Categories
AGENDA NASIONAL

Insiden keracunan makanan dalam negara masih terkawal

PUTRAJAYA, 24 NOV: Insiden keracunan makanan dalam negara masih terkawal dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) terus melaksanakan pelbagai program intervensi bagi meningkatkan tahap keselamatan makanan dan mencegah kejadian keracunan makanan, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata menurut data KKM, 288 episod keracunan makanan dilaporkan pada 2020, manakala setakat September 2021 pula 123 episod keracunan makanan dilaporkan.

Berucap pada program Anugerah Pasar Bersih dan Selamat Peringkat Kebangsaan Tahun 2020/2021 sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia hari ini, Khairy berkata KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan bertanggungjawab memastikan makanan dan bahan mentah di pasaran tempatan mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

Menurutnya daripada lebih 45,000 sampel makanan dan bahan mentah termasuk daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan di pasaran tempatan yang dianalisis hasil pemantauan KKM dari 2018 hingga Ogos lepas, sebanyak 2,654 atau 5.9 peratus sampel didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Katanya berdasarkan statistik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menjalankan pemeriksaan ke atas 273 pasar awam di seluruh negara pada tahun lepas memandangkan pasar merupakan tempat utama orang ramai mendapatkan sumber bahan mentah.

“Pelbagai punca pencemaran seperti mikroorganisma, kimia dan fizikal boleh berlaku di pasar sekiranya bahan mentah dan makanan tidak dikendalikan dengan bersih dan selamat,” katanya.

Pertandingan Pasar Bersih dan Selamat Peringkat Kebangsaan yang diadakan dengan kerjasama KKM dan KPKT itu melibatkan 21 penyertaan akhir melibatkan 12 calon untuk kategori A iaitu pasar awam di bawah pengurusan persatuan dalam kawasan pentadbiran PBT dan sembilan calon untuk kategori B iaitu pasar swasta di bawah pengurusan pasar raya.

Bagi kategori A, Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur memenangi tempat pertama diikuti Pasar Wirawati, Kuala Lumpur di tempat kedua dan Pasar Besar Tasek Raja, Pasir Mas, Kelantan di tempat ketiga.

Bagi kategori B, Pasar Raya Tesco Lotus Cheng, Melaka merangkul tempat pertama diikuti Pasar Raya AEON Klebang, Ipoh, Perak di tempat kedua dan Pasar Raya AEON Queensbay Mall, Pulau Pinang di tempat ketiga.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah kes keracunan makanan catat penurunan 44.2 peratus

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Jumlah kes keracunan makanan di negara ini tahun lepas menunjukkan penurunan sebanyak 44.2 peratus iaitu daripada 516 kes kepada 288 kes berbanding tempoh sama pada tahun 2019.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata walaupun masih terkawal, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memandang serius isu berkaitan memandangkan soal keselamatan dan kebersihan makanan tidak boleh dipandang ringan.

Dalam kenyataan media sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia yang disambut hari ini dengan slogan ‘Keselamatan Makanan, Tanggungjawab Bersama’, Dr Noor Hisham menyatakan walaupun negara sedang dilanda pandemik Covid-19, KKM tetap memastikan aktiviti pemantauan dan tindakan penguatkuasaan sentiasa dijalankan.

Jelasnya pada tahun lepas, sebanyak 66,210 premis makanan di seluruh negara diperiksa dan 90.1 peratus daripadanya didapati bersih, manakala 1,534 (2.32 peratus ) tidak bersih termasuk restoran dan kedai makan dan telah diarah tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Selain itu, sebanyak 19,789 notis dikeluarkan kepada pemilik premis makanan yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983, katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan, serta mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah rosak.

Dr Noor Hisham menyatakan komitmen KKM memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara bagi memastikan rakyat Malaysia terus menikmati makanan yang selamat di sepanjang rantaian makanan dengan menggalakkan penglibatan semua pihak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong jalani rawatan susulan intervensi di IJN

SHAH ALAM, 28 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) akibat keracunan makanan dan intervensi dinasihati menjalani rawatan susulan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negera berkata rawatan keracunan makanan bermula apabila Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke institut itu pada malam 21 September, sementara rawatan intervensi dilakukan susulan pengimejan MRI pada 22 September yang menunjukkan kecederaan dialami baginda ketika bersukan.

“Rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah berlangsung dengan jayanya pada 24 September. Seri Paduka Baginda kini berada dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan.

“Ekoran daripada rawatan intervensi ini, Seri Paduka dinasihatkan untuk menjalani rawatan susulan dengan pengawasan rapi pasukan pakar perubatan IJN,” kata Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan.

Beliau menambah Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat pulang ke Istana Negara dalam masa terdekat selepas selesai menjalani rawatan susulan.

Pada 22 September, Agong dilaporkan menjalani rawatan di IJN selepas mengadu kurang selesa dengan kesihatan dan keadaan baginda tidak membimbangkan.

“Al-Sultan Abdullah dinasihatkan supaya diawasi oleh doktor ketika ini dan Seri Paduka tidak dalam keadaan yang membimbangkan,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan sebelum ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

118 peserta Kongres Maruah Melayu keracunan makanan

SHAH ALAM, 6 OKT: Seramai 118 peserta Kongres Maruah Melayu yang berlangsung di Stadium Malawati, di sini, hari ini, disyaki keracunan makanan selepas mengambil makanan disediakan penganjur.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Khalid Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut kira-kira jam 11.15 pagi.

“Kita telah menerima laporan ada mangsa yang mengalami simptom cirit-birit dan muntah-muntah, susulan itu kita menghantar pasukan kecemasan ke lokasi kejadian.

“Pemeriksaan mendapati seramai 27 pesakit diklasifikasikan tag kuning (separa kritikal) dan 91 tag hijau (stabil) dan tiada pesakit tag merah (kritikal),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehubungan itu, Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Shah Alam diletakkan dalam status berjaga-jaga sejak jam 11.50 pagi bagi menerima mangsa kritikal dan separa kritikal.

Terdahulu, ribuan menghadiri kongres tersebut bagi mendengar ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyentuh mengenai isu politik, ekonomi dan sosial, kaum Melayu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 50 pelajar politeknik di Pulau Pinang keracunan makanan

BALIK PULAU, 25 JULAI: Seramai 55 pelajar semester satu Politeknik Balik Pulau di sini, mengalami keracunan makanan, disyaki berpunca daripada hidangan makanan luar dalam satu program taklimat mengundi petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin berkata, setakat 10 malam tadi, seramai 55 pelajar mendapatkan rawatan di Hospital Balik Pulau selepas mengalami simptom sakit perut.

“Setakat ini, semua 55 pelajar Politeknik diberi rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang, namun dipantau pihak hospital,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, ibu bapa tidak perlu terlalu risau dengan keadaan anak kerana perkara itu di bawah pengawasan pihak hospital dan juga pengurusan politeknik berkenaan.

Dr Afif berkata, pihaknya mengarahkan siasatan terhadap punca berlaku keracunan makanan dan tindakan seterusnya akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab.

“Saya sudah mengarahkan siasatan untuk mengenal pasti punca dan keputusan siasatan akan diumumkan selepas selesainya siasatan,” katanya.

Difahamkan sebelum itu semua pelajar berkenaan menghadiri program taklimat mengundi yang dianjurkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di politeknik itu yang bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 12 tengah hari.

​​Seramai 207 pelajar semester satu menghadiri program berkenaan dan mereka dihidangkan makanan nasi ayam merah, telur bersama sayur kubis jam 11 pagi sebagai makanan tengah hari.

Bagaimanapun, puluhan pelajar mengadu sakit perut kira-kira jam 4 petang dan mereka dibawa kenderaan jabatan politeknik dengan ditemani pensyarah untuk mendapatkan rawatan di Hospital Balik Pulau secara berperingkat.

Tinjauan Bernama di Hospital Balik Pulau mendapati semua pelajar politeknik itu yang menerima rawatan, dibenarkan balik.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Keracunan makanan, kantin SK (2) Taman Keramat diarah tutup

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Kantin Sekolah Kebangsaan (2) Taman Keramat, di sini, diarah tutup ekoran 49 pelajar sekolah terbabit mengalami gejala muntah, sakit perut dan cirit-birit selepas bersarapan di situ pada waktu rehat, semalam.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, sehingga kini, 22 kes menerima rawatan pesakit luar manakala 27 kes hanya mengalami gejala ringan dan tidak mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

“Kesemua kes adalah stabil dan tiada kemasukan ke wad. Kejadian keracunan makanan ini adalah terkawal serta tiada kes baharu dilaporkan.

“Siasatan masih diteruskan Pejabat Kesihatan Daerah Gombak untuk mengenal pasti punca sebenar keracunan makanan terbabit.

“Sampel pengendali, makanan dan sampel persekitaran sudah diambil untuk tujuan analisa makmal dan masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kantin sekolah ditutup di bawah Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 dan satu notis di bawah Peratuan 32(1)(b), Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 sudah dikeluarkan kepada pengendali makanan.

Katanya, pengendali makanan turut dinasihatkan untuk sentiasa memastikan pengendalian makanan mengikut tatacara keselamatan makanan, memastikan kebersihan diri serta premis makanan dan persekitarannya.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan dan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan.

“Sentiasa amalkan membasuh tangan menggunakan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, selepas menggunakan tandas serta sebelum dan selepas makan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Lebih 10 kes keracunan, khidmat penyedia makanan DNS ditamatkan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 APRIL: Kelancaran sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) sejak dua minggu lalu dicemari insiden keracunan makanan yang turut dialami Speaker, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Hannah memaklumkan perkhidmatan penyedia makan yang dilantik melalui sebut harga terbuka itu tidak akan diteruskan dan ditamatkan sehingga sidang berakhir hari ini.

Katanya, sekurang-kurangnya enam orang mendapatkan rawatan di bilik kecemasan yang disediakan berhampiran ruang petugas media, sehingga pagi tadi.

010“Sejak semalam, kami menerima aduan keracunan makanan daripada wartawan, bahkan saya dan timbalan speaker serta staf daripada pejabat saya dan DNS turut mejadi mangsa.

“Kami meminta maaf atas kesulitan yang dialami dan mengambil tindakan segera menamatkan perkhidmatan penyedia makanan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pihak penyedia makanan, Sabka Catering diberi tender menyediakan makanan bermasak bagi sesi pertama, kedua dan ketiga persidangan DNS sepanjang tahun ini.

11Hannah berkata, Sabka Catering dipilih selepas lulus penilaian teknikal selain memenuhi syarat harga terendah yang dikeluarkan pekeliling perbendaharaan negeri.

Tinjauan Selangor Kini sejak awal sidang mendapati makanan yang disediakan seperti nasi putih kurang masak selain peralatan seperti sudu dan garfu disediakan juga kurang bersih.

-NFN-