Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Kimanis: Polis terima 11 laporan

PENAMPANG, 14 JAN: Polis menerima 11 laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis sepanjang tempoh berkempen sehingga hari ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, enam kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Kanun Keseksaan.

“Antara siasatan dilakukan adalah berhubung kes sogokan, fitnah, mengaibkan dan melakukan khianat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata sebanyak 181 permit bagi tujuan berkempen dan ceramah umum dipohon oleh dua parti bertanding, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh berkempen sehingga semalam iaitu Warisan memohon 112 permit manakala BN sebanyak 69 permit.

Omar turut menasihatkan orang ramai dan penganjur mematuhi peraturan yang ditetapkan semasa Himpunan Solidariti Rakyat Bantahan Aman Pas Sementara Sabah (PSS) yang akan berlangsung di Pekan Membakut, Kimanis, esok.

“Polis sudah meluluskan permohonan untuk mengadakan perhimpunan berkenaan. Oleh itu, saya mahu pihak penganjur menasihatkan agar semua yang hadir mematuhi peraturan ditetapkan.

“Jangan melakukan sebarang provokasi sehingga mendatangkan kekecohan dan pergaduhan. Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada sesiapa sahaja yang menimbulkan kekecohan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perintah berkurung di ESSZone dilanjut 21 Januari

KOTA KINABALU, 5 JAN: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir 6 Januari, dilanjutkan sehingga 21 Januari ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.

Omar dalam kenyataan hari ini berkata, perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Beliau berkata, dengan berkuat kuasa perintah berkurung itu, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan antara 6 petang hingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan.

“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

“Perintah berkurung ini juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di daratan ESSZone,” katanya.

Omar berkata, perintah berkurung itu juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

793 anggota polis pastikan kelancaran PRK Kimanis

BEAUFORT, 4 JAN: Polis menempatkan 793 pegawai dan anggotanya bagi mengawal keselamatan sepanjang tempoh berkempen 14 hari bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang bermula hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, pada proses penamaan calon pagi tadi, tiada sebarang insiden berlaku dan tiada laporan polis diterima daripada mana-mana pihak berhubung perjalanan proses itu.

“Saya juga ingin mengingatkan calon bertanding, ejen calon atau penyokong mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang tempoh berkempen dan jangan membuat sebarang provokasi atau permusuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon PRK Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di sini hari ini.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang dan Datuk Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional (BN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRK Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini dengan hari pengundian awal pada 14 Januari.

– BERNAMA