Categories
GLOBAL

Anak sulung Sai Wah sukar terima hakikat

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Anak sulung mangsa kedua yang dikenal pasti terkorban akibat kejadian gempa bumi di Lombok, Indonesia, semalam sukar menerima hakikat ibunya, Lim Sai Wah, 56, pergi buat selama-lamanya.

Tan Peng Cheng berkata, ia suatu tragedi buat dirinya dan satu perkara yang sukar diterimanya.

“Ibu saya seorang suri rumah tangga yang biasa, kami empat adik-beradik bersyukur dan dijaga dengan penuh kasih sayang,” katanya kepada BERNAMA menerusi aplikasi WhatsApp selepas tiba di Lombok, hari ini.

Terdahulu, Sai Wah bercuti ke tempat peranginan berkenaan dengan suaminya Tan Ching Chuan, 62, yang turut mengalami cedera ringan dalam kejadian itu.

Seorang lagi yang terbunuh ialah Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily Datin Tai Siew Kim.

Peng Cheng berlepas ke Lombok pagi tadi untuk urusan susulan kejadian tersebut, serta melihat dan membawa pulang bapanya ke tanah air.

Mendiang Sai Wah sebelum ini bergiat aktif dalam yoga lebih daripada 10 tahun dan sepatutnya menduduki peperiksaan pada bulan Jun ini untuk mendapatkan sijil kelayakan mengajar.

Mentornya, Hei Hong Ling berkata Sai Wah menghadiri kelasnya setiap kali, walaupun perjalanan agak jauh dari Jementah ke Segamat, Johor.

“​​​​Beliau pernah kongsi pengalamannya dalam pembelajaran yoga, ia membawa perubahan yang ketara bagi diri dan kehidupannya,” katanya.

Hong Ling yang sempat berjumpa Peng Cheng pada Rabu lepas berkata, pada perjumpaan itu, Sai Wah kelihatan gembira dan ceria kerana hendak pergi bercuti, beliau tidak pula menyangka itulah pertemuan terakhir mereka.

“Beliau seorang yang rajin dan baik hati, saya tidak percaya apa-apa berita yang dilaporkan media sosial (mengenai kematiannya), sehingga pengesahan rasmi dibuat pagi ini,” katanya.

Selain dua yang terkorban dalam kejadian gempa bumi itu, Wisma Putra hari ini turut mengesahkan tujuh mangsa mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Lombok manakala 13 lagi terselamat.

Kesemua 22 warga Malaysia itu dilaporkan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru ketika gempa berukuran 5.8 pada skala Richter menggegarkan Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada 2.07 petang semalam.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Gempa Lombok: Dua korban dibawa pulang ke Malaysia, tujuh dirawat

JAKARTA, 18 MAC: Seorang lagi rakyat Malaysia yang terbunuh dalam kejadian gempa di Lombok, semalam dikenali sebagai Lim Sai Wah.

Bagaimanapun identiti lengkap wanita itu masih belum diperoleh setakat 6 pagi tadi.

Menurut Timbalan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Zamshari Shaharan, tujuh warganegara Malaysia turut cedera, dan kini dirawat di hospital di Lombok.

“Dua orang warganegara Malaysia meninggal dunia akibat gempa bumi di Lombok Timur semalam. Tujuh orang yang mengalami kecederaan sedang menerima rawatan di hospital manakala 13 orang terselamat,” katanya.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily Datin Tai Siew Kim disahkan terbunuh dalam gempa bumi berukuran lebih 5.0 pada skala Richter, semalam.

Kesemua mereka adalah sekumpulan 22 warganegara Malaysia yang berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Utara, ketika bencana tersebut berlaku pada 3.07 petang waktu tempatan.

Pegawai Kedutaan tiba di Lombok pagi ini untuk menghulurkan bantuan konsular kepada warganegara Malaysia yang terlibat dalam kejadian itu.

“Warganegara Malaysia lain yang berada di Lombok atau kawasan sekitar yang terkesan susulan gempa bumi ini boleh menghubungi pegawai bertugas Kedutaan Besar Malaysia di talian +62 813 80813036‬,” katanya.

Rakyat Malaysia dinasihatkan sentiasa tenang dan mematuhi arahan terkini dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Warganegara Malaysia yang berada di Indonesia atau ingin merancang perjalanan ke Indonesia juga dinasihatkan untuk mendaftar dengan kedutaan di https://goo.gl/ixYVfy .

Sementara itu, Gabernor Nusa Tenggara Barat, H. Zulkieflimansyah dipetik agensi berita Antara, berkata pihak berkuasa tempatan sedang menguruskan kedua-dua rakyat Malaysia yang terkorban itu untuk dibawa pulang ke Malaysia hari ini.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Gempa Lombok: Seorang lagi rakyat Malaysia dilapor terkorban

JAKARTA, 18 MAC: Seorang lagi rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di kawasan Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok, pasca gempa bumi di pulau itu, petang semalam.

Menurut agensi berita Indonesia, ANTARA, mayat mangsa dilaporkan ditemui tersepit dan tertimbus di celah runtuhan batu di kawasan berkenaan oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Memetik Pegawai Hubungan Masyarakat Operasi Mencari dan Menyelamat Mataram, Lombok, Gusti Lanang Wisnuwandana, mayat mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu masih belum dapat dikeluarkan dari kawasan kejadian.

“Ada satu korban lagi yang ditemukan dalam kondisi (keadaan) tersepit batu berukuran besar di sekitar lokasi air terjun Tiu Kelep. Tapi identitasnya (identiti) belum diketahui,” katanya.

Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun masih belum mempunyai maklumat terperinci.

Berdasarkan maklumat terkini itu, tiga terkorban, termasuk dua rakyat Malaysia dalam kejadian gempa bumi yang berlaku di Lombok yang turut menyebabkan puluhan cedera dan hampir 500 rumah musnah.

Terdahulu, seorang rakyat Malaysia,Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily Datin Tai Siew Kim,56, disahkan terbunuh dalam gempa bumi berukuran lebih 5.0 pada skala Richter di Pulau Lombok, Indonesia semalam.

Gempa pertama bermagnitud 5.8 Skala Richter berlaku pukul 2.07 petang waktu Indonesia Barat, berpusat di 24km timur laut Timur Lombok – Nusa Tenggara Barat.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, ia disusuli dengan satu lagi gempa bermagnitud 5.2 Skala Richter, berpusat di 7km barat laut Lombok Timur- Nusa Tenggara Barat, pukul 2.09 petang.

Sementara itu, seorang ejen pelancongan yang menguruskan kumpulan 28 rakyat Malaysia itu dikenali sebagai ” Pak Suminggah” berkata seramai 22 daripada mereka ke kawasan air terjun itu, semalam.

Suminggah berkata, kesemua mereka 28 yang tiba di Lombok pada 14 Mac lalu dan dijadualkan pulang malam ini.

“Enam lagi tidak turut serta, berada di Hotel Mascot Mataram. Daripada 22 yang pergi ke air terjun itu, enam cedera telah dibawa ke pusat kesihatan Lombok untuk dapatkan rawatan.

“Seorang lagi disahkan turut meninggal dunia, tapi mayatnya masih tertindih batu besar, mungkin esok baru dapat dikeluarkan, kami belum dapat data lengkap identitinya, kekangan komunikasi dan pelbagai masalah sedang berlaku,” kata Suminggah.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Gempa Lombok: Takziah buat keluarga mendiang, Malaysia sedia bantu

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Datin Tai Siew Kim yang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh akibat gempa bumi di Lombok Utara.

“Takziah buat anggota keluarga, sahabat handai dan komuniti wartawan atas pemergian mendiang Datin Tai Siew Kim. Semoga tabah dengan ujian ini,” katanya menerusai catatan di akaun Twitter miliknya, malam tadi.

Terdahulu, beliau dalam catatan di Twitternya menzahirkan rasa dukacita terhadap berita sedih itu yang mengorbankan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersedia membantu Indonesia dan Presiden Indonesia, Joko Widodo.

“Berduka cita mendengar khabar berita kejadian tanah runtuh di Lombok yang turut mengorbankan rakyat Malaysia. Semoga semua pihak yang terkesan dengan kejadian runtuh ini terus sabar dan tabah.

“Kerajaan Malaysia melalui @mynadma bersedia membantu Indonesia @jokowi,” katanya.

 

Wisma Putra mengesahkan seorang rakyat Malaysia disahkan terkorban susulan kejadian gempa bumi berukuran 5.8 skala Richter yang menggegarkan Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada pukul 2.07 petang waktu tempatan, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Siew Kim, 56, yang bertugas sebagai Timbalan Eksekutif Ketua Pengarang Sin Chew Daily.

Turut berkongsi kesedihan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam status Twitternya.

“Sayu atas berita kejadian gempa bumi yang melanda Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat siang tadi dan turut melibatkan beberapa orang rakyat Malaysia. #DoaBuatLombok.

“Saya yakin perwakilan Malaysia di Indonesia akan segera memberikan bantuan kepada warganegara dan keluarga yang terlibat,” katanya sambil mendoakan keluarga sabar dan tabah menghadapi dugaan itu.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam status ucapan takziah di Twitternya turut berkongsi tiada pelajar Malaysia terlibat dalam tragedi itu.

“Sedih menerima berita gempa bumi yang melanda Lombok, Nusa Tenggara Barat Tengah. Education Malaysia Indonesia dan Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah memaklumkan tiada pelajar Malaysia yang terlibat. #DoaUntukLombok,” tulisnya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Gempa Lombok: Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew terbunuh

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily, Datin Tai Siew Kim terbunuh dalam gempa bumi berukuran lebih 5.0 pada skala Richter di Pulau Lombok, Indonesia, semalam.

Petugas Meja Bahasa Mandarin BERNAMA melaporkan Siew Kim, 56, sedang bercuti bersama dengan anak lelakinya serta sekumpulan rakan sekolah lamanya di Lombok semasa kejadian.

Mereka berada di pulau itu sejak 14 Mac lalu dan dijadualkan pulang ke Kuala Lumpur hari ini.

Anak lelakinya yang berumur 20 tahun yang mengalami kecederaan, sedang menerima rawatan di sebuah hospital di pulau itu.

Suami Siew Kim, Ketua Pengarang China Press, Datuk Teoh Yang Khoon berlepas ke Lombok, pagi ini.

Terdahulu, Gempa pertama berukuran 5.8 pada skala Richter berlaku sekitar jam 2.07 petang waktu Indonesia barat di kedudukan 24km timur laut Lombok Timur-Nusa Tenggara Barat.

Jabatan Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia melaporkan bahawa ia disusuli dengan dengan satu lagi gempa berukuran 5.2 pada skala Richter berpusat 7 km barat laut Lombok Timur-Nusa Tenggara Barat pada pukul 2.09 petang.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL NASIONAL

Gempa Lombok: Seorang rakyat Malaysia maut, 6 hilang

SHAH ALAM, 17 MAC: Seorang rakyat Malaysia disahkan terkorban, manakala enam lagi hilang dalam insiden gempa bumi di Lombok Timur, Indonesia, hari ini.

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, kesemua mangsa dikatakan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru ketika gempa bumi melanda, pada 2.07 petang waktu tempatan.

“Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerima laporan bahawa seorang warga Malaysia terkorban, manakala enam lagi belum dapat dikesan dalam kejadian itu.

“Usaha mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan pihak berkuasa tempatan dan hingga kini mereka masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden itu,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan gegaran ekoran gempa bumi itu turut dirasai di kawasan Lombok Utara, Lombok Timur, Lombok Barat, Lombok Tengah, Mataram di Nusa Tenggara Barat dan sebahagian kawasan selatan Pulau Bali.

Kementerian Luar turut melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap semua mangsa dan keluarga mereka ekoran insiden gempa bumi berkenaan.

“Rakyat Malaysia yang terjejas ekoran bencana itu diminta menghubungi Kedutaan Besar Malaysia, di Jakarta di talian 62215224947/6281380813036 dan Wisma Putra di talian 03-88874570.

“Kementerian Luar menasihatkan supaya rakyat Malaysia melaporkan diri dengan kedutaan dan patuh kepada arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

 

Categories
GLOBAL NASIONAL

22 pelancong Malaysia terperangkap di kawasan air terjun Lombok

JAKARTA, 17 MAC: Sebanyak 22 pelancong rakyat Malaysia dilaporkan terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di kawasan Air Terjun Tiu Kelep, Senaru Baru, Lombok Utara.

Kejadian tanah runtuh di kawasan air terjun itu terjadi selepas berlaku gempa bumi bersaiz melebihi 5 skala Richter yang menggegarkan Pulau Lombok, Indonesia, petang tadi.

Ketua Protokol dan Sekretariat Pemerintah Lombok Utara, Mujaddid Muhas dalam satu kenyataan berkata terdapat 40 pengunjung sedang beriadah di kawasan berkenaan ketika kejadian.

“Setakat ini dua orang disahkan meninggal dunia, proses menyelamat dan evakuasi masih dilakukan,” katanya.

Gempa pertama bermagnitud 5.8 Skala Richter berlaku pukul 2.07 petang waktu Indonesia Barat, berpusat di 24km timur laut Timur Lombok – Nusa Tenggara Barat.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, ia disusuli dengan satu lagi gempa bermagnitud 5.2 Skala Richter, berpusat di 7km barat laut Lombok Timur- Nusa Tenggara Barat, pukul 2.09 petang.

Gegaran gempa itu dirasakan di Lombok Utara, Lombok Tengah, Lombok Barat dan sehingga ke Denpasar, Pulau Bali.

Sementara itu seorang ejen pelancong di Mataram, Lombok yang dikenali sebagai ” Pak Arno” berkata, pelancong Malaysia itu menginap di sebuah hotel di Mataram.

Beliau berkata, pihak berkuasa sedang melakukan evakuasi terhadap semua mangsa yang terbabit dalam kejadian itu.

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata pihak kedutaan sedang berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan berhubung kejadian itu.

“Beberapa orang (pelancong Malaysia) dilaporkan masih hilang,” katanya. -BERNAMA

Categories
GLOBAL

Gempa Lombok: Angka korban meningkat kepada 460 mangsa

JAKARTA, 16 OGOS: Ketika usaha menyelamat masih dijalankan di lokasi tapak runtuhan akibat bencana gempa bumi, di Pulau Lombok Indonesia, angka kematian terus meningkat kepada 460 orang, menurut pejabat agensi pengurusan bencana nasional hari ini.

Sejumlah 7,773 orang lagi cedera sementara 71,962 buah rumah serta 671 kemudahan pendidikan, 52 infrastruktur kesihatan, termasuk hospital dan 11 klinik kesihatan, 20 bangunan pejabat rosak manakala enam jambatan runtuh, kata Sutopo Purwo Nugroho.

“Malapetaka itu memaksa 417,000 penduduk berpindah dan tinggal di penempatan sementara. Jumlah kematian mungkin meningkat apabila anggota penyelamat dijangka menemukan lebih banyak lagi mayat yang tertimbus,” katanya kepada Xinhua.

Sutopo berkata, kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di beberapa tempat, menyebabkan anggaran kerugian sebanyak US$509.6 juta.

Pada 5 Ogos, gempa bermagnitud 7 Skala Richter melanda Pulau Lombok, seminggu selepas satu lagi gempa berkekuatan 6.4 magnitud menggegarkan pulau yang menjadi tumpuan pelancong itu.

Sejak itu, ratusan gempa susulan tercetus. Indonesia sering mengalami gempa kerana terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Gempa di Lombok: Malaysia sedia hulur bantuan – Menteri Luar

PUTRAJAYA, 29 JUL: Malaysia sedia menghulurkan bantuan kepada kerajaan dan rakyat Indonesia berikutan kejadian gempa bumi dengan kekuatan 6.4 pada skala Richter yang melanda beberapa kawasan di Lombok, Provinsi Nusa Tenggara Barat, Indonesia pukul 5.47 pagi waktu tempatan, Ahad.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah melahirkan kebimbangan berikutan kejadian gempa bumi yang meragut 10 nyawa, termasuk seorang rakyat Malaysia.

“Tun telah mengarahkan supaya membantu rakyat Malaysia dan melihat keadaan, sekiranya perlu, menghulurkan bantuan kepada Indonesia,” kata Saifuddin kepada Bernama ketika ditemui di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) gempa itu terjadi berpusat 28 km Barat Laut Lombok Timur dengan kedalaman gempa sekitar 10 km, hingga menyebabkan kerosakan bangunan dan struktur di kawasan yang terlibat iaitu Kapubaten Lombok Timur dan Kabupatan Lombok Utara.

Setakat 2.00 petang ini pihak berkuasa Indonesia mengesahkan 40 orang dilaporkan cedera parah dan luka ringan manakala 10 orang disahkan meninggal dunia.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan bawa pulang jenazah mangsa gempa bumi Lombok – TPM

KUALA LUMPUR 29 JUL: Kerajaan Malaysia sedia membawa pulang jenazah mangsa rakyat Malaysia yang terkorban akibat bencana gempa bumi di Lombok, Indonesia hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan kerajaan akan segera mengenal pasti mangsa.

“Saya ingin rakamkan ucapan takziah buat keluarga mangsa-mangsa kejadian ini. Saya doakan mereka diberi kekuatan menghadapi dugaan ini.

“Kerajaan Malaysia akan berusaha untuk segera mengenalpasti wanita tersebut, dan akan membawa mayat tersebut pulang ke tanah air,” kata Dr. Wan Azizah melalui Twitter.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengesahkan seorang rakyat Malaysia terkorban akibat gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter ketika mendaki Gunung Rinjani awal pagi ini.