Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus terkawal, Selangor tiada hasrat batal program

SHAH ALAM, 6 FEB: Selangor tidak akan membatalkan program berskala besar di tempat awam kerana koronavirus 2019 di negara ini masih dalam keadaan terkawal, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tiada keperluan mendesak untuk berbuat demikian, namun Kerajaan Negeri sentiasa memantau perkembangan wabak itu dari semasa ke semasa.

“Kita belum sampai ke tahap batalkan sebarang program keramaian. Berdasarkan situasi semasa, keadaan adalah terkawal.

“Malah ada pesakit yang dijangkiti koronavirus sudah pulih sepenuhnya. Alhamdulillah ia perkembangan baik,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di Pejabat Menteri Besar di sini hari ini.

Sebelum ini, Johor dilaporkan menangguh semua program perhimpunan awam berskala besar sepanjang bulan ini bagi mengelak risiko penularan koronavirus.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Koronavirus: Selangor sedia buka pusat kuarantin

SHAH ALAM, 5 FEB: Kerajaan Negeri bersedia membuka pusat kuarantin bagi membendung penularan koronavirus 2019 pada bila-bila masa, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia susulan seorang lelaki berusia 41 tahun dari Selangor menjadi rakyat Malaysia pertama disahkan positif virus itu dan perbincangan sudah dijalankan bersama EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud.

“Kita sudah ada beberapa cadangan lokasi jika diminta Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra anjuran Persatuan Hokkien Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan pesakit terbabit manakala perkembangan terbaharu hari ini dua lagi warga tempatan yang dibawa pulang dari Wuhan, China juga positif koronavirus.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Sedia garis panduan atasi pengusaha bot haram

KUALA SELANGOR, 4 FEB: Aktiviti pengusaha bot dan jeti haram yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dikhuatiri menjejaskan keselamatan pengunjung dan kualiti pelancongan di daerah ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Merujuk kepada Sky Mirror, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata siasatan Majlis Daerah Kuala Selangor mendapati hanya seorang pengusaha mempunyai kelulusan untuk menjalankan aktiviti berkenaan.

“Kerajaan Negeri bimbang aktiviti membawa pelancong secara haram berleluasa tanpa memikirkan keselamatan mereka, bahkan kualiti jeti dan penggunaan diesel akan mengganggu habitat di laut.

“Justeru, garis panduan menerusi Program Pemurnian Pelancongan Selangor (P3S) akan dikeluarkan sebagai rujukan kepada pengusaha yang ingin meneruskan operasi di situ,” katanya selepas merasmikan program berkenaan di Dataran Melawati di sini.

Amirudin berkata program kendalian Majlis Tindakan Pelancongan Daerah Kuala Selangor dimulakan dengan dialog dan pertemuan dengan pengusaha dan jika berjaya, akan diperluaskan ke daerah lain.

P3S diperkenalkan di setiap daerah mengikut permasalahan dan diselaraskan di seluruh negeri dengan setakat ini dilaksanakan di Hulu Langat bagi garis panduan membabitkan inap desa dan dusun.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Pelan pelihara sejarah Kuala Kubu Bharu 2025 dirangka

HULU SELANGOR, 3 FEB: Kerajaan Negeri akan mewujudkan pelan khusus untuk memelihara keunikan serta bangunan bersejarah yang dibina sebelum atau pasca merdeka di daerah ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Rancangan Kawasan Khas Kuala Kubu Bharu 2025 sedang dirangka bagi memastikan usaha memelihara khazanah negeri itu dapat dilaksana segera.

“Elemen warisan boleh didapati di Bukit Fraser, Kalumpang, Kerling dan juga Rasa yang masih memiliki bangunan lama. Bangunan berkaitan mempunyai pengaruh seni bina kolonial dan tempatan.

“Malah Kuala Kubu Bharu juga adalah pusat pentadbiran daerah selain laluan penting menghubungkan Selangor dan Pahang,” katanya pada Majlis Pelancaran Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Hulu Selangor 2035 di Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Amirudin berkata, aspek pembangunan di daerah ini perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana ia adalah pusat tadahan yang membekalkan 60 peratus bekalan air di Lembah Klang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SELANGOR

Atasi kepadatan pelajar, Selangor sedia bina sekolah baharu

SHAH ALAM, 31 JAN: Selangor telah menyediakan tapak untuk membina sekolah baharu bagi menampung kepadatan pelajar di tiga daerah utama iaitu Gombak, Petaling dan Hulu Langat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Menteri Besar berkata isu kekurangan sekolah di kawasan pesat membimbangkan dan Kerajaan Negeri memutuskan tanah di lokasi berkenaan dibangunkan menerusi peruntukan khas daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Untuk tahun ini tiada peruntukan untuk sekolah baharu di Selangor walaupun ada keperluan. Justeru, dalam mesyuarat tindakan pembangunan negeri kami meletakkan sasaran untuk menyediakan tanah di beberapa daerah ini bagi mengatasi isu kekurangan sekolah yang agak membimbangkan terutamanya di bandar padat.

“Tanah ini sudah disediakan dan tiada masalah. Kita cuma perlu menunggu peruntukan khas itu,” katanya selepas Majlis Temu Rapat Dato’ Menteri Besar bersama Pengetua dan Guru Besar Selangor, di SUK.

Sejak lima tahun lalu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri mengehadkan pembangunan komersial bagi memberi ruang tanah berkenaan digunakan untuk tujuan pembinaan sekolah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Agamawan diseru dalami ilmu, wibawa jadi rujukan masyarakat

SHAH ALAM, 30 JAN: Dato’ Menteri Besar menyeru golongan agamawan mendalami pengetahuan supaya institusi berkaitan kekal berwibawa dan terus menjadi rujukan masyarakat.

Mahu mereka berdaya saing dan mampu menangani persoalan semasa, Dato’ Seri Amirudin Shari percaya pencerahan ilmu agamawan dapat mengelakkan kekeliruan orang ramai yang gemar merujuk isu di media sosial.

“Hari ini Facebook, Twitter, Instagram, yang jadi ustaz banyak di sana. Rujukannya juga di sana. Semakannya juga di sana. Tidak lagi dirujuk kepada mereka-mereka yang boleh dianggap berkaliber dan berkelayakan.

“Kadang-kadang kita (orang ramai) dapat pun kita ‘copy paste’ (salin bulat-bulat) dan akhirnya kekeliruan dan penghormatan orang kepada jabatan dan agensi dan institusi (Islam) yang saya sebutkan tadi lama-lama akan hilang,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perhimpunan Agensi Agama Islam Selangor bersama Dato’ Menteri Besar di sini pada 28 Januari lalu.

Amirudin berkata agamawan juga perlu meneroka pengetahuan dengan lebih luas dan mendalam di luar bidang mereka, seterusnya melengkap diri sebagai golongan kaffah (pengamal Islam secara keseluruhan).

Beliau tidak mahu Islam dilabel tanggapan negatif berikutan institusi agama terkebelakang dan gagal memahami konteks ilmu moden hingga menimbulkan keresahan masyarakat.

“Pada hari ini setiap saat dan waktu, maklumat yang bertebaran benar dan palsu itu semakin lama semakin banyak bercantum, bergaul, yang akhirnya boleh mengelirukan masyarakat dan umat dalam negara kita.

“Kita tidak boleh ‘in denial’ (dalam penafian). Kita tidak boleh menolak mentah-mentah. Di mana wujud keresahan antara satu sama lain dan keresahan itu boleh dirungkai dengan ilmu, penerangan, pencerahan serta maklumat.

“Justeru, saya sangat-sangat berharap agar kita ‘alert’ (peka), kita prihatin, kita bersedia dengan sebarang perubahan kerana yang di luar itu, di luar jabatan maksud saya memang suka menunggu kesilapan,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Elak sebar maklumat tidak sahih isu koronavirus

SHAH ALAM, 27 JAN: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung penularan koronavirus 2019, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari sebaliknya menggesa masyarakat supaya menyebarkan informasi berguna bagi mencegah jangkitan penyakit itu.

“Sebarkan maklumat yang sahih untuk manfaat bersama dan rujuk informasi terkini daripada @KKMPutrajaya (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya menerusi catatan di Twitter hari ini.

Amirudin turut berkongsi beberapa tips bagi mengurangkan risiko dijangkiti wabak terbabit:

1. Basuh tangan dengan kerap menggunakan pencuci tangan berasaskan alkohol atau sabun dan air
2. Apabila batuk atau bersin tutup mulut dan hidung dengan lengan atau tisu serta buang segera tisu dan basuh tangan
3. Elakkan bergaul rapat dengan sesiapa yang mempunyai demam dan batuk
4. Masak daging dan telur sepenuhnya
5. Elakkan menyentuh haiwan liar atau ternakan secara langsung tanpa perlindungan

Sehingga Sabtu lalu, KKM mengesahkan empat kes jangkitan koronavirus di Malaysia.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kunjungan MB saat dinanti Raymond rai Tahun Baharu Cina

GOMBAK, 24 JAN: Dato’ Seri Amirudin Shari menamatkan jelajah kasih sempena Tahun Baharu Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Tua dengan mengunjungi kediaman pemilik Sri Ternak Group Sdn Bhd di Taman Selayang Indah di sini hari ini.

Dato’ Menteri besar tiba pada kira-kira 4 petang bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad dan anak-anaknya untuk meraikan kemeriahan Gong Xi Fa Cai dirayakan masyarakat Tionghua dengan menyertai Datuk Raymond Ho Cheng Hann sekeluarga sambil diiringi tarian singa serta irama gendang bagi menyambut ketibaannya.

Dalam kunjungan hampir dua jam itu, Amirudin dan tetamu lain berkesempatan menggaul dan menikmati Yee Sang, makanan tradisional masyarakat Cina sebagai lambang kesejahteraan serta panjang umur.

Dato’ Seri Amirudin Shari bersama tetamu semasa mengunjungi Ketua Pegawai Eksekutif Sri Ternak Group of Companies, Dato’ Raymod Ho di Taman Melati sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Selayang Indah, Batu Caves pada 24 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Raymond berkata pimpinan tertinggi negeri dan keluarga tidak pernah melepaskan peluang datang ke rumahnya setiap kali perayaan itu serta menyifatkan Amirudin sebagai pemimpin berjiwa rakyat.

Katanya, kedatangan Ahli Dewan Negeri Sungai Tua menjadi detik paling dinanti kerana mengenali antara satu sama lain dalam tempoh lama sebelum Amirudin dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar.

“Sudah tentu saya terharu dan kagum kerana beliau kerap turun padang bertemu rakyat, apatah lagi tidak pernah melupakan kenalan rapatnya pada musim perayaan dan saya menghargai persahabatan ini,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pengecualian cukai rumah kos rendah, fi penjaja kekal

BATU CAVES, 24 JAN: Pengecualian cukai pintu bagi rumah kos rendah, rumah kampung, fi lesen penjaja dan pasar dikekalkan tahun ini, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata, dasar itu diteruskan untuk tahun keempat sejak dimulakan pada 2016.

“Dengan mengekalkannya, Kerajaan Negeri menanggung kos sebanyak RM70.6 juta,” katanya dalam sidang media di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak di sini hari ini.

Pengecualian cukai tersebut merupakan antara manfaat dinikmati golongan berpendapatan rendah (B40) dalam Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Tahun lalu, Kerajaan Negeri kehilangan hasil berjumlah RM69 juta bagi memastikan program ini diteruskan untuk membantu rakyat Selangor.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri tetap harga ambang hartanah untuk warga asing

BATU CAVES, 24 JAN: Harga ambang bagi pembelian hartanah oleh warga asing dikurangkan kepada RM1.5 juta bagi jenis strata dan RM2 juta untuk banglo atau rumah berkembar berkuat kuasa 1 Januari lalu, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri menetapkan penurunan harga selepas membuat penilaian data dibentangkan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic).

“Harga ditawarkan hanya untuk unit hartanah yang mendapat sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC) sehingga 2018 dan ia unit belum terjual sehingga 31 Disember tahun yang sama.

“Langkah ini dijangka membantu menyelesaikan masalah lambakan hartanah tidak terjual di Selangor,” katanya dalam sidang media di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak di sini hari ini.

Beliau berkata harga ambang ditetapkan masih tinggi di Malaysia berbanding RM600,000 diputuskan kerajaan Persekutuan dan RM1 juta di Kuala Lumpur.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak menetapkan sebarang peratusan penurunan jumlah lambakan hartanah tidak terjual dan akan menilai semula dasar ini dalam tempoh setahun selepas dilaksana.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Aktivis masyarakat teruja MB luang masa rai Tahun Baharu Cina

BATU CAVES, 24 JAN: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerlahkan keperibadiannya yang baik dan dekat dengan rakyat apabila mengunjungi kediaman masyarakat Tionghua sempena Tahun Baharu Cina, kata Dave Lee Kean Aun.

Setiausaha kawasan rukun tetangga Taman Samudera berkata kedatangan beliau ke rumahnya amat mengembirakan dan ia kunjungan kali keduanya kerana pernah berbuat perkara sama tahun sebelum itu.

“Kami sekeluarga mengalu-alukan kehadiran Amirudin serta berbesar hati dapat bertemu secara dekat walaupun tahu kesibukannya dalam menguruskan pentadbiran negeri, namun tanggungjawab serta tugas diamanahkan rakyat dilaksana sebaik mungkin.

“Beliau sentiasa bertemu dan mendengar setiap permasalahan rakyat. Saya juga bangga dengan komitmen ditunjukkan dalam menyelesaikan setiap isu yang timbul,” katanya ketika ditemui pada Jelajah Dato’ Menteri Besar sempena Tahun Baharu Cina 2020 di Taman Samudera Utama di sini hari ini.

Terdahulu, Amirudin dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad tiba pada jam 10.30 pagi dan meluangkan masa hampir 30 minit bertanya khabar sambil menikmati kuih muih dihidang keluarga aktivis masyarakat terbabit.

Sebelum itu, Ahli Dewan Negeri Sungai Tua mengunjungi kediaman seorang lagi aktivis, Ah Lian di Selayang Baru.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Kuasai 70 peratus aeroangkasa, Selangor kekal pilihan pelabur

SHAH ALAM, 22 JAN: Selangor yakin akan menguasai 70 peratus pelaburan dalam industri aeroangkasa di negara ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri ketika ini dalam peringkat akhir perbincangan dengan pengeluar pesawat terkemuka Airbus untuk membuka fasiliti di Selangor.

“Pada 2015, Selangor menguasai 62 peratus industri aeroangkasa dan meningkat kepada 65 peratus pada 2019.

“Kita yakin Selangor akan menguasai industri aeroangkasa dalam tempoh terdekat,” katanya dalam wawancara Program Bicara Politikonomi di RTM malam ini.

Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.

Mengulas tanggapan pelabur beralih ke negeri-negeri lain, Amirudin berkata Selangor kekal sebagai destinasi pilihan pelabur domestik dan antarabangsa.

“Sehingga September 2019 nilai pelaburan di Selangor berjumlah RM16.4 bilion manakala nilai pelaburan Pulau Pinang pula adalah RM13.25 bilion.

“Selangor kekal destinasi pilihan walaupun ada pesaing dari Pulau Pinang dan Johor. Ia didorong oleh peningkatan penggunaan teknologi tinggi dalam industri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Selangor yakin dapat meningkatkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar kepada 30 peratus menjelang 2030.

Pada 2018, Selangor muncul penyumbang terbesar KDNK pada kadar 23.7 peratus dengan nilai pelaburan lebih RM18.97 bilion membabitkan 241 projek.

“Ia dipacu oleh pertumbuhan ekonomi digital yang kukuh, seiring matlamat kerajaan negeri ke arah negeri pintar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata Subang Jaya menjadi lokasi terawal di Selangor yang dipilih Telekom Malaysia Berhad (TM) selepas Langkawi bagi memulakan Projek Demonstrasi 5G (5GDP) selama enam bulan.

Pada 19 Januari lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meninjau pelaksanaan 11 projek berkenaan antaranya di lapangan terbang dan hospital pulau peranginan itu.

Dalam wawancara sama, Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut memberi penekanan kepada program teknikal dan vokasional untuk generasi muda.

“Kita tidak mahu program teknikal dan vokasional menjadi pilihan kedua orang muda,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan pelbagai insentif untuk pelajar, misalnya Program Selangor BITARA yang membuka peluang kepada golongan itu melanjutkan pengajian doktor falsafah di universiti terkemuka luar negara.