Categories
RENCANA SELANGOR

Pentadbiran Selangor ikon profesionalisme negeri lain

OLEH NAZLI IBRAHIM

Sehebat mana kewibawaan atau profesionalisme anggota sektor perkhidmatan awam dalam kerajaan, ia tetap tidak akan dapat berfungsi dengan efisien jika tidak mendapat sokongan badan eksekutif kerajaan itu.

Begitu juga sehebat mana dasar dan program rakyat diperkenalkan badan eksekutif sesebuah kerajaan, ia sukar dilaksanakan jika tiada sokongan kakitangan awam yang profesional dan berintergriti.

Malah, lebih buruk jika anggota perkhidmatan awam yang ada lebih berminat menajalankan kerja mensabotaj dasar kerajaan, sekali gus memberi imej buruk di mata rakyat.

Kegagalan anggota perkhimatan awam dan badan eksekutif bekerjasama menyebabkan rakyat di negeri yang diterajui kerajaan itu mendorong kepada pentadbiran lemah dan tidak memuaskan.

Demikianlah pentingnya peranan dimainkan kedua pihak, iaitu badan eksekutif dan penjawat awam bagi memastikan kepentingan rakyat dalam semua aspek terjamin.

Dalam konteks pentadbiran kerajaan di negara ini, Kerajaan Selangor boleh dianggap sebagai model terbaik bagaimana kerjasama erat antara kedua pihak berjaya memberi manfaat maksimum kepada rakyatnya.

Berbeza dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri diterajui Barisan Nasional (BN), Selangor berkerjasama dengan anggota perkhidmatan awam termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri yang dilantik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), di bawah Kerajaan Persekutuan.

Fasa peralihan kuasa di Selangor

Walaupun terdapat sedikit kecelaruan pada peringkat awal Pakatan mengambil alih pentadbiran daripada BN pada 2008, namun pentadbiran negeri terkaya itu semakin lancar ekoran sikap profesionalisme kedua belah pihak.

Keadaan itu turut dirasai Dato’ Noordin Sulaiman sebelum dilantik ke jawatan Pegawai Kewangan Negeri, pada 1 November 2012.

Menurut Noordin, setiap kakitangan perkhidmatan awam di Selangor harus memiliki sikap profesionalisme tinggi untuk menjalankan tanggungjawab dengan mengenepikan idealogi politik, sekali gus memastikan rakyat mendapat manfaat semaksimum mungkin ke atas dasar dijalankan Kerajaan Negeri.

“Soal pembentukan kerajaan ini perlu menjadi kenangan kerana pada 2008, kerajaan baru mengambil alih pentadbiran negeri.

“Memang ada perbezaan dari segi pendekatan juga dasar berbanding tahun sebelumnya menyaksikan hasil negeri sedikit demi sedikit dapat ditingkatkan.

“Kemudian pada 2014 berlaku satu lagi peralihan dalaman kepada Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan di sini pendekatan juga lebih hampir kepada program dan dasar mendekati keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, anggota perkhidmatan awam perlu terus mendukung dasar dibawa kepimpinan baru supaya rakyat dapat diperkasakan dalam bidang diceburi.

Katanya, hubungan baik antara penjawat awam Selangor dan barisan kepimpinan negeri diumpamakan ‘tidak bertepuk sebelah tangan’ apabila Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Mohamed Azmin turut memberi sokongan sepenuhnya kepada beliau.

Keadaan itu memberi kesan besar terhadap kelancaran perkhidmatan awam, di Selangor.

Selain mendapat sokongan padu Kerajaaan Negeri, memang tidak menghairankan apabila pada 2017, Mohamed Azmin memberi bonus tiga bulan gaji kepada kakitangan perkhidmatan awam, di Selangor sebagai menghargai kerja keras dimainkan golongan berkenaan.

Noordin contoh terbaik penjawat awam

Noordin yang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam selama 36 tahun dan 30 hari sebelum bersara wajib, pada 29 Disember lalu merupakan salah satu contoh terbaik intergiriti serta profesionalisme yang harus dimiliki penjawat awam.

Pada awal perkhidmatannya, beliau pernah berkhidmat di bawah BN ketika diterjui mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, di Jabatan Perdana Menteri, pada 1981.

Beliau juga pernah menjawat pelbagai jawatan penting seperti Pegawai Daerah Klang, Penolong Ketua Pegawai Daerah dan Setiausaha Majlis Bandaraya Shah Alam.

Selepas itu, beliau dilantik pula sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), pada 2006 juga di bawah Umno-BN yang diterajui Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo.

Pada 2008, tanpa diduga kebanyakan pihak berlaku peralihan kuasa daripada BN kepada Pakatan.

Walaupun pada masa itu timbul sedikit konflik pengurusan di awal pentadbiran, namun semangat profesionalisme yang menjadi pegangannya tanpa berkiblatkan mana-mana idealogi politik membuatkan beliau tenang menghadapinya.

Pada 2012, beliau mendapat kepercayaan menduduki kerusi Pegawai Kewangan Negeri yang juga jawatan penting bagi mana-mana kerajaan.

Di atas perkhidmatan cemerlangnya, pada 2002, Noordin dianugerahkan Darjah Kebesaran Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) sebelum sekali dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) yang membawa gelaran Dato’, pada 2006.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pentadbiran Selangor ada kelas tersendiri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 DIS: Dato’ Noordin Sulaiman yang bersara daripada jawatan Pegawai Kewangan Negeri tetap mendoakan kepimpinan negeri sedia ada terus memimpin Selangor.

Katanya, pentadbiran Kerajaan Negeri diterajui Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berada dalam kelasnya tersendiri, berbanding negeri lain.

“Saya berdoa kerajaan sedia ada dapat terus memimpin Selangor yang juga negeri paling kaya, di Malaysia dengan tadbir urus terbaik kerana apabila dibuat perbandingan, ternyata kepimpinan negeri sekarang berada dalam kelas tersendiri, terbaik dan sangat cemerlang.

“Ini kerana kita mendukung prinsip keterbukaan, kebertanggungjawaban serta objektif perkhidmatan disasarkan kepada rakyat.

“Saya berharap kerajaan sedia ada terus menerajui Kerajaan Negeri dan semua program yang menjurus kepada rakyat dapat dilaksanakan dan pelbagai lagi seperti program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) untuk memberi makanan asas kepada golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara Media Selangor, di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Berkongsi pengalaman melalui detik pertukaran kuasa, Noordin berkata, beliau merasai perbezaan pendekatan dan dasar setiap kepimpinan termasuk di bawah era Barisan Nasional (BN).

“Pada 2008, ketika kerajaan baru mengambil alih pentadbiran memang terdapat perbezaan dari segi pendekatan dan dasar, berbanding tahun sebelumnya. Hasil negeri juga dapat dipertingkatkan.

“Kemudian pada 2014, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mempunyai pendekatan lebih dekat dengan rakyat sama ada aspek program mahupun dasar,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tingkat hasil negeri antara pengalaman manis Noordin

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 DIS: Dato’ Noordin Sulaiman yang bersara wajib hari ini menyifatkan kejayaan meningkatan hasil negeri merupakan antara pengalaman paling manis sepanjang bertugas sebagai Pegawai Kewangan Negeri.

Katanya, hasil Kerajaan Negeri mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan mencecah RM2.8 bilion, sejak 2012 sehingga hari ini.

“Kepuasan saya apabila kita dapat meningkatkan hasil negeri kurang dari RM2 bilion, pada akhir 2012 tetapi selepas itu melonjak kepada lebih RM2.5 bilion dan terbaru, RM2.8 bilion.

“Inilah satu kenangan manis kepada saya dan kita dapat memperbanyakkan program yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada SelangorKini, di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

Noordin berkata, kejayaan itu diperolehi apabila wujud dukungan kuat daripada warga kerja Jabatan Perbendaharaan, jabatan pemungut cukai dan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Katanya, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sendiri turut berkerja keras dan memberi sokongan padu kepada usaha meningkatkan hasil negeri.

“Bagi saya dalam tempoh lima tahun sebagai Pegawai Kewangan Negeri tiada yang pahit, semuanya manis belaka.

“Kalau ada pun masam-masam manis adalah sikit-sikit. Saya berpuas hati mendapat dukungan kuat bukan sahaja daripada kepimpinan negeri tetapi warga kerja Jabatan Perbendaharaan sendiri,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pegawai Kewangan Negeri bersara selepas 36 tahun berkhidmat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 DIS: Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman hari ini bersara selepas menabur bakti selama 36 tahun dan 30 hari dalam perkhidmatan awam.

Beliau yang bertugas sebagai Pegawai Kewangan Negeri sejak lima tahun lalu akan digantikan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN, Dato’ Nor Azmie Diron, pada Januari 2018.

Beliau yang dianggap Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai tokoh penting membantu Kerajaan Negeri merangka belanjawan tahunan berkata, perasaannya ketika ini bercampur baur antara sedih dan gembira.

“Soal perasaan itu memang bercampur baur kerana saya akan meninggalkan perkhidmatan awam selepas berkhidmat selama 36 tahun, 30 hari iaitu satu tempoh yang lama dan dapat belajar banyak perkara.

“Di mana pun saya berada, saya tetap belajar dan hari ini sudah tiba masanya untuk kita meninggalkan perkhidmatan dan perlu mengundurkan diri.

“Apa pun sebenarnya bersara ini juga satu nikmat untuk kita melepaskan penat lelah selepas melalui satu tempoh yang panjang,” katanya kepada SelangorKini.

Noordin mula berkhidmat di Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, pada 1981 sebelum dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, pada 2006.

Beliau juga pernah menjawat pelbagai jawatan penting seperti Pegawai Daerah Klang, Penolong Ketua Pegawai Daerah dan Setiausaha Majlis Bandaraya Shah Alam.

Pada 1 November 2012, beliau mula menjawat jawatan Pegawai Kewangan Negeri dan menjadi tokoh penting membantu Mohamed Azmin melengkapkan empat belanjawan yang pernah dibentangnya sejak 2014.

Penyerahan tugas disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya sebelum Noordin melekapkan jarinya, pada perakam masa sebagai simbolik persaraan.