Categories
AGENDA JENAYAH

Shahrir didakwa gagal isytihar RM1 juta kepada LHDN

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Bekas pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Shahrir, 71, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Shahrir dituduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013.

Cek itu kemudiannya telah dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 November 2013.

Oleh itu, tertuduh didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram.

Shahrir dituduh melakukan kesalahan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol dan Nik Haslini Hashim manakala Shahrir diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin dan Fahmi Abd Moin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ahmad Maslan, Shahrir Samad ke mahkamah esok kes wang haram

SHAH ALAM, 20 JAN: Datuk Seri Ahmad Maslan dan Tan Sri Shahrir Abdul Samad akan diheret ke mahkamah atas pertuduhan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) esok.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata Ahmad ahli parlimen Pontian dan Shahrir yang merupakan bekas ahli parlimen Johor Bharu itu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Masing-masing ditahan pada jam 10.10 dan jam 11.22 pagi ini di Ibu Pejabat SPRM.

“Shahrir dan Ahmad ditahan hari ini di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir.

“Kedua-dua mereka kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM dan semua maklumat berkaitan kes ini akan dimaklumkan esok selepas pertuduhan dibacakan,” kata SPRM.