Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hospital Serdang sediakan cukup kemudahan tambahan untuk pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 24 JULAI: Setiap hospital di Selangor telah mengoptimumkan penggunaan kemudahan seperti dewan bedah, klinik dan wad bagi menampung peningkatan jumlah pesakit Covid-19.

Pengarah kesihatan negeri berkata penggunaan khemah-khemah tambahan sebagai wad sementara turut dilaksana dikebanyakan jabatan kecemasan hospital di negeri ini.

Justeru maklum Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, gambar tular mengenai Jabatan Kecemasan Hospital Serdang merupakan keadaan sementara menunggu beberapa peralatan tiba di hospital tersebut,

“Namun kerja-kerja menyiapkan khemah menempatkan pesakit Covid-19 yang dilengkapi kemudahan udara, kipas, air bersih, tandas dan elektrik telah siap pada 21 Julai, termasuk tambahan 81 katil,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berada dalam keadaan siap siaga menghadapi lonjakan kapasiti pesakit Covid-19 terutama bagi kategori tiga dan ke atas susulan peningkatan kes di negeri ini.

“Selain itu pelaksanaan pemindahan sebahagian perkhidmatan klinikal kepada hospital swasta sedang giat dijalankan bagi membantu mengurangkan kesesakan pesakit dan memastikan mereka mendapat rawatan sewajarnya,” katanya.

Categories
AGENSI NASIONAL SELANGOR

Majikan diseru daftar segera pekerja untuk divaksin menerusi Pikas

SHAH ALAM, 7 JULAI: Majikan diseru mendaftar segera pekerja mereka menerusi Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (Pikas).

Pengarah kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata langkah itu bagi mengurangkan jangkitan di tempat kerja yang mana 80 peratus jangkitan wabak berpunca daripada kluster tersebut.

“Kita tahu Selangor maju dan banyak industri penyumbang kepada ekonomi negara tetapi pada masa sama kita perlu memastikan pekerja sihat.

“Justeru, saya menyeru majikan segera daftar pekerja. Terima kasih kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) kerana melaksanakan inisiatif Pikas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung Agenda Awani bertajuk Urus Situasi Kritikal PKPD di Selangor, malam tadi.

Pikas dilancar pada 12 Jun lalu sebagai langkah responsif kepada cadangan daripada persatuan industri, dewan perniagaan serta Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk membantu mempercepat vaksinasi khususnya pekerja di kilang dan lokasi perindustrian yang dikenal pasti.

Categories
SELANGOR

Selangor catat dua kes baharu Chikungunya

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 MAC : Selangor mencatatkan dua kes baharu chikungunya menjadikan jumlah kumulatif 153 kes sehingga 10 Mac, kata Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, Kampung Baru Tanjung Sepat dan kawasan tambahan Tanjung Sepat dikenal pasti sebagai lokasi hotspot kes terbabit, dengan mencatatkan 103 kes.

Sementara itu, enam lokasi wabak tak terkawal dikenal pasti termasuk Taman Mutiara Zon 1, Taman Mutiara Zon 2, Kampung Kundang, Kampung Tumbuk, Taman Pelangi dan Taman Tanjung.

“Pengambilan sampel akan diteruskan di klinik swasta, Klinik Kesihatan Tanjung Sepat dan hospital.

“Sementara aktiviti kawalan termasuk pendidikan kesihatan dan pengesanan kes chikungunya masih diteruskan.

“Jabatan Kesihatan juga akan masih meneruskan pemantauan dan pengesanan kes baharu di klinik swasta, klinik kerajaan dan Hospital Banting,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum ini media melaporkan, Tanjung Sepat di antara daerah tertinggi mencatatkan kes chikungunya dalam negara.

Jumlah kes itu direkodkan bermula dari 29 Januari hingga 7 Februari lalu.

Categories
SELANGOR

Keracunan makanan, kantin SK (2) Taman Keramat diarah tutup

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Kantin Sekolah Kebangsaan (2) Taman Keramat, di sini, diarah tutup ekoran 49 pelajar sekolah terbabit mengalami gejala muntah, sakit perut dan cirit-birit selepas bersarapan di situ pada waktu rehat, semalam.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, sehingga kini, 22 kes menerima rawatan pesakit luar manakala 27 kes hanya mengalami gejala ringan dan tidak mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

“Kesemua kes adalah stabil dan tiada kemasukan ke wad. Kejadian keracunan makanan ini adalah terkawal serta tiada kes baharu dilaporkan.

“Siasatan masih diteruskan Pejabat Kesihatan Daerah Gombak untuk mengenal pasti punca sebenar keracunan makanan terbabit.

“Sampel pengendali, makanan dan sampel persekitaran sudah diambil untuk tujuan analisa makmal dan masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kantin sekolah ditutup di bawah Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 dan satu notis di bawah Peratuan 32(1)(b), Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 sudah dikeluarkan kepada pengendali makanan.

Katanya, pengendali makanan turut dinasihatkan untuk sentiasa memastikan pengendalian makanan mengikut tatacara keselamatan makanan, memastikan kebersihan diri serta premis makanan dan persekitarannya.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan dan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan.

“Sentiasa amalkan membasuh tangan menggunakan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, selepas menggunakan tandas serta sebelum dan selepas makan,” katanya.