Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Wawasan 2020: Ungkapan ‘mantera’ hilang sakti

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 OGOS: Gagasan bangsa Malaysia termaktub dalam dasar Wawasan 2020 yang pernah diumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini semakin sukar dicapai.

Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Dato’ Dr Siddiq Fadzil, berkata pembinaan gagasan itu berada pada tahap kritikal ekoran pemahaman lemah masyarakat berkenaannya.

“Setelah hampir 60 tahun (merdeka), kita masih berbicara berkenaan perpaduan kaum dan integrasi nasional tetapi belum yakin untuk bicara soal bangsa Malaysia.

“Satu ketika (dulu) kita agak serius bicara berkenaannya dengan Wawasan 2020 menjadi ungkapan sakti, namun kini ia ibarat mantera hilang sakti,” katanya pada program Wacana Kenegaraan Pembinaan Bangsa Malaysia: Aspirasi dan Realiti di Carlton Hotel, di sini, malam tadi.

Dr Siddiq berkata, masyarakat Malaysia masih tidak memahami konsep sebenar konteks perjuangan bangsa walaupun selepas lebih sedekad negara mencapai kemerdekaan.

DSC_6681 KecilKatanya, kegagalan itu mendorong kepada pemahaman sebenar yang perlu difahami segenap masyarakat terhadap pembentukan bangsa Malaysia bersatu.

“Kita ada rakyat Malaysia, warga Malaysia tetapi kita masih belum wujud secara nyata berkenaan lahiriah bangsa Malaysia.

“Kelemahan inilah harus kita tangani kerana dalam dasar wawasan itu disebut sebagai bangsa Malaysia dan sejahtera.

“Fokusnya memastikan tahap intergrasi dan etniknya menikmati kehidupan secara saksama menerusi persamaan hak dan keadilan,” katanya.

-AA-