Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Rakyat Malaysia di Wuhan selamat

GEORGE TOWN, 25 JAN: Rakyat Malaysia di Wuhan, China yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar dan ekspatriat dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan bebas daripada wabak koronavirus.

Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya berkata pihak kedutaan Malaysia di China sentiasa memantau keadaan rakyat negara ini yang menetap di sana dan terus menyalurkan maklumat berkaitan.

“Kita memantau rakan-rakan kita yang berada di sana (Wuhan) terutama warga Malaysia dan saya berharap sangat rakyat Malaysia yang berada di sana cepat-cepat menghubungi kedutaan kita di sana.

“Kedutaan kita beroperasi 24 jam untuk memantau segala maklumat dan segala permasalahan rakyat negara ini yang berada di Wuhan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini hari ini.

Marzuki berkata setakat pagi ini 1,300 orang disahkan terkena jangkitan wabak koronavirus dan peningkatan kematian juga dilaporkan bertambah daripada 21 orang kepada 46 orang, di Wuhan.

Sementara itu Marzuki berkata kerajaan tidak melarang mana-mana individu yang ingin ke Wuhan tetapi sebaik-baiknya mereka membatalkan hasrat ke sana pada masa ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia guna 5G sepenuhnya menjelang 2023

JAKARTA, 10 SEPT: Malaysia sedang berusaha untuk menggunakan sepenuhnya teknologi 5G menjelang 2023, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.

Beliau berkata, Malaysia percaya penggunaan teknologi itu akan memudahkan usaha kerajaan untuk memperbaiki kehidupan rakyat serta menjadi pemangkin pembangunan Malaysia.

“Malaysia merupakan antara beberapa negara di rantau ini yang menerima baik pemakaian teknologi 5G.

“Tahun lepas kami menubuhkan Pasukan Petugas 5G. Pasukan Petugas ini telahpun mengemukan laporan jangka pertengahannya tentang proses Malaysia ke arah penggunaan 5G,”katanya dalam ucapannya pada persidangan serantau mengenai Diplomasi Digital (RCDD) di Jakarta di sini, hari ini.

RCDD mengumpulkan para menteri, pegawai kerajaan, ahli pikir dan ahli akademik dari semua negara anggota ASEAN, serta Australia, India, Jepun, New Zealand, China dan Korea Selatan untuk membincangkan dan berkongsi amalan terbaik mengenai penggunaan media baharu untuk diplomasi yang berkesan.

Ia juga memberi peluang kepada negara-negara peserta untuk melihat inisiatif dan kaedah baru dalam meningkatkan lagi diplomasi, dan dalam memupuk kerjasama serantau dalam diplomasi digital.

Malaysia menganggap teknologi digital sebagai faktor pemacu untuk inovasi dan pertumbuhan dalam banyak bidang penting. Sudah tentu, termasuk diplomasi.

“Walaupun kita berpegang kepada kebebasan yang datang dengan digitalisasi dunia, kita juga harus berhati-hati terhadap impaknya terhadap keselamatan serantau kita,” kata Marzuki.

Walaupun atas kepentingannya, tadbir urus media sosial yang berkesan terus mengelak dari kita pada ketika di mana tindakan keganasan, ekstremisme, kebencian dengan mudah disebarkan melalui platform digital ini.

Marzuki berkata, adalah penting bagi tadbir urus media sosial untuk mengekalkan keharmonian dalam negara, serta dengan negara lain.

Dalam hal ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melancarkan “sebenarnya.my” pada Mac 2017, sebuah portal yang didedikasikan untuk mengesahkan penyebaran berita di media sosial.

Dengan slogan, ‘Tidak pasti, jangan kongsi’, portal ini berguna untuk membantu rakyat Malaysia membezakan antara fakta dengan yang palsu, katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan akan terus perjelas Statut Rome kepada rakyat

BUTTERWORTH, 22 MEI: Kerajaan akan terus mencari pendekatan baharu bagi menerangkan dengan lebih terperinci kepada seluruh pelosok masyarakat berhubung Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, pihaknya akan cuba membawa perkara berhubung Statut Rome ICC ini kepada masyarakat dan melihat sama ada perlunya negara untuk meratifikasi perkara itu atau sebaliknya di masa hadapan.

“Kita cuba mencari jalan pendekatan yang baharu untuk kita bawa perkara ini. Kita akan cuba bawa perkara ini (Statut Rome ICC) kepada masyarakat akan pentingnya atau perlu atau tidak di masa akan datang.

“Kita tidak mahu berlaku kekeliruan lagi. Kita (kerajaan) mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Statut Rome ICC ini berikutan timbulnya kekeliruan,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan kepada 200 golongan asnaf di kawasan Parlimen Bagan di Masjid Abdul Kadir di sini hari ini.

Marzuki berkata, pentingnya penerangan yang lebih jitu dan terperinci kepada masyarakat selepas ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan timbul kelak.

“Bukan bermaksud kita memberi rakyat membuat pilihan, tetapi ingin ditekankan di sini bahawa pentingnya penerangan kerana tidak mahu lagi kekeliruan timbul. Kita tidak mahu lagi perkara sebegini berulang dan kita harap pada masa hadapan apabila kerajaan membuat sesuatu keputusan, maka kita akan teruskan dengan keputusan,” katanya.

Pada 5 April lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rome berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dalam kalangan masyarakat.

Statut Rome adalah triti atau perjanjian yang mengiktiraf ICC. – BERNAMA