SHAH ALAM, 7 DIS: Teknologi nano bakal diguna untuk membersih dan menjernih sumber air di Selangor secara semula jadi ketika berlaku pencemaran.
Dato’ Menteri Besar berkata kaedah tersebut berupaya meningkatkan oksigen terlarut, menghilangkan bau, menghapus minyak dan gris dan mengurangkan logam berat.
“Rawatan air ini juga mengurangkan jumlah pepejal terampai dan terlarut serta memperbaharui kehidupan akuatik.
“Pendekatan biologi yang mengaplikasikan teknologi nano telah diuji dan dianalisis makmal Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mendapatkan keputusan akhir,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari yang berkongsi infografik berhubung strategi pertama Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) menerusi Facebook hari ini.
Pada 2 Disember, Amirudin berkata SJAM dilaksanakan sebagai langkah jangka pendek sekiranya berlaku pencemaran sumber air.
Beliau berkata insiatif tersebut menggariskan empat langkah iaitu rawatan awal di kolam rawatan, pemantauan dan pengawasan, pembinaan infrastruktur pengepaman terus dari kolam takungan Sungai Selangor serta penguatkuasaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Pindaan 2020.