Categories
SELANGOR

Selangor catat dua kes baharu Chikungunya

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 MAC : Selangor mencatatkan dua kes baharu chikungunya menjadikan jumlah kumulatif 153 kes sehingga 10 Mac, kata Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, Kampung Baru Tanjung Sepat dan kawasan tambahan Tanjung Sepat dikenal pasti sebagai lokasi hotspot kes terbabit, dengan mencatatkan 103 kes.

Sementara itu, enam lokasi wabak tak terkawal dikenal pasti termasuk Taman Mutiara Zon 1, Taman Mutiara Zon 2, Kampung Kundang, Kampung Tumbuk, Taman Pelangi dan Taman Tanjung.

“Pengambilan sampel akan diteruskan di klinik swasta, Klinik Kesihatan Tanjung Sepat dan hospital.

“Sementara aktiviti kawalan termasuk pendidikan kesihatan dan pengesanan kes chikungunya masih diteruskan.

“Jabatan Kesihatan juga akan masih meneruskan pemantauan dan pengesanan kes baharu di klinik swasta, klinik kerajaan dan Hospital Banting,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum ini media melaporkan, Tanjung Sepat di antara daerah tertinggi mencatatkan kes chikungunya dalam negara.

Jumlah kes itu direkodkan bermula dari 29 Januari hingga 7 Februari lalu.

Categories
SELANGOR

Keracunan makanan, kantin SK (2) Taman Keramat diarah tutup

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Kantin Sekolah Kebangsaan (2) Taman Keramat, di sini, diarah tutup ekoran 49 pelajar sekolah terbabit mengalami gejala muntah, sakit perut dan cirit-birit selepas bersarapan di situ pada waktu rehat, semalam.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, sehingga kini, 22 kes menerima rawatan pesakit luar manakala 27 kes hanya mengalami gejala ringan dan tidak mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

“Kesemua kes adalah stabil dan tiada kemasukan ke wad. Kejadian keracunan makanan ini adalah terkawal serta tiada kes baharu dilaporkan.

“Siasatan masih diteruskan Pejabat Kesihatan Daerah Gombak untuk mengenal pasti punca sebenar keracunan makanan terbabit.

“Sampel pengendali, makanan dan sampel persekitaran sudah diambil untuk tujuan analisa makmal dan masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kantin sekolah ditutup di bawah Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 dan satu notis di bawah Peratuan 32(1)(b), Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 sudah dikeluarkan kepada pengendali makanan.

Katanya, pengendali makanan turut dinasihatkan untuk sentiasa memastikan pengendalian makanan mengikut tatacara keselamatan makanan, memastikan kebersihan diri serta premis makanan dan persekitarannya.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan dan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan.

“Sentiasa amalkan membasuh tangan menggunakan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, selepas menggunakan tandas serta sebelum dan selepas makan,” katanya.