Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Selangor tiada hasrat henti program air percuma

HULU LANGAT, 22 JAN: Kerajaan Negeri tidak bercadang menghentikan program air percuma kepada golongan sasar walaupun kos perbelanjaannya meningkat setiap tahun, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedudukan kewangan negeri masih berupaya untuk melaksanakan program yang akan dikekalkan melalui Skim Air Darul Ehsan.

“Skim Air Darul Ehsan dibuat supaya program air percuma kekal dan berterusan. Kita tidak akan hentikan…selepas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd beroperasi sepenuhnya dan mendapat margin lebih baik untuk membiayai kos perbelanjaan itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Loji Rawatan Air Langat 2 di sini hari ini.

Selangor melakukan penjajaran semula subsidi supaya lebih bersasar dan tidak membebankan kewangan Kerajaan Negeri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Air di empangan cukup hadapi kemarau

HULU LANGAT, 22 JAN: Bekalan air di Selangor mampu bertahan sepanjang musim kemarau yang dijangka berlaku dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata paras air di lapan empangan masih pada kadar 90 peratus dan dijangka cukup untuk menampung permintaan maksimum empat bulan.

“Empangan kita masih pada tahap yang baik. Taburan hujan masih berlaku di sekitar Lembah Klang, berbeza dengan negeri utara yang kurang taburan hujan.

“Selain itu, kita ada kolam takungan Hybrid Off River Augmentation System (HORAS) yang boleh digunakan jika berlaku situasi mendesak,” katanya kepada pemberita selepas melawat Loji Rawatan Air Langat 2 di sini hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan kebanyakan negeri menerima taburan hujan yang rendah antara Januari hingga Mac.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Selangor ketinggalan jika rakyat tidak berubah

PETALING JAYA, 16 JAN: Selangor akan ketinggalan jika rakyatnya tidak melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kegagalan menguasai era dunia pintar boleh menjadikan ekonomi negeri ini berdepan kesukaran untuk bersaing di peringkat global.

“Sekarang ini orang cakap tentang IR 4.0 yang berlaku di peringkat global. Saya selalu tekankan mengenai betapa pentingnya perkara ini.

“Kita bercakap tentang kehidupan pintar yang mana internet digabungkan dengan kehidupan kita. Semua perkara menjadi pantas,” katanya berucap pada Program Santai Bersama Warga Yayasan Selangor di sini semalam.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan memastikan agenda pendidikan unggul yang dirancang pada tahun ini berjaya.

“Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap agenda pendidikan rakyat Selangor.

“Ingin saya tekankan bahawa rakyat berilmu, berhikmah dan berintegriti adalah sumber kekuatan kepada negeri ini, ” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB yakin catat nilai pelaburan tertinggi 3 tahun berturut-turut

GOMBAK, 14 JAN: Kerajaan Negeri yakin akan terus mencatat nilai pelaburan tertinggi di negara ini selama tiga tahun berturut-turut sejak 2018, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, di sebalik jangkaan kelembapan ekonomi global pada tahun ini, pihaknya optimis untuk mencapai nilai pelaburan sebanyak RM12 bilion seperti disasarkan.

“Sebanyak RM18.9 bilion nilai pelaburan luar yang dibawa ke Selangor pada 2018 merupakan pertumbuhan 239 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

“Kejayaan ini kita teruskan pada tahun lalu apabila sekali lagi melepasi sasaran ditetapkan,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Gombak di sini, hari ini.

Amirudin berkata dasar Kerajaan Negeri yang mesra pelabur dan kemudahan infrastruktur berkualiti tinggi antara faktor menarik mereka untuk menjadikan Selangor destinasi pilihan.

Setakat suku ketiga tahun lalu, Selangor mencatat nilai pelaburan RM16.4 bilion.

Categories
SELANGOR

MB: Tunggu siasatan kes Adhif Syan selesai

KUALA LANGAT, 14 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil Adhif Syan Abdullah masih boleh meneruskan tugas sehingga proses siasatan selesai, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya senada dengan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang menyatakan tiada siapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah.

Amirudin berkata pihaknya berpegang kepada prinsip seseorang dianggap tidak bersalah selagi belum diputuskan undang-undang dan beliau berharap siasatan berlangsung dengan teliti.

“Setakat ini, beliau tidak mengaku (bersalah) dan saya beri ruang itu kepada beliau membuktikannya melalui proses undang-undang.

“Kedudukan sebagai ADN setakat ini masih pada tahap itu (boleh meneruskan tugas) dan saya menunggu pandangan daripada rakan kita sebab seperti saya sebut Bersatu sepatutnya menentukan masa depan beliau dan saya serahkan kepada mereka membuat keputusan,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata tindakan akan diambil terhadap ahli parti itu jika mereka terbukti bersalah dalam kes jenayah.

“Sesiapa yang langgar undang-undang, tak kira siapa, walaupun jika saya yang langgar undang-undang, saya perlu masuk penjara,” katanya.

Namun, Mahathir berkata parti itu perlu menunggu maklumat penuh sebelum mereka memutuskan bentuk tindakan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Persaingan sengit tuntut pemaju lebih kreatif, inovatif

KUALA LANGAT, 14 JAN: Pemaju hartanah perlu tampil lebih kreatif dan inovatif dalam menyediakan kemudahan pembangunan baharu bagi menarik lebih ramai pembeli, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keadaan semasa menuntut pemain industri untuk lebih berdaya saing bagi memenuhi kehendak pasaran dengan mutu perkhidmatan berkualiti bagi memenuhi kehendak masyarakat.

“Saya juga menggesa pegawai kerajaan untuk turut mengambil pendekatan sama supaya suatu hari nanti mereka juga mampu bersaing pada peringkat swasta.

“Misalnya seorang akauntan di Kerajaan Negeri, saya cabar mereka untuk bersaing agar mampu berkhidmat pada peringkat swasta seperti di anak syarikat kerajaan (GLC),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada LBS Bina Group Berhad (LBS) di Bandar Saujana Putra di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plak sempena Majlis Pengiktirafan Malaysia Book Of Records Kediaman Pangsapuri Yang Mempunyai Bilangan Fasiliti Terbanyak 2019 di BSP21 Saujana Putra yang dibina LBS Bina Group Berhad (LBS) pada 14 Januari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin berkata, tawaran kemudahan lebih baik pastinya mampu menarik pembeli masa kini dan menjadi pemangkin proses urbanisasi kawasan baharu seperti di Bandar Saujana Putra.

Katanya, dalam persaingan perniagaan dan dunia semakin kompetitif, pihak berkaitan pastinya memerlukan nilai tambah dalam produk dihasilkan serta kemudahan perkhidmatan ingin ditawarkan.

“Kalau sekadar buat rumah dengan kemudahan biasa ia juga akan terjual kepada orang ramai tetapi persaingan yang sangat besar di Lembah Klang menuntut kita tampil dengan kelainan.

“Saya percaya ia juga akan membuka lagi persaingan dan memberikan nilai tambah kepada penduduk di Selangor,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Media sosial bukan tempat semai kebencian

SHAH ALAM, 5 JAN: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menasihatkan semua pihak supaya menjadikan media sosial sebagai landasan tujuan yang lebih produktif.

Katanya, media sosial sebenarnya memberikan banyak kebaikan jika digunakan secara betul dan berhemah.

Beliau berkata, bagaimanapun kini medium berkenaan dijadikan tempat menyemai kebencian dan tidak ketinggalan, buli siber.

“Antara kebaikan media sosial adalah dapat mencipta komuniti dan merapat jurang komunikasi.

“Namun, adakah anda tahu hantaran ucapan benci dalam talian tentang orang lain adalah satu bentuk buli siber?” soalnya.

Beliau berkata demikian menerusi ciapan di Twitter miliknya, @AmirudinShari hari ini.

Justeru, Amirudin mengajak orang ramai supaya menghentikan aktiviti tidak bermoral berkenaan, sekali gus memastikan dunia media sosial kekal menjana perubahan positif, berbanding kesan negatif.

“Mari kita menghentikan buli siber. Media sosial sepatutnya menjadi landasan untuk berkomunikasi dan meningkatkan pengetahuan, bukannya membuat musuh,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia menduduki kelompok kelima tertinggi di dunia dan tempat teratas di Asia Tenggara dalam penembusan media sosial mudah alih, demikian menurut Hootsuite and We Are Social dalam laporan terkini Digital 2019.

Laporan itu berkata, penembusan internet di Malaysia kini pada tahap 80 peratus, dengan pengguna membelanjakan purata lapan jam lima minit sehari secara dalam talian.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB fokus tangani isu besar sepanjang 2020

SHAH ALAM, 1 JAN: Kerajaan Negeri akan memberi perhatian terhadap usaha menangani tiga isu besar yang membelenggu rakyat Selangor sempena Tahun Baharu 2020.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selepas kejayaan mengatasi isu ekonomi dan sosial, Selangor masih berdepan masalah lain yang harus disepakati bersama demi memacu kemakmuran serta kesejahteraan rakyat.

“Isu seperti perkauman, agama dan alam sekitar (pencemaran) masih melingkari kehidupan rakyat di negeri ini.

“Jadi, kita berharap dengan strategi digariskan dalam Belanjawan 2020, isu ini dapat ditangani demi kesejahteraan rakyat sepanjang tahun ini dan tahun mendatang,” katanya dalam satu rakaman video sempena Tahun Baharu 2020.

Beliau berkata Selangor juga berjaya mengharungi pelbagai cabaran tahun lalu hasil keutuhan dan kecekapan pentadbiran selain muafakat masyarakat berbilang kaum di negeri itu.

“Kita berjaya mencapai sasaran pelaburan yang tinggi sehingga mencecah RM16.4 bilion, sekali gus melangkaui sasaran ditetapkan iaitu sekitar RM10 bilion.

“Malah, beberapa jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Negeri berjaya mendapat pengiktirafan yang baik serta menjuarai sebagai negeri anti rasuah pertama di Malaysia.

“Kita juga terus-menerus membantu rakyat dengan mempelbagaikan dan merungkai kembali program Inisiatif Peduli Rakyat demi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat bersama,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata pihaknya merangka Belanjawan 2020 untuk memastikan Selangor berjaya mencapai status negeri pintar serantau menjelang 2025 dengan menggariskan lima strategi utama.

“Ini termasuk menjana pertumbuhan dan pemberdayaan ekonomi, memacu agenda pendidikan unggul, mewujudkan Selangor yang selamat, sihat dan sejahtera, menjamin kelestarian alam sekitar serta menjuarai kemampanan sosial.

“Strategi ini akan digabungkan dengan lapan asas dan teras Wawasan Kemakmuran Bersama yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tahun lalu.

“Dengan gabungan kekukuhan pentadbiran Kerajaan Negeri dan kelincahan (pentadbiran) Kerajaan Persekutuan, kita yakin segala usaha reformasi akan mencapai kecemerlangan lebih baik serta momentum memberangsangkan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pencapaian 2019 pemangkin Selangor lakar kejayaan tahun ini

SHAH ALAM, 1 JAN: Pencapaian luar biasa Selangor sepanjang 2019 menjadi pemangkin buat Kerajaan Negeri untuk melakar pelbagai kejayaan tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beberapa agensi berjaya mencapai prestasi cemerlang termasuk dua pejabat daerah dan tanah, dua badan berkanun, dua jabatan serta tujuh pihak berkuasa tempatan.

“Selangor menutup tirai tahun ini dengan beberapa pencapaian luar biasa. Kesemua 13 jabatan menunjukkan gerak kerja sangat baik dan melaksanakan tugas dengan amanah serta berintegriti.

“(Kejayaan ini menyaksikan) kita mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2020.

Amirudin berkata kemanisan hasil pelaburan berjumlah RM16.4 bilion yang diperoleh melangkaui sasaran RM10 bilion, membuktikan visi Selangor Negeri Pintar Utama Serantau berada dalam genggaman.

Pada 2018, Selangor berjaya mencatatkan pelaburan terbesar sepanjang 30 tahun dengan jumlah RM18.9 bilion.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Sambung legasi pastikan Selangor terus gah

SHAH ALAM, 1 JAN: Selangor bertekad untuk terus maju tahun ini dengan menyambung legasi dan menyempurnakan kecemerlangan pentadbiran terdahulu, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Katanya dengan tema Selangor Negeri Unggul, Kehidupan Bermartabat, beberapa strategi digariskan dalam Belanjawan Selangor 2020 yang menyaksikan penjajaran dan pemerkasaan inisiatif lama.

“Bahtera Selangor akan berlayar bagi mendepani tahun 2020 dengan penyempurnaan beberapa langkah yang dimulakan nakhoda terdahulu.

“Inisiatif lama dijajar malah diperkasa seperti Skim Peduli Sihat, Skim Air Darul Ehsan juga Skim Mesra Usia Emas.

“Beberapa program inovatif turut diperkenal seperti biasiswa Selangor BITARA, Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) dan banyak lagi, semua dalam rangka untuk memberikan yang terbaik buat rakyat,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2020.

Amirudin berkata usaha itu bagi memastikan ekonomi negeri dan Malaysia terus mampan, selari dengan hasrat digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Katanya langkah Dasar Kelulusan 100 Hari, yang diamal Kerajaan Negeri akan menyaksikan Selangor kekal sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia.

“(Justeru) Marilah kita memandang kehadapan, melangkah bagaikan “bunyanum marsus”; “barisan yang teratur rapi, seolah-olah bangunan yang tersusun kukuh” bagi mencapai “iltizam menjadikan Malaysia sebuah negara terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan” seperti digariskan dalam WKB 2030.

“Itulah tekad, doa dan harapan kita untuk tahun hadapan, insyaAllah. Selamat tahun baru 2020!” kata Amirudin lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Hargai keunikan perayaan berbilang bangsa

SHAH ALAM, 25 DIS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru seluruh rakyat supaya menghargai keunikan perayaan yang disambut masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Menerusi ciapan di Twitternya, beliau berkata perayaan pelbagai kaum adalah aset yang harus dirai dan dipertahan secara bersama.

“Sempena perayaan Krismas, saya mewakili seluruh kepimpinan Selangor ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Natal kepada semua penganut agama Kristian.

“Semoga perayaan ini disambut dengan meriah dan gembira di samping keluarga serta sahabat tersayang,” tulisnya yang turut disertakan video ucapan sempena perayaan itu, hari ini.

Dalam video berdurasi 44 saat itu, beliau turut menyeru masyarakat di Selangor supaya berganding bahu memperbaharui tekad hidup dalam mempertahankan keharmonian antara kaum.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Rapatkan hubungan, kukuh persaudaraan

SHAH ALAM, 25 DIS: Masyarakat diseru menjadikan Krismas sebagai landasan merapatkan hubungan keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga dalam suasana harmoni dan kasih sayang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sikap itu menjadi sebahagian rukun hidup masyarakat majmuk yang menjadi resipi kejayaan Malaysia lebih 62 tahun.

“Kedamaian yang kita capai ini harus dipertahankan, seperti titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-74 baru-baru ini.

“Untuk itu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Natal untuk semua penganut Kristian daripada pelbagai latar belakang, sama ada Cina, India, Serani mahupun bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Selamat Hari Natal juga kepada tetangga Kristiani di Indonesia dan penganut Katolik terbesar di Filipina,” katanya dalam perutusan khas sempena Krismas.

Amirudin turut mengimbau kisah hidup Jesus Christ atau Isa A.S membawa mesej keamanan, persaudaraan dan cinta.

Katanya kehidupan baginda mencetuskan perubahan besar dengan menyentuh banyak sendi kehidupan manusia seperti seni rupa, seni muzik dan budaya secara amnya.

Amirudin turut menyeru masyarakat “melayan seseorang seperti mana kita ingin dilayani” yang menjadi pegangan golongan Kristian sejak sekian lama atau ‘Golden Rule’ dalam perkembangan moral dan etika.