pihak.

-NFN-