Categories
AGENDA NASIONAL

Agong titah semua pihak ketepi perbezaan perangi Covid-19

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan, supaya rakyat mengetepikan perbezaan politik, bangsa dan agama, bagi memerangi Covid-19 yang berterusan mencatatkan kes positif harian empat angka, sejak hujung tahun lepas.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka Baginda yakin, dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, negara mampu untuk sekali lagi melandaikan lekuk kes jangkitan Covid-19, sekali gus meringankan beban dipikul petugas barisan hadapan.

Menurutnya baginda menzahirkan kegusaran, melihat peningkatan keperluan rawatan rapi dan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) khususnya di Lembah Klang, yang mencatatkan kenaikan mendadak kes-kes positif.

“Berikutan peningkatan keperluan rawatan rapi dan penggunaan katil ICU ini, pesakit-pesakit jangkitan Covid-19 yang kritikal, terpaksa ditempatkan di hospital-hospital kerajaan yang lain, dan ini boleh menjejaskan rawatan pesakit-pesakit bukan Covid-19 yang lain,” titah Al Sultan Abdullah menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara, hari ini.

Semalam, negara merekodkan sebanyak 3,306 kes jangkitan Covid-19 baharu, manakala 15 hospital Covid-19 dilaporkan mencatatkan kadar penggunaan katil Covid-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa dukacita terhadap rakyat yang masih tidak peka dalam tindak-tanduk harian mereka, khususnya terhadap pematuhan disiplin amalan kebiasaan baharu dan kawalan kendiri bagi mengekang penularan wabak ini.

“Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan hadapan, dengan bersama-sama berganding bahu berdisiplin mematuhi semua perintah yang ditetapkan kerajaan dan tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut mengajak rakyat untuk bersama mendoakan agar petugas barisan hadapan sentiasa dilindungi, segala usaha dilakukan semua pihak dalam memerangi Covid-19 diberkati dan berjaya, serta negara sentiasa dilindungi dan bebas dari wabak ini dengan segera.

Menurut Ahmad Fadil, Seri Paduka Baginda amat memahami cabaran besar diharungi wira dan wirawati petugas barisan hadapan ketika ini, dan berharap mereka terus cekal dan tabah dalam memerangi gelombang ketiga penularan wabak Covid-19.

“Al-Sultan Abdullah amat menyanjung tinggi pengorbanan dicurahkan petugas barisan hadapan demi keselamatan diri rakyat dalam memikul tanggungjawab membendung wabak Covid-19 dan merawat pesakit-pesakit wabak yang boleh meragut nyawa ini.

“Justeru, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar semangat kental dan juang tinggi dipamerkan mereka, sebagai benteng utama negara sejak bermulanya penularan wabak ini awal tahun lalu turut dihargai seluruh rakyat jelata. Sesungguhnya, usaha gigih petugas barisan hadapan sewajarnya dipuji dan terus dihargai,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong adakan pertemuan dengan 222 Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap 222 Ahli Parlimen untuk sesi temu bual peribadi bersama Seri Paduka.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata temu bual ringkas kira-kira dua ke tiga minit seorang bertujuan mendapatkan maklum balas serta pendapat setiap anggota Dewan Rakyat mengenai situasi politik negara.

Temu bual yang akan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali itu, melibatkan dua kumpulan iaitu 90 Ahli Parlimen untuk sesi hari ini dan 132 lagi bagi sesi esok.

Ahmad Fadil berkata sesi temu bual pada hari ini dijadual bermula pukul 2.30 petang.

Ahmad Fadil berkata, kesemua Ahli Parlimen yang hadir tidak akan dibahagikan mengikut parti masing-masing kerana ia melibatkan individu.

“Semuanya akan dipanggil. Tiada yang terkecuali. Lepas itu, mereka akan dipanggil seorang demi seorang.

“Saya percaya ini yang pertama kali berlaku dalam peringkat Persekutuan. Seri Paduka Baginda ingin melaksanakan temuduga ini secara telus supaya media tidak membuat sebarang spekulasi. Kita akan berkongsi (maklumat perkembangan terkini) dari semasa ke semasa,” katanya.

“Apa yang dipraktikkan oleh Seri Paduka adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang mana Artikel 43 (2) menyatakan Baginda perlu mendapat kepercayaan, keyakinan seseorang yang telah dipilih dan ia adalah menerusi temu bual ini,” katanya.

Kepada soalan sama ada Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad akan hadir pada sesi temuduga itu, Ahmad Fadil berkata : “beliau telahpun menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam, jadi saya rasa itu tidak perlu”.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka turut bertitah bahawa keadaan negara ketika ini aman dan proses keamanan ini akan terus terjamin di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong.

– BERNAMA