Categories
PBT SELANGOR

Catat kes tinggi, MBPJ wujud SEDAR basmi denggi

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 3 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merekodkan kenaikan jumlah kes denggi sebanyak 214 peratus, iaitu 369 kes berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Peningkatan itu dicatatkan bermula dari 1 hingga 24 Januari sementara hanya 126 kes dicatatkan pada tahun lalu bagi tempoh yang sama.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, pihaknya juga sudah mengenalpasti 18 lokasi ‘hotspot’ denggi setakat ini.

Katanya, antaranya ialah Prima Damansara di PJU10, Flat Pelangi Damansara PJU 6, Flat Desa Mentari PJS5, Flat Desa Ria PJS5, Flat Desa Mentari PJS 6 dan Mentari Court PJS8.

Lokasi lain termasuk Apartment Medan Cahaya, Taman Medan PJS 2C, Flat Desa Mentari PJS 2D, Apartment Suria PJS3, Flat Desa Perangsang PJS 3 dan Taman Medan Baru.

“Bagi mencegah kes denggi ini, MBPJ telahpun mewujudkan SEDAR (Searh and Destroy) sejak 2014 lagi dan dengan adanya kumpulan ini, ia membantu membasmi masalah pembiakan nyamuk dengan bantuan komuniti.

“Setakat ini kita telahpun mempunyai 238 kumpulan SEDAR dan pada tahun ini sahaja sudah ada lima kumpulan baharu ditubuhkan termasuk di Jalan Medan 23 dan PJU5,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Penuh Bulanan MBPJ, di sini.

Sebelum ini, SelangorKini melaporkan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mencatatkan kes denggi sebanyak 561 kes daripada November tahun lalu hingga Januari ini.

Sementara kes denggi di Hulu Langat pula dilaporkan meningkat dalam tempoh dua minggu pertama.

Ia sekali gus menjadikan Hulu Langat di tempat ketiga dengan kes denggi tertinggi selepas Petaling dan Klang.

Categories
SELANGOR

Dewan Komuniti Damansara Damai lestari alam

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 26 APR: Hasrat penduduk sekitar Damansara Damai memiliki dewan komuniti akhirnya direalisasikan selepas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membina sebuah Dewan Komuniti di PJU 10/1, Damansara Damai.

Datuk Bandarnya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, dewan komuniti dibina diatas tapak berkeluasan 1.16 ekar itu membabitkan kos pembinaan RM 3.8 Juta.

Katanya, dewan itu dibina struktur bangunan yang mampu melestarikan alam sekitar, mengaplikasikan kecekapan penjimatan tenaga dan memenuhi matlamat menyediakan persekitaran gaya hidup urban yang sihat serta berkualiti.

“Reka bentuk dewan komuniti itu juga menerapkan ciri-ciri senibina reka moden tropikal masa kini yang mengambilkira elemen ‘louvers’ pada tampak bangunan memberi perlindungan cahaya matahari serta membenarkan aliran udara masuk ke dalam bangunan bagi kesan penyejukkan bangunan.

“Ia juga mempunyai kemudahan orang kurang upaya (OKU), elemen vernakular dengan memberikan identiti senibina tempatan, mengekalkan karekteristik alam semulajadi ‘blend with nature’ serta daya tahan ‘durability’,” katanya pada majlis perasmian dewan itu, di sini.

Mohd Azizi berkata, spesifikasi komponen reka bentuk dewan itu disusun mengikut kesesuaian dan keutamaan dalam penggunaan ruang merangkumi program seperti majlis perkahwinan, aktiviti sukan badminton, riadah, program komuniti serta program sosial lain.

Katanya, manakala dari aspek kemudahan asas pula, dewan komuniti ini dilengkapi dengan pejabat, parkir (84 unit petak letak kereta dan 2 unit petak untuk OKU), tandas, surau dan menitikberatkan reka bentuk hijau selain mesra OKU.

“Selain itu, dewan itu turut dilengkapi Sistem Pengumpulan Air Hujan (SPAH),” katanya.

Categories
SELANGOR

MBPJ keluar lebih 700 notis dan 100 kompaun sejak Ramadan

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 23 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan 295 notis dan 72 kompaun bagi pelbagai kesalahan penjaja tanpa lesen dan halangan awam sejak Ramadan ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, notis dan kompaun itu dilakukan selepas 157 kali pemantauan dijalankan.

Katanya, MBPJ turut mengeluarkan sebanyak 30 kompaun dan 445 notis di atas pelbagai kesalahan dari segi aspek kebersihan dan kesihatan dalam mengendalikan makanan.

18.06 Suasana Bazar PKNS“Antaranya seperti tidak mendapatkan suntikan Tifoid (TY2), etika berpakaian yang tidak bersih, tidak mempamerkan lesen, dan lain-lain kesalahan.

“Antara kesalahan dikompaunkan adalah Notis di bawah Seksyen 46 (1) (d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Kompaun di bawah Seksyen 46 (1) (d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Sitaan di bawah Seksyen 46 (3) (a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Selain itu, Kompaun dibawah UUK 3, Undang-undang Kecil Penjaja (MBPJ) 2007 dan Sitaan dibawah UUK 42 (1), Undang-undang Kecil Penjaja (MBPJ) 2007,” katanya di mesyuarat bulanan, baru-baru ini.

BAZAR RAMADANTahun ini, MBPJ menyediakan sebanyak 20 lokasi bazar Ramadan di seluruh kawasan pentadbiran Majlis dengan 1,551 petak yang berasaskan konsep mampan.

MBPJ turut melaksanakan kawalan lalu lintas bagi kawasan ‘hot spot’ supaya aliran trafik berada dalam keadaan lancar.

Sebanyak 98 kenderaan dipindahalih kerana meletakkan kenderaan di tapak bazar Ramadan serta menghalang peniaga memulakan operasi perniagaan.

Categories
SELANGOR

MBPJ-Bank Rakyat agih makanan percuma

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 4 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Bank Rakyat akan mengagihkan makanan percuma kepada penduduk miskin menerusi ‘mobile soup kitchen’ pada setiap Sabtu atau Ahad bermula minggu ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, menerusi program ‘Meals on Wheels’, pihaknya mengubah suai sebuah lori muatan lima tan menjadi trak makanan bergerak di bawah projek ‘PJ City Food Bank’.

Katanya, program makanan percuma itu akan diagihkan kepada kawasan penduduk miskin bandar iaitu perumahan kos rendah di Petaling Jaya khususnya PJS, Lembah Subang dan Kota Damansara.

DSC_3076“Kita juga akan memberi fokus kepada kawasan flet Desa Mentari, Taman Medan, Kampung Lindungan, Taman Putra Damai, PPR Seksyen 8 Kota Damansara dan Damansara Damai.

“Trak makanan itu akan menyalurkan makanan berpek dari Pusat Operasi ‘PJ City Food Bank’ di Seksyen 8 ke kawasan tersebut pada setiap hari Sabtu atau Ahad setiap minggu bermula 7 malam,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, MBPJ prihatin terhadap golongan pelajar dari golongan miskin bandar dan berhasrat membantu golongan ini melalui pendedahan dan galakan kepada pengambilan sarapan pagi.

Sehubungan itu, trak makanan bergerak akan turun ke 12 sekolah terpilih bagi mengagihkan sarapan pagi percuma kepada kira-kira 30,000 murid menerusi program ‘Sarapan Pagi Percuma Untuk Kanak-kanak Sekolah’ bermula pukul 7 pagi.

“Kami akan turun ke 12 sekolah-sekolah terpilih pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat pada setiap minggu bermula minggu ini,” katanya.