Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Kimanis: Kamera video tidak jejas kerahsiaan undi

KIMANIS, 14 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan pengenalan penggunaan kamera video di saluran mengundi pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini tidak akan menjejaskan kerahsiaan proses undian.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata tujuan utama penggunaan kamera itu adalah untuk memastikan perjalanan proses undian lebih telus dengan meneliti proses tersebut daripada mula pengundi memasuki saluran sehingga selesai mengundi.

“SPR juga boleh meneliti semula rakaman video tersebut pada masa hadapan bagi tujuan menambah baik kualiti (proses undian) dan juga pengalaman pengundi mengundi.

Saya tidak rasa ada orang akan bimbang atau takut kerana kerahsiaan akan tetap dijaga setiap masa malah ejen calon juga masih berada dalam saluran tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu dalam satu kenyataan hari ini, Azhar mengumumkan pengenalan kamera video itu semasa hari pengundian PRK Parlimen Kimanis sebagai satu usaha penambahbaikan untuk pilihan raya yang cekap dan telus.

Menurut Azhar kamera itu akan dipasang di semua 68 saluran terlibat dan akan dikendalikan oleh pegawai SPR.

Namun, susulan pengumuman itu, Pemuda UMNO Sabah dalam laporan media, membantah langkah SPR memasang kamera video itu kerana bimbang pemasangan kamera itu akan menakutkan pengundi untuk memilih calon masing-masing.

Mengulas lanjut, Azhar mempersoal tindakan pihak-pihak tertentu yang sering melihat sesuatu inisiatif baharu hanya daripada perspektif negatif.

Beliau berkata niat SPR dalam memperkenalkan inisiatif itu adalah bagi tujuan ketelusan dan bukan untuk menakut-nakutkan pengundi.

“(Rakaman video) ini juga membolehkan kita (menyemak) sekiranya ada tuduhan pengundi hantu, pengundi bertindih dan sebagainya. Kita boleh rujuk semula,” menurutnya.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Kimanis: Polis terima 11 laporan

PENAMPANG, 14 JAN: Polis menerima 11 laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis sepanjang tempoh berkempen sehingga hari ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, enam kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Kanun Keseksaan.

“Antara siasatan dilakukan adalah berhubung kes sogokan, fitnah, mengaibkan dan melakukan khianat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata sebanyak 181 permit bagi tujuan berkempen dan ceramah umum dipohon oleh dua parti bertanding, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh berkempen sehingga semalam iaitu Warisan memohon 112 permit manakala BN sebanyak 69 permit.

Omar turut menasihatkan orang ramai dan penganjur mematuhi peraturan yang ditetapkan semasa Himpunan Solidariti Rakyat Bantahan Aman Pas Sementara Sabah (PSS) yang akan berlangsung di Pekan Membakut, Kimanis, esok.

“Polis sudah meluluskan permohonan untuk mengadakan perhimpunan berkenaan. Oleh itu, saya mahu pihak penganjur menasihatkan agar semua yang hadir mematuhi peraturan ditetapkan.

“Jangan melakukan sebarang provokasi sehingga mendatangkan kekecohan dan pergaduhan. Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada sesiapa sahaja yang menimbulkan kekecohan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

793 anggota polis pastikan kelancaran PRK Kimanis

BEAUFORT, 4 JAN: Polis menempatkan 793 pegawai dan anggotanya bagi mengawal keselamatan sepanjang tempoh berkempen 14 hari bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang bermula hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, pada proses penamaan calon pagi tadi, tiada sebarang insiden berlaku dan tiada laporan polis diterima daripada mana-mana pihak berhubung perjalanan proses itu.

“Saya juga ingin mengingatkan calon bertanding, ejen calon atau penyokong mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang tempoh berkempen dan jangan membuat sebarang provokasi atau permusuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon PRK Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di sini hari ini.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang dan Datuk Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional (BN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRK Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini dengan hari pengundian awal pada 14 Januari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Proses penamaan calon PRK Kimanis bermula

BEAUFORT, 4 JAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis bermula hari ini dengan proses penamaan calon pada pukul 9.00 pagi.

Keadaan cuaca yang baik membolehkan ramai penyokong parti yang bertanding hadir untuk berkumpul sebelum berarak ke pusat penamaan calon di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di Beaufort dekat sini.

Penyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN), masing-masing mula berhimpun berdekatan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Beaufort, sebelum berarak ke pusat penamaan itu.

Sementara itu, beberapa laluan menuju ke Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir ditutup dan dikawal anggota polis seawal 6.00 pagi ini.

Calon mempunyai tempoh sejam sehingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan sebelum Pegawai Pengurus PRK Kimanis yang juga Pegawai Daerah Beaufort, Jupari@Jupry Etok mengumumkan nama calon yang layak bertanding kira-kira 11 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Januari, manakala penamaan calon pada 4 Januari dan pengundian awal 14 Januari.

Setakat ini, Warisan mengumumkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis Datuk Karim Bujang, 67, sebagai calon manakala BN mempertaruhkan Ketua UMNO Bahagian Kimanis Datuk Mohamad Alamin, 47, pada pilihan raya kecil itu.

Beberapa calon yang bakal bertanding atas tiket Bebas juga dijangka mengemukakan borang pencalonan masing-masing.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 26,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Karim ialah calon Warisan bagi kerusi itu pada PRU14, namun kalah dengan majoriti 156 undi kepada Anifah, yang ketika itu bertanding atas tiket BN.

Anifah memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Calon lain daripada Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail pula meraih 1,300 undi.

– BERNAMA