Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas negeri: Aliran trafik lancar walau kenderaan bertambah

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Keadaan jalan utama menuju keluar dari ibu kota dalam keadaan terkawal dan tiada aliran trafik luar biasa dikesan walaupun rentas negeri dibenarkan bermula tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim ketika dihubungi Bernama berkata setakat malam tadi tiada jangkaan trafik yang luar biasa.

“Orang ramai juga diingatkan jangan terlalu ghairah untuk melakukan pergerakan rentas negeri kerana negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Jalan Duta tengah malam tadi mendapati aliran trafik seperti biasa walaupun terdapat pertambahan kenderaan.

Beberapa kenderaan turut dilihat berhenti 300 meter daripada plaza tol bagi menantikan detik 12 tengah malam sebelum keluar daripada Plaza Tol Gombak.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas semalam memaklumkan kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.

Susulan itu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataannya memaklumkan polis akan menjalankan pemeriksaan secara rawak di kawasan tumpuan dan menamatkan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, Op Benteng dan cegah jenayah serta keselamatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya 36 jenis bunga api boleh dijual sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Penjualan bunga api musim perayaan bagi Aidilfitri 2021 adalah dibenarkan dengan hanya 36 bunga api jenis ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ boleh dijual kepada umum.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim berkata penjualan itu perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan antara bunga api yang dibenarkan dijual secara umum adalah Pop-Pop, Happy Boom Dush 20, Happy Boom Glow of Sunset, Happy Boom Flower Silver Cracking Rain dan Happy Boom Thunder Clap (Rockets).

Katanya, perkara itu telah diluluskan Kementerian Dalam Negeri bagi mengimport, menyimpan dan berniaga bunga api untuk jualan umum sempena musim perayaan di negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat sembilan jenis bunga api ‘Happy Boom’ bagi kategori jualan umum sempena musim perayaan (bersyarat) itu tidak boleh diniagakan oleh peniaga kecil, peruncit dan pasar raya, antaranya Happy Boom Red Cracker, Happy Boom Assorted Celebration Cake Repeate, Happy Boom Shoot Cake dan Happy Boom Tikus 50.

Menurutnya, beberapa syarat yang perlu dipatuhi peniaga kecil, peruncit dan pasar raya ialah penjual adalah warganegara Malaysia serta lesen berniaga yang mengandungi senarai bunga api jenis ‘Happy Boom’ dan ‘Pop-Pop’ hendaklah dipamerkan bagi tujuan pemeriksaan serta penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

“Tempoh jualan hanya dibenarkan selama 30 hari sahaja (15 hari sebelum dan 15 hari selepas tempoh musim perayaan) tertakluk kepada kelulusan dan budi bicara pesuruhjaya polis atau ketua polis negeri.

“Penjualan di luar kawasan bangunan pasar raya (pemborong/pasar raya besar) atau pusat beli-belah adalah dibenarkan dengan syarat mempunyai tempat simpan selamat dan diperakui Bahagian Persenjataan PDRM serta mempunyai lesen serta permit daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Peniaga kecil dan bazar juga dibenarkan dengan bersyarat iaitu mempunyai tempat simpanan yang selamat dan diperakui oleh Bahagian Persenjataan PDRM, manakala perniagaan runcit seperti 7-Eleven, 99 Speedmart, Mr DIY dan lain-lain yang seumpamanya hanya dibenarkan menjual satu jenis bunga api sahaja iaitu Pop-Pop dan mempunyai permit PDRM.

“Urus niaga secara dalam talian atau menerusi sebarang aplikasi media sosial adalah tidak dibenarkan selain tidak dibenarkan menjual bunga api di restoran dan kedai makan serta kepada pembeli berumur kurang daripada 18 tahun.

“Semua pihak yang menjalankan perniagaan ini diingatkan supaya mematuhi tatacara operasi piawai yang dikeluarkan oleh PDRM dan pihak berkuasa bagi mengekang pandemik Covid-19 termasuk individu yang ingin bermain bunga api,” katanya.

Beliau berkata pelanggaran kepada syarat-syarat ditetapkan, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

– BERNAMA