Categories
NASIONAL

Gempa Lombok: Takziah buat keluarga mendiang, Malaysia sedia bantu

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Datin Tai Siew Kim yang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh akibat gempa bumi di Lombok Utara.

“Takziah buat anggota keluarga, sahabat handai dan komuniti wartawan atas pemergian mendiang Datin Tai Siew Kim. Semoga tabah dengan ujian ini,” katanya menerusai catatan di akaun Twitter miliknya, malam tadi.

Terdahulu, beliau dalam catatan di Twitternya menzahirkan rasa dukacita terhadap berita sedih itu yang mengorbankan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersedia membantu Indonesia dan Presiden Indonesia, Joko Widodo.

“Berduka cita mendengar khabar berita kejadian tanah runtuh di Lombok yang turut mengorbankan rakyat Malaysia. Semoga semua pihak yang terkesan dengan kejadian runtuh ini terus sabar dan tabah.

“Kerajaan Malaysia melalui @mynadma bersedia membantu Indonesia @jokowi,” katanya.

 

Wisma Putra mengesahkan seorang rakyat Malaysia disahkan terkorban susulan kejadian gempa bumi berukuran 5.8 skala Richter yang menggegarkan Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada pukul 2.07 petang waktu tempatan, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Siew Kim, 56, yang bertugas sebagai Timbalan Eksekutif Ketua Pengarang Sin Chew Daily.

Turut berkongsi kesedihan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam status Twitternya.

“Sayu atas berita kejadian gempa bumi yang melanda Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat siang tadi dan turut melibatkan beberapa orang rakyat Malaysia. #DoaBuatLombok.

“Saya yakin perwakilan Malaysia di Indonesia akan segera memberikan bantuan kepada warganegara dan keluarga yang terlibat,” katanya sambil mendoakan keluarga sabar dan tabah menghadapi dugaan itu.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam status ucapan takziah di Twitternya turut berkongsi tiada pelajar Malaysia terlibat dalam tragedi itu.

“Sedih menerima berita gempa bumi yang melanda Lombok, Nusa Tenggara Barat Tengah. Education Malaysia Indonesia dan Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah memaklumkan tiada pelajar Malaysia yang terlibat. #DoaUntukLombok,” tulisnya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Gempa Lombok: Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew terbunuh

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily, Datin Tai Siew Kim terbunuh dalam gempa bumi berukuran lebih 5.0 pada skala Richter di Pulau Lombok, Indonesia, semalam.

Petugas Meja Bahasa Mandarin BERNAMA melaporkan Siew Kim, 56, sedang bercuti bersama dengan anak lelakinya serta sekumpulan rakan sekolah lamanya di Lombok semasa kejadian.

Mereka berada di pulau itu sejak 14 Mac lalu dan dijadualkan pulang ke Kuala Lumpur hari ini.

Anak lelakinya yang berumur 20 tahun yang mengalami kecederaan, sedang menerima rawatan di sebuah hospital di pulau itu.

Suami Siew Kim, Ketua Pengarang China Press, Datuk Teoh Yang Khoon berlepas ke Lombok, pagi ini.

Terdahulu, Gempa pertama berukuran 5.8 pada skala Richter berlaku sekitar jam 2.07 petang waktu Indonesia barat di kedudukan 24km timur laut Lombok Timur-Nusa Tenggara Barat.

Jabatan Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia melaporkan bahawa ia disusuli dengan dengan satu lagi gempa berukuran 5.2 pada skala Richter berpusat 7 km barat laut Lombok Timur-Nusa Tenggara Barat pada pukul 2.09 petang.

– BERNAMA