Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: 5G tingkat aspirasi pembangunan negara

LANGKAWI, 20 JAN: Malaysia boleh mencapai objektif menjadi negara maju lebih awal dari 2030 sekiranya ia menerapkan teknologi 5G dengan teratur untuk pembangunan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Perdana Menteri berkata, wawasan itu boleh dicapai mungkin menjelang 2025.

Malaysia boleh ditadbir lebih baik dengan adanya teknologi 5G kerana ia membolehkan produktiviti meningkat apabila orang ramai boleh membuat pilihan dengan lebih cepat dan tepat, katanya pada persidangan akhbar.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Al-Ishsal Ishak.

Dr Mahathir berkata. “5G begitu komprehensif dan menyalurkan maklumat yang begitu banyak bagi membantu anda membuat keputusan. Malaysia perlu ditadbir lebih baik dengan menggunakan 5G kerana banyak perkara boleh dilakukan dengan lebih cekap dan dilakukan pula oleh orang yang berpengetahuan.

“Jika anda tidak mempunyai pengetahuan, anda boleh sentiasa mengakses orang yang berpengetahuan.

“Jadi, saya berharap agar semua orang belajar bagaimana hendak mengguna 5G; persekitaran berbeza sepenuhnya, tidak lagi seperti sebelum ini.”

Terdahulu Dr Mahathir melawat Pusat Kawalan 5G di ibu pejabat polis Langkawi di sini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memberi contoh, dengan aplikasi 5G, parademik boleh mendapatkan maklumat daripada pakar dan mereka boleh seterusnya membuat keputusan perkara yang patut dilakukan.

Pada waktu yang sama, katanya, jika seseorang itu pergi ke hospital, hospital berkenaan akan bersedia untuk menerima pesakit kerana ia telah mempunyai maklumat terlebih dahulu.

Dr Mahathir berkata, begitu juga dengan kes yang melibatkan pertanian, jabatan-jabatan kerajaan dari segi pentadbiran dan dalam kes polis.

“Sudah tentu, anda akan mendapati bahawa apa yang anda lakukan itu sebenarnya diketahui oleh polis. Jika anda melakukan sesuatu kesalahan, anda akan berhadapan masalah meskipun parkir di tempat yang salah.

“Kini, kita mendedahkan diri kita untuk diketahui oleh polis dan mereka yang lain. Berhati-hatilah sekarang kerana kita telah ada 5G di Langkawi. Jadi, bila anda datang ke Langkawi, tolonglah berkelakuan baik,” katanya dengan diiringi tawa dari hadirin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia guna 5G sepenuhnya menjelang 2023

JAKARTA, 10 SEPT: Malaysia sedang berusaha untuk menggunakan sepenuhnya teknologi 5G menjelang 2023, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.

Beliau berkata, Malaysia percaya penggunaan teknologi itu akan memudahkan usaha kerajaan untuk memperbaiki kehidupan rakyat serta menjadi pemangkin pembangunan Malaysia.

“Malaysia merupakan antara beberapa negara di rantau ini yang menerima baik pemakaian teknologi 5G.

“Tahun lepas kami menubuhkan Pasukan Petugas 5G. Pasukan Petugas ini telahpun mengemukan laporan jangka pertengahannya tentang proses Malaysia ke arah penggunaan 5G,”katanya dalam ucapannya pada persidangan serantau mengenai Diplomasi Digital (RCDD) di Jakarta di sini, hari ini.

RCDD mengumpulkan para menteri, pegawai kerajaan, ahli pikir dan ahli akademik dari semua negara anggota ASEAN, serta Australia, India, Jepun, New Zealand, China dan Korea Selatan untuk membincangkan dan berkongsi amalan terbaik mengenai penggunaan media baharu untuk diplomasi yang berkesan.

Ia juga memberi peluang kepada negara-negara peserta untuk melihat inisiatif dan kaedah baru dalam meningkatkan lagi diplomasi, dan dalam memupuk kerjasama serantau dalam diplomasi digital.

Malaysia menganggap teknologi digital sebagai faktor pemacu untuk inovasi dan pertumbuhan dalam banyak bidang penting. Sudah tentu, termasuk diplomasi.

“Walaupun kita berpegang kepada kebebasan yang datang dengan digitalisasi dunia, kita juga harus berhati-hati terhadap impaknya terhadap keselamatan serantau kita,” kata Marzuki.

Walaupun atas kepentingannya, tadbir urus media sosial yang berkesan terus mengelak dari kita pada ketika di mana tindakan keganasan, ekstremisme, kebencian dengan mudah disebarkan melalui platform digital ini.

Marzuki berkata, adalah penting bagi tadbir urus media sosial untuk mengekalkan keharmonian dalam negara, serta dengan negara lain.

Dalam hal ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melancarkan “sebenarnya.my” pada Mac 2017, sebuah portal yang didedikasikan untuk mengesahkan penyebaran berita di media sosial.

Dengan slogan, ‘Tidak pasti, jangan kongsi’, portal ini berguna untuk membantu rakyat Malaysia membezakan antara fakta dengan yang palsu, katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

NFCP pacu matlamat Malaysia ke arah 5G

PUTRAJAYA, 19 APR: Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) akan memacu Malaysia ke arah matlamat melaksanakan teknologi 5G (generasi kelima), menurut penasihat pasukan petugas khas 5G Kebangsaan, Prof Dr Tharek Abd Rahman.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah penting untuk kerajaan meneruskan pembangunan NFCP, pelan lima tahun bagi meningkatkan liputan jalur lebar dan gentian optik secara keseluruhan.

Dr Tharek yang juga anggota Anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, NFCP yang menggabungkan penggunaan gentian optik dan kesalinghubungan tanpa wayar merupakan kaedah berkesan untuk melaksanakan 5G.

“5G merupakan subset NFCP. Gentian optik menyambungkan lokasi, namun pembolehnya adalah 5G,” katanya kepada pemberita di luar forum Siri Unjuran Digital 2019: Membentuk Landskap Digital bersempena Program 5G Malaysia di sini, hari ini.

Antara matlamat utama kewujudan NFCP ialah sasaran mencapai garis dasar 98 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenghuni menjelang 2023, dengan kelajuan jalur lebar minimum pada kadar 30 Mbps supaya 5G dapat dilaksanakan secara efektif di seluruh negara, terutamanya di kawasan pedalaman.

Program 5G Malaysia dianjurkan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bagaimana teknologi itu memberi kesan kepada kehidupan mereka selain faedah kepada rakyat.

Program berkenaan terbuka kepada orang awam selama dua hari bermula esok.

Pengenalan teknologi 5G adalah sebahagian pemacu NFCP bagi kerajaan dalam menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, komprehensif, berkualiti tinggi dan mampu milik.

SKMM menubuhkan pasukan khas 5G kebangsaan pada November tahun lepas untuk mempromosi pelaksanaan 5G yang dianggotai pihak berkepentingan dan penggiat industri untuk menyemak semula dan mencadangkan strategi yang holistik.

Dr Tharek berkata, kumpulan kerja ini dijangka mengemukakan laporan kepada kerajaan menjelang akhir tahun ini membabitkan spektrum, kawal selia, kegunaan kes dan infrastruktur.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Putrajaya, Cyberjaya lokasi ujian 5G – KKMM

OLEH SHEEDA FATHIL

CYBERJAYA, 4 MAC: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berhasrat menjadikan Putrajaya dan Cyberjaya sebagai tempat ujian dalam mempamerkan aplikasi teknologi 5G pada April ini.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, dua kawasan terbabit dipilih untuk dijadikan sebagai ujian memandangkan ia terletak di lokasi strategik selain mempunyai infrastruktur jalur lebar yang baik.

“Walaupun kita sedang membangunkan infrastruktur berkualiti tinggi dan berpatutan, Malaysia akan memulakan ujian pada April ini dengan menjadikan Putrajaya dan Cyberjaya sebagai perintis teknologi 5G.

“Bagaimanapun, saya akan membuat pengumuman berkenaan hal ini tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan perasmian Pameran dan Persidangan Infra Cyberjaya di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, beliau turut mempunyai perancangan untuk menambah bilangan aktiviti ujian (testbedding) itu membabitkan lebih banyak pembabitan daripada syarikat sawasta dan kerajaan.

“Antaranya adalah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang terus membina ekosistem dalam memperjuangkan agenda ekonomi digital di Malaysia, ‘futurise’, ‘National Regulatory Sandbox’ yang membolehkan inovasi dan penyesuaian dasar lebih pantas sekali gus memberi penyelesaian terhadap teknologi tempatan.

“Bagaimanapun, semua kemajuan itu tidak akan mampu dicapai sekiranya tiada rangkaian jalur lebar yang mantap dan infrastruktur boleh dipercayai,” katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan Penasihat Perdana Menteri, Tun Daim Zainudin berkenaan kebimbangan keselamatan terhadap kemajuan 5G, Gobind berkata, kerajaan tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa dunia bergerak ke arah 5G.

“Ini adalah sesuatu yang diiktiraf oleh negara di seluruh dunia selain kami juga menyedari bahawa rangkaian 5G mempunyai banyak tawaran daripada segi perkhidmatan.

“Kita perlu melihat aplikasi baharu ini yang akan diwujudkan pada masa akan datang, sama ada secara tidak langsung, bergantung kepada teknologi kini dan cuba mengamalkan ia sebaiknya,” katanya.

Pada masa sama, Gobind berkata, beliau akui kebimbangan keselamatan adalah hal yang harus diutamakan namun itu antara faktor ujian perlu dijalankan terlebih dahulu.

“Ini adalah sebab mengapa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam proses melakukan kajian dan laporan itu belum sampai kepada saya.

“Memang wajar perkara ini dirisaukan namun kami cuba untuk menyediakan infrastruktur yang boleh diakses, berkualiti tinggi, dengan kos munasabah serta selamat,” katanya.