Categories
AGENSI SELANGOR

Penyumbang KDNK tertinggi dorong semangat penjawat awam Selangor

SHAH ALAM, 11 SEPT: Status Selangor sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Nasional tahun lalu seharusnya menjadi pemangkin semangat buat penjawat awam di negeri ini untuk terus menampilkan rentak kerja cemerlang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, pencapaian membanggakan itu perlu dikekalkan dan dipertingkat pada masa hadapan walaupun ia dianggap sebagai cabaran besar terhadap penjawat awam.

“Berbanding melihat perkara ini sebagai satu cabaran, saya lebih suka untuk menjadikan cabaran ini sebagai peluang kepada kita (perkhidmatan awam) untul menjadi lebih baik daripada sektor swasta.

“Malah, perkara sama turut disebut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menggesa penjawat awam di negara ini supaya melihat cabaran dan gangguan baharu bukan satu ancaman, tetapi sebagai peluang yang harus direbut untuk terus bertambah baik serta berinovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Selangor (MPIPANS) 2019, di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Nor Azmie Diron dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor.

Terdahulu, Selangor mencatat 23.7 peratus sebagai penyumbang KDNK nasional 2018, sekali gus menjana pertumbuhan melebihi paras nasional (4.7 peratus) iaitu sebanyak 6.8 peratus.

Malah, jumlah pelaburan juga mencatat sebanyak RM18.95 bilion iaitu jumlah tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah negeri ini.

Mengulas lanjut, Mohd Amin berkata, masyarakat pada masa kini mengharapkan perkhidmatan berkualiti dan terbaik daripada penjawat awam sejajar dengan peredaran masa serta teknologi.

Katanya, ekspektasi masyarakat terhadap penjawat awam juga tidak semudah dahulu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Produk inovasi Selangor rentasi persada antarabangsa

SHAH ALAM, 11 SEPT: Produk inovasi dihasilkan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor menempa banyak kejayaan di peringkat antarabangsa berbanding dahulu yang hanya melangkaui peringkat organisasi atau kebangsaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, buktinya lima jabatan akan mewakili Selangor ke Konvensyen Antarabangsa Mengenai Bulatan Kawalan Kualiti (ICQCC) 2019, di Keio Hotel Plaza Tokyo, Jepun, pada bulan ini.

“Ini termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

“Kita boleh berbangga mengatakan bahawa projek inovasi oleh jabatan-jabatan Kerajaan Negeri Selangor mampu untuk berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Selangor (MPIPANS) 2019, di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Nor Azmie Diron dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor.

Selain itu katanya, empat agensi juga akan mewakili Selangor ke Persidangan Antarabangsa Kualiti Organisasi Asia Pasifik (APQOIC) Ke-25 serta Konvensyen Kualiti dan Produktiviti Antarabangsa (IQPC) 2019, di The Stones Bali, Indonesia.

“Antara agensi yang mendapat kelayakan itu ialah MPAJ, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

“Semoga kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada agensi-agensi lain untuk turut mengorak langkah sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Transformasi permit pembinaan mampu tarik pelabur

SHAH ALAM, 3 SEPT : Kerajaan Selangor yakin dengan wujudnya Transformasi Urusan Permit Pembinaan Peneraju Utama Negeri (State DCP Champion) mampu menarik pelabur untuk melabur di negeri ini pada masa akan datang.

Setiausaha Kerajaan Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, beliau turut menzahirkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana terpilih menjadi perintis bagi program terbabit.

Katanya, beliau percaya urusan berkaitan permit pembinaan akan menjadi lebih cekap sekali gus memudahkan pelabur mendapatkan perkhidmatan disediakan.

“Pemilihan MBSA sebagai State DCP Champion ini amatlah membanggakan kerana MBSA adalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Selangor terlibat dalam program ini.

“Ini usaha yang baik kerana saya percaya perubahan dilaksanakan bukan sahaja memberi kelebihan kepada bandar raya Shah Alam malahan ia juga menjadi pemangkin kepada peningkatan pelaburan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Menandatangani Aku Janji Melaksanakan Program State DCP Champion di Dewan Bankuet, MBSA, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Amin berkata, Kerajaan Negeri memerlukan kerjasama semua PBT untuk menggunakan platform sama supaya permohonan premit pembangunan akan lebih efisien dan elektif.

“Justeru, saya menyeru kepada semua PBT dan MBSA khususnya untuk terus proaktif dan inovatif dalam menyediakan segala prasarana serta konsisten melaksanakan penambahbaikan sekali gus memudahkan semua urusan sama ada pelabur dan orang awam,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memilih Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebagai bandar raya perintis di Selangor bagi menjayakan program State DCP Champion.

Program itu bertujuan memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan PBT daripada aspek pengeluaran permit pembinaan merangkumi OSC 3.0 dan OSC 3.0 Plus selain menghasilkan perubahan dalam industri pembinaan negara.

Categories
SELANGOR

Fokus usaha tingkatkan ciptaan inovasi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 NOV: Kerajaan Negeri sentiasa memberi penekanan terhadap usaha merancakkan kreativiti dan produktiviti melalui kepelbagaian ciptaan inovasi bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, pucuk kepimpinan negeri juga sentiasa memikirkan kaedah terbaik menyediakan ruang dan peluang kepada semua penggiat inovasi menonjolkan idea masing-masing.

Katanya, ia termasuk menganjurkan pertandingan, pameran, konvensyen mahupun majlis ilmu berkaitan dalam menggalakkan pembabitan penjawat awam untuk terus meningkatkan mutu penyampaian kepada rakyat.

 

“Sebagai buktinya, sepanjang 2018, pelbagai program inovasi dilaksanakan antaranya Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringat Negeri Selangor (MPIPANS), Anugerah Inovasi Negeri Selangor (AINS), Karnival Jejak Inovasi dan beberapa program lain yang merangkumi penglibatan semua pihak.

“Program ini bukan hanya menyasarkan kepada perkhidmatan awam, malahan menjadi medium untuk segenap masyarakat hingga ke peringkat akar umbi bagi mempromosi dan memperkenalkan hasil inovasi masing-masing ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Selangor 2018, di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Terdahulu, lebih 300 inovasi pelbagai kategori termasuk sektor awam, swasta, institusi pengajian tinggi, sekolah dan badan bukan kerajaan dipertandingkan.

Mengulas lanjut, Mohd Amin berkata, jumlah penyertaan dari semua daerah di Selangor turut menunjukkan peningkatan cukup ketara, sekali gus membuktikan program sedemikian mendapat tempat di hati komuniti.

“Mahasiswa di IPT juga berjaya menghasilkan inovasi yang mampu menyumbang ke peringkat lebih tinggi seperti projek satelit Nano ‘UiTMSAT-1’ hasil ciptaan anak-anak muda Universiti Teknologi Mara.

“Kapal tanpa kawalan manusia atau ‘Unmanned Surface Vessel’ yang diberi nama ‘todak’ oleh pensyarah dan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah memberi impak besar kepada organisasi dan negeri,” katanya.