Categories
NASIONAL

Beku akaun bank: SPRM berjaya batal saman pemula Hasanah

KUALA LUMPUR, 12 JUL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berjaya membatalkan saman pemula bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang mencabar tindakan suruhanjaya itu membekukan akaun banknya sejak September tahun lepas.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang membenarkan permohonanan SPRM, selaku responden untuk membatalkan saman pemula yang difailkan Hasanah selaku pemohon di Mahkamah Tinggi Sivil.

Mohd Sofian ketika membuat keputusan itu berkata Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman pemula itu kerana ia adalah tindakan undang-undang berdasarkan kesalahan jenayah.

“Saya tidak akan pergi kepada merit kes ini. Remedinya ialah untuk memfailkan cabaran perlembagaan di hadapan mahkamah jenayah. Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan responden untuk membatalkan saman pemohon dengan kos RM1,000,” katanya selepas mendengar hujahan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Farid Ahmad Kamal yang mewakili SPRM dan peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah.

Hakim itu turut membenarkan permohonan Shaharudin untuk menarik balik perintah kedua dalam saman itu yang dituntut pemohon yang menyatakan bahawa notis yang dikeluarkan oleh SPRM mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM, adalah terbatal dan tidak sah.

Terdahulu, ketika Hakim Mohd Sofian menulis penghakimannya, peguam Shaharudin yang mewakili Hasanah tiba-tiba bangun dan menyatakan bahawa pihaknya ingin menarik balik perintah kedua dalam saman difailkan anak guamnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad yang turut mewakili SPRM berkata sepatutnya peguam pemohon menerima sahaja apa jua keputusan yang diberikan oleh mahkamah.

“’Approach’ (pendekatan) oleh peguam pemohon tidak kena kerana sepatutnya beliau menerima apa jua keputusan yang diberikan oleh mahkamah. Saya rasa peguam tidak pasti apa yang dia inginkan. Tindakannya menarik balik perintah kedua itu pada saat-saat akhir adalah melampau ‘and it is not a good practice for a lawyer’ (dan ia bukan satu malan yang baik bagi seorang peguam),” katanya.

SPRM memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 19 April lepas atas alasan tuntutan saman itu tidak mempunyai locus standi dan menyalahguna proses mahkamah.

Dalam saman difailkan pada 28 Mac lepas, Hasanah, 61, yang menamakan SPRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua, memohon perintah deklarasi bahawa perintah larangan ke atas akaun bank berkenaan bertarikh 3 September 2018 yang dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM adalah terbatal dan tidak sah.

Beliau turut memohon perintah deklarasi bahawa perintah larangan terhadap akaun berkenaan yang dibuat mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM adalah bertentangan atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama saman itu, Hasanah mendakwa pihak SRM tidak pernah memaklumkan kepadanya berkaitan perintah larangan ke atas akaun banknya sepanjang beliau direman pada 29 Ogos 2018 dan dibebaskan daripada tahanan reman pada 3 September 2018.

Bagaimanapun, katanya, beliau mendapati urusan perbankannya gagal ketika berurusan pada keesokannya (4 September 2018).

Menurut Hasanah, beliau kemudiannya menghubungi pegawai penyiasat SPRM bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai akaun bank itu dan pegawai berkenaan menyatakan bahawa akaun bank hanya dibekukan sementara mengikut prosedur siasatan biasa oleh pihak SPRM.

Katanya, sebanyak lima pucuk surat telah dihantar kepada pihak SPRM antara 9 Oktober dan 18 Disember 2018 bagi memohon pelepasan pembekuan akaun bank itu, namun pada 6 Disember tahun sama, Bahagian Siasatan SPRM menjawab permohonan untuk pelepasan akaun berkenaan dengan mengatakan ia tidak dapat dipertimbangkan.

Hasanah mendakwa beliau mengalami kesukaran untuk menyara kehidupannya yang bergantung sepenuhnya kepada duit pencen yang dimasukkan ke dalam akaun bank berkenaan selain tidak mempunyai sumber pendapatan lain melainkan wang gaji dan wang pencen tersebut.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Sementara itu, Shaharudin berkata beliau akan berbincang dengan anak guamnya sama ada akan memfailkan permohonan lain di Mahkamah Tinggi ataupun membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan hari ini. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mahkamah Tinggi batal waran tangkap Hasanah

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Waran tangkap yang dikeluarkan terhadap bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang menghadapi tuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta, dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi, hari ini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Hasanah. Datuk Shaharudin Ali dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad.

Sequerah juga memerintahkan Hasanah dan seorang daripada dua penjaminnya, hadir di mahkamah semasa pengurusan kes. Hasanah dan dua penjaminnya hadir di mahkamah hari ini.

Waran tangkap itu dikeluarkan oleh Sequerah pada 24 Mei lalu, selepas Hasanah dan dua penjaminnya gagal hadir di mahkamah semasa pengurusan kesnya tanpa memberi sebarang alasan.

Terdahulu, Shaharudin memberitahu mahkamah anak guamnya mengemukakan permohonan maaf kerana gagal hadir semasa pengurusan kes pada 24 Mei lepas.

Beliau berkata, ini kerana Hasanah tidak dimaklumkan oleh peguamnya untuk hadir ke mahkamah bagi pengurusan kesnya dan tambahan pula peguamnya lupa memaklumkan kepada beliau, kerana ia hanya pengurusan kes.

“Dengan kedudukan itu, kami dengan ini berhujah bahawa pengurusan kes bukanlah satu perbicaraan, dan tiada asas undang-undang untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap tertuduh dalam pengurusan kes.

“Tambahan pula, tidak ada keperluan mendesak untuk mengeluarkan waran tangkap apabila tertuduh telah mengemukakan jaminan RM500,000 secara sah,” katanya.

Muhamad Iskandar dalam hujah balasnya berkata, berdasarkan Seksyen 172B Kanun Tatacara Jenayah, kehadiran tertuduh dalam pengurusan kes termaktub dalam undang-undang.

Hasanah didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan antara 30 April lalu dan 9 Mei tahun lepas di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan ditetapkan 3 Februari tahun depan.

— BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Waran tangkap terhadap Hasanah gagal hadir mahkamah

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Mahkamah Tinggi hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang dituduh pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta, kerana tidak hadir semasa pengurusan kesnya hari ini.

Waran itu dikeluarkan Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas Timbalan Pendakwa Raya Mahadhir Mohd Khairudin membuat permohonan supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap Hasanah, 61, kerana tidak hadir tanpa sebarang alasan.

“Tertuduh tidak hadir, beliau (sebelum ini) telah dilepaskan dengan jaminan dengan dua penjamin. Bagaimanapun tertuduh dan kedua-dua penjaminnya tidak hadir serta tiada apa-apa arahan dari mahkamah berhubung ketidakhadiran itu. Pohon waran tangkap dikeluarkan,” kata Mahadhir.

Peguam Nur Aifaa Mohd Zain yang mewakili Hasanah memohon maaf kepada mahkamah dan memberitahu Hasanah tidak hadir kerana peguam itu gagal memaklumkan tertuduh berkenaan prosiding hari ini.

“Saya memohon maaf atas kesilapan saya sebagai peguam, saya harus memaklumkan anak guam saya untuk hadir tetapi saya gagal untuk memaklumkan. Saya berharap anak guam saya tidak menerima sebarang kesan atas tindakan saya,” kata peguam itu.

Hakim Sequerah kemudiannya mengeluarkan waran tangkap terhadap Hasanah dan menetapkan 26 Jun bagi sebutan waran tangkap dan notis kepada penjamin.

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu media bahawa waran tangkap itu dikeluarkan kerana tiada sebarang alasan munasabah dikemukakan kepada mahkamah atas ketidakhadiran tertuduh dan kedua-dua penjaminnya hari ini.

Nur Aifaa pula memberitahu terdapat salah faham kerana pihaknya beranggapan tiada prosiding hari ini kerana tarikh perbicaraan kes itu yang akan bermula 3 Februari 2020 telah ditetapkan pada prosiding 17 April lepas.

Hasanah didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan antara 30 April lalu dan 9 Mei tahun lepas di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Permohonan SPRM batal saman Hasanah didengar 8 Julai

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang mencabar tindakan suruhanjaya itu membekukan akaun banknya sejak September tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad yang mewakili SPRM berkata, pihaknya memfailkan permohonan itu pada 19 April lepas.

“Alasan untuk membatalkan saman itu tidak wajar dinyatakan. Kita tunggu pendengaran permohonan kami untuk membatalkan saman itu pada 8 Julai ini,” katanya kepada pemberita semasa ditanya alasan untuk membatalkan saman itu selepas pengurusan kes berkenaan di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Sofian Abd Razak, hari ini.

Sementara itu, peguam Datuk Shaharudin Ali, yang mewakili Hasanah berkata, mahkamah juga menetapkan tarikh sama (8 Julai) untuk mendengar saman pemula berkenaan.

Bagaimanapun, peguam itu berkata mahkamah akan mendengar permohonan SPRM untuk membatalkan saman Hasanah terlebih dahulu.

“Selepas mahkamah mendengar permohonan SPRM untuk membatalkan saman anak guam saya, mahkamah kena buat keputusan sama ada saman berkenaan meremehkan, menyalahguna proses mahkamah, tidak masuk akal dan tiada locus standi.

“Ini akaun gaji orang, bukan akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukan akaun anak syarikat 1MDB serta bukan akaun rahsia. Ini adalah akaun duit gaji beliau (Hasanah) yang dibayar oleh kerajaan. Saya tidak pernah dengar bagaimana duit gaji dibekukan,” katanya sambil menegaskan saman itu mempunyai asas kerana akaun anak guamnya telah dibekukan.

Dalam saman difailkan pada 28 Mac lepas, Hasanah, 61, yang menamakan SPRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua, memohon perintah deklarasi bahawa perintah larangan ke atas akaun bank berkenaan bertarikh 3 Sept 2018 yang dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM adalah terbatal dan tidak sah.

Beliau turut memohon perintah deklarasi bahawa perintah larangan terhadap akaun berkenaan yang dibuat mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM adalah bertentangan atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama saman itu, Hasanah mendakwa pihak SRM tidak pernah memaklumkan kepadanya berkaitan perintah larangan ke atas akaun banknya sepanjang beliau direman pada 29 Ogos 2018 dan dibebaskan daripada tahanan reman pada 3 September 2018.

Bagaimanapun, katanya, beliau mendapati urusan perbankannya gagal ketika berurusan pada keesokannya (4 September 2018).

Menurut Hasanah, beliau kemudiannya menghubungi pegawai penyiasat SPRM bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai akaun bank itu dan pegawai berkenaan menyatakan bahawa akaun bank hanya dibekukan sementara mengikut prosedur siasatan biasa oleh pihak SPRM.

Katanya, sebanyak lima pucuk surat telah dihantar kepada pihak SPRM antara 9 Oktober dan 18 Disember 2018 bagi memohon pelepasan pembekuan akaun bank itu, namun pada 6 Disember tahun sama, Bahagian Siasatan SPRM menjawab permohonan untuk pelepasan akaun berkenaan dengan mengatakan ia tidak dapat dipertimbangkan.

Hasanah mendakwa beliau mengalami kesukaran untuk menyara kehidupannya yang bergantung sepenuhnya kepada duit pencen yang dimasukkan ke dalam akaun bank berkenaan selain tidak mempunyai sumber pendapatan lain melainkan wang gaji dan wang pencen tersebut.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan. – BERNAMA

FOTO: MALAY MAIL