Categories
AGENDA GLOBAL

Tiada sekatan pergerakan, perintah berkurung di Thailand walaupun kes Covid-19 naik

BANGKOK, 16 APRIL: Thailand tidak akan mengenakan sekatan pergerakan atau perintah berkurung seluruh negara meskipun jumlah kes baharu Covid-19 sekali lagi mencatat rekod tertinggi hari ini.

Dalam 24 jam lalu, Thailand mencatat 1,582 kes baharu menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 39,038 dengan jumlah kematian kekal 97.

Bagi mengelak kes terus merebak institusi pendidikan dan pusat hiburan akan ditutup selain melarang penjualan alkohol di restoran sekurang-kurangnya dua minggu bermula Ahad.

Selain itu, sebarang aktiviti melebihi 50 orang adalah dilarang.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha yang mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) hari ini meluluskan langkah pencegahan terbaharu.

Sementara itu, jurucakap CCSA Thaweesilp Wissanuyothin berkata kerajaan mengisytiharkan 18 wilayah termasuk Bangkok, Chiang Mai, Chonburi, Songkhla, Rayong dan Khon Kaen sebagai zon merah manakala 59 wilayah lagi sebagai zon oren.

Di zon merah, semua pusat beli-belah dan pusat kecergasan wajib ditutup pada 9 malam dan kedai, pasar, pasar raya pula pada 11 ​​malam.

“Restoran di zon merah hanya boleh dibuka hingga 9 malam manakala untuk perkhidmatan bawa pulang hingga 11 malam. Di 59 zon oren, restoran dibenar dibuka hingga 11 malam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Thaweesilp menggesa orang ramai untuk menghadkan pergerakan mereka dan bekerja dari rumah.

Kes penularan terkini itu adalah yang terbesar sejak Januari tahun lalu. Thailand dilanda gelombang kedua pada pertengahan Disember tahun lalu bermula di pasar makanan laut di Samut Sakhon.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Perintah berkurung di Sepanyol paksa pelumba Supermoto negara pulang awal

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Pelumba Supermoto negara Khairulamirin Yahaya terpaksa pulang awal ke Malaysia selepas kerajaan Sepanyol mengambil keputusan melaksanakan perintah berkurung di negara itu susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Pelumba berusia 18 tahun itu mengakui beliau kecewa kerana tidak dapat bersaing dalam Kejuaraan Supermoto Sepanyol pada musim ini yang terpaksa dibatalkan susulan penularan kes Covid-19 di negara tersebut.

“Kami sepatutnya balik ke Malaysia pada 16 Nov ini tetapi kerana keadaan yang tidak dapat dielakkan, kami terpaksa pulang.

“Keadaan di Sepanyol semakin serius jadi kami membuat keputusan untuk pulang ke tanah air lebih awal untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini,” katanya kepada wartawan tempatan hari ini menerusi rakaman audio.

Beliau juga berasa amat kecewa kerana yakin dapat menyaingi pelumba dalam kelompok hadapan ataupun dalam kelompok besar.

“Bagaimanapun, saya perlu menerima hakikat bahawa perlumbaan yang dibatalkan adalah untuk menjaga diri kami di sini juga.

“Dengan perlumbaan yang dibatalkan ini, saya akan memperbaiki diri dengan membuat latihan lebih kerap dan mempersiapkan diri untuk siri perlumbaan bagi ketegori SM-Road bagi tahun 2021,” katanya.

Pelumba pasukan Supermotoland Husqvarna itu berkata fokus beliau selepas ini adalah memperbaiki prestasinya bagi menghadapi saingan pada musim hadapan.

Berdasarkan perancangan awal, Khairulamirin sepatutnya berlepas ke Sepanyol pada Januari lepas namun mengambil keputusan ke negara itu pada Julai kerana Kejuaraan Supermoto Sepanyol yang dijadualkan pada April ditunda ke bulan tersebut (Julai) susulan penularan Covid-19 di Sepanyol.

Beberapa kawasan perbandaran di Sepanyol dilaporkan bakal melaksanakan perintah berkurung mengikut keluasan kawasan susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negara itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM nafi perintah berkurung di Brickfields

SHAH ALAM, 26 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan arahan perintah berkurung di
Brickfields, Kuala Lumpur susulan terdapat empat kes Covid-19 di situ.

Penafian tersebut berikutan penyebaran gambar sekumpulan anggota kesihatan mengenakan sut perlindungan diri di kawasan berkenaan yang tersebar di media sosial.

“Polis menjelaskan gambar tersebut merupakan rakaman kejadian yang berlaku di kawasan Kuala Langat, Selangor pada 16 Mei lalu,” maklum Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perintah berkurung di ESSZone dilanjut 21 Januari

KOTA KINABALU, 5 JAN: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir 6 Januari, dilanjutkan sehingga 21 Januari ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.

Omar dalam kenyataan hari ini berkata, perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Beliau berkata, dengan berkuat kuasa perintah berkurung itu, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan antara 6 petang hingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan.

“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

“Perintah berkurung ini juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di daratan ESSZone,” katanya.

Omar berkata, perintah berkurung itu juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.

– BERNAMA