Categories
NASIONAL

Kerajaan akan terus perjelas Statut Rome kepada rakyat

BUTTERWORTH, 22 MEI: Kerajaan akan terus mencari pendekatan baharu bagi menerangkan dengan lebih terperinci kepada seluruh pelosok masyarakat berhubung Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, pihaknya akan cuba membawa perkara berhubung Statut Rome ICC ini kepada masyarakat dan melihat sama ada perlunya negara untuk meratifikasi perkara itu atau sebaliknya di masa hadapan.

“Kita cuba mencari jalan pendekatan yang baharu untuk kita bawa perkara ini. Kita akan cuba bawa perkara ini (Statut Rome ICC) kepada masyarakat akan pentingnya atau perlu atau tidak di masa akan datang.

“Kita tidak mahu berlaku kekeliruan lagi. Kita (kerajaan) mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Statut Rome ICC ini berikutan timbulnya kekeliruan,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan kepada 200 golongan asnaf di kawasan Parlimen Bagan di Masjid Abdul Kadir di sini hari ini.

Marzuki berkata, pentingnya penerangan yang lebih jitu dan terperinci kepada masyarakat selepas ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan timbul kelak.

“Bukan bermaksud kita memberi rakyat membuat pilihan, tetapi ingin ditekankan di sini bahawa pentingnya penerangan kerana tidak mahu lagi kekeliruan timbul. Kita tidak mahu lagi perkara sebegini berulang dan kita harap pada masa hadapan apabila kerajaan membuat sesuatu keputusan, maka kita akan teruskan dengan keputusan,” katanya.

Pada 5 April lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rome berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dalam kalangan masyarakat.

Statut Rome adalah triti atau perjanjian yang mengiktiraf ICC. – BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Statut Rome: PBB tarik balik penyertaan Malaysia

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 MEI: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengesahkan penarikan balik penyertaan Malaysia ke Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 15 Mei 2019.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, penarikan balik penyertaan Malaysia ke triti tersebut berkuatkuasa serentak mengikut tarikh surat dikemukakan Kerajaan Malaysia pada 29 April 2019.

“Makluman mengenai pengesahan tersebut telah dimuatnaik di laman sesawang PBB pada awal pagi 16 Mei 2019 (waktu Malaysia).

“Sehubungan dengan ini, Malaysia telah dikeluarkan daripada senarai Negara Pihak kepada Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

“Maklumat lanjut mengenai pengesahan ini boleh dilayari di laman sesawang United Nations Treaty Collection di https://treaties.un.org/doc/Publication/CN/2019/CN.185.2019-Eng.pdf,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Statut Rome: Kabinet buat keputusan ikut prosedur

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan, jemaah menteri membuat keputusan mengikut prosedur betul dalam proses meratifikasi Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Beliau berkata, jemaah menteri juga membuat keputusan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam menandatangani perjanjian antarabangsa.

“Oleh itu, dari segi proses membuat keputusan, jemaah menteri membuat keputusan mengikut prosedur yang betul dan proses meratifikasi Statut Rome tidak perlu dibuat melalui Parlimen,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Saifuddin berkata, sejak dahulu lagi, terdapat lebih seratus triti dan konvensyen antarabangsa yang diratifikasi tanpa melalui proses Parlimen.

“Malangnya, ada pihak yang sengaja menyalah tafsir Statut Rome, termasuk soal merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja dengan memberikan nasihat atau pendapat yang tidak tepat dan mengetepikan fakta dan hujah rasional,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rome ekoran kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, sambil menegaskan keputusan itu dibuat bukan disebabkan statut itu membahayakan negara.

Saifuddin, yang menyokong penuh pendirian Dr Mahathir dalam perkara itu, menegaskan pentadbiran Pakatan Harapan akan terus berpegang teguh kepada prinsip Raja Berpelembagaan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. -BERNAMA