Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Pancuran berirama Laman Budaya dibuka semula sejak Jumaat

SHAH ALAM, 15 SEPT: Laman Budaya Musical Fountain dibuka semula kepada orang ramai untuk aktiviti riadah mulai Jumaat ini, maklum Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awam MBSA berkata persembahan pancuran air berirama diadakan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad mulai jam 8.30 hingga 9.30 malam.

Menurut Shahrin Ahmad, pengunjung mestilah sudah menerima suntikan vaksin lengkap selain mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sektor sukan dan rekreasi kerajaan.

“Pengunjung hendaklah memakai pelitup muka, mengimbas kod QR dan suhu badan serta pengamalan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya tiga meter,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan semua taman awam ditutup untuk sebarang aktiviti ketika melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun lalu.

Namun, kerajaan membenarkan taman rekreasi awam di semua negeri dalam fasa satu PPN dibuka untuk tujuan riadah mulai 16 Ogos.

Categories
PBT SELANGOR

Timbalan Datuk Bandar pangku tugas Datuk Bandar Shah Alam

SHAH ALAM, 19 MAC: Timbalan Datuk Bandar Shah Alam dilantik sebagai pemangku Datuk Bandar berkuat kuasa Isnin lalu.

Mohd Rashidi Ruslan menggantikan Dato’ Haris Kasim mengangkat sumpah jawatan terbabit di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

Sementara itu, Haris yang dilantik sebagai pegawai kewangan negeri berharap langkahnya menjadikan Shah Alam sebagai bandaraya rendah karbon dapat diteruskan dan dicapai sebelum 2035.

“Pelbagai aktiviti dijalankan termasuk peringkat antarabangsa di Dubai selain pernah memenangi beberapa anugerah kebangsaan.

“Sepanjang mentadbir MBSA selama satu tahun 10 bulan ini, tugas saya amat mudah kerana semua kakitangan memberi kerjasama yang baik. Harap perkara ini diteruskan,” katanya.

Bermula Isnin lalu, Haris menggantikan Dato’ Nor Azmie Diron yang dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkuat kuasa 3 Februari.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Taman Persahabatan Selangor-Jepun rancak industri pelancongan

SHAH ALAM, 13 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mahu menjadikan Taman Persahabatan Selangor-Jepun sebagai destinasi wajib dikunjungi pelancong tempatan dan antarabangsa.

Datuk Bandar Dato’ Haris Kasim berkata kerjasama akan dijalin dengan badan pelancongan untuk mempromosikan taman berkeluasan 2.428 hektar yang mengandungi elemen seni bina dan budaya Jepun berkenaan.

“Sebelum pandemik Covid-19 melanda, lebih 100,000 pelancong dengan majoritinya dari Jepun berkunjung ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim bersama kedutaan Jepun di Malaysia melawat Laman Zen atau Taman Batu Jepun yang bakal menjadi tarikan pengunjung di Taman Persahabatan Selangor-Jepun di Taman Tasik Shah Alam, Seksyen 14 pada 12 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Justeru, memandangkan taman ini terletak berhampiran masjid berkenaan, kita yakin mereka (pelancong) akan turut berkunjung ke sini sekali gus merancakkan industri pelancongan di Shah Alam khususnya dan Selangor amnya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pembukaan taman tersebut di Taman Tasik Alam di sini semalam yang turut dihadiri Setiausaha Ketiga Kedutaan Jepun di Malaysia Iwa Iwari.

Sementara itu, Haris berkata pihaknya bercadang untuk menganjurkan persembahan kebudayaan Jepun dan Selangor di taman terbabit pada setiap minggu bagi menyemarak aktiviti seni serta budaya.

Pengunjung mengenakan pakaian Kimono di Taman Persahabatan Selangor-Jepun di Taman Tasik Shah Alam, Seksyen 14 pada 12 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita sedang atur program ini dengan kerjasama alumni dan pelajar Selangor yang sebelum ini menuntut pengajian di Jepun.

“Sekurang-kurangnya pengunjung yang datang bukan sahaja boleh melihat seni bina unik di sini malah berpeluang menikmati hiburan kesenian masyarakat Selangor dan Jepun,” katanya lagi.

Taman persahabatan ini mempunyai seni bina seperti Laman Zen, Kolam Maze, Gerbang Torii, Tsukubai (besen batu), laman refleksologi dan lemen teres.

Menampilkan ciri unik dengan dikelilingi pagar keselamatan berkonsepkan buluh, taman ini dibuka setiap hari mulai jam 10 pagi hingga 7 petang secara percuma.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: 62 penjaja, peniaga kecil Kota Kemuning dapat permit niaga

SHAH ALAM, 20 DIS: Sebanyak 62 permit perniagaan sementara diluluskan kepada penjaja dan peniaga kecil di kawasan Kota Kemuning di sini.

Dato’ Menteri Besar berkata lesen itu diluluskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi pembukaan kaunter permohonan pada semalam dan hari ini di Dewan Liparis, Seksyen 31.

“Program ini akan diperluaskan ke seluruh negeri bagi membantu mereka yang ingin berniaga,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Sementara itu, ketua bahagian korporat dan perhubungan awam MBSA berkata kaunter permohonan yang dibuka selama dua hari mendapat sambutan menggalakkan.

Shahrin Ahmad memaklumkan inisiatif tersebut memberi peluang kepada orang ramai menjana pendapatan khususnya mereka yang terkesan dengan penularan Covid-19.

Tambahnya, tapak penjaja sementara akan dibuka di beberapa lokasi yang dikenal pasti antaranya Seksyen 26,27,28, 31 dan 35.

 

Categories
PBT SELANGOR

MBSA tunda 782 kenderaan terbiar sehingga September

SHAH ALAM, 14 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menunda 782 kenderaan terbiar melalui pelbagai operasi sejak awal tahun sehingga September lalu.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya Shahrin Ahmad berkata penundaan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil Taman (MBSA) 2005 di bawah Seksyen 46 (1) (e).

“Kenderaan ini dihantar ke Depoh Simpanan Tunda di Seksyen U16, Seksyen 17 dan Seksyen 31 Shah Alam dengan caj bagi simpanan di depoh sebanyak RM10 sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi penundaan itu bagi memastikan kenderaan terbiar di tempat awam tidak mendatangkan bahaya kepada masyarakat atau menimbulkan masalah lalu lintas.

“Kenderaan terbiar juga boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.  Justeru, orang ramai dinasihat tidak meninggalkan kenderaan terbiar di tempat awam kerana MBSA akan mengambil tindakan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Pemuda tolak tawaran niaga di tapak penjaja, sambung belajar – MBSA

SHAH ALAM, 13 OKT: Peniaga minuman yang dikompaun Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menolak tawaran berniaga di tapak penjaja berikutan perlu kembali meneruskan pengajian.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA memaklumkan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam itu ditawarkan tapak di kawasan penjaja sementara Seksyen 7, di sini.

“MBSA melalui Jabatan Pelesenan mengambil inisiatif menghubungi pemuda berkenaan untuk berbincang dan membantu beliau meneruskan perniagaan.

“Diharapkan penjelasan ini dapat memberi gambaran sebenar terhadap isu yang ditularkan di media sosial,” menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam kenyataan.

MBSA menjelaskan pihaknya mengambil maklum situasi dihadapi orang ramai pada saat ini untuk menjalankan perniagaan kecil bagi menampung kehidupan seharian.

“Bagi mengatasi masalah penjaja tanpa kebenaran, MBSA mengenal pasti beberapa lokasi yang bersesuaian untuk menempatkan penjaja tanpa kebenaran di kawasan pentadbiran ini,” tambah kenyataan itu lagi.

Pada 9 Oktober lalu, pemilik Twitter @iszlqrn memuat naik video kawannya bernama Azri didatangi penguat kuasa MBSA dan disaman ketika berniaga air minuman secara jualan dari but kereta.

Beliau mendakwa Azri yang baharu setengah jam berniaga dan mendapat untung RM75 selepas menjual lima botol minuman dikenakan kompaun berjumlah RM300.

Video itu mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang segera menghubungi pemilik akaun terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi membantu memudahcara urusan berniaga di sekitar Shah Alam.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA: Empat premis langgar PKPP diarah tutup

SHAH ALAM, 12 SEPT: Empat premis sekitar Seksyen 32 di sini diarah tutup kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurut Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) operasi dijalankan semalam bersama beberapa agensi lain turut mengeluarkan kompaun serta denda ke atas tiga premis lain.

“Operasi ini dilakukan selepas tujuh premis ini disyaki dikendalikan warga asing. Hasil pemeriksaan juga mendapati adanya pelanggaran undang-undang.

“Beberapa barangan seperti tong gas, rak serta mesin permainan kanak-kanak turut disita dan dihantar ke stor di Seksyen 17 dekat sini,” katanya di Facebook semalam.

Menurut MBSA tindakan berkenaan diambil mengikut Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MBSA) 2007, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBSA) 2007.

Categories
AGENDA JENAYAH

Lindungi premis haram: Penguat kuasa direman tujuh hari

PUTRAJAYA, 13 OGOS: Seorang penolong pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh, Selangor.

Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 19 Ogos itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini hari ini.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lelaki berumur 38 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira 9.30 malam, semalam selepas hadir memberi keterangan.

Semalam, lima individu termasuk empat penguat kuasa MBSA direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes yang sama.

Isu tersebut menjadi hangat apabila baru-baru ini tular dua klip video menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan itu.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Perintah kawalan: Tiga PBT Selangor giat jalankan pemeriksaan

SHAH ALAM, 26 MAC: Beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dilihat semakin agresif melakukan pemeriksaan ke atas premis perniagaan bagi memastikan pengusaha tidak melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi status dimuat naik di Facebook memaklumkan semua pemilik gerai sekitar pentadbirannya mematuhi PKP setakat ini.

“Pemantauan di Seksyen 8 hingga 20 mendapati semua gerai mematuhi peraturan dengan tidak menjalankan operasi perniagaan ekoran PKP yang berkuat kuasa mulai 18 Mac,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) diketuai Yang Dipertuanya Mohamad Zain A Hamid sendiri turun padang menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa premis perniagaan sekitar daerah berkenaan kelmarin.

“Pemantauan yang disertai Pegawai Daerah Kuala Langat Mohd Jusni Hashim bertujuan memastikan peniaga dan pembeli mematuhi arahan berkaitan PKP serta keselamatan diri berhubung wabak Covid-19.

“Antara tempat dilawati adalah Pasar Awam Sungai Jarom, Jenjarom; Pasaraya Econsave, Banting; Pasaraya CLC, Banting; Pasar Awam Banting termasuk Pos Kawalan Pemeriksaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Olak Lempit,” kata MPKL dalam hantaran di Facebook.

Tinjauan di Facebook Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) pula mendapati pihaknya giat memantau pematuhan PKP bagi waktu operasi premis perniagaan pasar awam dan borong.

“Kita turut melaksanakan sistem penggiliran pembeli bagi memastikan orang awam mengekalkan penjarakan sosial (social distancing) di antara satu sama lain.

“Premis yang dilawati antaranya Pasar Awam Sepang (bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang); Pasar Awam Sungai Pelek (bersama Yang Dipertua MPSepang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan serta PKD Sepang) termasuk Pasar Awam Dengkil (bersama Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSepang dan Jabatan Sukarelawan Malaysia),” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Seminar Tandas Bersih MBSA disertai 200 peserta

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 29 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah menganjurkan Seminar Tandas Bersih yang disertai 200 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, swasta dan pemilik premis tandas awam di Hotel Grand Bluewave di sini, pada 26 November lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, program sempena Sambutan Hari Tandas Peringkat Bandar Raya Shah Alam 2019 bertemakan ‘Jom Ubah Tandas Kita’ itu dirasmikan Datuk bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim.

Shahrin berkata, program tebabit diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat terhadap budaya tandas bersih di semua premis serta bangunan.

“Ia juga merupakan salah satu inisiatif MBSA untuk menyediakan kemudahan tandas awam yang bersih, ceria dan selesa bagi menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke bandar Shah Alam.

“MBSA ingin mewujudkan tandas awam bertaraf lima bintang bagi setiap kategori tandas sebagai penanda aras dan contoh kepada kepada premis lain,” katanya.

Shahrin berkata, antara pengisian dalam program itu termasuk Seminar Tandas Bersih daripada Persatuan Bilik Air Berkualiti Malaysia (QRAM) yang bertajuk ‘Reka Bentuk Tandas Terbaik, Tandas Selamat dan Mesra Pengguna’ dan ‘Manual Penyelenggaraan dan Pencucian Tandas’.

“Usaha ini merupakan salah satu usaha Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBSA untuk meningkatkan tahap kebersihan tandas awam dan juga menjadi salah satu langkah proaktif bagi mendidik para kontraktor dan juga orang ramai terhadap kepentingan menjaga kebersihan tandas.

“Diharap lebih banyak penyertaan akan diterima daripada masyarakat untuk turut serta menyertai Anugerah Tandas Bersih Shah Alam pada masa akan datang,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

PeBT MPAJ juara sulung Kejohanan Bowling PeBT MBSA

SHAH ALAM, 27 OKT: Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) muncul juara Kejohanan Bowling PeBT Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sempena Hari Bandaraya Shah Alam Bersama PeBT Selangor yang berlangsung di Bowling Alleys, Pusat Membeli Belah AEON Shah Alam, hari ini.

Mengumpul 1,673 mata, mereka menewaskan pasukan Pegawai Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor di tempat kedua dengan 1,583 mata sementara tempat ketiga dimenangi pasukan Penyelaras PeBT MSN Selangor yang mengutip 1,492 mata.

Selaku juara, PeBT MPAJ membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 beserta piala manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM800 dan RM500 serta piala.

Hadiah disampaikan Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan dan Kewangan MSN Selangor, Muhamad Taufeq Shah Rawi sambil diiringi Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA, Khairol Shazwan Shamsaimon.

Muhamad Taufeq dalam ucapan perasmian berkata, objektif kejohanan ini adalah untuk membentuk dan memperkasa belia dalam organisasi kepimpinan serta sukan.

“Kejohanan ini juga mempromosikan PeBT yang bernaung dibawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Selangor supaya dapat menarik minat golongan belia muda untuk bersama-sama membentuk generasi muda berwawasan dengan penglibatan program-program yang dianjurkan,” katanya.

Secara keseluruhan, sebanyak 24 pasukan bertanding dalam kejohanan yang turut mendapat kerjasama MBSA dan MSN Selangor sempena ulangtahun Bandaraya Shah Alam ke-19.

Dalam pertandingan sama, CL Kent dari MBSA diumumkan sebagai Pemain Lelaki Terbaik dengan kutipan 461 mata manakala Manzumi Mohamad dari MSN Selangor mengungguli kategori Pemain Wanita Terbaik dengan mengumpul 449 mata.

Kedua-dua pemenang menerima hadiah berbentuk trofi dan wang tunai RM150.

Categories
SELANGOR

MBSA perkenal sewaan skuter elektrik bulan depan

SHAH ALAM, 25 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memperkenalkan perkhidmatan sewaan skuter elektrik, bulan depan.

Datuk Bandarnya, Dato’ Haris Kasim berkata, sebanyak 100 unit skuter elektrik itu akan beroperasi di sekitar pusat bandar.

Katanya, ia akan dilaksanakan melalui syarikat Neuron dan akan dipertingkatkan lagi pada tahun hadapan.

“Inisiatif ini bertujuan memantapkan lagi sistem pengangkutan bandar secara sistem pintar.

“Selain itu, MBSA turut akan membeli sebuah lagi bas elektrik dan akan beroperasi pada 2020 dengan menggunakan laluan Bas Smart Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pembentangan Belanjawan MBSA 2020, di Dewan Perbandaran, Wisma MBSA, di sini.

Haris berkata, MBSA bersama Kerajaan Negeri dalam keadaan siap siaga ke arah agenda bandar pintar dengan pengukuhan teknologi maklumat yang membolehkan pelaksanaan lebih efisien dan menyeluruh.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan fungsi kecekapan dan produktiviti pengurusan sesebuah bandar raya.

“Dalam menyokong gagasan perdana iaitu Negeri Pintar 2025, MBSA mengikut rapat perkembangan terkini globalisasi sebagai persediaan Shah Alam menuju bandar raya pintar.

“Hal ini termasuk kepada peralihan kaedah dan amalan semasa ke dalam sistem seperti pengangkutan awam, pengurusan sisa, pengurusan tenaga (elektrik), pengurusan trafik, keselamatan awam, pengurusan data pengguna dan kesejahteraan sosial masyarakat,” katanya.

Pada 2017, MBSA melancarkan dua unit bas elektrik bagi merealisasikan matlamat bandar raya rendah karbon menjelang 2030.

Perkhidmatan bas percuma itu menggantikan dua unit bas diesel sedia ada yang disediakan untuk kegunaan orang awam yang menghubungkan Seksyen 19 dan 7 melalui pusat bandar di Seksyen 2, 3, 6 dan 7.