Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah kes baharu penentu lebih banyak sektor dibenar operasi

SHAH ALAM, 30 MEI: Jumlah kes baharu penularan tempatan Covid-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menjadi penentu kemungkinan sektor sosial seperti sukan dan pendidikan dibenarkan beroperasi semula.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertimbangan untuk memberi lebih banyak kelonggaran itu dapat dilaksanakan sekiranya kes penularan tempatan kekal mencatatkan satu atau dua digit sebelum 9 Jun ini.

“Jika angka satu atau dua digit dapat dicapai, kita mungkin akan melihat pendekatan menyeluruh untuk membuka lebih banyak sektor seperti sosial, sukan dan pendidikan tetapi pada masa sama mengawal situasi (penularan Covid-19).

“Bagi sektor pendidikan, kita mungkin akan beri keutamaan kepada pelajar tingkatan lima dan enam atas kerana mereka perlu menduduki peperiksaan besar,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham turut mengakui pelaksanaan PKPB sejak lebih 24 hari lalu memberi kesan positif terhadap bilangan kes membabitkan rakyat tempatan yang mencatat angka rendah sepanjang tempoh berkenaan.

“Misalnya hari ini, selepas seminggu sambutan Hari Raya Aidilfitri hanya 10 kes (rakyat Malaysia) dicatatkan dan ia sebenarnya memberi petanda positif.

“Malah, tahap disiplin sosial dalam kalangan masyarakat meningkat sehingga 95 peratus, jadi kita berharap kes baharu kekal pada satu atau dua digit untuk minggu berikutnya sepanjang musim perayaan Aidilfitri,” katanya.

Hari ini Malaysia merekodkan 30 jangkitan wabak Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam negara sebanyak 7,762.

Tiga daripada jumlah itu merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 27 adalah kes penularan tempatan dengan 17 adalah warga asing.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jerebu: Pesakit terima rawatan meningkat kepada 40 peratus

LABUAN, 22 SEPT: Jumlah pesakit mendapatkan rawatan akibat konjunktivitis, asma dan ruam di kulit meningkat kepada 40 peratus susulan jerebu yang berpanjangan pada masa ini.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan dalam penyakit bawaan jerebu ini dicatatkan di seluruh negara setakat ini.

“Peningkatan dalam jumlah kes berkenaan berbeza-beza di stesen yang berbeza. Stesen yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (API) yang lebih tinggi menyaksikan jumlah kes yang lebih banyak bagi jangkitan pernafasan, mata merah (konjunktivitis), dan ruam kulit,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil penghargaan kepada pencapaian cemerlang Jabatan Kesihatan Labuan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham menasihati orang ramai agar duduk di rumah dan kurangkan aktiviti fizikal di luar semasa jerebu ini.

“Gunalah topeng mulut dan hidung jika berada di luar dan kerap basuh muka dan bahagian tubuh lain yang terdedah kepada jerebu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) memakaikan topeng kepada seorang kanak-kanak berikutan keadaan jerebu yang melanda di negara ini di ruang legar KL Sentral pada 19 September 2019. Foto BERNAMA

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari menyatakan bahawa pulau ini mencatatkan kurang lima peratus bagi penyakit akibat jerebu, yang dianggap tidak begitu serius.

“Setakat ini API di Labuan kekal pada tahap sederhana dengan bacaan antara 70 and 80.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

– BERNAMA