Categories
NASIONAL

Jenazah Hassan Din selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Jenazah pendakwah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Gombak di sini, petang ini.

Kira-kira 1,000 orang hadir di tanah perkuburan itu, sebelum jenazahnya dikebumikan pada 6.10 petang.

Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Masjid Saidina Hamzah diimamkan oleh anak lelakinya Mohamad Yusri. Talkin dibacakan menantu Allahyarham, Hamdan Abdul Aziz.

Allahyarham Abu Hassan, 73, disahkan meninggal dunia kira-kira 7.30 pagi tadi selepas rebah dan tidak sedarkan diri setelah menunaikan solat subuh di rumahnya di Kampung Batu Muda, Sentul.

Allahyarham yang juga bekas Penasihat Agama Istana Negara, dilahirkan di Perlis dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Derma, Arau, sebelum ke Sekolah Agama Arab Alawiyah dan melanjutkan pelajaran di Mesir.

Allahyarham bertugas di Pusat Islam pada 1976, sebelum berkhidmat di Masjid Negara pada tahun berikutnya sehingga memangku jawatan Imam Besar.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Abu Hassan.

“Salam takziah buat keluarga dan sahabat handai Ustaz Abu Hassan Din Al-Hafiz. Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan para syuhada dan solehin,” katanya di laman Twitter.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pula berkata: “Hiba mendengar berita pemergian permata ummah, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz.

“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz. Al-Fatihah,” katanya.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pula berkata Malaysia hari ini kehilangan seorang ilmuwan Islam yang disegani.

“Kementerian Pendidikan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan roh beliau dicucuri rahmat,” katanya.

Bagi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, pemergian Abu Hassan merupakan satu kehilangan besar buat negara, kerana beliau adalah tokoh agama yang disegani.

Beliau berkata masyarakat pasti merindukan curahan idea serta ilmu yang dilontarkan Allahyarham, di setiap ceramah agamanya.

“Allahyarham merupakan tokoh agama negara yang wajar diingati, kerana beliau sentiasa memberi nasihat terutama ketika menjadi penasihat agama di Istana Negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Batu Muda di sini, hari ini.

Jamil Khir berkata hubungan beliau dengan Allahyarham sangat rapat kerana bersama-sama mengendalikan kuliah di Masjid Saidina Hamzah pada bulan Ramadan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

MB rakam takziah kematian Hassan Din

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 MEI: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pendakwah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz yang telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Amirudin Shari menerusi twitternya berkata, negara kehilangan seorang permata agamawan yang terbilang.

“Allahyarham telah mencurahkan bakti kepada perkembangan ilmu al-Quran. Al Fatihah.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan menempatkan Allahyarham Ustaz Hassan Din Al Hafiz di kalangan para syuhada,” tulisnya.

Bekas Penasihat Agama Istana Negara itu meninggal pada usia 72 tahun.

Anak lelakinya, Mohamad Yusri Abu Hassan, berkata Allahyarham meninggal dunia selepas terjatuh ketika bangun untuk menunaikan solat subuh.

Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah di Kampung Batu Muda dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum dimandi dan dikafankan di Masjid Saidina Hamzah.

Allahyarham adalah adik kepada bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, yang meninggal dunia di Amerika Syarikat pada September 2016.

Arwah dilahirkan di Perlis dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Derma, Arau, sebelum ke Sekolah Agama Arab Alawiyah dan melanjutkan pelajaran di Mesir.

Allahyarham mulai bertugas di Pusat Islam pada 1976 sebelum berkhidmat di Masjid Negara pada tahun berikutnya sehingga memangku jawatan Imam Besar.

Categories
NASIONAL

Umat Islam berduka pemergian Hassan Din

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Pemergian tokoh agama terkenal Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz hari ini bukan sahaja ‘ditangisi’ rakan-rakan pendakwah, malah pemimpin negara dan netizen turut berkongsi kesedihan masing-masing.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau mengenali Allahyarham Abu Hassan sejak kecil sebagai tokoh dakwah yang sangat berpengaruh.

“Masih jelas di ingatan celoteh beliau dalam Forum Perdana Ehwal Islam satu ketika dahulu. Dalam gelak tawa, ada nasihat dan kata hikmah yang pastinya menyegarkan minda dan hati.

“Selamat menuju ke negeri yang baqa’. Al-Fatihah,” katanya dalam catatan di laman Facebook.

Allahyarham Abu Hassan, 73, disahkan meninggal dunia kira-kira 7.30 pagi tadi selepas rebah dan tidak sedarkan diri ketika bangun hendak menunaikan solat subuh.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam catatan di laman Twitter berkata, beliau sayu menerima perkhabaran itu dan mendoakan semoga Allahyarham dikurniakan husnul khatimah dan ditempatkan di syurga yang penuh dengan nikmat Allah SWT.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan saya doakan agar segala urusan dipermudahkan. Al-Fatihah,” katanya.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari pula berkata, negara kehilangan seorang permata agamawan yang terbilang, mencurahkan bakti untuk perkembangan ilmu al-Quran.

Pengguna media sosial turut bersedih, dan ramai yang mengenang jasa Allahyarham semasa hayatnya.

Pencetus Ummah Amin (PU Amin) berkongsi foto kuliah maghrib terakhir yang disampaikan Allahyarham Abu Hassan, semalam.

“Dakwah hingga akhir hayatnya. Beginilah sirah hidup seorang pejuang dan pendakwah agama. Sungguh hebat dan istimewa para ulama,” katanya.

Blogger Dr Anwar Fazal pula berkata: “Pagi yang sangat hiba. Perginya seorang lagi permata ummah. Entah kenapa sebaknya luar biasa.”

Turut dikongsikan netizen ialah pemergian Allahyarham Abu Hassan menyusuli dua abangnya iaitu Allahyarham Ustaz Ishak Din dan Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

Haron, 76, meninggal dunia pada September 2016 di Hospital Stanford University, San Francisco, AS akibat komplikasi jantung, manakala Ishak, 78, meninggal dunia ketika sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira dua bulan kemudian.

– BERNAMA